Series
12737
SETITIS demi setitis air mata mengalir ke pipi. Hangat. Tiada lagi mereka di dunia ini. Dia harus menerima takdir yang Allah sudah tetapkan walau ia sepahit hempedu.
“Sabar, Janna. Mama faham perasaan kamu…” sayu nada suara Puan Maryam, memujuk. Bahu bakal menantunya itu diusap lembut. Setelah dia dimaklumkan oleh Taufiq, dia dan suaminya serta Thaniha bergegas datang ke hospital. Pilu dia melihat keadaan Janna yang meronta-ronta mahu keluar dari wad sehingga Taliq terpaksa menyuntik menggunakan sejenis cecair ubat penenang.
Di hujung katil, Taliq, Taufiq dan Thaniha hanya memandang. Masing-masing dihurung perasaan sedih.
“Janna nak ami… abi… Nuri…. Janna nak dia orang,” rintih Janna. Wajah-wajah itu berlayar di kornea matanya.
“Sabar, sayang…. Mama faham perasaan Janna. Don't cry. Janna kena kuat. Ikhlaskan mereka pergi, sayang…” pujuk Puan Maryam. Tubuh itu dibawa masuk ke dalam dakapannya. Berharap dapat menenangkan sedikit jiwa gadis itu.
Esakan Janna kian kuat kedengaran. Taufiq melangkah mendekati Janna.
“Awak…”
“Saya tahu awak sedih. Saya pun sedih. Maafkan saya. Sebab saya keluarga awak yang terkena tempias. Saya betul-betul tak sangka dia mampu bertindak sejauh ni,” ujar Taufiq, perlahan. Dari tadi lagi perasaan bersalah itu sudah muncul. Ditambah melihat keadaan Janna yang begitu, semakin membuatkan hatinya tidak tenang.
Janna diam. Pelukan Puan Maryam di leraikan perlahan-lahan. Pipi yang basah dengan air mata diseka menggunakan telapak tangan. Anak matanya merenung dalam sepasang anak mata milik Taufiq.
“Saya dah hilang dia orang, Taufiq…” sayu nada suara Janna. Bergetar-getar bibirnya mahu mengeluarkan suara.
Taufiq ketap bibir. Ingin saja dia mengalirkan air mata, namun dia harus kuat untuk gadis itu. Kalau dia turut sama bersedih, Janna pasti akan semakin dihuni kesedihan.
“Allah sayangkan mereka, Janna. Kita doakan untuk mereka, ya? Mama, papa, oppa, cutie dengan saya selalu ada dengan awak. Kami tak akan tinggalkan awak.”
“Betul tu, Janna. Ramai yang sayangkan awak. Kami dah anggap awak macam keluarga kami sendiri. Jangan terlalu lama bersedih, ya,” pujuk Taliq pula bersama segaris senyuman di bibirnya. Thaniha di sisi menganggukkan kepala.
Janna tunduk. Air mata jatuh ke kekura tangan. Dadanya terasa sesak. Mindanya sesak dengan segala kenangan. Mampukah dia menjalani hari-hari seterusnya tanpa ada lagi insan yang bergelar ami dan abi serta seorang sahabat yang begitu memahami dirinya seperti Nuri?
“Mama sayang Janna. Jangan sedih lagi ya, sayang…” Air mata gadis itu diseka lembut. Tidak sanggup dia melihat gadis itu menangis.
Janna jatuhkan kepalanya sekali saja. Sebelum kepalanya kembali tunduk merenung tangannya yang tercucuk jarum drip.
“Janna, Ya Allah…”
Satu suara yang tidak asing dipendengaran telinganya membuatkan Janna kembali mendongakkan kepala. Dan-danlah air mata yang sudah berhenti mengalir terasa mahu mengalir semula.
“Umi…”
Taufiq berdiri di sisi Taliq. Memberi ruang untuk wanita itu mendekati Janna. Dia hanya memandang Puan Khadijah yang memeluk erat tubuh Janna. Belakang tubuh Janna diusap-usap lembut.
“Sayang umi tak apa-apa?” soal Puan Khadijah. Pipi Janna itu diusap lembut.
Janna hanya menggelengkan kepalanya. “Abi… ami… Nuri… dia orang dah… tak ada lagi, umi…” tutur Janna, tersekat-sekat. Tangan wanita yang sudah dianggap seperti uminya itu digenggam erat.
Puan Khadijah menganggukkan kepalanya beberapa kali.
“Umi tahu. Umi faham. Jangan sedih. Kalau Janna sedih, ami dengan abi Janna kat sana pun sedih. Kita doakan mereka ya. Umi sayang Janna.”
Janna angguk kepala. Air matanya cuba ditahan. Seketika, anak mata dialih menatap wajah Taufiq. Baru dia teringatkan sesuatu.
“Aidan? Aidan macam mana?” soalnya.
Taufiq ukir senyum nipis sebelum kepala dijatuhkan sekali. “Dia okey. Ada kat wad sebelah. Tengah berehat.”
Janna hela nafas lega. Semalam dia agak terkejut juga apabila Aidan muncul di situ. Aidan jugalah yang menelefon Taufiq dan mengarahkan Taufiq untuk menghubungi pihak polis. Kalaulah Aidan tiada di situ, pasti dia juga sudah menerima nasib yang sama. Dia sangat berterima kasih kepada Aidan. Selepas ini, dia harus bersua muka dengan Aidan untuk meminta maaf atas segala kekasaran yang dia pernah lakukan kepada lelaki itu.
“ARGH! Keluarkan akulah, sial! Perempuan tu tak mati lagi! Dia… dia kena mati! Woi!” jerit Azirah sekuat hati. Tangannya yang digari di tiang besi katil ditarik-tarik dengan kasar. Sedikit pun tidak terasa sakit walaupun pergelangan tangannya sudah merah. Dia sudah dimasukkan ke dalam hospital sakit jiwa setelah disahkan menghidap masalah mental.
“Aku tak gila pun. Kenapa kau orang masukkan aku kat sini, huh?” Dengusan kasar dilepaskan. Rambutnya sudah serabai. Sekali lihat, hantu Kak Limah pun boleh letak jawatan.
“Aku buat sebab dia rampas hak aku, tu je!” sambungnya lagi lalu melepaskan tawa yang menggemakan ruangan. Tiba-tiba saja tawanya yang kuat tadi bertukar menjadi tangisan hiba. Dia menangis teresak-esak di situ.
“Jangan tinggalkan aku, Taufiq…”
DATO AMIR dan Datin Mina terdiam mendengar penjelasan doktor yang merawat anak mereka itu. Rasa sayu menjentik hati.
“Skizofrenia?” soal Dato Amir.
“Betul, dato. Istilah skizofrenia diterjemah secara kasar sebagai fikiran berkecai,” balas Doktor Shahmi.
“Seseorang yang mengalami skizofrenia tanpa dirawat biasanya menunjukkan pemikiran yang tidak teratur dan mungkin mengalami delusi atau halusinasi pendengaran. Walaupun penyakit ini biasanya memberi kesan kepada kognitif, ia juga menyumbang kepada masalah teruk dengan tingkah laku manusia atau emosi seseorang pesakit itu.”
“Cik Azirah pernah datang untuk rawatan. Tapi dah lama dia tak datang sini.” sambungnya lagi.
“Allahuakhbar…. Dia boleh sembuh?” soal Datin Mina.
Doktor Shahmi tersenyum sebelum kepala di angguk sekali. “Boleh, datin. Cuma dia perlukan sokongan positif dari keluarga dan teruskan rawatan. Jangka masa untuk pulih tu bergantung pada diri pesakit tu sendiri. In syaa Allah, kita banyakkan berdoa agar Cik Azirah dapat kembali sembuh dan jalani hidup normalnya kembali.”
Dato Amir dan Datin Mina menganggukkan kepala mereka tanda faham.
“Terima kasih, doktor.”
“Sama-sama,” balas Doktor Shahmi.
“Reda dan ikhlas dalam segala hal. Jangan pernah menyalahkan takdir sebab takdir tak pernah salah. Allah hadirkan seseorang dalam hidup kita, dan satu hari nanti, Allah akan ambilnya kembali. Atau mungkin, Allah hadirkan seseorang tu untuk kita ambil pengajaran. Kalau rindu pada yang sudah tiada, doa untuknya agar Allah sentiasa jagakan dia.”
AYAT Nuri bagaikan radio rosak yang berulang tanpa henti. Matanya dipejam rapat sekali gus air mata yang ditahan tumpah juga akhirnya.
Perlahan-lahan kelopak mata diangkat. Pandangan dilempar ke luar jendela wad itu. Bulan mengambang terang. Bersinar dan indah. Semakin laju air matanya turun membasahi pipi. Gelang pemberian Nuri diusap perlahan.
Tak terungkap kata,
Menyedari masa,
Ke mana perginya dia?
Jika ditakdirkan,
Begini rasanya,
Terpaksa aku terima…
Gantikanlah jika ini,
Yang terbaik buat mu,
Ku relakan,
Ikhlaskan….
Ku rindukan purnamaku,
Doaku kan bersamamu,
Semoga hatimu kan kekal abadi,
Terhadap diriku.
Tuhan kumohon jaga,
Dia tanpa ada noktah,
Tuhan kumohon kuatkan hatinya,
Selamanya…
Aku perlu dia….
Lagu Purnama yang dinyanyikan oleh Naim Daniel terngiang-ngiang. Membuatkan dadanya terasa sakit. Telapak tangan kiri diangkat lalu diletakkan di dada dan ditepuk beberapa kali.
“Nuri… aku rindukan kau. Kenapa terlalu cepat kau pergi tinggalkan aku? Aku rindu kau sangat-sangat. Mana aku nak cari kawan sebaik kau, Nuri?” bicaranya sendiri.
“Ya Allah… aku terlalu merindui mereka. Perasaan ini terlalu berat, Ya Allah. Bantulah aku untuk menempuhnya. Kuatkan diriku. Teguhkan imanku. Sesungguhnya, Engkau yang Maha Perancang dan yang lebih Maha Mengetahui…” Doanya, perlahan.
“Abi… ami… maafkan Janna. Janna sayang sangat dekat abi dengan ami. Abi dengan ami tunggu Janna, tau? Nuri, nanti kita jumpa kat sana, ya….”
Srek….
Janna segera menyeka air matanya. Kepala ditoleh memandang Taliq yang sedang melangkah masuk ke dalam wad sambil memapah Aidan.
Aidan ukir senyuman nipis apabila anak matanya bertembung pandang dengan anak mata Janna. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di atas kerusi yang telah disediakan.
“Aidan… awak okey?” soal Janna.
Aidan angguk sekali. “Okey. Luka sikit je. Tak ada yang serius pun. How about you?”
Janna hanya menjatuhkan kepalanya sekali sebagai jawapan. Taliq berdiri di hujung katil memandang sahaja mereka tanpa suara. Ikutkan, dia mahu keluar. Namun awal-awal lagi Aidan sudah memintanya untuk turut berada di dalam wad. Alasannya, dia tidak mahu tinggal berdua dengan Janna di situ.
“Baguslah. Kau kena sihat cepat.” Aidan ukir senyuman manis untuk gadis itu. Walaupun hatinya masih mencintai Janna, namun dia harus terima yang Janna bukan jodohnya. Dia harus melepaskan Janna demi kebahagian gadis itu. Kali ini dia berpegang pada, cinta tak semestinya memiliki.
Janna angguk lagi. Bibir dikemam perlahan. Mencari ayat untuk mula dari mana.
“Aidan….”
“Hmmm?” sahut Aidan. Wajah itu dipandang.
“Saya nak minta maaf. Saya pun nak berterima kasih pada awak. Saya tak sangka yang awak akan datang malam tu.”
“Tak perlu minta maaf, Janna. Aku yang sepatutnya minta maaf dekat kau. Atas salah aku dulu. Aku dah hancurkan hati kau. Lepas bertahun-tahun, aku datang balik cari kau. Aku menyesal sangat. Tapi aku kena terima takdir yang kau milik Taufiq. Aku doakan kau bahagia. Aku harap lepas ni, kita boleh jadi kawan,” tutur Aidan kemudian tersenyum.
Janna merenung wajah Aidan. Terpapar keikhlasan di sebalik raut wajah itu. Perlahan-lahan bibirnya mengulum senyuman nipis. Kepala dianggukkan sebagai jawapan. “Mestilah boleh. Saya pun doakan awak semoga awak dapat jodoh yang baik-baik dan indah akhlaknya.”
“Terima kasih, Janna. Aku harap kau terus kuat. Allah uji kau sebab Dia tahu kau mampu hadapinya. Kau seorang wanita yang kuat. Aku yakin kau mampu. Aku pun nak berubah. Aku nak jadi Aidan yang baru. Tak ada lagi Aidan kaki buaya, kaki perempuan, kaki night club,” jawab Aidan, lalu tertawa kecil.
Janna turut ketawa sama. Taliq tersenyum saja di hujung katil. Dalam hati mengucapkan syukur dan berharap hari-hari esok akan membuatkan Janna kembali gembira seperti sediakala.
“Alhamdulillah. Baguslah kau orang dah berbaik macam ni. Dan esok, Janna dah boleh discaj. Kau pun sama, Aidan. Lepas ni, Janna stay dengan Umi Khadijah dulu buat sementara waktu sampailah Janna dan Taufiq nikah nanti,” kata Taliq.
Janna angguk kepala tanda faham diikuti oleh Aidan.
Pintu wad dibuka laju. Alia berlari masuk ke dalam wad dan segera mendekati katil Janna. Shaza pula tercungap-cungap mengikut langkah si adik yang laju itu.
Serentak kepala Taliq, Aidan dan Janna terpusing memandang ke arah mereka. Dahi masing-masing berkerut halus.
“Kak, akak okey?” soal Alia.
Janna senyum. “Ya, okey. Thank you sudi datang, Alia.”
“Huh… maaf. Budak ni memang. Dia boleh main lari-lari tadi. Ya Allah…” perlahan nada suara Shaza namun masih jelas didengari. Alia hanya tayang sengih kecil dan wajah tidak berdosanya.
Taliq segera mendapatkan Shaza. Lengan Shaza dipegang bila dilihat Shaza seolah-olah hilang pertimbangan diri.
Shaza terkebil-kebil merenung wajah Taliq. Degup jantung kedua-duanya mulai laju apabila anak mata mereka saling bertaut.
“Ehem. Excuse me, Doktor Shaza.” Sapaan dari seorang jururawat yang masuk ke dalam wad itu mengejutkan mereka berdua. Segera Shaza menjarakkan dirinya sedikit dari Taliq.
Taliq pula mengalihkan pandangannya ke arah lain. Menepuk-nepuk sedikit kot putih di tubuhnya. Alia, Aidan dan Janna sudah tergeleng kepala melihat telatah mereka itu.
“Ya?” sahut Shaza. Terasa bahang pipinya kini. Jangan timbul gosip dalam hospital ni sudah. Penat dia nak menjawab satu per satu nanti.
“Pesakit wad 037 nak jumpa doktor,” balas jururawat bernama Wardah itu. Bibirnya melarik senyuman.
Shaza hanya menganggukkan kepalanya sekali. Tubuh dipusingkan ke belakang.
“Kau tunggu akak. Jangan nak balik sorang-sorang pulak,” kata Shaza sebelum mengorak langkah mengikut jururawat tadi. Sedikit pun dia tidak memandang ke arah Taliq. Malu!
Alia mencemikkan sedikit bibirnya sebelum kepala diangguk.
“Aku balik wad aku dululah, Janna. Kau rehat ya.” Aidan bangkit dari duduknya. Taliq segera mendekati Aidan untuk memimpinnya ke wad lelaki itu.
Janna angguk kepala. Lensa matanya mengekori dua susuk tubuh itu sehingga hilang dari pandangan matanya.
“Akak rehatlah. Alia teman akak.” Alia membantu Janna untuk baring. Selimut ditarik sehingga menutupi paras dada gadis itu.
“Thank you, Alia,” ucap Janna seraya tersenyum.
“Sama-sama, kak.”
Happy reading! Maaf atas segala kekurangan ^^ Thank you! ^~^
Share this novel