BAB 15 MC

Romance Series 12737

JANNA melabuhkan duduk pada sebuah kerusi. Sekeliling kafe itu dipandang seketika. Selepas kafenya itu viral di dalam sebuah majalah, pelanggannya semakin bertambah. Rata-rata memuji susun atur kafe ini. Tidak kurang juga ramai yang memuji rasa dan kualiti makanan yang disediakan di kafe ini boleh setaraf dengan kafe-kafe 5 bintang yang harganya jauh lebih mahal.

Dia tersenyum.

Tidak pernah dia menduga ramai yang akan suka dan jatuh cinta dengan kafenya itu. Dengan berkongsepkan element cinta dan semangat jati diri, kafe ini berjaya maju setanding dengan kafe-kafe lain.

Beberapa orang pekerjanya yang sedang sibuk ke hulur ke hilir mengambil serta menghantar pesanan dipandang. Bersyukur dia mempunyai pekerja-pekerja yang sangat baik. Tidak pernah sekali pun mengambil kesempatan atas kebaikan yang dia berikan. Sesungguhnya dia amatlah menyayangi setiap sorang pekerjanya itu.

Seketika, fikirannya melayang mengingati kepada seseorang yang telah pun menjadi sebahagian dari memori silamnya. Kalau saja dia mampu memadamkan segala memori yang tidak berguna itu di dalam hidupnya, memang memori bersama lelaki bernama Aidan Zarith akan menjadi orang pertama dia padamkan dari kamus hidupnya.

Dia enggan mengingati lagi. Kerana hatinya sendiri akan berasa sakit tatkala mengenangkannya. Setiap kenangan manis bersama lelaki itu hanyalah satu toxic yang sukar untuk dia menawarnya.

 

Beberapa tahun yang lalu…

STRAW di dalam gelasnya diputar-putarkan seketika sambil menunggu kehadiran orang ditunggu-tunggunya sedari tadi. Sesekali lensa matanya dilarikan ke muka pintu kafe itu dengan harapan setiap kali pintu terbuka, orang yang dinanti akan muncul.

“Sayang…”

Suara garau itu membuatkan kepalanya pantas mendongak. Seraut wajah tampan kekasihnya itu dipandang. Dan-dan lah bibirnya mengoyak senyum.

“Hai Aidan… Jemputlah duduk.”

Aidan segera menarik sebuah kerusi yang terletak bertentangan dengan gadis itu lalu punggung dihenyakkan. Buat seketika, wajah gadis itu direnung lembut. Melepaskan segala kerinduan yang telah tertanam setelah beberapa minggu tidak bersua muka dek kesibukannya di kolej.

Lamunannya dipecahkan dengan kehadiran seorang pelayan wanita yang datang untuk mengambil pesanannya. Seusai pesanan dibuat, gadis itu segera meminta diri. Aidan kembali menghalakan bebola matanya merenung seraut wajah ayu itu.

“Aidan… Dah kenapa tenung saya macam tu?”

Dia menghamburkan ketawanya. Kedua-dua belah tangan diletakkan di atas meja itu.

“Rindulah… Saya minta maaf tau. Saya sibuk sangat sampai tak sempat nak luangkan masa dengan awak,” kata Aidan. Dia sememangnya harus belajar dengan lebih giat agar syarikat milik keluarganya itu dapat dikendalikan dengan baik di masa hadapan kelak.

Janna mengukirkan senyuman sebelum kepala digelengkan beberapa kali. “Tak apalah… Saya faham. Saya pun busy sikit. Nak dekat exam ni macam-macam kena ready.”

“Oh ya… Dah last sem, kan? Lepas habis belajar ni, nak buat apa?” soal Aidan. Minumannya yang baru tiba disedut sedikit.

“Saya teringin nak ada kafe sendiri. Macam kafe ni. Cantik… Tapi, saya nak buat kafe saya tu element cinta dan semangat diri. Awak rasa macam mana?”

“Nice… Tapi kalau kita dah kahwin nanti, awak tak kerja pun tak apa… Saya boleh tanggung awak.” Mata dikenyitkan sekali buat kekasihnya itu.

Janna tertawa kecil. Merah pipi dibuatnya.

“Hish awak ni… Habiskan study dulu… Belum habis study dah nak bercakap soal kahwin,” balas Janna lalu menyedut air minumannya.

“Janna, saya sayangkan awak tau. Sampai hujung nyawa saya.”

Ungkapan Aidan membuatkan lensa mata Janna perlahan-lahan naik merenung wajah lelaki itu. Lelaki yang telah berjaya mendapat tempat di dalam hatinya. Lelaki yang berjaya membuatkan sekeping hatinya berbunga-bunga tatkala mendengar ungkapan cinta dari bibirnya.

“Saya pun sayangkan awak sampai hujung nyawa saya, Aidan.”

 

“CIK JANNA.”

Lamunannya berderai tatkala suara itu menyusup masuk ke dalam gegendang telinganya. Pantas kepala didongak memandang si empunya suara. Lelaki itu mengukirkan senyuman manis buatnya. Dia berdeham seketika sebelum mempersilakan lelaki itu untuk duduk.

Taufiq lantas akur dan terus duduk tanpa sebarang bantahan. Buat seketika, dia terus memaku pandang pada wajah gadis berselendang hitam itu. Terubat sudah segala kerinduannya yang telah pun tersimpan sejak kelmarin.

“Encik Taufiq nak pesan apa?” soal Janna segera bangun dari tempat duduknya.

“Tak payahlah panggil encik. Panggil Taufiq je,” balas Taufiq bersama dengan senyuman manis yang kian melebar di bibir.

“Baiklah… Tapi dengan syarat, awak pun kena panggil saya Janna je. Tak payah cik-cik lagi.”

Taufiq melepaskan tawa kecil seraya kepala dianggukkan beberapa kali tanda setuju. Janna turut tersenyum tanpa dia sendiri sedari akan hal itu.

“Nak order apa?” soalnya mengulang kembali soalannya itu setelah tawa lelaki itu mulai reda.

“Nak order awak jadi bakal isteri saya.”

Janna terpinga-pinga. Hampir saja buku nota kecil serta pen di tanggannya itu jatuh ke bawah namun sempat dia menahan dari perkara itu terus terjadi. Wajah Taufiq yang cukup selamba itu direnung tidak berkelip.

“Apa dia?” soalnya kembali.

“Nak order awak jadi bakal isteri saya,” ulang Taufiq sekali lagi. Wajah itu direnung tidak lepas.

Janna terkedu. Renungan lelaki itu turut dibalas namun dengan pantas dia mengalihkan bebola matanya itu dari terus ditatap oleh sepasang anak mata lelaki bernama Achbar Muhammad Taufiq.

“Maaf. Saya bukan untuk dijual,” balas Janna sedikit menekan nada suaranya.

Taufiq tertawa kecil lalu menganggukkan kepalanya beberapa kali. Sejambak bunga mawar merah yang sedari tadi berada di tangannya dihulurkan kepada gadis itu. Janna mengerutkan dahinya. Terbias riak kehairanan di wajah itu.

“Ambiklah… Saya ikhlas. Bunga mawar ni memang saya beli untuk awak pun.”

Lambat-lambat Janna menyambut huluran dari lelaki itu. Hati terdetik suka. Memang bunga mawar merupakan bunga kegemarannya. Namun riak wajah sebaik mungkin dikawal agar tidak kelihatan sangat keterujaannya itu.

“Terima kasih. Cantik,” puji Janna.

“Macam awak,” sambung Taufiq.

Janna berdeham.

“Tak nak pesan apa-apa ke? Kalau tak saya nak ke dapur ni. Banyak kerja lagi nak kena buat,” kata Janna mahu menyelamatkan dirinya dari terus direnung oleh Taufiq.

“Jom couple nak?”

Ternganga Janna dibuatnya. Wajah itu direnung tidak percaya.

“Jangan buat lawaklah!” tegas Janna.

“Saya tak buat lawak pun. Jujur ni. Saya sukakan awak.”

Janna terkedu. Lama wajah itu direnung olehnya. Memang tidak dia nafikan lelaki itu mempunyai seraut wajah yang indah untuk dipandang. Namun, kenangan lalu mengajarnya sesuatu.

Jangan terima seseorang kerana rupa parasnya.

Wajah yang indah belum tentu menjaminkan akhlaknya yang sempurna.

“Janna…”

Lamunannya berderai tatkala suara itu menyapanya. Wajah ditundukkan seketika lalu dia berdeham. Hujung tudungnya dibetulkan sebelum dia kembali mendongakkan wajahnya memandang ke arah Taufiq.

“Maaf. Saya tak boleh terima. Awak carilah perempuan lain. Lebih banyak kat luar sana. Lebih cantik dari saya. Saya ni tak ada apa-apa. Sekian. Saya minta diri dulu.” Tanpa menunggu terlebih dahulu balasan dari lelaki itu, segera langkah dibuka besar menuju ke dapur.

Taufiq hela nafas ringan. Susuk tubuh itu dihantar menggunakan lensa matanya sehingga lenyap dari pandangan.

“Tak apa, Taufiq… Tak apa… Jangan give up. Nak seribu daya. Tak nak seribu dalih. Jangan menyerah.”

Kata-kata semangat ditiup buat diri sendiri. Satu senyuman manis diukirkan di bibirnya. Dia tak akan pernah menyerah kalah untuk merebut sekeping hati milik Nur Khalisya Hijannah!

 

LANGKAH diatur keluar dari bilik wad pesakit itu. Stetoskop dilingkarkan di leher sebelum tangannya diseluk masuk ke dalam poket kot baju doktornya. Seketika anak matanya meliar memandang sekeliling. Doktor hatta jururawat sibuk ke hulur ke hilir menjalankan tugasan yang diberi.

BUK!

Dek kelekaannya dalam memerhati kawasan itu, dia telah pun melanggar seseorang. Laju anak matanya beralih memandang si dia yang telah pun jatuh terduduk akibat pelanggaran itu.

“Doktor Shaza.” Segera dia meninggung di sisi doktor wanita itu. Wajah itu direnung seketika. Entah mengapa, hatinya terus berbunga tatkala wajah itu memenuhi kornea matanya.

“Doktor Shaza okey?” soalnya, prihatin.

Shaza mendongakkan wajah. Buat beberapa detik anak mata mereka saling berlaga pandang. Bergerak-gerak anak mata masing-masing ketika berbalas renungan. Shaza bingkas bangun. Pakaiannya dibetulkan sedikit bagi menutup kegugupannya apabila berhadapan dengan doktor kacak itu.

“Maafkan saya, Doktor Taliq.” Wajah lelaki yang telah pun berdiri di hadapannya hanya dipandang sekilas sebelum dia kembali menundukkan wajah. Enggan terus bertatapan mata dengan doktor lelaki yang terlajak handsome itu.

Taliq ukir senyum. “Salah saya. Saya yang terlalu leka tengok kawasan sekeliling.”

Shaza tersenyum kecil. Buat beberapa minit, suasana sepi. Suara-suara yang terhasil di sekeliling mereka bagaikan lenyap buat sementara.

“Doktor Taliq.”

“Doktor Shaza.”

Mereka saling berpandangan sebelum ketawa kecil terlepas. Tidak menyangka yang mereka akan serentak menyeru nama masing-masing.

“Cakaplah dulu,” kata Taliq memberi keizinan untuk gadis itu menyambung bicara.

“Eh tak… Doktor cakaplah dulu,” balas Shaza pula. Bibir dikemam. Wajah lelaki itu cuba tidak mahu direnung, namun entah mengapa matanya ingkar akan arahan dirinya. Sudahnya, wajah lelaki itu direnung setiap inci tanpa lepas.

“Kalau Doktor Shaza tak busy, saya nak belanja doktor makan.”

“Eh… Tak payahlah. Sebenarnya saya yang nak belanja doktor makan. Haritu kan doktor dah belanja saya makan. Kalini biarlah saya pula yang belanja doktor,” balas Shaza. Memang itu pun niatnya semenjak beberapa hari yang lalu namun kekangan masa dan kesibukannya menghalang dia untuk bertemu dengan doktor itu.

“Tak apalah saya yang belanja awak.”

Shaza laju menggelengkan kepalanya. Jari telunjuknya naik bergoyang ke kiri dan ke kanan berulang-ulang kali.

“Saya belanja doktor. Muktamad. Kita jumpa tengahari nanti ya.” Sempat dia mengukirkan senyuman manis sebelum membuka langkah laju meninggalkan lelaki itu. Selaju detak jantungnya ketika itu.

Taliq tunduk lalu melepaskan tawa kecil. Rambutnya yang terjuntai di dahi, disebakkan ke belakang.

“Amboi… Amboi… Amboi… Doktor Taliq ni bukan main happy nampak?”

Taliq terkejut. Segera dia memalingkan wajah memandang seorang doktor lelaki yang sedang berjalan menghampirinya. Dan-dan lah sengihan terkoyak dibibirnya.

“Hish… Aku serius sangat, kau marah. Kutuk aku macam-macam. Bila aku happy, kau pula bertanya itu ini. Kau nak aku bengis ke apa?” soalnya pada sahabat baiknya itu.

Lelaki itu melepaskan tawa.

“Relaks lah… Aku bukan tak suka tengok kau happy macam ni. Suka sangat. Entah-entah kau ni dah dilamun cinta tak dengan Doktor Shaza yang cantik meletops tu. Kan?” tebak Zayyan seraya tersenyum penuh makna.

“Doktor Zayyan… Jangan nak mengarut boleh tak? Dah lah. Aku nak sambung kerja. Kau jangan curi tulang pulak. Lupakan seketika Cik Aieyra kau tu,” kata Taliq sebelum membuka langkah pergi menuju ke bilik kerjanya.

“Eleh… Suka hati akulah,” balas Zayyan.

Taliq tidak mengendahkan sahabatnya itu lagi. Dia terus saja melangkah pergi. Sepanjang perjalanan, mindanya tak henti-henti memikirkan omongan kawannya itu sebentar tadi.

Adakah dia sudah jatuh hati pada Doktor Shaza? Atau dia hanya menyukai gadis itu dek keramahan dan kesopannya?

Tidak dapat tidak. Dia harus merungkai segala isi hatinya itu!

 

WAKTU tengahari telah pun tiba. Mereka berdua jalan beriringan menuju ke kantin. Setelah membuat pesanan makanan, mereka terus mengambil tempat di sebuah meja. Suasana sepi seketika.

Taliq tidak melepaskan peluang itu untuk merenung setiap inci wajah gadis itu. Cantik. Memang tak dinafikan. Ayu dengan penampilan gadis itu yang menutup auratnya. Sopan dalam berbicara. Tidak sama seperti khabar angin yang mengatakan gadis itu seorang yang garang dan sentiasa serius. Hakikatnya, gadis itu seorang yang ramah dan murah dengan senyuman.

“Erm… Doktor.”

Taliq tersedar dari lamunannya. Dia berdeham seketika.

“Ya?”

“Doktor dah kahwin ke?”

Taliq terkebil-kebil merenung wajah itu. Suasana terus menjadi bisu.

“Erk. Jangan salah faham. Saya tak nak nanti isteri atau tunang tak pun kekasih doktor datang serang saya. Naya saya nanti,” balas Shaza membetulkan ayatnya yang mungkin boleh disalah tafsirkan.

Lelaki itu lorek senyum lalu kepala digelengkan beberapa kali.

“Saya belum kahwin. Belum tunang. Belum juga berpunya.”

Shaza menganggukkan kepalanya.

“How about you?” soal Taliq.

“Just same like you, doctor.”

Dia tersenyum. Jawapan dari gadis itu bagaikan peluang baginya untuk lebih mengenali gadis bernama Siti Nurshazalina ini.

Tak lari gunung didaki. Tak hilang si dia yang dicari! Kalau sudah berjodoh, jauh mana pun, mereka tetap akan disatukan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience