BAB 18 MC

Romance Series 12737

PELAMIN kecil yang indah terhias di tengah ruangan rumah banglo itu dipandang. Senyumannya memekar tatkala melihat jari manis milik si kakak tersarung sebentuk cincin bertahtakan sebutir berlian. Kini sah lah sudah kakaknya itu bergelar tunangan kepada seorang lelaki bernama Rayyan D’zikri. Tunang kepada seorang kapten kapal terbang.

Kamera di tangan diangkat lalu dirapatkan ke matanya. Mengintai dari lensa kamera. Jarinya ligat menekan butang tangkap dan cahaya dari kamera Cononnya itu menyerlah keluar. Sekejap langkah diatur ke kiri, sekejap ke kanan, mencari posisi terbaik.

Majlis pertunangan itu tidaklah dihadiri oleh ramai orang. Hanya didatangi oleh keluarga belah Rayyan serta sahabat handai yang rapat sahaja. Bak kata orang dahulu kala, sorokkan pertunangan, hebahkan perkahwinan.

Setengah jam sudah pun berlalu. Seorang demi seorang tetamu yang datang bertandang memeriahkan majlis pada hari itu mulai pulang ke kediaman masing-masing. Usai semua tetamu pulang, Taufiq melabuhkan punggung di atas pelamin kecil yang diduduki oleh si kakak tadi. Satu per satu gambar yang telah diabadikan di dalam kameranya itu kembali dilihat. Bibir menyungging senyum.

“Baby… tengok gambar.”

Segera dia menolehkan wajah memandang gadis yang masih cantik berbusana baju kurung moden berwarna krim itu. Wajah yang sedia cantik, semakin berseri dek solekan tipis yang dihias pada wajahnya. Rambut panjang milik gadis itu digaya ala-ala bridestyle.

“Ni…” Kamera di tangan diserahkan kepada si kakak.

Thaniha menyambutnya dengan senyuman manis. Bebola matanya ralit merenung setiap gambar yang sudah ditangkap oleh si adik.

Memang tidak dinafikan yang adiknya itu memang pro dalam dunia fotografi. Setiap gambar yang diambil, jarang sekali tidak mendapat pujian dari orang ramai.

“Cantik… Pandai Baby tangkap,” pujinya. Kamera itu dihulurkan semula kepada Taufiq.

Taufiq hanya tersenyum. Kameranya diambil dari tangan si kakak. “Jom tangkap gambar. Tadi ramai orang. Tak sempat nak tangkap gambar satu family. Oppa mana? Oppa! Tangkap gambar! Hish dia ni! Sibuk je dengan telefon!”

Taliq yang sedang ralit berhubungan dengan Shaza di aplikasi WhatsApp terkejut dek suara si adik yang bagaikan mahu menggegarkan seisi rumah.

“Ya! Sekejap!” sahutnya. Langkah pantas diatur mendekati pelamin berwarna putih gabungan warna purple itu.

“Mama! Papa! Sini! Kita tangkap gambar sama-sama.”

Puan Maryam dan Encik Aznil menganggukkan kepala mereka. Segera mereka mendekati si anak. Mereka semua sudah sedia di posisi masing-masing. Taufiq berlalu ke biliknya lalu camera stand holder dibawa turun dan diletakkan di hadapan pelamin.

Kameranya dilaraskan beberapa kali. Seketika dia tersenyum. “Okey… Ready ya…”

Masing-masing sudah tersenyum. Taliq duduk di sisi kiri si kakak manakala kedua ibu bapanya berdiri di belakang.

“Okey!” Butang tangkap ditekan lalu dengan laju Taufiq duduk di sisi kanan si kakak. Tangan gadis itu digenggam. Begitu juga dengan Taliq.

Dalam kiraan 3 detik, cahaya mula keluar dari kamera itu. Beberapa kali perkara itu diulang sehinggalah mereka puas bergambar.

“Okey siap. Nanti Baby letak dalam album,” katanya. Kamera yang berada di atas camera stand holder tadi diambil.

“Okey! Terima kasih Baby ku sayang…” ucap Thaniha seraya melorekkan senyuman di bibirnya.

Taufiq hanya mencebirkan bibirnya. Langkah dihayun mengira anak tangga menuju ke bilik. Thaniha juga turut naik ke biliknya untuk menyalin pakaiannya. Taliq sudah menyambung kembali chattingnya yang tertangguh tadi.

  

DUA hari telah pun berlalu. Sudah dua hari juga dia tidak bertemu dengan Janna dek kesibukannya di studio sejak kebelakangan ini. Pintu kafe itu direnung seketika sebelum tangannya naik menolak daun pintu kaca itu.

Senyumannya koyak tatkala terpandang akan sesusuk tubuh yang sedang berdiri di kaunter. Wajah itu sama seperti kebiasannya. Ayu. Manis. Cantik. Comel di matanya.

“Assalammualaikum…” sapanya.

Janna segera menaikkan bebola matanya memandang si empunya suara yang memberi salam sebentar tadi. Seketika dia tergamam bila wajah yang sudah dua hari tidak bertemu itu menyapa kornea mata. Suara gelak tawa dan perbualan pengunjung yang datang berkunjung ke kafenya bagaikan lenyap buat seketika.

Lama anak matanya dan anak mata milik lelaki itu bertaut. Bagaikan ada satu renjatan halus yang mengena hatinya. Terus lensa mata di arahkan ke arah lain. Kain putih di tangannya dilipat.

“Waalaikumussalam…” balasnya tanpa mendongakkan wajah.

“Nak pesan apa? Macam biasa?” soal Janna.

Taufiq menganggukkan kepalanya beberapa kali.

“Silakan duduk dulu ya,” arahannya hanya dituruti tanpa sebarang bantahan dari Taufiq. Dia segera menitipkan pesanan tadi kepada pekerjanya.

“Eh… Taufiq!”

Taufiq yang baru melabuhkan punggung di atas kerusi, segera memusingkan kepala ke belakang. Wajah Nuri yang tersenyum manis itu turut dibalas dengan senyuman.

“Hai Nuri… Duduklah,” pelawanya.

Nuri terus mengangguk setuju. Kerusi yang terletak bertentangan dengan lelaki itu ditarik lalu punggung dihenyakkan.

“Dua hari tak nampak. Busy sangat ke?” soal Nuri membuka perbualan mereka.

“Busy sikit je.” Mata diliarkan memandang sekeliling kafe yang dirasakan agak berbeza daripada biasa. Berkerut dahinya tatkala terpandang akan satu sudut yang mempunyai tiga bangku, mic holder dan juga alat pembesar suara. Tergantung juga banner yang tertulis ‘Karaoke’.

“Sejak bila ada tu?” soalnya lalu lensa mata tunak merenung wajah Nuri.

Nuri menjongketkan keningnya. Sekilas anak matanya di arahkan pada tempat yang ditunjukkan oleh Taufiq. Bibirnya mengukir senyum.

“Tengoklah kejap lagi. Baru nak rasmi tu,” balasnya. Memang dia sengaja datang ke kafe ini semata-mata untuk melihat persembahan kawannya sebentar saja lagi.

Taufiq tidak membalas apa-apa lagi kemudiannya. Dia hanya diam. Sesekali lensa mata di arahkan memandang ke arah tadi. Iced Karamel Latte dan Susuka cupcake yang telah terhidang di hadapannya hanya dibiarkan buat seketika.

“Dah nak mula,” kata Nuri, teruja.

Taufiq memaku pandang ke arah tadi. Terlihat jelas dari tempat yang sedang dia duduki, Janna serta dua orang lelaki berada di situ. Kedua-dua orang lelaki itu duduk di belakang Janna sambil sibuk membetulkan alat musik yang bakal digunakan sebentar lagi.

Lama matanya merenung Janna yang sedang leka berbual dengan kedua-dua orang lelaki itu. Tidak lama kemudian, petikan gitar yang dimainkan oleh salah seorang lelaki itu mulai kedengaran sekali gus menarik perhatian semua pelanggan.

Suara milik Janna mulai kedengaran mengalunkan merdu lagu Pernah nyanyian dari Azmi.

Ada apa kau bertemu dia?
Mungkinkah kau ingin bagi cintamu?
Jika memang kau bagi cintamu,
Masih pantaskah ku jaga hatimu?

Ingatkah…

Semua kata yang kau ucap dulu?
Kau berjanji… Untuk setia…
Kini ku tanya ke mana… Janji itu kau buat?

Pernah sakit…
Tapi tak pernah sesakit ini…
Karna pernah cinta,
Tapi tak pernah sedalam ini.

Aku ingin…
Cintamu hanya untuk diriku.
Memang ku tak rela…
Kau bagi untuk hati yang lain…

Buat beberapa saat, Taufiq hanyut dek suara merdu itu. Entah mengapa, dia rasa nyanyian itu terlampau dekat dengan diri gadis itu. Terlalu feeling baginya. Adakah lirik dari lagu itu pernah terjadi dalam hidup gadis itu sendiri?

“Janna pernah disakiti.”

Suara Nuri kedengaran. Dia mengalihkan tumpuannya memandang ke arah gadis itu. Berkerut dahinya. Belum sempat dia menyoal dengan lebih dalam, gadis itu sudah terlebih dahulu menyambung.

“Dia pernah couple dengan seorang lelaki ni. Aidan namanya. 3 tahun couple and up, lelaki tu kantoi curang. Janna frust sangat. Susah nak move on. Yelah… first love kan. Bukan mudah nak lupakan,” kata Nuri tanpa mengalihkan sedikit pun bebola matanya dari terus menatap si kawan yang sedang menyanyi dengan penuh perasaan.

Taufiq mengangguk faham. Barulah dia mengerti mengapa lagu itu terlampau dinyanyikan dengan sepenuh hati. Rupanya ada kisah silam yang pernah terjadi sama seperti lirik lagu itu. Dia sambung menatap wajah Janna yang baru saja menamatkan nyanyiannya.

Senyuman gadis itu manis. Namun di sebalik manisnya senyuman itu, pada suatu ketika dahulu hatinya pernah dilukai oleh insan yang bergelar kekasih. Walaupun dirinya tidak pernah bercinta, namun dia faham, hancurnya cinta. Retaknya setia. Gugurnya kepercayaan. Sakit. Teramatlah sakit.

Namun gadis itu kuat. Kuat sangat. Sehingga dia mampu berdiri semula setelah segala apa yang dikorbankan musnah dengan sekelip mata. Sesungguhnya wanita yang berjaya bangkit setelah disakiti itu adalah wanita yang hebat.

“Bila kau sampai ni Nuri?”

Entah bila gadis itu sudah tercegat di hujung meja, dia sendiri tidak sedar. Wajah Janna direnung dalam.

“Tadi. Sebelum kau mula nyanyi. Nyanyian kau memang power beb,” puji Nuri lalu disambut tawa dari Janna.

“Sedap suara awak, Janna,” puji Taufiq pula.

Tawa Janna yang tadinya rancak, perlahan mulai reda. Lama anak mata mereka saling bertaut pandang. Cepat-cepat gadis itu menundukkan pandangannya.

Taufiq hanya tersenyum.

“Terima kasih.” Perlahan saja nada suaranya itu namun dia yakin, ucapannya seketika tadi didengari jelas oleh Taufiq.

“Kalau tak ada apa-apa lagi… saya pergi dululah ya. Nuri kau nak apa-apa tak?” soalnya seraya memandang seketika wajah sahabatnya itu. Gadis itu hanya menggelengkan kepalanya. Tanpa melengahkan masa lagi, dia terus membuka langkah namun entah bila lelaki tadi sudah berdiri tepat di hadapannya.

“Awak nak apa?” soalnya.

“Saya suka awak,” balas Taufiq. Matanya tepat merenung wajah gadis itu yang jelas terbias riak kejutan. Nuri yang menjadi saksi luahannya tadi turut tergamam seketika sebelum melorekkan senyuman. 

“Apa awak mengarut ni, Taufiq?” soal Janna seolah tidak percaya akan luahan tadi lahir dari dua ulas bibir milik lelaki itu. Bibir milik Achbar Muhammad Taufiq! Fikirnya lelaki itu hanya bercanda.

“Saya cintakan awak, Janna.”

“No. Mana boleh. Kita tak sama. Kita baru jumpa. How can you said you love me?” Lama dia merenung wajah lelaki yang baru saja meluahkan perasaan terhadapnya. Manusia yang berada disekeliling mereka bagaikan lenyap buat seketika.

Taufiq membalas renungan gadis itu, lama. “Sebab saya tahu, hati saya memang terpaut dengan awak. Sejak pertemuan pertama kita lagi. Saya dah mula sukakan awak.”

“No. No. Understood?”

“Janna, beri saya peluang. Saya ikhlas cintakan awak.”

Janna menggelengkan kepalanya. Tatapan anak mata lelaki itu dibalas dengan pandangan yang tajam.

“Jangan ganggu saya. Saya tak suka awak. Titik!” Tanpa berpaling buat kali kedua, dia terus menghayun langkah meninggalkan kedua-dua insan itu. Tegang wajahnya. Jelas riak kemarahan diwajah yang selama ini sentiasa ayu dan manis.

Taufiq menghela nafas ringan. Wajahnya diraup. Rambut yang terjuntai di dahi disingkapkan ke belakang. Kelopak mata dirapatkan buat seketika.

“Sabarlah… Janna terkejut je tu. Dia ingat awak main-main dulu.”

Mata kembali dibuka. Seraut wajah itu dipandang. “Salah ke saya nak mencintai dia?”

“Tak. Tak salah. Tapi awak kena ingat. Dulu dia pernah dikecewakan.”

“Saya dengan lelaki yang kecewakan dia berbeza. Kitorang tak sama,” balas Taufiq. Punggung dihenyakkan di kerusi tadi. Menu yang terhidang tak berusik itu dipandang sepi tanpa perasaan.

“Ya. Memang korang berdua berbeza. Bagai langit dengan bumi. Tapi kena ingat. Hati bila dah hancur masih tinggalkan parut kekal. Seolah awak pecahkan cermin. Mungkin awak boleh cantumkan semula. Tapi, adakah cermin itu akan sama macam sebelumnya? Takkan? Macam tu jugak dengan Janna. Dia jadi macam tu sebab dia tak nak hati dia dilukai lagi. Dia takut untuk hadapi rasa sakitnya semua yang pernah dia rasai dulu,” ujar Nuri panjang lebar.

Taufiq terdiam. Bicara Nuri sebentar tadi dihadam satu per satu. Ada benarnya kata gadis itu. Luka luaran masih boleh dirawat dan akhirnya sembuh. Tapi kalau luka di hati, meskipun sembuh, tetap akan meninggalkan parut kekal.

Nafas dihela perlahan. Wajah gadis itu direnung dalam. “Awak rasa, hati Janna akan terbuka tak untuk saya nanti?” soalnya.

Nuri senyum.

“Kalau awak betul-betul ikhlas cintakan dia, awak akan terus cuba sampai dapat. Kalau ada jodoh, takkan ke mana. Good luck, Taufiq. Saya doakan yang terbaik untuk awak.”

Taufiq tersenyum lalu kepala diangguk sekali. Kalau ada jodoh takkan ke mana! Cuba dan terus mencuba!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience