BAB 5 MC

Romance Series 12737

T-SHIRT Polo berwarna putih itu disarungkan ke tubuh lalu dipadankan bersama jaket biru gelap dan juga seluar jeans berwarna hitam. Rambutnya disapu dengan gel rambut terlebih dahulu sebelum disisir rapi. Seutas jam tangan dibelitkan ke pergelangan tangan kirinya. Minyak wangi berjenama Romano Metro Pulse disembur di nadi lehernya.

Buat seketika, tubuh dibelek melalui pantulan cermin di hadapannya. Senyuman manis terlukis di bibir. Tangan naik menggosok tengkuk. Sedari semalam lagi jantungnya itu asyik berdegup dengan kencang. Berdebar rasanya. Hari ini dia bakal memulakan kerjanya di kafe milik gadis pujaan hatinya itu.

“Kau boleh Taufiq. Jangan mengalah!” wajahnya yang terpancul dikaca cermin direnung buat seketika. Punggung dijatuhkan ke bibir katil. Telapak tangan naik melekap pada dada sendiri.

“Eiii… Jantung milik Achbar Muhammad Taufiq, please be calm. Jangan berdegup laju sangat sampai nak terkeluar rasanya,” dada ditepuk perlahan. Cuba meredakan debaran di dadanya itu.

Buat beberapa minit, dia terus begitu. Setelah memastikan degupan jantungnya sudah kembali berdetak normal, dia segera bangkit lalu langkah di atur mendekati almari kaca yang menempatkan bermacam-macam jenis kaca mata.

Kesemua koleksi kaca mata miliknya itu dipandang. Kaca mata hitam yang telah berjaya menarik tumpuannya itu diambil lalu digantung ke hidungnya.

“Handsomenya kau ni Taufiq,” dia tertawa perlahan. Beg kemera digantung ke bahu sebelum langkah dibawa keluar dari bilik menuju ke tingkat bawah.

“Good morning Cutie!”

“Good morning my Baby Boo busuk-busuk masam… Come here. Let’s eat breakfast together,” cawan diambil lalu dia menuangkan air milo ke dalamnya. Cawan itu kemudiannya ditolak ke si adik yang baru saja melabuhkan punggung di kerusi berhadapan dengannya.

“Where’s Oppa?” soal Taufiq bila kelibat si abang tidak kelihatan di meja makan itu. Roti yang telah siap disapu mantega dan ditabur bersama gula dimakan perlahan.

“Dah pergi ke hospital,” balas Thaniha. Seketika, mata dipaku memandang si adik yang dirasakan agak berbeza dari hari-hari sebelumnya.

“You looks so smart today, Baby. Muka tu, berseri-seri. Is it something that I need to know?” soalnya sambil menjungkitkan kening. Milo panas itu disisip sedikit.

“Oh yeah? Erm… Not the right time to tell you,” sengih diukir buat si kakak.

Thaniha menjeling.

“Cutie siap-siap ni nak pergi photoshoot ke?”

Thaniha tidak membalas. Hanya kepala diangguk beberapa kali sebagai jawapan. Suasana terus menjadi sepi. Masing-masing diam menikmati hidangan sarapan pagi mereka. Seusai menghabiskan sarapannya, Taufiq segera bangun. Tangan si kakak dicapai lalu disalam.

“Got to go. Take care.”

“You too, take care.”

KERETA diparkir di hadapan studionya. Tubuh diboloskan dari dalam kereta. Langkah dibawa ke pintu studionya sebelum sebentuk kunci diselitkan ke dalam lubang. Pintu studio dibuka.

Sufiyya memukul-mukul bahu si kekasihnya, Husaini, yang asyik mengusiknya. Pagi-pagi sudah bikin hatinya panas. Cemberut wajahnya. Langkah di atur lebih laju dari langkah si kekasih hati disebelah.

“Ayang, abang gurau aje! Janganlah marah,” ucap Husaini diiringi dengan tawa. Terhibur hatinya bila dapat mengusik tunangannya itu. Hubungan mereka sudah pun terjalin sejak mereka masih dibangku sekolah lagi. Kini, hanya tinggal selangkah saja lagi untuk mereka memulakan hidup baru sebagai sepasang suami isteri pula.

“Tak mo ah. Tak nak kawan dengan abang dah.” Pintu studio laju ditolak. Tanpa salam terus saja dia melangkah masuk. Bosnya yang berdiri memerhati langsung tidak disapa. Punggung dihenyak kasar ke kerusi meja kerjanya.

Taufiq menggelengkan kepalanya. Kini, dia harus menanti lagi dua orang pekerjanya pula sebelum dia memulakan kerjanya di kafe.

Khairul yang baru keluar dari kereta terus menerpa ke arah Ainin. Rambut gadis yang berikat satu itu ditarik ke belakang. Terdongak kepala gadis itu dibuatnya. Terus dia membuka langkah lari meninggalkan Ainin dibelakang.

“Kurang asam kau! Ayam!” langkah dibuka mengejar lelaki itu. Tangan diangkat tinggi lalu kepala lelaki itu ditepuk dengan kuat.

“Aduh. Dasar gajah. Sakitlah!” tangan naik menggosok kepala sendiri.

Ainin menjelirkan lidahnya. Padan muka. Siapa suruh pagi-pagi dah kacau orang. Kan dah kena.

Mereka beriringan masuk ke dalam studio itu. Dua-dua menayang wajah cemberut di awal pagi yang cerah itu.

“Haih korang ni… Baguslah. Gaduh-gaduh. Kejap lagi kahwin baru tau,” Taufiq menyilangkan tangannya.

“Kahwin? Dengan ayam ni? Memang taklah. Lebih rela kahwin dengan tenuk dari dia.” Ainin memutarkan bebola matanya ke atas. Muka menyampah jelas terlakar diwajah manisnya itu.

“Eh eh eh… Gajah ni karang… Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Dah kalau kau pun tak nak, aku lagilah tak hingin!” pipi gadis itu dicubit kuat sebelum dia laju berlari dan duduk di tempatnya.

“Dasar ayam. Aku goreng kau karang. Kau tunggu, kau tunggu.”

Taufiq menggelengkan kepalanya. Tangan ditepuk sekali untuk menarik perhatian semua pekerjanya itu.

“Buat kerja macam biasa. Saya nak buat kerja kat kafe depan sana. Ingat, saya nampak apa yang awak semua buat. Jangan nak curi-curi tulang ya. Husaini, macam biasa ya,” wajah-wajah pekerjanya dipandang satu-persatu.

“Baik bos!”

MEJA kaunter itu dilap bersih-bersih menggunakan sehelai tuala kecil. Matanya mengerling seketika pada Nuri yang sedang berdiri di sisinya. Sanggup kawannya itu mengambil cuti semata-mata untuk menonton kerja lelaki yang bernama Taufiq itu. Kepala digelengkan beberapa kali.

“Nuri, Nuri. Entah apa yang syok sangat kat lelaki tu sampai kau sanggup ambik cuti sehari,” tumpuan dibuang ke arah pekerjanya yang sedang sibuk melaksanakan tugas. Pelanggan yang tidak terlalu ramai memudahkan kerja mereka hari ini.

“Hish… Aku tak tahulah kau buta mata ke buta hati. Punyalah mamat tu hensem kau tak mau! Cubalah kau masuk jarum sikit,” kata-katanya itu mengundang jelingan tajam dari Janna.

“Hensem? Hensem mana? Muka macam pondan je. Aduh!” bahu yang perih akibat dicubit si kawan digosok. Berkerut-kerut dahinya menahan rasa sakit di bahu.

“Mulut kau. Aku doakan kau kahwin dengan dia. Ngamlah ni, harini hari Jumaat. Semoga je doa aku dimakbulkan. Aamiin!” tangan dibawa meraup wajah.

“Memang taklah!” dia menyilangkan tangannya.

Nuri yang mahu membalas ayat si kawan terus terbantut niatnya bila mata terarah ke pintu kafe. Mulutnya ternganga. Tangannya laju menepuk-nepuk lengan si kawan.

“Eiii sakitlah. Apa kau ni?” tangan gadis itu ditepis. Cemberut wajahnya. Selendang hitam dikepala dibetulkan sedikit.

“Dia datang! Dia datang!” jari telunjuk Nuri naik menuding ke arah muka pintu.

Janna segera memalingkan wajah menghadap ke arah muka pintu itu. Tubuh yang tadinya bersandar pada kaunter dibetulkan.

Taufiq ukir senyum. Semua pekerja kafe yang menyapanya dibalas semula dengan sebuah senyuman manis. Pegangan pada kamera DSLR miliknya dikemaskan. Bergetar jantungnya. Menggeletar tangannya. Lemah lututnya. Semua angkara seraut wajah jelita milik Janna.

Janna yang perasan akan mata Taufiq yang terarah padanya mulai tidak selesa dek renungan itu. Senyuman segaris diukir buat lelaki itu.

“Assalammualaikum.” Sapa Taufiq, mesra. Dia berdiri di hadapan meja kaunter. Anak mata terus merenung wajah gadis ayu itu.

“Waalaikumussalam!” balas Nuri laju. Janna membalas salam lelaki itu dengan nada suara yang perlahan.

“Dah ready ke? Boleh saya mulakan kerja?” soal Taufiq.

Janna tidak membalas. Hanya kepala dianggukkan sebagai jawapan. Taufiq terus memulakan kerjanya dengan menangkap beberapa keping gambar di luar serta dalam kafe. Beberapa jenis menu makanan di kafe itu juga tidak lepas dari menjadi mangsa tangkapan lensa kamera milik Taufiq.

Janna hanya diam menjadi pemerhati di sisi Taufiq. Dalam hati memuji kecekapan lelaki itu dalam mengendalikan tugasannya.

TANGAN naik menopang dagu sendiri. Bibir melengkung senyum. Lutut ditarik lalu dibawa peluk ke dada. Dagu diletakkan di atas lututnya. Tanpa dia sedari, tingkah lakunya itu terus menjadi tumpuan dua susuk tubuh yang berdiri tidak jauh darinya.

“Kenapa dengan Baby tu, Cutie?” soal Puan Maryam kehairanan melihat sikap pelik si anak. Mereka yang sedari tadi tercegat di pintu gelangsar itu langsung tidak disedari kehadirannya oleh si anak.

Thaniha menjungkitkan bahu. Sebiji bola berwarna kuning yang terletak di tepi diambil lalu dibaling tepat ke si adik.

Taufiq yang duduk di tepi kolam renang hampir saja mahu tergolek jatuh namun tangannya sempat menahan tubuh dari terus terjunam masuk ke dalam kolam itu. Laju kepalanya berpaling mencari si pembaling bola tersebut. Thaniha hanya menayang wajah selamba seolah tidak berdosa. Cemberut wajah Taufiq. Baru dia mahu memarahi si kakak, matanya terpaku pula pada wanita yang tercegat di sisi gadis itu.

“Mama!” laju dia bangun dari duduknya lalu berlari anak mendekati si mama.

Puan Maryam tayang senyum manis. Tubuh si anak bongsu dipeluk erat. Rambut anaknya itu dibelai lembut. Satu kucupan hangat diberi di kedua belah pipi Taufiq.

“Sihat mama? Papa mana?” mata meliar mencari kelibat si papa namun tiada.

“Sihatlah. Like usually, papa terus naik. Penat katanya,” balas Puan Maryam. Bahu si anak dipeluk mesra.

Taufiq hanya menganggukkan kepalanya tanda faham. Wajah Thaniha dipandang sebelum tangan naik menarik rambut si kakak.

“Auch! Auch! Sakitlah Baby! Mama! Tengok Baby buat apa kat Cutie!” telinga si adik cuba dicapai namun Taufiq lebih cepat mengelak serangannya. Semakin kuat pula rambutnya ditarik sehingga membuatkan kepalanya terdongak ke atas.

“Baby… Janganlah. Tak baik buat Cutie macam tu,” tangan si anak ditarik agar melepaskan rambut anak sulungnya itu.

“Tapi mama, Cutie yang mula dulu,” cemberut wajah Taufiq. Tak adanya istilah, kakak kena mengalah dengan adik. Dia yang asyik kena mengalah dengan kakaknya itu adalah. Lainlah abangnya. Selalu mengalah demi kakaknya dan dirinya itu.

“Haih korang ni, umur dah besar panjang dah. Kejap lagi dah nak kahwin. Bilalah nak berubah perangai tu?”

“Baby kecik lagi. Cutie tu ha. Umur nenek-nenek dah. Umur 29 tapi tak kahwin-kahwin lagi. Nama je top model in Malaysia. Tapi umur dah sah digelar nenek kebayan,” sindir Taufiq. Bila tangan si kakak sudah naik mahu memukulnya, laju dia berselindung dibelakang tubuh si mama.

“You are too much Baby. Report Oppa!” bibir diketap menahan geram.

“Pergilah! Pergi-pergi! Werkkk!” lidah dijelir.

Thaniha menghentakkan kakinya. Laju langkah dibawa naik ke bilik. Taufiq tertawa suka melihat wajah cemberut si kakak.

“Baby. Tak baik tau.”

“Ala… Selama ni asyik Cutie je buat kat Baby, kalini biarlah Baby pulak buat kat Cutie. Sekali-sekala. Tak apa kan mama…” tangan si mama kesayangan dipaut lalu kepala dilentukkan di bahu si mama.

Puan Maryam menggelengkan kepalanya.

“Where’s Oppa? Did he knows I’m back today?” soal Puan Maryam seraya meliarkan mata memerhati sekeliling rumah.

“Maybe… I’m not sure. But around 9 p.m. he will back. Doktor… Gitulah,” sengih diukir. Mereka sama-sama melangkah menuju ke dapur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience