Series
12737
JUBAH berwarna krim itu disarungkan ke tubuh. Shawl putih bercorak bunga-bunga merah jambu yang tergantung di dalam almari dicapai lalu dililitkan ke kepala. Wajah dimake-up tipis. Seketika dia tersenyum memandang figuranya yang terpapar di kaca cermin.
Beg silang di atas meja solek dicapai lalu digantungkan ke bahu. Langkah terus dibawa turun menuju ke tingkat bawah. Susuk tubuh wanita lingkungan 40-an yang sedang menghidangkan juadah pagi itu dipeluk dari belakang.
“Ami…”
Puan Jamilah menoleh memandang wajah si anak. Segaris senyuman dihadiahkan kepada anak tunggalnya itu. Bahu si anak dipeluk.
“Morning anak ami… Cantiknya harini. Tak pergi kafe?”
Janna menggelengkan kepalanya. Punggung dihenyakkan di kerusi. Beg silang diletakkan di atas meja makan.
“Janna nak pergi Rumah Cahaya Kaseh. Rindu kat dorang semua,” balas Janna. Puan Jamilah menyambutnya dengan senyuman. Cawan kosong diisi dengan air kopi lalu ditolak mendekati si anak. Janna membalasnya dengan ucapan terima kasih dan sebuah senyuman manis.
“Amboi… Lawanya anak abi ni… Nak pergi dating ke apa ni?”
Encik Norman memaut bahu si anak kesayangannya. Janna mendongak. Dia tertawa. Kepala digelengkan beberapa kali.
“Apalah abi ni… Mana adalah… Janna nak pergi jumpa ummi!”
“Amboi… Jumpa ummi je pun dah pakai cantik-cantik mengalahkan pergi dating dengan Aidan dulu. Ya tak, ami?” Encik Norman melabuhkan punggungnya dikerusi yang terletak di tengah meja. Puan Jamilah menganggukkan kepalanya tanda setuju.
Wajah Janna yang tadinya gembira kini bertukar kelat tatkala nama itu meniti di bibir abinya. Encik Norman yang perasan akan wajah kelat si anak terus memaku pandang pada seraut wajah itu.
“Janna belum move on ke? Masih tak boleh terima apa yang dia dah buat kat Janna dulu?” soalnya.
Janna menoleh, senyuman kelat dipamer sebelum kepala digeleng perlahan.
“Taklah abi… Janna tau, lelaki macam Aidan tu tak layak untuk dijadikan suami. Janna nak seseorang yang boleh pimpin Janna ke syurga. Tapi ciri-ciri tu tak ada dekat Aidan,” balas Janna. Sebiji nugget ayam diambil lalu dikunyah.
“Betul. Tapi Janna, jangan disebabkan sikap Aidan, Janna tutup pintu hati Janna untuk orang lain. Tak semua lelaki macam tu, Janna.” Pesan Puan Jamilah seraya menatap wajah si anak.
Janna terkedu.
Ya. Sejak dari peristiwa itu dia bertekad menutup pintu hatinya untuk lelaki lain. Kunyahan dia menjadi semakin perlahan.
“Janna?” panggilan dari aminya itu menyentakkan dia dari lamunan. Anak mata pantas naik merenung wajah Puan Jamilah
“Ya ami?”
“Jangan pernah tutup pintu hati Janna untuk lelaki lain. Beri peluang untuk mereka buktikan.”
Janna tidak membalas apa-apa. Hanya kepala dianggukkan sebagai jawapan.
CERMIN mata coklat yang tergantung di hidung dibetulkan sebelum langkah laju dibawa memasuki kafe itu. Meliar mata mencari sesusuk tubuh yang kini sering berada di minda. Bila mata dipejam, dia hadir di dalam mimpi. Bila mata dicelik, hanya seraut wajah ayunya yang berlegar di minda.
Alahai! Ini ke yang di namakan cinta pandang pertama. Sekali pandang zassss! Terus jatuh cinta!
“Encik… Encik…”
Lamunan yang sempat bertandang pecah berderai bila dia ditegur oleh seorang pelayan yang merupakan pekerja di kafe ini. Sempat dia mengerling ke arah name tag yang tergantung di dada baju gadis itu.
“Silakan duduk encik. Nak pesan apa?” soal Amira berserta sebuah senyuman manis. Dalam hati memuji ketampanan lelaki yang berdiri di hadapannya ini.
Taufiq mengukirkan senyum sebelum dia mengambil tempat di bahagian blue white. Tidak perlu dia membelek semula buku menu yang disediakan, dia telah pun menghafal semua menu yang ada di kafe ini berserta dengan harganya sekali.
“Salted caramel mocha and susuka cupcake.”
Amira menganggukkan kepalanya berulang kali.
“Anything else?” soalnya.
Taufiq menggelengkan kepalanya. Baru saja gadis itu mahu membuka langkah, laju dia menahannya. Amira segera menoleh dan merapati meja yang diduduki lelaki itu.
“Ya encik?”
“Cik Janna tak masuk lagi ke?” soalnya bila sedari tadi dia tidak dapat mengesan susuk tubuh yang dirinduinya itu.
Amira menggelengkan kepalanya. “Janna tak masuk harini.”
Jawapan dari gadis itu bagaikan pisau belati tajam yang terus menghiris hatinya yang sedang sarat dengan kerinduan buat si kekasih hati ‘tak sah’ nya itu. Wajahnya bertukar agak kelat. Hampa.
Dahlah hati sedang sarat merindui. Boleh pulak si dia tidak menghadirkan diri…
“Encik okey?”
Dia tersentak. Kepala kembali mendongak memandang wajah gadis itu. Senyuman segaris diukir.
“Ya okey. Terima kasih,” ucapnya. Amira mengangguk bersama senyuman. Tanpa melengahkan masa lagi, segera langkah dibawa unuk menghantarkan pesanan lelaki itu kepada rakannya yang bertugas di bahagian dapur.
Taufiq melepaskan keluhnya. Jarinya menguis-nguis alas meja berwarna biru itu. Sebelah tangan naik menopang dagu sendiri. Raut wajah ayu milik Janna tak henti-henti berlegar dalam mindanya.
“Saya rindu awaklah…” gumamnya perlahan. Telefon bimbit di dalam kocek seluar jeansnya dikeluarkan lalu geleri dibuka.
Gambar gadis itu yang sempat ditangkap dalam diam direnung.
Comelnya… Getus hatinya.
“Haihlah Taufiq… Don’t be like this lah…” rungutnya perlahan.
“Nak buat macam mana. Dah terjatuh cintakan…” balasnya sendiri. Telefon bimbitnya itu digenggam kemas.
“Tak apa… Masih banyak masa… Calm down… Fight for your love. Insya-Allah.”
“Encik Taufiq?”
Taufiq mendongakkan wajahnya. Dia tersenyum bila melihat gadis itu. Nuri turut membalas senyumannya.
“Boleh saya duduk?” soalnya.
Taufiq menganggukkan kepalanya. “Silakan…”
Mereka saling membalas senyum.
KERETA milik Janna mula memasuki pekarangan Rumah Cahaya Kaseh itu. Enjin kereta dimatikan sebelum tubuh dibawa keluar dari dalam perut kereta.
“Mama! Korang! Mama sampai!” jerit seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun. Dia laju bangun dan meninggalkan alat permainannya di atas lantai.
Beberapa orang kanak-kanak laim turut laju mengekori kawan mereka itu.
“Mama!” serentak mereka menyeru seraya melambai-lambaikan tangan mereka dengan riang.
Janna tersenyum lalu tertawa. Tangan naik membalas lambaian kanak-kanak itu. Kotak makanan KFC dibawa keluar lalu langkah di atur menghampiri mereka berempat yang tercegat di muka pintu.
“Hai anak-anak mama semua…” dia tersenyum dan segera menyambut salam dari mereka semua.
“Lamanya mama tak datang sini… Kitorang rindu sangat dekat mama!” rungutan Una disambut dengan anggukan dari 3 orang lagi kanak-kanak lain di sisinya.
“Mama lupa kitorang ek?” soal Omar berwajah masam.
“Mama dah jumpa anak baru ek…” soal Alif pula.
“Mama dah tak sayang kita ke?” soal Elisya.
Kini, empat pasang mata tepat terpaku pada wajah Janna. Serba-salah dia dibuatnya. Disebabkan kefenya yang kian berkembang maju, dia mengalami masa yang amat terhad untuk melawat rumah itu dengan lebih kerap.
“Omar, Alif, Una, Elisya… Kenapa ni?”
Mereka sama-sama menoleh memandang ke arah wanita yang agak berusia itu.
“Assalammualaikum ummi…” tangan Puan Khadijah atau lebih mesra dipanggil ummi disalam lalu dikucup lembut.
“Waalaikumussalam Janna… Wah… Dah besar ya kamu… Ami abi kamu sihat? Lama tak dengar khabar.” Tersenyum Puan Khadijah menyambut kehadiran anak angkatnya itu.
Hubungan akrab antaranya dengan sahabatnya, Jamilah membuatkan dia sudah menganggap Janna bagikan anaknya sendiri memandangkan dia tidak mempunyai anak. Usia perkahwinannya dengan suami juga tidak panjang apabila dia diceraikan setahun kemudian. Dek rasa sunyi dan kasih akan kanak-kanak, seluruh duit simpanannya digunakan bagi membina Rumah Cahaya Kaseh ini.
“Sihat ummi… Ami abi kirim salam.”
“Waalaikumussalam… Haaa mari-mari masuk. Sampai-sampai je terus kena serang ya? Dorang rindu sangat kat kamu tu. Setiap hari tanya bila mama dorang nak datang melawat.”
Janna menyambutnya dengan tawa. Kasut dibuka lalu disusun ke rak kasut yang tersusun di tepi pinth. Dia terus melangkah masuk ke rumah itu dengan diekori 4 orang kanak-kanak cilik tadi.
Kotak makanan segera, KFC diletakkan di atas meja makan.
“Mama… Mama…”
Janna memalingkan tubuh memandang Elisya. Kanak-kanak berumur 5 tahun itu mendepakan kedua-dua belah tangannya kepada Janna. Meminta agar dirinya didukung olehnya. Janna tersenyum. Tubuh itu terus didukung lalu satu kucupan hangat dihadiahkan di kedua-dua belah pipi gebu Elisya.
“Sayang mama…” lehernya dipaut mesra oleh si kecil itu. Janna mengusap lembut kepala si kecil itu. Dia sememangnya amatlah rapat dengan si kecil itu.
Dari sumber yang dia perolehi dari umminya, Elisya merupakan anak yatim piatu yang kehilangan kedua ibu ayahnya dalam satu kemalangan tragis yang melibatkan 3 buah kereta dan sebuah lori. Dikatakan, kedua ibu ayah Elisya sedang dalam perjalanan untuk mengambil Elisya yang ketika itu berumur 5 bulan di rumah pengasuh namun tidak kesampaian. Setelah itu, Elisya dijaga dibawah jagaan mak ciknya namun dek rasa ‘susah’ menjaga Elisya, si kecil itu kemudiannya dihantar ke sini. Sudah hampir 5 tahun si kecil itu dibesarkan di dalam Rumah Cahaya Kaseh ini.
“Mama pun sayang Elisya.”
Mereka menghabiskan masa bersama-sama sehinggalah malam mengetuk pintu masa. Janna tersenyum kecil. Tidak puas mahu bersama mereka semua namun apakan daya, dia harus juga pulang ke rumah. Tangan naik melambai ke arah anak-anaknya yang tercegat di pintu memerhatikannya. Jelas terpancar riak sedih di wajah masing-masing.
“Nanti mama datang lagi ya… Jangan sedih… Mama sayang korang semua… Bye sayang mama…” tubuh diboloskan ke dalam kereta.
Mereka hanya memerhati kereta milik Janna keluar dari pekarangan rumah itu lalu lesap dari pandangan mata. Elisya mulai menangis teresak-esak. Itulah yang seringkali terjadi bila terpaksa berpisah dengan mama kesayangannya.
“Mama… Mama… Nak mama…” tangisnya tersedu-sedu. Air mata mulai deras mengalir membasahi pipinya yang gebu
“Sayang, janganlah macam ni… Nanti tokmi call mama ya suruh dia datang lagi jumpa Elisya. Okay?” pujuk Puan Khadijah. Elisya mengangguk tanpa suara.
“Una, bawak adik masuk tidur ya.”
Una terus mengangguk tanpa bantahan. Tangan kecil milik Elisya digenggam lalu dipimpin ke bilik mereka.
Share this novel