BAB 35 MC

Romance Series 12737

MAJALAH yang sudah selesai dibaca, diletakkan semula di atas rak. Kemudian, tubuh dipusing memandang Janna yang duduk di atas katil sambil membelek telefon bimbitnya. Bukan main tersenyum lebar nampak.

“Uit… chat Taufiq ke tu?” soal Nuri seraya melabuhkan punggung di sebelah Janna. Baru saja dia mahu mengintai perbualan WhatsApps gadis itu, kawannya terus saja menutup telefon dan meletakkannya di atas meja kecil di sebelah katil.

“Kau ni… kedekutlah! Bagilah aku tengok sikit.”

Janna lepas tawa sebelum kepala digelengkan beberapa kali. “Mana boleh. Ni rahsia. Kalau kau nak macam kita orang, kau kena ada pasangan.”

Nuri cebik. Anak patung beruang di tengah katil itu dicapai dan dipeluk.

“Janna… kau simpan lagi ya anak patung ni?”

Janna pakukan pandangannya seketika ke arah anak patung beruang itu sebelum iris matanya naik memandang wajah Nuri. Bibir melarik senyum manis.

“Tu kan hadiah pertama kau bagi kat aku dulu? Dan sebab teddy bear tu jugaklah, kita berkawan,” kata Janna. Kenangan sewaktu kali pertama bertemu dengan Nuri dulu kembali berlayar di kotak minda.

Nuri tersenyum. Anak patung beruang itu dibelek-belek perlahan sambil jarinya mengelus lembut wajah anak patung itu.

“Kau tahu kan, aku sayang kau?”

Janna angguk kepala sekali.

“Aku akan rindu semua kenangan kita. Terima kasih untuk tiga hari waktu bersama. Kau sanggup ambil cuti untuk luangkan masa dengan aku.” Di hujung bicara, nadanya bergetar sebak.

“Nuri? Hye, kau kenapa ni? Kau okey tak? Kenapa kau nangis?” soal Janna bertalu-talu. Dia perasan ada air mata yang bertakung di tubir mata Nuri. Hatinya mulai dijentik risau.

Tiba-tiba saja Nuri memeluk tubuhnya dengan erat. Terlalu erat seolah-olah mereka sudah lama tidak bertemu.

“Terima kasih sebab sudi jadi kawan aku. Walau kadang-kadang perangai gila aku datang, kau tetap layan aku. Aku tak akan dapat kawan sebaik kau kat mana-mana pun…” ujar Nuri. Tidak lagi mampu menahan air matanya dari mengalir.

“Ya, Nuri. Aku pun sayang kau. Terima kasih jugak sebab kau sudi terima aku sebagai kawan kau. Ada selalu masa aku tengah susah.”

Nuri lerai peluk. Telapak tangan kanannya melekap lembut di pipi kiri Janna. Bibirnya mengoyak senyuman manis.

“Kita kawan dunia akhirat. Aku cuma nak pesan sikit kat kau.”

“Apa dia?” soal Janna.

“Reda dan ikhlas dalam segala hal. Jangan pernah menyalahkan takdir sebab takdir tak pernah salah. Allah hadirkan seseorang dalam hidup kita, dan satu hari nanti, Allah akan ambilnya kembali. Atau mungkin, Allah hadirkan seseorang tu untuk kita ambil pengajaran. Kalau rindu pada yang sudah tiada, doa untuknya agar Allah sentiasa jagakan dia.”

Pesanan Nuri itu terus menusuk hatinya menjemput air mata untuk mengalir turun. Entah kenapa, pesanan itu bagaikan bukan satu pesanan yang biasa. Bakal terjadi sesuatukah? Sudah tiga hari Nuri di sini. Sedikit pun Nuri seperti tidak mahu dia berjauhan darinya. Sehingga Taufiq mengajak dirinya keluar pun, Nuri sanggup menghantar pesanan kepada Taufiq untuk 'meminjam' dirinya buat beberapa hari.

“Kenapa kau cakap macam ni, Nuri? Ada sesuatu yang mengganggu kau ke?” tanya Janna. Risau ada sesuatu yang dipendam oleh gadis itu.

Nuri geleng kepala. “Tak ada apa lah. Aku okey. Aku cuma risau, kalau-kalau aku tak dapat ulang kenangan ni balik.”

Janna terdiam. Ayat terakhir Nuri itu sungguh tidak dia gemari. Bagaikan Nuri mahu pergi meninggalkan dirinya pula.

“Aku ada hadiah untuk kau.” Nuri bingkas bangun mendekati meja solek. Beg silangnya dibuka dan sebuah kotak kecil dibawa keluar. Punggung dihenyakkan di sebelah Janna.

“Nah.”

“Apa ni?” soal Janna, berkerut dahi.

“Bukalah dulu.”

Janna akur. Kotak bertukar tangan. Penutup kotak diangkat ke atas dan matanya tertancap pada item di dalam kotak tersebut. Seketika, dia tergamam.

“Cantik tak?” soal Nuri sambil tersenyum manis.

Gelang tangan berloket hati itu, Janna tarik keluar. Loket itu dibuka perlahan. Ada gambar mereka berdua. Air matanya terus jatuh ke pipi.

“Cantik… cantik sangat, Nuri. Kenapa kau beli ni? Mahal ni, Nuri. Kau patut simpan duit kau untuk masa hadapan nanti.”

Nuri peluk bahu Janna. “Kau sahabat aku, Janna. Kau lebih berharga dan nilai gelang ni, takkan dapat membalas segala kenangan manis yang dah kita cipta bersama. Sini, aku pakaikan.” Gelang tangan itu diambil dari tangan Janna dan dipakaikan di pergelengan tangan sahabatnya itu.

“Terima kasih, Nuri…”

“Sama-sama kasih. Kau jaga elok-elok tau gelang ni. Kalau kau rindu aku, kau bolehlah tengok gelang tu,” kata Nuri.

Janna menganggukkan kepalanya beberapa kali. Air matanya diseka menggunakan hujung jari.

“Dah. Jangan nangis. Nanti aku ikut nangis sama. Jom tidur. Esok aku dah kena kerja. Membebel bos aku tu dah.” Tangan Janna ditarik lalu mereka sama-sama baring di atas katil.

“Selamat malam, Janna.”

“Good night too, Nurishaa…”

LAMA anak matanya memaku pandang pada rumah itu. Bibirnya molerek senyuman sinis. Tidak sabar dia mahu menjayakan misinya kali ini.

Anak matanya melingas memandang sekeliling. Hening saja. Pasti semua penghuni taman itu sudah lena dibuai mimpi sementelah jam telah pun menunjukkan angka 2.

Ikatan pada rambutnya diperkemaskan terlebih dahulu sebelum langkah dibuka. Dia memanjat pagar besi itu dan melompat turun. Baju hud hitam di tubuhnya di tepuk beberapa kali. Dia mengorak langkah ke pintu belakang di bahagian dapur.

“So, here we go…” Pin dikeluarkan dari dalam poket lalu diselit masuk ke dalam lubang kunci.

Klik.

Pin kembali disimpan. Pintu ditolak perlahan dan dia mula melangkah masuk ke dalam rumah itu.

Tap. Dap. Tap. Dap.

Bunyi derapan kaki membuatkan dia tersentak. Lekas-lekas tubuhnya disembunyikan di sebalik tembok.

Nuri melangkah masuk ke bahagian dapur. Tekak yang kering membuatkan lenanya terganggu. Pintu peti sejuk ditarik. Matanya mencari botol air di sisi pintu.

“Argh! Tolong!” Terjerit kuat Nuri apabila mulutnya di tekup menggunakan kain. Dia meronta-ronta ingin melepaskan diri namun tidak berjaya. Perlahan-lahan kelopak matanya tertutup. Tubuhnya melorot jatuh.

“Siapa kau?” soal Janna, lantang. Dia yang tersedar kerana mendengar jeritan Nuri tadi bingkas turun. Susuk tubuh itu dipandang.

“Tak perlu tahu aku siapa.” Dia terus meluru ke arah Janna. Tangan Janna yang ingin membuat serangan terhadapnya ditepis. Dengan sekali hentakkan di tengkuk, Janna terus jatuh pengsan.

“JANNA….”

Sayup-sayup kedengaran suara yang memanggil namanya. Namun kelopak matanya terasa sangat berat untuk diangkat. Kepala serta belakang tengkuknya juga terasa amat sakit. Apa yang sudah terjadi sebenarnya?

“Janna…”

Suara itu masih terus memanggil. Seperti suara Nuri. Nak tak nak, perlahan-lahan kelopak mata diangkat juga. Silau yang menusuk mata membuatkan dia kembali memejamkan matanya sekejap sebelum dibuka kembali.

“Oh, finally! Kau dah bangun,” kata satu suara.

Janna mengangkat kepala. Tubuh yang sedang membelakangi dirinya itu dipandang. Berkerut dahi. Tubuh cuba digerakkan, namun tidak mampu kerana tubuhnya sudah terikat kemas di atas kerusi. Sempat matanya menangkap susuk tubuh abi, ami dan Nuri yang turut sama nasib sepertinya.

“Kau… siapa kau? Kau nak apa?” soal Janna, memberanikan diri.

Suara hilai tawa memenuhi segenap ruang tamu itu. Perlahan-lahan si dia memalingkan tubuh menghadap Janna. Senyuman sinis terlakar di bibirnya. Kedua-dua belah tangan yang bersilang di dada, dijatuhkan ke sisi tubuh.

Wajah itu Janna renung lama. Menggali semula memorinya. Seperti pernah dilihat wajah itu. Tapi di mana?

“Azirah?” soalnya. Gadis itu pernah datang ke kafenya dan memberikan amaran kepadanya supaya dia menjauhkan diri dari Taufiq. Taufiq juga ada menceritakan serba sedikit pasal diri Azirah itu kepadanya.

Azirah melepaskan tawa berdekit-dekit. Kepalanya dijatuhkan sekali. “Ya, aku.”

“Kau nak apa? Lepaskan aku! Lepaskan keluarga aku!” Tinggi nada suara Janna. Wajahnya berkerut-kerut. Perasaan marah dan takut bercampur menjadi satu.

“No!” tengking Azirah. Kedua-dua tangannya sudah mengepal menumbuk.

“Aku dah suruh kau jauhkan diri dari Taufiq, kan? Kenapa kau degil? Kau yang menempah bala…” sambung gadis itu seraya meledakkan tawa kuat.

“Heh, perempuan! Kau dah gila ke, huh? Taufiq tu tak nak kat kau pun lah! Kau yang perasan lebih sangat, apa hal?” Nuri bersuara.

Tawa Azirah mati. Tubuh dipusing ke arah Nuri. Selangkah demi selangkah dia mendekati gadis itu. Rahang Nuri di cengkam kuat.

“Argh…” Nuri meringis kesakitan.

“Nuri! Azirah, sudahlah! Jangan cederakan dia!” jerit Janna, berharap agar gadis itu menghentikan perbuatannya itu.

Encik Norman dan Puan Jamilah mengucap panjang. Seram melihat keadaan malam ini. Dalam hati, berdoa agar tiada nyawa yang melayang.

“Mulut kau ni kalau aku gunting, seronok ni…” bisik Azirah.

Nuri merenung dalam bebola mata Azirah. “Sudah-sudahlah hanyut dalam bisikan syaitan. Kembali ke laluan sebenarnya. Dia bukan ditakdirkan untuk kau. Kenapa kau nak bertindak sejauh ni?”

Pang!

Pipi Nuri menerima tamparan Azirah itu. Dia mengundur sedikit ke belakang sambil anak matanya tidak lepas dari memandang wajah Nuri yang tertunduk itu. Tiba-tiba saja suasana gamat dengan suara tawanya.

“Bodoh! Semua memang bodoh! Kau… kau tak faham apa aku rasa,” balas Azirah. Perlahan-lahan tubuhnya melorot jatuh. Esak tangis mulai kedengaran.

“Kau orang… kau orang kena mati…. Barulah Taufiq nampak aku ni…”

Pucat wajah masing-masing apabila ayat itu terlahir dari dua ulas bibir Azirah. Cuak.

“Azirah… tolong lepaskan kami. Aku minta maaf. Aku akan tinggalkan Taufiq. Tapi tolong, jangan apa-apa kan keluarga aku. Aku merayu…” Air matanya mula bertakung. Tidak sanggup dia kehilangan ahli keluarganya itu.

Azirah panggung kepala, memandang tepat ke wajah Janna itu. “Betul ni? Janji?”

Janna menganggukkan kepalanya sekali.

“Haha! Bodoh! Tak. Kau penipu!” Azirah melompat bangun. Dia melangkah mendekati Janna. Rambut Janna ditarik kasar ke belakang membuatkan gadis itu terdongak.

“Kau ingat, aku akan terpedaya ke, huh?”

Janna geleng berkali-kali. “Tak… tak… aku tak tipu. Aku janji, aku akan tinggalkan dia.”

Azirah ukir senyuman sinis. Rambut Janna dilepaskan dan dia melangkah mendekati Puan Jamilah. Bahu wanita itu diusap lembut.

“Janna… Janna… kau tak rasalah apa yang aku rasa. Aku mengharap Taufiq jadi milik aku. Tapi alih-alih kau pulak muncul dalam hidup dia. Aku… terseksa tahu tak?”

Janna terdiam. Takut.

“Sudahlah. Hentikan.” Suara Encik Norman kedengaran. Buntu. Dia sendiri tidak tahu mahu melakukan apa di saat-saat begini.

Azirah pusingkan kepala sedikit memandang wajah itu. Kepala digelengkan sekali. “Tak boleh, pak cik. Anak pak cik tu dah hancurkan masa depan saya tahu tak? Jadi, saya pun kena hancurkan masa depan dia. Biar dia rasa apa yang saya rasa dulu. Biar dia tahu rasa sakitnya sebuah kehilangan,” jawab Azirah. Jaket hitam di tubuhnya itu diselak. Sebilah pisau belati ditarik keluar dan kemudiannya dimainkan di wajah wanita di sisinya. Terpejam mata Puan Jamilah tatkala merasa ketajaman mata pisau itu.

“Ami…. Azirah! Stop it, please,” rayu Janna. Andai saja dia mampu membebaskan dirinya dari tali ini, pasti dia sudah menolak tubuh Azirah menjauhi aminya.

“Azirah, sudahlah tu. Jangan terlampau mengikut hati!” kata Nuri.

Azirah pandang satu per satu wajah di situ. Pisau tadi sudah berada tepat di leher Puan Jamilah. “Kau akan rasa, apa yang aku rasa! Biar kita sama-sama rasa sakit!” Tak menunggu lebih lama, pisau ditekan. Darah merah mulai mengalir.

“Ami! Ami!” jerit Janna, kuat. Air matanya mengalir laju ke pipi. Tak. Dia belum bersedia untuk ini. Andai ini sebuah mimpi, tolong bangunkan dia. Mimpi ini terlalu ngeri.

“Allahuakhbar… Allahuakhbar… Allahuakhbar…” Terpejam mata Encik Norman menyaksikan itu.

“Azirah! Kau gila! Kau tak akan tenang lepas bunuh orang!” jerkah Nuri.

“Biar! Asalkan aku puas!” balas Azirah lalu tertawa. Wajah Puan Jamilah itu dipandang seketika. Sudah pucat. Darah merah yang mengalir membuatkan dia teruja. Dicalitkan darah itu ke wajahnya.

“Janna, mak kau dah mati. Hehe…”

Janna geleng kepala. “Ami… ami bangun… jangan tinggal Janna…”

Azirah tayang sengih. Mata pisau yang dicemari darah itu diusap lembut menggunakan jarinya.

“Next… siapa ya?”

“Jangan… please. Jangan buat macam ni lagi, Azirah…” tangisan Janna jelas kedengaran.

“Kau dah fahamkan apa aku rasa? Kehilangan. Aku hilang Taufiq, kau hilang famili. Haha!” Tubuhnya dipusing-pusing. Gembira. Genggaman tangan pada pisau di tangannya, diperkemaskan.

“Ya… ya… aku… aku faham….”

Azirah tersengih. Senget kepalanya memandang wajah Janna. Sebelah tangannya direhatkan di atas kepala kerusi yang sedang diduduki oleh Encik Norman.

“Kalau… kalau aku bunuh orang tua ni?”

“Jangan!” Laju Janna melarang.

“Bunuh aku, lepaskan anak aku,” kata Encik Norman.

“Ab… abi…” Kepala Janna tergeleng-geleng.

“Aku rela mati asalkan anak aku selamat. Aku rela gadaikan nyawa aku sendiri untuk satu-satunya anak yang aku ada,” jawab Encik Norman dengan nada suaranya yang tegas. Sedikit pun dia tidak gentar dengan gadis bernama Azirah ini. Segalanya diserahkan pada ketentuan Allah. Andai nyawanya hanya sampai di sini, dia tidak menyesal. Kerana dia sudah cuba menjadi yang terbaik untuk satu-satunya anak yang dia punya.

“Abi…”

“Janna, abi sayang Janna. Abi minta maaf kalau selama abi jaga Janna, ada silap abi. Abi terleka. Tapi abi nak Janna tahu, abi dah cuba menjadi yang terbaik untuk Janna. Janna satu-satunya anak abi dengan ami. Kalau malam ni malam terakhir kita, reda dan percaya, semua yang berlaku ada hikmah.”

Lidah Janna kelu. Bibir terasa berat untuk mengeluarkan sebutir bicara. Nuri juga sudah mengalirkan air matanya. Ayat itu sungguh menyentuh setangkai hatinya.

Azirah mencebik.

“Halah, halah, halah…. Tak perlulah buat drama sedih dekat sini…” Mata pisau diletakkan di dada Encik Norman. Hanya menunggu masa untuk ditolak masuk.

“Azirah… aku merayu… jangan…”

Zup!

“Abi!” Bergema-gema ruangan itu dengan suara teriakan Janna.

Azirah ketawa. Mata pisau ditarik kemudian ditikam semula beberapa kali. Lantai ruang tamu itu sudah basah dengan darah. Dinding juga ada yang sudah ditompoki dengan darah.

“Fuh. Settle. Kacang je rupanya nak tumpaskan…” kata Azirah seraya mengesat keringat yang mengalir. Senyuman kepuasan diukir pada bibirnya.

“Gila. Kau memang gila, Azirah,” ujar Nuri dengan nada tertahan-tahan. Semudah itu Azirah mencabut nyawa insan tidak berdosa.

Azirah melangkah mendekati Nuri. Wajah Nuri diusap membuatkan darah yang melekat di telapak tangannya menempel ke wajah Nuri. Bau hanyir darah menusuk rongga hidung.

“Kau… cakap aku apa tadi?” soal Azirah. Sebelah tangannya lagi memusing-musingkan pisau.

“Gi. La,” balas Nuri. Menekan perkataan itu.

“Argh!” Terpejam mata Nuri apabila mata pisau menusuk bahunya. Kepalanya sedikit tertunduk. Sakit.

“Nuri! Azirah, tolonglah. Jangan. Jangan bunuh Nuri. Aku dah tak ada siapa-siapa lagi. Tolong. Aku merayu….” rayuan Janna itu hanya mengundang tawa sinis dari Azirah. Gadis itu menggelengkan kepalanya beberapa kali.

“Aku benci kau orang. Kau orang patut mati! Haha!”

Buk! Buk! Bum!

Tiba-tiba pintu utama terbuka. Lensa mata Azirah terus menghala ke muka pintu. Nafasnya mulai laju.

“Azirah! What are you doing?” Lantang suara Aidan. Terkejut. Tidak disangka Azirah mampu bertindak sejauh ini.

Pada mulanya, dia berniat untuk datang menemui gadis itu di rumahnya. Namun setelah loceng dibunyikan beberapa kali, pintu masih lagi tidak dibuka. Dia yang memang sudah sedia maklum di mana tersembunyinya kunci pendua rumah itu segera membuka pintu.

Sebaik saja melangkah masuk ke dalam rumah itu, dirinya terkaku seketika. Rumah itu tidak seperti kali terakhir dia menjejakkan kaki ke situ. Perabot tidak tersusun. Bersepah sana-sini dan ubat-ubatan yang berteraburan di lantai. Di dinding juga melekat gambar-gambar Janna dan Taufiq. Dia yang mulai tidak sedap hati segera memecut kereta ke situ. Firasatnya memang benar. Gadis itu berada di sini. Namun nampaknya dia hampir terlambat. Hanya tinggal dua nyawa yang masih terselamat.

“Aidan! Haha! Kenapa you datang sini? Oh… nak jadi hero, eh?” tanya Azirah, sinis. Sempat dia menjeling Janna yang kelihatan terpinga-pinga dengan kemunculan Aidan.

“Lepaskan Nuri, Azirah. Kenapa you bertindak macam ni?” Keras nada suara Aidan. Kakinya mulai melangkah masuk.

“I… I… tak sengajalah…” balas Azirah kemudian ketawa.

Aidan diam. Dia cuba mendekati Azirah namun gadis itu mengangkat tangan membuatkan langkahnya terhenti.

Azirah membuka ikatan di tubuh Nuri. Tangan kirinya melingkar di leher gadis itu dan ditarik untuk bangun. Sambil itu, pisau di tangan kanan diletakkan hampir dengan leher Nuri.

“You… you dekat, perempuan ni mati!” ugut Azirah. Matanya membulat besar. Langkah satu per satu diundur.

“Azirah… jangan macam ni. Jangan bertindak sejauh ni.”

“Lepaskan Nuri, Azirah….” rintih Janna. Lemah.

Azirah hanya tertawa. Kepala di geleng berkali-kali. “No. No. No. Dia orang ni kena mati, Aidan. You pun terseksa, kan? You sayang Janna tu, tapi Janna tak sayang you dah. Tak perlulah you nak berlagak hero bagai…”

“I bukan nak berlagak hero, Zirah. I tak nak you sia-siakan hidup you dengan cara macam ni!”

“I dah ajak you untuk serang rumah ni. Tapi… you yang tak nak. You yang suruh I cari jalan lain,” balas Azirah.

“I takkan cederakan orang yang I sayang. Dan I dah fikir semasak-masaknya. I akan lepaskan Janna kalau tu boleh membuatkan dia bahagia. Cinta tu tak semestinya memiliki, Azirah. Kita salah.”

“Dasar lemah! You lemah, Aidan!” Pisau dileretkan pada leher Nuri lalu ditarik dan dibenamkan ke dada Nuri. Tak cukup dengan itu, bahagian perut juga menjadi mangsa tikaman berkali-kali.

“Argh!” Jerit Azirah, geram.

“Nurishaa!” jerit Janna seraya menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Azirah, stop!” Aidan meluru ke arah Azirah. Tubuh Azirah ditarik membuatkan pegangan Azirah pada tubuh Nuri terlepas.

“You jangan halang I!”

“Jangan macam ni, Azirah! Please, dengar cakap I!” tengking Aidan, melawan nada suara gadis itu. Bahu gadis itu dipegang. Anak mata Azirah itu direnung. Azirah sedang di luar akal waras. Bukti ubat yang dijumpai di rumah gadis itu membuatkan dia semakin terkejut. Dia tidak pernah tahu Azirah mempunyai masalah berkaitan mental. Selama ini dia hanya melihat gadis itu baik-baik saja seperti manusia normal.

Azirah genggam pisau di tangannya. Renungan mata Aidan dibalas.

“Hati I hancur! Sakit tahu tak?” marah Azirah sambil sebelah tangan menepuk dadanya berkali-kali.

“Sudah, Azirah…”

Nino… Nino… Nino…

Bunyi siren kereta polis dan ambulans membuatkan Azirah dihurung ketakutan. Tangannya menggigil tatkala terpandang cahaya lampu biru dari kereta polis yang sudah terpakir di hadapan rumah.

“Azirah…”

“You jahat, Aidan!” ujar Azirah. Dek marah, dia terus membenamkan mata pisau di abdomen lelaki itu. Tubuh Aidan ditolak sehingga jatuh lalu langkah dibuka keluar dari rumah itu.

“Berhenti! Jangan bergerak! Kawasan telah dikepung!” kata seorang anggota polis sambil mengacukan pistol ke arahnya.

Langkah Azirah terus beku. Terkaku. Matanya memandang satu per satu wajah anggota polis di situ. Beberapa orang petugas ambulans segera melangkah masuk ke dalam rumah.

“Tau… Taufiq…” Azirah terkejut. Langsung tidak menyangka Taufiq akan berada di situ.

Taufiq diam. Anak matanya merenung Azirah.

“Jangan! Lepaslah!” jerit Azirah bila seorang anggota polis perempuan menggari pergelangan tangannya. Kemudian, seorang lagi anggota polis perempuan mendekatinya dan lengannya ditarik untuk mengikut mereka ke kereta polis.

“Taufiq! Taufiq!” jeritan Azirah langsung tidak diendahkan oleh Taufiq. Taufiq terus melangkah masuk ke dalam rumah. Mengucap dia melihat keadaan di situ.

“Nuri… Nuri bangun, weh…. Jangan tinggalkan aku…” tangis Janna sambil memeluk tubuh sahabatnya itu. Tangan-tangan petugas yang cuba menariknya ditepis kasar. Dia terus memeluk tubuh Nuri yang sudah tidak bernyawa itu dengan erat.

“Kau janji tak akan tinggalkan aku, kan? Baru semalam kita seronok-seronok sama-sama. Tak akan kau nak tinggalkan aku sekarang? Tak boleh….”

“Janna…” panggil Taufiq, lembut. Bahu gadis itu ditarik.

Janna angkat wajah. Pandangannya kabur dek air mata. Namun dia amat kenal dengan suara itu.

“Taufiq…”

Taufiq menarik tubuh Janna untuk bangun dan memberi laluan pada petugas-petugas ambulans untuk menjalankan tugas. Aidan juga sudah dibawa masuk ke dalam ambulans dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Janna… sabarlah. Jangan macam ni. Awak kena kuat.”

Janna geleng kepala. Perlahan-lahan pandangannya mula berbalam-balam. Tubuh terasa semakin berat.

“Janna…”

Sayup saja kedengaran suara Taufiq itu sebelum suasana bertukar sunyi. Dia sudah tidak sedarkan diri.

Maaf atas segala kekurangan! Happy reading ^~^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience