Series
12737
SEGALA bahan keperluan yang telah pun siap dipilih diletakkan di dalam troli yang sedang disorong oleh si kawan. Meliar matanya memandang sekeliling rak-rak yang menempatkan segala jenis bahan-bahan masakan dan keperluan harian.
Nuri hanya mengikuti langkah Janna yang telah terlebih dahulu ke depan. Troli yang hampir penuh isinya dipandang sekilas.
“Janna, ada lagi tak yang nak dibeli?” Soalannya itu membuatkan langkah sahabatnya terhenti.
Janna berdiri di sisi troli. Buat seketika dia diam menyepi melihat ke dalam isi troli. Bibir dikemamkan seketika.
“Tak ada lagi kut…” balas Janna, ringkas.
Nuri menganggukkan kepalanya lalu troli kembali disorong mengikuti langkah si kawan di hadapan.
“Tiba-tiba kan… aku teringatkan si Taufiq tulah,” kata Nuri tiba-tiba membuatkan langkah Janna mati. Dia segera berpaling memandang wajah si kawan di belakangnya.
“Dah kenapa pulak kau teringatkan dia?” Soalnya bersama dahi yang berkerut.
“Kan aku cakap tadi, tiba-tiba. Aku dapat rasa, yang dia akan muncul depan kita nanti.”
Janna menggelengkan kepalanya beberapa kali. Langkah kembali dibuka menuju ke kaunter pembayaran.
“Janna… Aku dapat bayangkan kau dengan dia keluar macam ni. Beli barang sama-sama… Mesti sweet kan?” Tersenyum Nuri ketika itu.
Janna melepaskan nafas.
“Nuri, dah-dah lah tu cakap tentang dia. Aku tak sukalah. Orang macam dia tu boleh dapat orang yang lebih baik dari aku ni. Sama macam si Aidan tu,” jawab Janna bernada sedikit bengang. Nuri mencebirkan bibirnya lalu membantu si kawan yang sedang mengangkat keluar bahan-bahan dan diletakkan di atas meja kaunter itu.
“Janna, tak semua lelaki sama macam Aidan tu. Kalau kau terus macam ni, terus nak cop semua lelaki kaki buaya, tak kahwinlah kau sampai ke tua. Kau nak ke, huh? Membujang? Hidup sendiri? Kalau aku mati nanti? Siapa nak jaga kau? Siapa yang nak temankan kau kalau bukan suami kau?” Panjang lebar Nuri berbicara. Niatnya hanya satu. Dia tidak mahu hidup kawannya itu sunyi.
“Nuri. Please lah, aku tak nak cakap pasal hal ni. Kau pun satu. Tak perlulah nak bangkitkan soal mati semua. Aku tak sukalah.”
“Semua orang akan mati, Janna. Cuma kita je tak tahu bila. Buka mata kau, Janna. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” nasihat Nuri. Dia berdiri di hujung kaunter menunggu pekerja kaunter itu siap membungkuskan barang mereka.
Janna terdiam. Omongan Nuri bagaikan terus menusuk ke dalam tangkai hatinya. Membuatkan dia tersedar akan satu perkara.
Tidak patut dia menilai orang atas kesalahan orang lain.
Tapi… sudah bersediakah hatinya untuk kembali menerima insan yang bergelar kekasih hati?
“Janna.”
Dia tersedar dari lamunannya sebentar tadi. Jumlah harga yang terpapar pada skrin komputer itu dikerling lalu jumlah itu dibayar menggunakan wang ringgit. Senyuman diukir buat pekerja itu sebelum dia membuka langkah diikuti Nuri dari belakang.
“Kau ada nak beli apa-apa tak?” tanya Janna tanpa berpaling memandang si kawan.
“Tak ada. Tapi aku nak pergi tandas kejap. Kau bawaklah barang-barang pergi ke kereta dulu. Nanti aku datang,” kata Nuri lalu terus saja membuka langkah menuju ke tandas.
Janna mengambil alih tugas kawannya itu. Troli yang penuh diisi barang-barangan tadi disorong keluar dari bangunan supermall itu. Sedang sibuk dia memasukkan barangan ke dalam butt kereta, sebuah motorsikal laju meluru ke arahnya lalu beg silang yang tergantung pada bahunya ditarik kasar. Dia segera berpaling.
“Eh apa ni! Lepaslah! Tolong!” jerit Janna sambil menarik beg silangnya yang masih berada di tangan lelaki yang menjadi pembonceng motorsikal itu.
“Lepas!” Lelaki itu segera mengeluarkan sebilah pisau lipat lalu dileretkan pada lengan gadis itu.
Janna mengaduh kesakitan dan ketika itu tubuhnya terus ditolak kasar membuatkan dia jatuh terduduk di tepi keretanya itu. Lengannya yang berdarah dan terasa amat pedih itu dipandang.
“Hoi!”
Entah dari mana arah suara itu, tidak dia ketahui. Rasa sakitnya lebih menguasai diri ketika itu. Apa yang dia tahu, orang yang datang menyelit di antara mereka itu sudah berjaya merebut beg silangnya dari dua orang lelaki yang ingin meragutnya.
“Argh! Tak guna! Siap korang! Korang takkan terlepas!” marah si dia.
“Janna… awak okey?”
Soalan lelaki itu membuatkan Janna mendongakkan wajah memandang gerangan yang telah menjadi penyelamatnya. Matanya terbuka luas dan bibirnya ternganga kecil.
“Awak?” soalnya tidak percaya.
Lelaki itu merendahkan tubuhnya, meninggung di hadapannya. Tangannya yang tercedera itu ditarik lalu dibelek oleh si dia.
“Awak cedera ni. Jom saya rawat. Ada kotak first aid?”
Janna diam. Sisi wajah lelaki itu direnung lama. Seolah tidak percaya bahawa lelaki itu yang menjadi penyelamatnya sebentar tadi.
“Janna,” panggil Taufiq.
Dia tersedar. Segera dia memalingkan wajahnya ke arah lain.
“Ada dalam kereta,” balasnya, ringkas.
“Awak boleh bangun?”
“Boleh!” balasnya laju. Dengan perlahan dia cuba mendirikan tubuhnya, namun rasa sakit di kaki membataskan pergerakannya lalu dia kembali jatuh terduduk. Berkerut-kerut dahinya menahan rasa sakit di kakinya. Baru dia sedar yang kakinya itu terseliuh.
“Aduh…”
Taufiq yang sudah tegak berdiri kembali meninggung di hadapan Janna. Kaki gadis itu dikerling seketika.
“Terseliuh?”
Janna hanya menganggukkan kepalanya, mengiyakan.
“Mari saya tolong,” tangan gadis itu dipegang lalu ditarik bangun secara perlahan-lahan. Tubuh itu dipimpin mendekati pintu kereta dibahagian penumpang.
“Duduk ya. Slow-slow,” pesan Taufiq.
Janna akur. Perlahan punggung dilabuhkan pada kerusi kereta itu. Wajah lelaki itu kembali dipandang.
“Mana first aid?”
“Dalam dashboard,” balas Janna bernada perlahan.
Taufiq segera membuka dashboard lalu kotak kecil itu dibawa keluar. Dia lalu meninggung di tepi gadis itu. Janna hanya membisu. Membiarkan saja lelaki itu merawat luka di lengannya akibat tergores pisau tadi. Sesekali dia mengaduh perlahan.
“Datang sorang je ke?” soal Taufiq setelah siap membalut lengan gadis itu. Dia berdiri di sisi pintu kereta sambil anak mata tepat merenung wajah gadis itu.
Janna menggelengkan kepalanya sekali. “Dengan Nuri. Tapi dia pergi ke tandas.”
Taufiq mengangguk faham.
“Ni beg awak. Tentang peragut tadi, nanti saya uruskan. Lain kali awak kena hati-hati,” pesannya ikhlas.
Janna terdiam. Wajah lelaki itu direnung. Entah mengapa ayat yang terlahir dari dua ulas bibir lelaki itu begitu mengusik setangkai hatinya. Terlalu ikhlas lelaki itu membantunya. Tidak terlihat seolah sebuah lakonan yang dicipta.
“Janna! Kau kenapa?”
Suara itu menyedarkannya dari terus merenung wajah Taufiq. Segera kepala dipaling memandang wajah si kawan yang jelas terbias riak cemas.
“Dia hampir kena ragut, tapi jangan risau. Saya sempat selamatkan dia. Tapi peragut tu terlepas,” jawab Taufiq apabila dilihat Janna langsung tiada tanda-tanda untuk membalas pertanyaan kawannya itu.
“What? Seriously! Janna! Hey, kau okey tak ni?” cemas Nuri. Wajah sahabatnya itu dibelek-belek.
“Aku okeylah, Nuri. Lengan dengan telapak tangan je luka sikit. Lepastu kaki terseliuh. Esok-esok sihatlah.”
“Ya Allah… Alhamdulillah… Taufiq, terima kasih selamatkan kawan saya. Kalau awak tak ada tadi, saya tak tahulah apa jadi dengan kawan saya ni,” kata Nuri lalu melepaskan keluhan kecil.
Taufiq tersenyum.
“Tak apalah. Kebetulan saya datang sini sebab mama saya suruh belikan barang. Lepastu saya nampak Janna. Kalau orang lain kat tempat saya pun, saya pasti dia akan buat perkara yang sama.”
“Baiknya awak ni kan… Untung siapa yang jadi isteri awak nanti,” kata Nuri.
Janna menjeling sekilas wajah si kawan. Tahu maksud disebalik kata-kata kawannya itu ditujukan khas buat dirinya.
Taufiq hanya tertawa.
“Tak ada lah… Oh ya… Saya pergi dululah ya, drive balik hati-hati tau.” Senyuman manis diukir buat kedua-dua orang gadis itu.
“Terima kasih, Taufiq,” ucap Janna, membalas senyuman lelaki itu.
“Sama-sama. Saya pergi dulu ya.”
Kelibat lelaki itu dihantar menggunakan ekor mata sehingga tidak lagi kelihatan susuk tubuh lelaki itu yang sudah menghilang ke dalam bangunan. Dia menghela nafas perlahan. Sedar akan pandangan si kawan, segera dia memandang wajah Nuri. Berkerut dahinya.
“Apa?” soalnya.
“Kan betul aku cakap tadi!”
“Cakap apa?” terkebil-kebil matanya memandang wajah sahabat baiknya itu.
“Hish kau ni… Yang aku cakap, Taufiq akan muncul depan kita tulah! Nampak sangat kau dan dia berjodoh, kan.” Tersenyum Nuri.
“Hish… Kenapa pula aku? Kau yang dapat rasa dia akan muncul. Entah-entah dia tu jodoh kau!” balas Janna bersama satu jelingan tajam.
“Haih kau ni… Jangan menidakkan… Manalah tau sebenarnya bakal imam kau tu bernama Achbar Muhammad Taufiq! Haa, kau jugak yang untung,” kata-katanya itu langsung tidak diendahkan oleh si kawan. Dia melepaskan tawa sebelum menghampiri troli yang masih mempunyai isi.
Janna pula terfikirkan omongan sahabatnya.
Adakah ini petandanya? Adakah ketika ini dia sedang berhadapan dengan bakal imamnya?
Thank you sudi singgah! Sayang korang muwah muwah •_^
Share this novel