BAHU Naufal dipeluk erat. Nadhira berpeluh walaupun berada di tempat yang sejuk dan berhawa dingin. Di dalam hati, dia tidak putus-putus berdoa agar dijauhkan daripada perkara buruk.
"Kenapa? Takut?" Tahir ketawa dengan kuat.
Nadhira menahan rasa geram. Rasa hendak tumbuk muka Tahir ketika ini. Dia menjeling lelaki itu. Sakit hatinya.
"Amboi... menjeling pulak. Jaga-jaga, nanti tergolek biji mata tu kat lantai," sindir Tahir sambil tertawa.
Makin geram hati Nadhira. Dipandang Tahir tajam. Kecil, besar, kecil, besar... Ikutkan hati, ingin saja dia melenyek lelaki itu. Lenyek sampai leper.
"Rasa nak menangis pulak, kan?"
Nadhira mengetap bibir, geram. Ada yang makan selipar jugak ni. Mujurlah mereka kini berada di rumah orang. Kalau tidak, Tahir mesti bersumpah tak nak duduk kat dunia lagi.
"Mak aii... mata dia macam ada api yang menyala-yala. Habislah terbakar pulak rumah ni. Takutnya," usik Tahir lagi dengan gaya mak nyah pula.
Nadhira yang hendak marah, terus tertawa. Hilang geramnya sebentar tadi.
"Si Tahir ni kalau mengusik orang, suka betul dia. Nak kena piat telinga dia tu," celah Mak Wan yang menatang dulang berisi air minuman dan sepiring kiuh.
Tahir ketawa. "Saya saja je nak menyakat Nad, Mak Wan."
"Kamu jangan melayan dia sangat, Nad. Buang masa je. Dah, mari minum. Jauh berjalan mesti penat." Mak Wan menuangkan air kopi ke dalam cawan. "Nad dengan Naufal tunggu sini dengan Tahir. Mak Wan nak masuk ke dalam sekejap."
Nadhira hanya tersenyum. Dia sebenarnya kekok. Rumah banglo itu sangat besar. Tiga tingkat. Perabotnya cantik. Sofa yang sedang didudukinya ini sangat empuk. Karpet yang sedang dipijak ini sangat lembut. Kakinya tenggelam. Kalau di rumahnya hanya tikar getah biasa. Malah ada yang dah koyak. Tak payahlah nak bandingkan banglo ini dengan rumahnya. Jauh panggang dari api. Di ruang tamu itu saja ada tiga set sofa yang berlainan jenis. Luas sungguh. Sungguh mewah.
Macam manalah dia hendak bekerja di rumah sebesar ini? Kalau dia tersilap buat kerja sehingga ada barang yang rosak atau pecah, teruk dia kena ganti semula. Barang dalam rumah itu mestilah mahal-mahal belaka.
"Minum, Nad. Jangan asyik termenung je. Dari dalam kereta lagi ayik termenung. Tak ada kerja lain ke?" Tahir mencantas apa yang bermain di fikiran Nadhira.
"Abang Tahir pun macam tak ada kerja je. Duduk macam lagak tuan rumah. Pergilah buat kerja." Nadhira membalas selamba. Air yang dituang Mak Wan tadi diteguk perlahan.
"Abang penat ni tau. Dari KL ke Teluk Intan semata-mata nak ambil Nad. Lepas tu datang ke KL semula hantar Nad dengan Naufal ke mari. Nanti urut bahu abang boleh?" Tahir menggoyang-goyangkan bahunya dengan riak muka menahan sakit.
"Bahu abang tu tetak dengan parang je baru baik." Nadhira malas hendak melayan Tahir lagi. Dia masih geram sebenarnya dengan lelaki itu. Apabila mengenangkan sikap Tahir sepanjang perjalanan ke mari tadi memang menyakitkan hati. Mati-mati dia ingat Tahir orang jahat.
"Abang Tahir ni mianglah, " kata Naufal yang sedang enak menjamu kuih seri muka yang dihidang, membuatkan Tahir seperti tertelan tombol pintu.
Tahir lupa bahawa Naufal tentulah akan menjaga kakaknya. Di dalam kereta tadi pun bukan main lagi Naufal membela Nadhira.
Nadhira ketawa geli hati melihat wajah Tahir yang terkulat-kulat. "Padan muka!" Dia tunjuk ibu jari.
Tahir mencebik. Tajam menikam kata-kata Naufal tadi. Dia turut meneguk minumannya.
"Kak long... besarnya rumah ni. Mesti tuan rumah ni kaya, kan?" bisik Naufal yang sejak sampai di rumah itu asyik meliarkan mata ke seluruh ruang tamu. Tidak puas dia menatap rumah yang sangat cantik itu.
Nadhira mengangguk.
"Kita duduk kat sini ke, kak long?"
Nadhira mengangguk lagi, membuatkan mata Naufal membuntang tidak percaya.
"Besar gila rumah ni. Bestnya!" bisik Naufal lagi dengan nada ceria.
"Kita duduk sini sebab kak long kerja jadi orang gaji. Jadi, kita tak boleh buat sesuka hati. Ingat?"
"Tahu..." balas Naufal lemah. Sudah berkali-kali Nadhira mengingatkan yang mereka orang kampung. Jangan perasan atau berlagak macam orang kaya.
"Apa bisik-bisik ni? Mengumpat abang ye?" Tahir sebenarnya sejak tadi memandang kedua-dua beradik itu berbisik sesama mereka sampai terangkat-angkat kening. Lain macam saja gayanya. Mesti mengumpat akulah tu!
Nadhira hendak tergelak melihat riak wajah Tahir yang penuh curiga. "Orang kata, kalau ada orang mengumpat kita, kita tersedak-sedak. Tapi kenapa abang tak tersedak ek? Sebab kitaorang mengumpat abang depan-depan kot." Dia tergelak bersama Naufal.
Tahir mencebik. "Mengumpat. Mengumpatlah lagi. Biar lidah tu kena potong nanti."
Nadhira tersengih-sengih dapat mengusik Tahir. Padan muka! Tadi dalam kereta bukan main galak mengusik aku.
"Lain harilah pulak Nad mengumpat abang lagi. Hari ni dah penat rasanya. Lepas ni kalau abang tersedak, tu maknanya Nad tengah mengumpat abang. Cepat-cepat minum air tau. Takut tercekik lidah pulak."
Tahir tertawa. "Nad, Nad..."
Suasana sepi seketika. Nadhira memandang sekeliling ruang tamu. Sesuatu membuatkan dia tertanya-tanya. Dia memandang Tahir. "Mak Wan tu orang gaji kat rumah ni, kan? Tapi kenapa nak ambil orang gaji lagi?"
Tahir terhenti mengunyah kuih. "Mak Wan dah tua. Mana larat nak buat kerja berat-berat lagi."
"Mak Wan diberhentikan kerja ke?"
"Tak. Tapi dia buat kerja yang ringan jelah."
Nadhira terangguk-angguk. Seketika kemudian dia terpandang Mak Wan datang semula ke ruang tamu itu. Mak Wan sedang menyorong seseorang di kerusi roda. Dia tercengang memandang insan yang sedang disorong Mak Wan itu.
Tahir serta-merta berdiri. Nadhira yang tidak tahu apa-apa turut berdiri bersama Naufal.
"Datin, inilah orang yang nak kerja dengan Datin. Nama dia Nad. Yang sebelah tu adik Nad, Naufal, " kata Tahir.
Datin? Wah...majikannya seorang Datin. Dia lupa yang Tahir pernah memberitahunya dulu. Patutlah rumah ni besar. Pemiliknya pasangan Datuk dan Datin. Nadhira berasa sedikit gementar. Dia segera bersalaman dengan wanita yang duduk di kerusi roda itu. Naufal turut berbuat hal yang sama.
Wanita yang dipanggil Datin itu mengukirkan senyuman.
"Ni Datin Ros, Nad," perkenal Tahir.
"Dah makan?" Ramah Datin Ros bertanya.
Nadhira mengangguk. "Dah, Datin. Mak Wan dah hidangkan air dengan kuih."
"Nad dengan Naufal mesti masih penat. Pergilah berehat dulu. Nanti Mak Wan tunjukkan bilik Nad dengan Naufal. Malam ni kita makan sama-sama, ya?" Kata Datin Ros.
Oh, makan malam. Sudah tentu aku yang kena masak. Aku kan orang gaji di rumah itu. Nadhira berdeham sebelum bersuara. "Saya akan masak, Datin. Cuma saya taklah pandai sangat. Insya-ALLAH... saya cuba masak sesedap yang mungkin." Dia cuba komited walau tahu hanya beberapa masakan sahaja yang dia tahu. Masakan kampung pula tu. Takkanlah Datin Ros nak makan makanan orang kampung. Sudah tentu tak kena dengan selera orang bandar.
"Tak perlu, Nad. Mak Wan akan masak untuk malam ni. Nad berehatlah dulu, sembahyang asar. Tentu Nad masih penat. Baru sampai dah nak kena masak," larang Datin Ros.
Nadhira melebarkan senyuman. Baiknya Datin Ros. Layan aku macam tetamu jemputan. Best dapat bos yang baik macam ni. Alhamdulillah...
Dia nampak Tahir menunjukkan ibu jari sambil terseyum. Lelaki itu pun macam suka saja dia kerja kat rumah ni. Mak Wan juga melayannya bak keluarga Datin Ros.
"Mari, Nad... Mak Wan tunjukkan bilik Nad dengan Naufal."
Nadhira memandang Mak Wan. Dalam pada gembira, timbul rasa janggal. Layanan yang diberi tip top sangat. Macam ni ke cara orang gaji dilayan? Pelik betul.
"Err... Mak Wan, bilik Nad dengan Naufal?"
"Walaupun adik-beradik, takkan Nad dan Naufal nak duduk sebilik?" Datin Ros yang menjawab. "Tak apa, ruamh ni banyak bilik. Ada tujuh bilik. Mak Wan, bawa budak berdua ni ke tingkat atas, ya?"
Dalam teragak-agak, Nadhira berdiri jua. Naufal mengekori sambil membawa beg yang tidak sebesar milik kakaknya.
RUANG makan ketika itu sunyi sepi. Masing-masing menyudahkan suapan tanpa suara. Hanya Datin Ros, Mak Wan, Nadhira dan Naufal. Oleh kerana Mak Wan memberitahu Datin Ros ada anak lelaki, Nadhira memastikan dia sentiasa memakai tudung.
Dia memandang Naufal. Banyak kali dia berpesan pada adiknya itu agar menjaga tingkah laku ketika berada di meja makan. Makan sehabis sopan. Dipandang Datin Ros yang tekun menunduk menghabiskan makanannya. Tentu sedang menghayati kesedapan masakan Mak Wan.
Lauk-paukk yang dimasak Mak Wan memang mengiurkan. Udang masak lemak cili padi bersama kentang, ayam goreng berempah, sayur petola goreng bersuhun dan kerabu timun. Nanti dia mahu belajar semua masakan itu daripada Mak Wan. Jadi pembantu rumah mestilah pandai memasak.
"Tambah lagi, Nad, Naufal..." Pelawa Datin Ros.
Nadhira mengangguk. Dilihat Naufal menyenduk nasi lagi. Berselera benar dia. Maklumlah... sudah lama tidak makan masakan yang sedap seperti yang dimasak arwah ibu mereka.
"Esok pagi Tahir akan bawa Naufal mendaftar di sekolah kat sini. Kamu ikut sekali, Nad. Lepas mendaftar, ikut Tahir beli barang-barang kamu berdua," arah Datin Ros yang sudah meletakkan sudu dan garfu yang digunakannya. Hujung bibirnya dilap dengan napkin. Hanya dia sahaja yang makan menggunakan sudu dan garfu.
"Err... tak ada apa yang nak dibeli rasanya," tolak Nadhira lembut. Dia tidak mahu menyusahkan Tahir.
"Ikut saja si Tahir shopping. Mesti kamu nak beli baju baru. Naufal pun mesti nak beli kelengkapan sekolah."
Nadhira mengiakan sahaja apabila melihat Datin Ros bersungguh-sungguh, Dilihat Naufal sudah ceria wajahnya. Sedetik, hatinya berbunga. Melihat senyuman Naufal sudah memaknakan segala-galanya.
Share this novel
next