BAB 13 MC

Romance Series 12737

TAUFIQ meletakkan kamera DSLR miliknya di atas meja. Senaman kecil dilakukan bagi meredakan otot-otot yang terasa tegang dek tugasannya yang amat teliti dalam membersihkan lensa kameranya sebentar tadi.

Laptop di hadapannya dibuka lalu tetikus digerakkan ke kiri dan ke kanan berulang kali. Perlahan bibirnya melengkung senyum tatkala tiba-tiba saja seraut wajah gadis itu melintas di minda.

“Rindunya kat dia…” gumamnya perlahan.

Seketika dia termenung sebelum lamunannya itu dicantas dek deringan nada pendek dari telefon bimbitnya. Pantas tangannya mencapai telefon itu lalu notifikasi WhatsApp ditekan. Nama Nuri naik di nombor pertama chatnya. Tanpa melengahkan masa, segera nama itu ditekan lalu pesanan ringkas dari gadis itu dibaca.

Nuri

Harini Janna plan nak ke rumah anak-anak yatim. Tu alamatnya. Bolehlah lepaskan rindu, kan…

Taufiq tertawa kecil usai saja membaca pesanan ringkas sahabatnya itu. Tak sia-sia dia memberi nombor telefonnya kepada gadis itu agar dia dengan mudahnya boleh mencari info tentang gadis yang dicintainya.

Tanpa membuang masa, dia segera bangun dari duduknya lalu menukar pakaiannya kepada jeans biru gelap dan t-shirt berwarna kuning susu. Kamera kesayangan dimasukkan ke dalam satu beg khas lalu digantungkan ke bahu. Sekilas, pandangan di hala ke cermin meja solek. Dia mengukirkan senyum sebelum melangkah keluar dari kamarnya.

 

KERETA diletak cantik ditempat parkir kereta yang telah disediakan sebelum perlahan dia memboloskan diri keluar dari dalam perut kereta. Sejurus melihat empat orang kanak-kanak yang sedang menantinya di muka pintu rumah, senyumannya serta merta melebar.

“Mama Janna!” jerit kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Alif. Gembira si kecil itu melihat gadis itu hadir ke rumah anak-anak yatim setelah sekian lama tidak menjenguk mereka semua. Janna melemparkan satu senyuman manis buat si kecil yang sudah pun menantinya di muka pintu.

“Mama datang! Yeay!” jerit seorang kanak-kanak perempuan bernama Una pula.

“Anak-anak mama sihat?”

“Sihat mama! Mama kenapa lama tak datang sini?” soal Omar. Muncung bibirnya memandang ke arah Janna. Janna menyambutnya dengan tawa. Kepala si kecil itu dibelai penuh kasih.

“Sorry sayang… Mama busy sikit. Tu yang tak sempat datang menjenguk. But, walaupun mama busy, mama tak pernah lupa anak-anak mama ni.”

“Kitorang rindu mama…” serentak mereka berempat memeluk tubuh Janna dengan erat.

“Mama pun rindu dengan anak-anak mama ni. Dah-dah sekarang, kita masuk dalam ya? Nek mi mana?” tangan si kecil itu dipimpin masuk ke dalam rumah itu.

“Eh Janna… Bila sampai ni?” soal Puan Khadijah. Senyuman di ukir buat anak kepada sahabat baiknya itu. Janna turut membalas senyuman dari wanita itu. Tangan Puan Khadijah disalam lalu dikucup lembut.

“Janna baru je sampai ummi. Maafkan Janna sebab dah lama tak menjenguk ummi dengan anak-anak kat sini. Janna sibuk sangat. Kafe tu banyak yang perlu diberi perhatian,” balas Janna. Wajah Puan Khadijah ditatap lembut. Wanita itu telah dianggap seperti ibunya sediri. Rasa kasihnya terhadap wanita itu tidak terbelah bahagi.

Puan Khadijah tersenyum lantas menganggukkan kepalanya. “Nuri mana? Tak datang sama?”

“Nuri kejap lagi dia sampai. Dia pergi beli barang kejap,” balas Janna. Rambut Elisya dibelai lembut. Si kecil itu yang paling muda dan yang paling manja dari yang lain.

Matanya meliar seketika memandang kawasan sekeliling. Ada yang masih seronok bermain. Tak kurang juga ada yang sedang tekun belajar bersama rakan-rakan. Rumah itu menampung kanak-kanak berusia seawal 5 tahun sehingga 18 tahun. Kawasan rumah itu tidaklah terlalu besar, namun cukup untuk menampung jumlah kanak-kanak serta remaja yang menetap di situ. Remaja lelaki serta kanak-kanak lelaki diletakkan di asrama Iskandar manakala remaja serta kanak-kanak perempuan pula diletakkan di blok asrama Puteri yang terletak tidak jauh dari asrama Iskandar.

Bunyi orang memberi salam di muka pintu mematikan lamunannya yang sempat bertandang. Segera dia menoleh memandang ke arah muka pintu.

“Ibu Nuri!” jerit Elisya, ceria.

“Ya sayang…” tubuh kecil itu didukung lalu langkah diatur mendekati si kawan.

“Ummi sihat?” tangan wanita tua itu disalam lalu dikucup. Senyuman diukir di bibirnya yang beroleskan liptint.

Puan Khadijah tersenyum lalu menganggukkan kepalanya sekali.

“Jom kita ke dapur. Kita boleh masak-masak,” kata-kata Puan Khadijah disambut anggukan dari mereka berdua. Baru langkah mahu dibuka, suara seorang lelaki memberi salam di muka pintu menarik perhatian mereka semua. Si kecil yang juga tadinya mahu beredar termati langkah.

“Waalaikumussalam…” balas Puan Khadijah dan Nuri serentak lalu diikuti dengan keempat-empat orang kanak-kanak itu. Hanya Janna yang diam tak berkutik.

Dia terdiam kaku. Membulat besar matanya melihat kehadiran lelaki itu di situ. Entah dari mana lelaki itu tahu tentang rumah anak-anak yatim itu. Tiba-tiba pandangannya dihala ke kawan baiknya yang berdiri di sisi. Mata sengaja dikecilkan seolah menagih jawapan dari gadis itu namun, gadis itu hanya mengoyakkan sengih bersama muka yang sengaja dibuat innocent.

“Ya? Kamu cari siapa?” soal Puan Khadijah seraya mengerutkan dahinya, hairan.

Taufiq melemparkan senyuman dahulu sebelum memberitahu dia adalah rakan kepada Janna dan Nuri. Puan Khadijah tidak bertanya lebih lanjut. Dia hanya tersenyum senang dan mengalu-alu kan lelaki itu masuk ke dalam.

Janna hanya memandang susuk tubuh Taufiq dan ummi angkatnya itu sehinggalah mereka lesap di sebalik tembok yang memisahkan ruang dapur dan ruang tamu. Kini tinggal lah dia dan juga si kawan. Si kecil tadi sudah duduk bermain di suatu sudut.

Lensa mata dipaku pada wajah si kawan. Kening dijongket tinggi bersama tangan yang dibawa bersilang ke dada.

Nuri terkebil-kebil seketika sebelum menghamburkan tawa yang jelas dibuat-buat. “Nampak sangat berjodoh korang ni kan…” 

“Kau jangan, Nuri. Mana mungkin dia tahu tentang rumah ni kalau kau sendiri yang tak bukak mulut tentang hal ni? Dahlah dia datang masa kita pun ada kat sini.”

“Manalah aku tahu. Kalau dah jodoh, tak ke mana kan. Anggaplah ni semua aturan Allah.” Nuri tertawa sebelum langkah diatur ke dapur.

Janna mendengus ringan. Tangan dikepal menjadi penumbuk. Semakin dia cuba lari dari lelaki itu, semakin kerap dia berjumpa dengan lelaki itu.

Atau betul kata Nuri tadi?

Jodoh aku?

Aturan Allah?

Atau hanya kebetulan yang tidak disengajakan?

 

PETANG telah pun menjelma tiba. Mereka bertiga sama-sama melangkah keluar dari rumah itu diikuti dengan Puan Khadijah serta kanak-kanak kecil tadi. Riak muram jelas terbias di wajah si kecil itu semua.

“Hati-hati balik tu ya. Drive elok-elok.” Pesanan Puan Khadijah disambut dengan anggukan dari Taufiq, Janna dan juga Nuri.

“Bye-bye Mama Janna… Bye-bye Mama Nuri… Bye-bye uncle,” lambaian penuh kesedihan diberi.

“Mama Janna…”

Janna lekatkan pandangan pada Elisya. Si kecil paling manja dengannya. Tubuh itu ditarik lalu dia mencangkung di hadapan kanak-kanak itu. Air mata Elisya yang tumpah membasahi pipi diseka lembut.

“Sayang mama… Janganlah nangis. Mama janji nanti mama datang balik. Elisya duduk sini dengan abang-abang kakak-kakak dengan nek mi. Okey sayang? Jangan nangis,” pujuk Janna lembut. Cuba menenangkan si kecil itu.

Taufiq yang memerhati terus melakarkan senyuman kecil. Sungguh hatinya tersentuh akan kelembutan gadis itu dalam melayani karenah kanak-kanak di sini. Memang tak salah dia memilih calon isteri.

“Mama janji tau… Nanti mama datang lagi… Nanti Elisya rindu mama…” bicara si kecil itu diselang dengan bunyi halus tangisannya.

Janna ukir senyum sebelum tubuh itu dibawa masuk ke dalam pelukannya. Rambut kanak-kanak perempuan itu diusap penuh kasih. “Mama janji, mama akan datang lagi. Nanti bila mama datang sini, mama bawak Elisya dengan yang lain jalan-jalan. Kita keluar pergi taman, tengok wayang… Suka?”

Yang lain sudah tersenyum. Tidak sabar menanti hari itu tiba.

“Suka. Okey mama… Elisya tunggu mama.”

“Good girl,” sebuah ciuman didaratkan di dahi si kecil itu sebelum dia kembali menegakkan tubuhnya. Pandangan di hala ke arah Taufiq. Buat beberapa detik, anak mata mereka saling membalas renungan.

Cepat-cepat Janna melarikan anak matanya memandang ke arah Puan Khadijah. Senyuman manis menghiasi wajahnya. Tangan wanita itu ditarik lalu dikucup lembut.

“Janna balik dulu ya ummi. Ummi jaga diri. Apa-apa call Janna.”

Puan Khadijah senyum. Kepala diangguk sebagai jawapan.

“Yelah. Kirim salam untuk ami dan abi kamu,” pesannya disambut anggukan dari gadis itu.

“Nuri pun balik dulu ya ummi,” tangan wanita itu disalam sebelum dia berlalu ke arah keretanya. Janna turun berlalu menghampiri keretanya. Sempat satu jelingan tajam diberi kepada si kawan.

Dia tahu sangat yang kawannya itulah punca kehadiran lelaki itu di sini hari ini. Dan hatinya sungguh berasa geram dengan gadis itu yang hanya menayang wajah seolah-olah tidak bersalah.

“Taufiq pun balik dulu ya ummi,” pamit Taufiq bersama senyuman manis.

Puan Khadijah membalas senyum. Matanya menghantar pemergian satu persatu kereta itu keluar dari perkarangan rumah sehingga lesap dari pandangan mata.

“Anak-anak nek mi… Jom kita masuk ya. Kita main kat dalam. Elisya, jangan nangis. Nanti mama datang lagi ya,” tubuh kecil itu didukung lalu pipi tembam itu dicium. Air mata yang mengalir diseka lembut.

“Alif, Omar, Una, jom.”

Mereka hanya akur. Langkah terus diatur mengikuti langkah Puan Khadijah masuk semula ke dalam rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience