BAB 11 MC

Romance Series 12737

BUNYI ketukan kuat di daun pintu membuatkan lena Taufiq sedikit terganggu. Perlahan kelopak mata yang masih terasa berat untuk dibuka digagahkan jua. Seketika dia mengiring ke kiri sambil memeluk bantal yang terletak di sisi. Siapa pula yang kacau dia pada awal pagi begini di hujung minggu yang indah ini? Ada saja yang mahu mengganggu keamanannya.

“Baby!”

Jeritan si kakak di luar pintu kamar langsung tidak di endahkan. Untung saja dia mengunci pintu biliknya malam semalam. Kalau tidak, pasti kakaknya itu akan menyerbu masuk dan menolak tubuhnya sehingga jatuh dari atas katil. 24 tahun dia hidup, kakaknya itu jauh sekali mahu mengejut dirinya dengan cara yang lembut.

Kena tolak jatuh katil.

Kena ketuk.

Kena jerit.

Kena cubit.

Yang paling dia tidak pernah lupa, ketika mereka sekeluarga pulang berjumpa nenek di Korea. Kakaknya itu menyimbah dia dengan air semata-mata untuk mengejutkannya dari lena! Sudahlah waktu itu sejuk berhawa dingin ditambah sejuknya negara Korea. Boleh pulak disimbah dengan air! Bukan air suam ke apa. Sebaldi air yang sudah ditambah ais! Bayangkanlah betapa sejuknya ketika itu. Dan pada hari itu jugalah dia demam.

Memang dia takkan lupakan sikap kejam kakaknya itu!

“Baby!” jerit Thaniha masih setia di luar kamar si adik. Ketukan makin kuat kedengaran.

“Baby!”

“Apa dia Cutie? Janganlah kacau! Ngantuk ni!” balas Taufiq dengan suara serak basahnya. Mata masih perlu direhatkan, namun si kakak pagi-pagi sudah menjerit. Mengalahkan Kak Ros Upin dan Ipin!

“Baby! Tolong Cutie!”

“Ala… Nantilah… Suruhlah Oppa ke…” duvet yang dah melurut ke bawah ditarik menutupi kepalanya.

“Please, Baby! Oppa pergi hospital. Dia take over sorang doktor.”

Taufiq menghela nafasnya perlahan. Tubuh yang masih mahu berbaring di atas tilam empuk itu digagahkan juga untuk bangun. Perlahan langkah di atur mendekati daun pintu. Tombol pintu dipulas lambat-lambat.

“Apa dia?” soalnya sambil menyandarkan sisi tubuh di bingkai pintu. Tangan naik menyingkap rambut yang terjuntai di dahi. Mata yang masih berat dipejamkan.

PAP!

“Aduh!” tangan naik menggosok pipi sendiri yang pagi-pagi sudah menerima habuan tangan dari si kakak. Mata dicelikkan.

“Apa… Sakitlah.” Masam wajahnya memandang wajah Thaniha. Kakaknya ini memang tak senang melihat dia senang. Entah apa yang didengkikan oleh si kakaknya pun dia tak tahulah.

Thaniha mencekak pinggang menggunakan sebelah tangan. Wajah si adik yang masam mencuka dek tamparan tangannya di pipi, langsung tidak diendahkan. Sedetik rasa serba salah pun tidak dapat menyelinap masuk ke dalam setangkai hatinya. Bukan dia lempang ke tampar ke. Dia tepuk aje. Perlahan aje… Kut…

“Baby ni dah kenapa? Penat Cutie jerit! Lepastu pandai pulak kunci pintu bilik ni!”

“Kalau tak kunci, tak mustahil Cutie tak akan buat macam apa yang Cutie pernah buat kat Baby selalu kan,” balasnya. Kedua-dua belah tangan dibawa naik menyilang ke dada. Anak mata sepetnya merenung wajah si kakak.

Thaniha mencebirkan bibir. Taufiq kembali memejamkan matanya. Nak menunggu kakaknya bersuara sebab mengapa dia dikejutkan awal pagi begini rasanya macam nak menunggu janggut tumbuh saja.

PAP!

PUK!

“Auch!” tangan naik menggosok kedua-dua belah pipinya. Kalau tadi hanya pipi kiri sahaja yang menerima habuan, sekarang kedua-dua belah pipinya sudah mendapat habuan percuma.

“Wake up lah. Nak tunggu pukul berapa baru nak bangun? Matahari dah mencelik tinggi, Baby masih ada hati nak tidur!” bebel si kakak. Cemberut wajah Taufiq.

“Cutie nak apa ni? Mentang-mentang mama papa keluar pergi event, Oppa pulak keluar pergi hospital, boleh pulak suka-suka hati Cutie je nak buli Baby kan,” balasnya tak puas hati. Thaniha menyungging senyum senget.

“Haah. Sebab apa? Sebab Baby tu adik. Memang sering dibuli. Alah Baby ni… Macam tak biasa je kan!” kini bahu si adik pulak ditepuk kuat dengan selambanya. Suka dia melihat wajah cemberut si adik.

“Sakitlah Cutie! Janganlah!”

“Alalalala… Marah pulak…” Thaniha tergelak. Puas hatinya dapat mengenakan adiknya itu. Tak apa kut… Sebab tak lama lagi dia sudah pun mahu berkahwin. Sudah tentunya dia tidak dapat lagi sering mengerjakan adiknya yang satu itu. Dengan sisa masa yang tinggal ini, baik dia gunakan sehabis yang baik!

Taufiq diam. Wajahnya jelas terpancar riak tidak puas hati. Semakin galak Thaniha mengertawainya.

“Ni tolong Cutie. Cutie nak buat puding karamel. Tapi bahan tak ada. Belikan ya. Cutie malas nak drive.” Nota kecil yang sudah ditulis bahan-bahan diletakkan di atas telapak tangan si adik.

“Cutie ni…”

“Baby… Tak baik tau melwan cakap kakak!”

“Hish yelah… Kejap lagi.”

“Baby now!”

Taufiq menghela nafas berat. Dengan malasnya dia melangkah masuk semula ke dalam bilik dan membersihkan tubuhnya terlebih dahulu.

PERLAHAN troli disorong menghampiri rak-rak yang menempatkan bahan-bahan bakeri. Kertas yang diberikan oleh si kakak tadi dikeluarkan dari dalam jaket kulit berwarna coklat yang dikenakan. Satu per satu bahan yang sudah di list kan oleh si kakak dibaca.

BUK!

“Aduh…”

Dan-danlah kepala Taufiq terdongak. Mulutnya sedikit terbuka bilamana troli yang disorong melanggar seorang gadis secara tidak sengaja. Cepat-cepat dia menghulurkan bantuan kepada si dia yang sudah selamat terduduk di atas lantai supermarket itu.

“Cik… Maafkan saya… Saya langsung tak perasan…” kata Taufiq, serba-salah.

“Tak apa… Saya okey…” Kepala gadis itu mendongak. Buat seketika, lensa mata mereka saling bertaut. Tak berkedip mata masing-masing. Pegangan Taufiq pada lengan Janna juga tidak dilepaskan. Masing-masing bagaikan terpaku tanpa suara.

“Eh… Janna…”

Janna tersedar. Cepat-cepat dia berdiri tegak. Kepala ditundukkan. Pipi membahang panas.

“Tak sangka kita berjumpa kat sini kan,” ujar Taufiq diiringi senyuman. Buat kali pertama dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada si kakak yang mengejutnya. Kalau tidak, mungkin dia akan terlepas peluang sebesar ini.

“Haa… Ya…” ringkas gadis itu membalas. Langkah segera di atur mendekati trolinya. Taufiq cepat-cepat menolak troli menggekori langkah Janna.

“Awak seorang je ke?” soal Taufiq.

“Awak ada nampak orang lain ke?” soalnya.

Taufiq tersengih sendiri. Sindiran gadis itu langsung tidak menjentik hatinya, malah membuatkan hatinya semakin terhibur dengan sikap jual mahal gadis itu. Yelah, masa zaman persekolahan dulu pun, semua tergila-gilakan dia. Semua cuba menarik perhatiannya namun tiada sorang pun yang mendapat peluang darinya.

Tapi gadis dihadapannya… Unik… Sikap jual mahal gadis itu yang amat dia sukai.

“Awak, jom saya belanja awak makan.” Pelawa Taufiq sambil langkah tetap mengekori setiap langkah gadis itu.

“Tak apalah… Terima kasih aja,” balas Janna acuh tak acuh. Tepung gandum yang tersusun di rak diambil 2 paket lalu diletakkan ke dalam troli. Cuba mengabaikan kewujudan lelaki itu.

“Tapi saya ikhlas ni,” pujuk Taufiq lagi.

Langkah Janna terhenti membuatkan langkah Taufiq turut sama terhenti. Gadis itu memusingkan tubuhnya memandang ke arahnya.

“Awak ni faham bahasa melayu ke tidak? Kan saya kata tak nak. No means no,” balas Janna, tegas. Terbias riak tegang di wajah itu.

Dan-danlah bibir Taufiq menyungging senyum lebar. Comel sangat wajah gadis itu! Cair hati dia dibuatnya.

“Dahlah saya nak balik. Stop following me!” sempat amaran diberi sebelum langkah dibawa menyorong troli ke kaunter pembayaran.

Taufiq menghantar susuk tubuh itu menggunakan ekor mata. Tangan naik menopang dagu di tempat pemegang troli.

Hailah hati…

Kalau dah sayang, dia marah macam mana pun tetap cantik.

Sah bin sah!

Dia angau teruk! Angau tahap 7 langit tertinggi! Fuh!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience