BAB 33 MC

Romance Series 12737

GAUN labuh berwarna biru laut yang tersarung di tubuhnya itu dibelek-belek di hadapan cermin. Bibirnya menarik senyum manis. Cantik! Gaun yang ditempah oleh Taufiq itu sungguh memukaunya. Bahagian bawah gaun itu dihiasi dengan manik-manik kecil. Pandai Taufiq membuat pilihan!

Selendang berwarna putih yang terlilit di kepala, dibetulkan sebelum dia mencapai sling bag dari atas meja. Setelah puas dengan penampilannya, perlahan-lahan langkah disusun keluar dari dalam kamar menuju ke tingkat bawah. Dari tangga lagi dia sudah perasan akan dua pasang mata yang tertumpu padanya. Terasa bahang kepanasan menerpa ke wajah.

“Amboi... cantiknya anak ami ni...” Puji Puan Jamilah seraya tersenyum. Hatinya bersyukur sangat bila satu-satunya anak tunggalnya itu sudah mampu membuka hatinya untuk seorang lelaki.

“Terima kasih, ami...” balas Janna, malu.

“Janna, sini sekejap.” Panggil Encik Norman, menggamit anak tunggalnya itu untuk duduk.

Janna segera melabuhkan duduk di sebelah Puan Jamilah. Lengan aminya itu dipeluk sambil kepala dilentukkan di bahu wanita itu. “Ya, abi?”

“Abi gembira dengan perubahan Janna sekarang ni. Abi dengan ami doakan, kamu dan Taufiq bahagia hingga akhir hayat dan jodoh kamu berdua kekal hingga ke Jannah. Hubungan ni ada masanya pahit. Ada ujian-ujian yang Allah dah tetapkan. Abi harap, apabila Janna diuji kelak, Janna dapat berfikir secara matang. Bukan ikut hati. Abi sayangkan Janna. Janna seoranglah permata hati ami dengan abi yang tak ternilai harganya.”

Air mata Janna bertakung. Perlahan-lahan lengan aminya dilepas lalu tubuh abinya itu dipeluk dengan erat. Cinta seorang ayah kepada anak perempuannya itu sangat tulus. Di mana dialah orang pertama yang mencintai puterinya sebelum orang lain mencintai puterinya. Dialah cinta dunia dan akhirat yang tidak akan mampu terganti.

“Janna sayang abi. Sayang ami. Terima kasih sebab abi dengan ami selalu ada dengan Janna. Tanpa jemu. Selalu sokong segala keputusan Janna...” Mutiara jernihnya sudah jatuh ke pipi. Sebak.

Puan Jamilah dan Encik Norman tersenyum.

“Dah lah tu. Jangan nangis. Rosak make-up tu nanti. Haaa, tu bunyi kereta. Mesti Taufiq dah sampai tu. Dah, pergi cepat. Kesian dia tunggu lama nanti,” kata Puan Jamilah sambil menepuk-nepuk lembut bahu si anak.

Janna angguk. Pelukan dileraikan. Tangan kedua-dua orang tuanya disalam dan dikucup lembut. “Janna pergi dulu ya.”

“Jangan balik lewat pulak. Tak elok,” pesanan abinya itu disambut dengan anggukan. Janna segera menyeka air matanya yang tadi sempat mengalir sebelum menyarung flat shoes pada kedua-dua belah kakinya. Bibirnya mengulum senyuman manis tatkala memandang Taufiq yang segak mengenakan t-shirt Polo berwarna biru laut dan jean gelap. Simple but nice!

“Hai...” sapa Janna, mesra.

Taufiq tersenyum lebar menyambut kedatangan Janna itu. “Hai. Cantik awak hari ni.” Puji Taufiq. Cermin mata hitam yang sedikit melorot dibetulkan.

“Ish, tak ada lah. Biasa je. Awak nak bawa saya ke mana?” soal Janna.

“Rahsia. Masuklah dulu.”

Janna hanya akur. Tubuh diboloskan masuk ke dalam perut kereta begitu juga dengan Taufiq. Pedal minyak ditekan lalu kereta mulai meluncur laju membelah jalan raya. Di dalam kereta, mereka berdua hanya mendiamkan diri. Yang kedengaran hanyalah lagu dari corong radio.

“Pantai?” Janna kehairanan.

Taufiq hanya angguk tanpa membalas. Kereta diparkir di tempat letak kereta. “Jom. Kita dah sampai.”

Janna melangkah keluar dari kereta. Dia berdiri di sisi Taufiq sambil memandang sekeliling. Langit berwarna keoren-orenan. Cantik. Mungkin Taufiq mahu melihat matahari terbenam di sini.

“Kita turun kat bawah tu.”

“Tak nak lah. Saya takut jatuh.” Janna laju menggeleng-gelengkan kepalanya. Dengan bajunya yang begitu, tak mustahil perkara memalukan boleh terjadi. Sudahlah dari tadi ada yang asyik memandang-mandang ke arah mereka. Mungkin lebih tepat ke arahnya. Ada pula datang pantai pakai gaun? Serupa Cinderella pula tu!

“Janganlah risau. Saya kan ada? Sini.” Taufiq sudah memijak batu-batuan untuk turun ke bawah.

“Awak pijak batu mana yang saya pijak tadi.” Arah Taufiq apabila sudah tiba di bawah.

Janna hanya angguk. Kemudian dia terus memijak satu per satu batu yang tadinya dipijak oleh Taufiq. Dengan penuh berhati-hati. Akhirnya dia selamat tiba di bawah. Nafas lega dilepaskan. Untung saja dia tidak tergolek walaupun tadi hampir beberapa kali juga dia hilang keseimbangan. Nasib Taufiq sempat memegang tangannya.

Taufiq lepas tawa kecil. “Okey?”

“Okey.” Janna dongak pandang. Matanya terpaku melihat pemandangan yang cantik itu. Dengan bunyi desiran ombak menampar lembut gegendang telinga. Sungguh menenangkan! Kelopak matanya dipejam rapat. Ingin mengamati suasana itu.

“Janna...”

“Hmmm?” sahut Janna tanpa menolehkan kepalanya memandang ke arah Taufiq di sebelahnya.

“Erm, saya bukanlah lelaki yang sweet. Jadi saya tak tahu nak mula dari mana...”

Janna buka kelopak matanya. Tubuh dipusingkan sedikit menghadap Taufiq. Dahinya berkerut nipis. “Kenapa awak? Awak nak cakap sesuatu?”

Taufiq angguk sekali. Tangannya menyeluk masuk ke dalam saku seluar jean. Kotak baldu berwarna merah hati itu dibawa keluar dan dibuka perlahan.

Janna tergamam. Bebola matanya memandang lama cincin di dalam kotak itu. Cantik. Dihiasi dengan sebutir batu permata ruby berwarna biru.

“Will you marry me, Janna? Will you be my soul, my partner and my queen?”

“Awak serius ke, Taufiq? Saya tak sempurna.” Janna menundukkan sedikit wajahnya. Tidak sangka lamaran yang selalu dilihat di kaca televisyen dan di dalam buku novel kini terjadi pada dirinya sendiri. Terharu. Sebak. Malu. Semua bercampur menjadi satu.

“Tak ada yang sempurna dalam dunia ni. Allah ciptakan kita berpasangan untuk saling menyempurnakan.”

“Saya tak cantik.”

“Saya tak pandang cantik. Saya pandang akhlak. Akhlak yang baik untuk menjadi isteri dan anak-anak saya nanti.”

Zup! Serta-merta bahang menerpa ke wajah Janna. Malu tapi mahu. Sudahnya kepalanya dijatuhkan sekali sebagai jawapan. Terasa sejuk telapak tangannya ketika itu. Menggigil!

Taufiq tersenyum. Perlahan-lahan tangan gadis itu ditarik dan cincin yang dibelinya itu disarungkan pada jari manis Janna. “Terima kasih sebab terima saya. Saya janji dengan awak, saya akan jaga awak dengan sepenuh hati saya sampai hujung nyawa.”

Janna dongakkan kepalanya. Anak mata mereka saling bertaut pandang. Bibirnya menarik senyuman manis.

“Terima kasih juga sebab awak masih setia bertahan dengan kerenah saya sebelum ni. Saya minta maaf.”

“Tak apa lah. Jangan risau. Meh saya tangkapkan gambar awak. Boleh buat kenangan. Hari melamar.” Dia mengundur sedikit ke belakang.

“Tapi awak tak bawak kamera, kan?” Janna mengerutkan dahinya.

“Siapa kata?” soal Taufiq lalu tertawa kecil. Tak lama itu, seorang lelaki berlari mendekati Taufiq sambil membawa beg galas yang sering dibawa oleh Taufiq.

“Nah, bos. Maaf lambat. Ada acara gusti kat studio tadi,” kata Husaini. Mengingatkan dua orang sahabat sekerjanya yang asyik bertengkar tidak sudah-sudah itu.

Taufiq mengambil beg galasnya. Zip dibuka lalu kamera DSLR miliknya dikeluarkan. “Tak apa. Pergilah balik. Karang hancur studio tu dikerjakan dia orang berdua,” balas Taufiq. Faham sangat dengan dua orang pekerjanya itu. Asyik bergaduh saja. Macam anjing dengan kucing!

Husaini tayang sengih sebelum menganggukkan kepalanya. Setelah berpamitan, dia mula membuka langkah menuju kembali ke kenderaan pacuan empat rodanya.

Taufiq mengelap seketika lensa kemera. Kemudian, lensa kamera dihala ke arah Janna.

“Sayang, tengoklah sini...” panggil Taufiq, bernada lembut.

Janna terpinga-pinga. Sayang? Terasa degup jantung terhenti seketika. Skru lutut terasa longgar dan hampir saja tubuhnya rebah di situ namun, segera ditahan. Karang tak pasal-pasal dapat malu percuma!

Perlahan-lahan bibirnya melorek senyuman sambil mata memandang ke arah Taufiq. Beberapa kali pancaran cahaya keluar. Tidak cukup di situ, Taufiq menariknya ke bawah pokok. Bergambar di situ pula. Terasa diri menjadi model seketika.

“Taufiq! Saya penatlah. Tak habis lagi ke awak nak tangkap gambar ni?” soal Janna. Penat! Bagaimana model-model di luar sana mampu bertahan? Dia sudah rasa otot tulang pipinya tegang dah. Duk tersenyum je dari tadi.

Taufiq lepas tawa. Langkah dibawa mendekati gadis itu. Tali kamera sudah dilingkarkan pada lehernya. “Okey, siap. Kesian dia... penat ya?” usik Taufiq.

Janna tertawa kecil. Kepala diangguk sekali.

“Okey. Kalau penat, kita pergi makan. Saya dah tempah meja kat restoran sana. Special. Menghadap pantai tau.” Hujung lengan baju gadis itu ditarik untuk mengikuti langkahnya menuju ke restoran yang dimaksudkan. Janna hanya mengikuti tanpa membantah.

Tanpa mereka sedari, ada mata yang memandang penuh tidak puas hati. Marahnya membuak-buak. Rambut yang tadinya disisir rapi, kini menjadi serabai kerana diramas-ramas dengan kasar.

“Kau tunggu, Janna.... Kau tunggu nasib kau nanti.” Perlahan nada suaranya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience