BAB 30 MC

Romance Series 12737

CUACA pada pagi ini cerah. Burung-burung merdu berkicauan dan saling berterbangan dengan gembira. Taufiq tersenyum di hadapan cermin seraya membetulkan penampilannya. Demamnya juga sudah sudah beransur kebah. Tidak sabar dia mahu menjejakkan kaki ke studio kesayangannya itu.

Rambutnya disapu terlebih dahulu menggunakan gel sebelum digaya ombak. Setelah berpuas hati dengan penampilannya itu, beg galas dicapai dan Taufiq mula mengatur langkah keluar dari kamarnya menuju ke tingkat bawah.

Di ruang makan terlihat kedua mama dan papa serta abangnya sedang menjamu sarapan pagi sambil berborak-borak. Bibirnya melakar senyuman. “Good morning.” Sapa Taufiq sebelum melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan dengan si abang.

“Good morning. Amboi… dah sihat ke ni?” soal Taliq. Kening sebelahnya dijongket tinggi. Suapan terakhir bihun goreng di dalam pinggannya itu dihabiskan.

“Dah. Ala… demam sikit je. Harini dah boleh pergi studio balik,” balas Taufiq. Sebiji donut dicapai lalu disuap ke mulutnya.

“Baru je sihat, dah nak pergi studio. Cubalah duduk kat rumah, berehat. Studio tu bukan tak ada orang jagakan. Tu, Si Husaini tu kan ada? Biarlah dia yang uruskan. Kamu rehat je kat rumah.” Bebel Puan Maryam. Cawan yang berada di atas dulang dicapai lalu air milo yang masih panas dituang sebelum ditolak ke si anak.

Taufiq tersenyum. Ucapan terima kasi diberi. “Ma, mana boleh macam tu. Tu kan studio baby? Takkan baby nak biar orang lain yang uruskan?”

Puan Maryam mencebirkan bibirnya.

“Studio tu studio jugak. Tapi kesihatan tu kena jaga,” kata Encik Aznil.

“Ya papa. Baby tau. Don’t worry, okey? Baby akan jaga kesihatan. Lagipun, kalau baby sakit, kan ada Doktor Taliq untuk rawatkan…”

Taliq menjeling sekilas si adik. “No way. Tak nak. Dah lah. Oppa nak pergi dulu. Jaga diri elok-elok. Take care and drive safe.” Dia berjabat tangan seketika dengan Taufiq sebelum mendekati Puan Maryam dan Encik Aznil. Tangan mereka disalam lalu dikucup.

“You too, oppa. See you again,” balas Taufiq.

Taliq angguk dan tersenyum.

Taufiq segera menghabiskan air milo kepunyaannya. Jam yang terbelit di pergelangan tangannya itu dikerling seketika. “Mama, papa, baby pergi dulu lah,” ujar Taufiq lalu bangun dari duduknya. Tangan mama dan papanya disalam dan dikucup.

“Yelah. Hati-hati pandu kereta tu. Jangan laju-laju.”

Pesanan mamanya disambut anggukkan dari Taufiq. Beg galas kembali dicapai lalu disandang. Sempat dia melambaikan tangannya sebelum melangkah keluar dari rumah. Dia perlu singgah ke kafe terlebih dahulu. Wajah ayu milik Janna berlegar-legar di dalam kotak ingatannya.

“AMBOI… jauh termenung?”

Janna yang hanyut dengan dunianya itu tersentak dek tuguran itu. Laju kepalanya menoleh memandang si empunya suara. Bibir melakar senyuman manis buat Qayyum.

“Selamat pagi, Qay. Bila sampai? Janna tak perasan pun?” tanya Janna. Matanya dapat menangkap susuk tubuh Qistina, Amirah dan Syafiq. Ketika dia tiba tadi, hanya dia seorang saja di kafe itu. Nampak sangat dia leka termenung sampai langsung tidak sedar yang mereka sudah pun tiba.

“Baru jugak. Mana nak sedarnya kalau Janna asyik termenung je,” balas Qayyum lalu tertawa. Meja yang kelihatan sedikit senget itu dibetulkan kedudukannya.

Janna turut melepaskan tawanya. “Ala… bukannya selalu, kan? Korang dah sarapan ke belum?”

“Dah tadi. Kitorang singgah mamak tadi. Tu yang terlambat sikit. Sorry.” Qayyum tayang sengih.

“Tak apa. Okeylah. Sambung kerja. Janna nak uruskan kaunter.” Janna terus mengatur langkah ke meja kaunter. Meja kaunter itu dilap menggunakan kain.

“Assalamualaikum.”

Janna dongakkan kepalanya. Buat beberapa saat, dia terkaku tatkala matanya melekat pada seraut wajah itu. Seraut wajah yang tidak dia temui sejak beberapa hari yang lalu. Tiba-tiba saja jantungnya berdegup laju. Wajah ditundukkan sedikit.

“Waalaikumussalam,” balas Janna, perlahan.

“Awak sihat, Janna?” soal Taufiq sambil tersenyum. Sedikit pun anak matanya langsung tidak dilarikan dari menatap wajah gadis itu. Gadis yang sudah berjaya menghuni hatinya.

“Sihat. Alhamdulillah. Macam mana dengan awak? Dah beberapa hari saya tak nampak awak.”

“Saya tak berapa sihat sikit. Tu yang tak datang kerja. Studio pun pekerja saya yang handle kan.” Tali beg sandang yang digantung pada bahu kirinya dibetulkan sedikit.

Janna menganggukkan kepalanya beberapa kali. Misteri kehilangan lelaki itu akhirnya terjawab. Tak sihat rupanya. Padanlah tak nampak langsung muka dia kat studio. Jumpa dirinya pun tidak.

Tanpa sedar, dia mengharapkan pertemuan ini. Janna laju-laju menggelengkan kepalanya bila hatinya mengiyakan.

“Janna, awak okey? Kenapa geleng?” soal Taufiq. Hairan dia melihat gadis itu yang tiba-tiba saja menggelengkan kepalanya berulang kali.

Janna tersedar. Terasa membahang wajahnya. Ya Allah… Macam manalah boleh terlepas kat real life ni? Geleng dalam hati sudahlah. Tak pasal-pasal pagi-pagi lagi sudah dapat malu.

“Erk… tak. Tak ada apa. Awak nak oder apa-apa ke?”

“Saya nak cakap pasal kita.”

Sepi.

“Janna…”

“Taufiq, kalau awak datang sini semata-mata nak cakap pasal kita, baik awak keluar. Saya tak ada masa untuk tu. Banyak lagi kerja yang saya kena uruskan sekarang ni,” balas Janna. Tegang nada suaranya.

“Janna… saya tak nak hubungan kita terus kekal jadi kawan macam ni. Saya harap awak boleh pertimbangkan…” Belum pun sempat Taufiq menghabiskan ayatnya, Janna laju saja memintas.

“Pertimbangkan apa? Pertimbangkan untuk jadi kekasih hati awak? Macam tu? Taufiq, dah-dah lah. Kenapa awak terus kejar saya? Kat luar sana tu, ramai lagi perempuan yang lebih layak untuk bersama awak. Kenapa awak nak saya? Apa ada pada saya? Saya tak cantik pun. Saya bukan dari keturunan anak orang kaya. Berhentilah, Taufiq. Saya penat tau. Penat…” balas Janna dengan suara yang tertahan-tahan.

Taufiq terdiam. Wajah Janna yang sudah agak kemerah-merahan itu direnung redup. Tidak pasti kerana marah atau panas. Nafas dihela perlahan. “Saya jatuh cinta kerana hati awak, Janna. Bukan kerana awak cantik. Hati awak. Hati awak berjaya buat saya jatuh cinta. Saya cintakan awak ikhlas. Tak pernah saya rasa perasaan ni pada mana-mana wanita pun sebelum ni.”

“Ya saya tahu, awak tak suka saya. Tapi sebab saya yakin awak jodoh saya, saya terus kejarkan awak tanpa henti walau awak tolak saya berkali. Sebab cinta saya tulus, Janna. Dalam setiap doa saya, tak pernah lupa saya memohon petunjuk dari Allah S.W.T. Dan ya, jawapannya dapat saya tahu bila hari demi hari, nekad saya untuk jadikan awak sebagai pasangan halal saya tu semakin kuat hatta awak tolak saya, marah saya, tapi tu semua tak sedikit pun runtuhkan nekad saya tu,” sambung Taufiq.

Janna terdiam mendengar bicara yang terlahir dari bibir lelaki itu. Lama anak matanya dan anak mata Taufiq saling berbalas pandangan. Dia sendiri nampak keikhlasan dari pancaran mata Taufiq, namun hatinya tidak mengizinkannya untuk mencintai lelaki itu. Takut luka lama akan kembali berdarah.

Kepala digeleng sekali. “Kita takkan boleh bersama walau apa cara sekalipun, Taufiq. Awak dengan saya tak ditakdirkan bersama. Berhentilah kejar saya. Bahagia awak bukan dengan saya, tapi dengan orang lain. Kita hanya boleh jadi kawan saja.”

“Tapi Janna… Takkan tak ada sedikit pun nama saya dalam hati awak? Sedikit pun perasaan sayang awak pada saya? Tak ada ke, Janna? Tak layak ke saya bersama dengan awak? Tak layak ke saya mencintai awak? Salah ke saya letak perasaan saya pada awak?” soal Taufiq bertubi.

Janna diam.

“Salah ke, Janna?”

Janna telan liur sekali. “Saya kena pergi. Saya ada kerja.” Tanpa menunggu lebih lama, Janna terus menghayun langkah pergi meninggalkan Taufiq bersendirian. Tidak betah dia berlama-lama di situ.

Taufiq hela nafas ringan. Dadanya yang agak terasa sakit ditepuk beberapa kali. “Sabar Taufiq… Sabar… Kalau ada jodoh, takkan ke mana. Ya Allah, andai dia jodohku, dekatkan kami, Ya Allah…” Doa Taufiq, perlahan.

Hai awak. Terima kasih pada awak yang sudi tunggu. Fitri susun 10 jari mohon maaf sangat atas kelewatan update. Fitri busy sikit :') Apa-apa pun, keep support me okeh? Thank you love! *online hug

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience