JAM tangan dikerling. Sudah pukul 11.35 pagi. Lebih setengah jam Nadhira terlambat. Ralit sangat mencari kerja, terlajak dia daripada waktu yang dijanjikan. Bergegas dia mencari guru disiplin. Dia menarik nafas lega kala ternampak papan tanda yang dicarinya. Sesudah menenangkan diri yang tercungap-cungap, barulah dia mengetuk pintu.
"Masuk."
Lambat-lambat Nadhira membuka pintu tersebut. "Assalamualaikum... saya nak jumpa Cikgu Khalid," katanya sedikit teragak-agak.
"Masuklah..." pelawa Cikgu Khalid. Telefon di atas meja dicapai. "Helo, cikgu... tolong panggilkan Naufal. Suruh dia masuk bilik saya." sesudah meletak gagang, dia mengambil tempat di sofa yang ada di dalam biliknya
Nadhira duduk di hadapan Cikgu Khalid, tertanya-tanya mengapa dia dipanggil. "Maaf, cikgu... saya terlambat. Tadi saya kerja."
"Tak mengapa. Kamu kakak Naufal, kan?"
Nadhira mengangguk.
"Apa masalah Naufal sebenarnya?"
"Masalah? Masalah apa, cikgu? Saya rasa tak ada apa-apa masalah." Dada Nadhira berdebar tiba-tiba. Ya ALLAH, apa yang Naufal dah buat kat sekolah?
"Di sekolah dia bergaduh dengan murid lain. Dan sejak akhir-akhir ni, saya tengok pelajaran dia makin merosot. Tahun ni dia nak ambil UPSR. Saya tak mahu pelajar yang bagus macam dia hanyut dengan masalah disiplin," terang cikgu Khalid yang bermisai tebal dengan wajah serius.
Bergaduh? Nadhira rasa dadanya bagai hendak pecah.
"Dah banyak kali dia bergaduh. Pengawas dah bagi dia amaran. Tapi kali ni saya tak boleh nak biarkan lagi. Sebab tu saya panggil awak ke sini hari ini."
Luluh hati Nadhira. Dia tidak sangka Naufal berperangai nakal di sekolah. Ya ALLAH....
"Saya perasan dia jadi macam ni sejak masuk darjah 6. Mungkin dia rasa dia dah jadi senior sekolah ni, dia boleh buat apa yang dia suka." Cikgu Khalid senyum sinis sambil tergeleng-geleng. "Saya tak mahu hal ini berlaku lagi. Kalau tak, Naufal akan digantung sekolah," sambungnya lagi.
Cepat-cepat Nadhira menggeleng. "Jangan gantung dia cikgu. Tolonglah, cikgu. Jangan gantung dia. Saya nak dia dapat result yang bagus dalam UPSR. Saya merayu sangat-sangat pada cikgu. Tolonglah bagi Naufal peluang."
"Tak gantung sekolah pun pelajaran dia merosot. Saya rasa dia tak belajar kat rumah. Awak sebagai kakak sepatutnya jaga adik awak ni betul-betul."
Nadhira sekadar mengangguk dan kemudian menunduk. Dia sudah berusaha menjaga Naufal sebaik mungkin. Setiap malam dia memantau adiknya membuat kerja sekolah. Apa lagi yang tidak cukup?
"Saya tahu awak dan Naufal dah tak ada ibu bapa. Tapi itu bukan alasan. Orang lain pun ada yang anak yatim piatu, tapi tak jadi macam dia pun." Cikgu Khalid masih belum puas menyindir.
Kelu lidah Nadhira. Fikirannya sedang berkeliwang memikirkan kebenaran kata-kata Cikgu khalid.
Seketika kemudian muncul Naufal di hadapan pintu bilik bersama seorang guru. Nadhira memandang wajah Naufal dengan rasa yang bercampur aduk. Geram, sakit hati, marah, sedih... semua berbaur.
"masuk, Naufal!" tegas suara cikgu khalid.
Naufal menurut. Wajahnya ditundukkan. Dia memandang lantai. Dia perasan kakaknya sedang merenung ke arahnya tajam tidak berkerlip.
"Naufal, betul kan kamu bergaduh kat sekolah?" soal Cikgu Khalid dengan garang.
Lambat-lambat Naufal mengangguk.
"Dah banyak kali kamu bergaduh, kan?"
Sekali lagi Naufal mengangguk.
Cikgu Khalid memandang Nadhira pula. "Saya tak menganiaya pelajar. kalau dia bersalah, saya mesti hukum. Semalam, saya dah rotan dia sebagai amaran. Tapi kalau dia bergaduh lagi, saya akan gantung persekolahan dia."
"Saya faham, cikgu. Saya minta maaf bagi pihak adik saya. Saya janji, perkara ni takkan berulang lagi. Tolonglah, cikgu. Tolong bagi dia peluang." Nadhira mengenepikan perasaan malunya.
"Ramai yang cakap macam tu. Tapi saya tengok makin teruk jadinya. Budak sekarang ni makin tak dengar cakap. Degil nauzubillah!" Pedas kata-kata cikgu Khalid.
Nadhira kembali merenung Naufal. Membara dadanya menahan geram. Dia perasan Naufal mengerlingnya dengan ekor mata.
TIBA sahaja di rumah, Nadhira terus duduk di kerusi kusyen. Dari sekolah Naufal tadi dia manahan amarah yang membuak-buak di dada. Dalam perjalanan pulang ke rumah pun dia cuba bertahan. Dia tidak mahu marah adiknya itu di hadapan orang lain. "Naufal, duduk sini!"
Naufal yang baru hendak masuk bilik menoleh. "Adik penat, nak tidur."
"Sini! Kaklong nak cakap dengan adik." Nadhira bertegas.
Lambat-lambat Naufal mengatur langkah menghampiri kerusi kusyen. Dia duduk dengan lemah.
Nadhira menarik nafas dalam-dalam. Tangannya yang sejuk terasa menggeletar berhadapan dengan adiknya itu. Pada masa yang sama, dia tidak sampai hati hendak marahkan Naufal. Dia sayangkan adiknya itu. Tetapi apa yang diperkatakan cikgu Khalid membuatkan darahnya mendidih.
"kaklong malu dengan cikgu Khalid! Kaklong malu dapat tahu adik kaklong ni suka bergaduh kat sekolah! kaklong malu!" Suara Nadhira bergetar. Air matanya serta-merta luruh. Selama ini dia gigih bekerja demi menyara Naufal untuk ke sekolah. Tapi Naufal langsung tak hargai pengorbanannya.
Naufal tunduk. Tidak dipandang kakaknya itu.
"kaklong hantar adik ke sekolah suruh belajar, bukan bergaduh, bukan jadi budak nakal. Tahun ni adik nak ambil UPSR. Patutnya adik belajar betul-betul. Ni... cikgu Khalid cakap pelajaran adik makin teruk. Ya ALLAh... kenapa, dik? Adik tahu tak betapa kecewanya kaklong? Kaklong malu dengan cikgu-cikgu sekolah adik. Adik tak fikir masa depan ke? Adik nak selamanya kita hidup susah ke? Kaklong nak adik belajar pandai-pandai. Kemudian jadi orang yang berjaya. Tapi adik buat hati kaklong hancur! "
"Jangan membebellah, kaklong. Bising!" Naufal bangun dengan kasar hingga tertolak kerusi kusyen ke belakang.
"Naufal!" Jerit Nadhira.
Naufal tidak mempedulikan Nadhira. Dia terus menuju ke biliknya. Nadhira bingkas bangun, tidak mahu berlembut lagi dengan Naufal. Pintu bilik yang dihempas Naufal, pantas dipempan Nadhira. Dia menerobos masuk ke dalam bilik adiknya itu dengan dada yang berombak dan muka yang panas menahan marah.
"Tolong hormat kaklong, Naufal! kaklong ni kakak Naufal." Nadhira sudah rasa hendak 'menyinga', namun disabarkan hati.
"Tahu." Naufal malas-malas menjawab.
"kalau tahu, kenapa tak hormat kaklong? Kenapa tak dengar cakap kaklong?"
Naufal menghempaskan diri di atas katil, langsung tidak memandang Nadhira.
"Naufal! Kenapa dengan Naufal ni? kaklong cakap dengan naufal ni. Bukan cakap dengan tunggul!" Nadhira menarik tangan Naufal agar duduk menghadapnya. Marahnya mandidih. "Kalau kaklong cakap, pandanglah muka kaklong!"
Naufal memandang Nadhira sekilas sahaja, kemudian memandang dinding bilik.
"Kenapa Naufal bergaduh kat sekolah? Nak jadi apa? Nak jadi gangster? Nak jadi penyangak? Hah? Rasa bangga ke dapat jadi jahat?"
Soalan Nadhira dibiar tida berjawab.
"Pergi sekolah, belajar elok-elok tak boleh ke? Yang bergaduh, tunjuk lagak kat sekolah... siapa suruh? Kaklong hantar adik pergi sekolah suruh belajar. Susah sangat ke?"
Naufal masih membatu.
Nadhira menarik nafas dalam-dalam, menyabarkan diri agar tidak naik tangan pada adiknya itu. "Kalau lepas ni adik bergaduh lagi kat sekolah, adik akan digantung sekolah. Adik tak risau ke? Tahun ni adik kena ambil UPSR."
"Baguslah. Adik pun malas nak sekolah lagi." Perlahan suara Naufal, namun dapat didengari Nadhira.
Kesabaran Nadhira menipis semula. Dipagut wajah Naufal agar memandangnya. "Kenapa dengan adik ni? Hah?! Kenapa? Adik sedar tak apa yang adik cakap? Adik sedar tak? Cakap macam orang tak ada otak!" Kalau diturutkan kata hati, sudah lama dia menampar muka Naufal.
"Dah tak guna adik sekolah, kaklong. Tak guna!" Naufal menentang berani mata kakaknya.
Pang! Tangan Nadhira spontan melayang ke pipi kiri Naufal. Naufal tertunduk sambil memegang pipinya.
"Apa yang tak guna? Apa?!" tengking Nadhira. Dia nampak mata Naufal berlinangan, membuatkan air matanya turut gugur. Dia sedih kerana telah berkasar dengan Naufal, walhal sebenarnya dia tidak sanggup. Dia sayangkan Naufal lebih daripada dia menyayangi diri sendiri.
"Adik... kaklong kerja bukan setakat nak bagi adik makan dan minum, tapi kaklong nak adik sekolah. Belajar betul-betul. kaklong nak sangat tengok adik dapat keputusan yang bagus dalam UPSR supaya dapat masuk sekolah asrama. Kaklong teringin nak tengok adik masuk U sampai dapat ijazah sekurang-kurangnya. Kaklong nak tengok adik kaklong ni hidup senang." Suara Nadhira berbaur sebak. Dia tidak akan berpeluang mengecapi semua itu. Jadi, dapat melihat Naufal berjaya sudah cukup bermakna baginya.
Dia terduduk di birai katil. Dia menangis sesungguh hati, melepaskan rasa kecewa yang bergumpal-gumpal di jiwa. Beban ini terpaksa ditanggung sendirian.
"Kita dah tak ada abah dan ibu, dik. Kaklong cuma ada adik sorang dalam dunia ni. Adik sorang saja yang kaklong ada." Nadhira bersuara sayu. Sesekali diseka pipinya yang basah.
"Kaklong sayangkan adik. Terlalu sayang. Sebab tu kaklong akan pastikan kaklong salam dan cium adik sebelum adik ke sekolah. kaklong takut tak dapat cium adik lagi kalau... " Dia terdiam menelan sebak yang bergelora dia dada.
"Kaklong takut tak dapat salam dan cium adik lagi andai umur kaklong atau adik tak panjang. Kaklong sayangkan adik lebih daripada diri kaklong sendiri. Tak apa kalau adik tak sayangkan kaklong. tak apa. tapi izinkanlah kaklong salam dan cium adik sebelum adik pergi sekolah. Kaklong takut..." Kata-kata Nadhira terhenti lagi kerana terlalu sebak. Air mata dibiarkan mengalir ke pipi. Diluahkan apa yang dirasakan selama ini.
Tidak sangup dilanda duka yang berlarutan, dia berdiri dan mahu keluar dari situ. Sebaik sahaja hampir di muka pintu, Naufal turun dari katil dan bergegas memeluknya dari belakang sambil teresak-esak. Air matanya makin lebat mengalir. Dibiarkan Naufal memeluknya.
"Adik minta maaf, kaklong. Adik sayangkan kaklong..." Esak Naufal.
Dalam tangisan, Nadhira tersenyum. Gembira mendengar kata-kata Naufal. Gembira apabila tahu dirinya disanyangi adiknya itu. Syukur alhamdulillah...
Dia berpaling menghadap adiknya itu. Dibongkokkan badannya agar mata mereka bertentangan. Dibelai rambut Naufa, sebelum bahu adiknya itu dipengang. "kaklong pun sayangkan adik." Dia menyeka pipi Naufal yang basah.
"Adik malu bila kaklong cium pipi adik depan orang lain. kawan-kawan adik ejek. Diaorang kata adik pondan, tak malu. Dah besar pun nak cium kakak lagi. Dia orang kutuk adik." Naufal bersuara perlahan bersama esakan.
Nadhira melepaskan keluhan panjang. Budak-budak... masih tak matang dalam banyak perkara. "tak apalah. Lepas ni kaklong tak cium pipi adik depan kawan-kawan adik. Okey? Kaklong cium kat rumah je." Ditepuk perlahan bahu Naufal sebelum mahu keluar dari situ.
"Adik tak nak pergi sekolah lagi."
kata-kata itu mambuatkan Nadhira berpaling semula. "Adik..." Dia mengeluh. "Adik kena sekolah. Tolonglah. fikirlah masa depan adik."
"Kawan-kawan kat sekolah ejek adik anak tak ada bapak. Diaorang buli adik, ambil duit adik. Diaorang kata tak ada siapa nak marah sebab adik tak ada bapak. Diaorang ugut akan belasah adik ramai-ramai kalau adik mengadu kat cikgu. Adik geram, adik pukul budak yang ejek adik tu. Adik dah tak boleh sabar lagi," adu Naufal bagaikan merintih.
Sayu hati Nadhira mendengarnya. Dia berlutut di hadapan Naufal. Lama direnung wajah itu sebelum memeluknya erat. Air matanya berderai. Terkenang adiknya yang kelaparan. Fikirnya, duit belanja Naufal tidak cukup. Apabila diberi wang belanja tambahan, Naufal menolak. Patutlah...
Share this novel