"Ya Allah, cantiknya cincin ni. Tak sia-sia ngah beli, kan along.”
Tak habis-habis lagi mak ngah duk sibuk membelek-belek cincin tunang di jari manisku itu yang telah mak ngah belikan untukku. Ayah tersenyum. Aku tahu ayah puas hati sebaliknya mata aku hampir bengkak gara-gara menangis duk sibuk hubungi Zyan yang tak dapat-dapat panggilan.
Aku hanya senyum paksa. Geram terhadap Zyan pun ada saat ini. Akhirnya, aku perlu berlakon sahaja di depan ayah. Kalau aku jumpa Zyan nanti, tahu lah apa aku buat dekat dia!
"Ayah ada call atau mesej Zyan tak?” Soalku dengan hati yang tidak sedap dan sesungguhnya aku tidak senang duduk kalau Zyan masih tidak menjawab panggilan daripada aku.
Ayah tersenyum sambil memandang sekilas ke arah mak ngah
"Ada.”
"Dia tahu tak yang majlis pertunangan ni dah mula?”
"Tahu. Sebelum Bella balik ke Malaysia, ayah ada bincang dengan dia.”
"Aik, kenapa dia tak angkat call Bella?”
"Mungkin dia busy kut dekat sana.”
Sungguh aku bingung saat ini. Ke mana dia pergi ya? Masih stuck dekat sana ke? Atau sudah ada kekasih baru di sana?
"Kenapa? Rindu ke?” Mak ngah mencelah lalu mereka berdua sama-sama melepaskan tawa. Aku hanya tawa paksa sambil menayang wajah gelisah.
"Tak ada lah, Bella cuma tertanya-tanya aje.”
"Dan sekarang Bella tak mungkir janji malah Bella dah ikut syarat-syarat ayah. Kalau umur ayah panjang, ayah teringin sangat nak tengok kamu dan Zyan naik atas pelamin bersama-sama. Cukup dengan itu sebelum ayah memejamkan mata buat selamanya.” Ujar ayah tiba-tiba buatkan hatiku bertambah tidak sedap.
"Kenapa ayah cakap macam tu? Ayah buat hati Bella tak sedap tau. Jangan lah cakap macam tu.” Lengan ayah terus aku paut. Sungguh, duniaku gelap jika ayah pergi tinggalkan aku buat selamanya.
"Bella, ajal maut semua ni di tangan Tuhan. Kita sebagai hambaNya perlu mengumpulkan amalan baik dan bersedia untuk berhadapan denganNya.” Ujar ayah buat hatiku sebak.
"Sebab itu ayah nak Zyan ada di sisi kamu saat ayah sudah tiada nanti. Ayah bukannya sihat walafiat, Bella.” Ujar ayah lagi sungguh bertambah sebak hatiku saat ini.
"Kalau Bella ada mama, mesti hidup Bella akan lengkap. Ada mama dan ayah. Cemburu kalau tengok keluarga lain lengkap dan bahagia.” Gumamku sendiri. Riak wajah ayah berubah dingin.
"Eh, jom makan. Sekejap lagi mak ngah nak balik dah, mak ngah ada bawa makanan tu. Jom!”
Cepat sahaja mak ngah menukar topik lalu menarik lenganku untuk ke meja makan. Dan sekarang baru aku sedar kenapa keadaan tadi menjadi tegang dan wajah ayah berubah kerana aku bercakap tentang mama. Ah, cakap pasal mama mesti ayah berubah berang.
Okay, kali ini aku kena tutup mulut rapat-rapat.
********
Silih bergilir aku merenung cincin tunang dan cincin pemberian Chris. Sungguh buat aku rindukan kedua-duanya. Ke mana Zyan pergi? Dan, sungguh rinduku terhadap Chris tidak dapat dipadam. Rinduku padanya membuak-buak kini.
Aku cuba mendail nombor Zyan lagi, masih tidak dapat. Nafas berat terlepas dari bibir. Rasa nak aje campak telefon ni ke dinding. Geram!
"Ya Allah, ke mana pergi Zyan ni? Call tak angkat, mesej beribu-ribu kali aku hantar pun tak balas. Sekarang aku dah jadi tunang dia dan dia pulak menghilang. Bagaikan lupa tentang perjanjian kami. Uh, geramnya dia ni! Ke dia sengaja nak buat macam ni sebab dia memang nak aku bertunang dengan dia?!”
Sungguh membara api kemarahan aku saat ini. Dia memang sengaja. Kalau tidak, dia sudah datang ke rumah ini tuntut perjanjian dia antara aku dan dia untuk membatalkan majlis pertunangan tersebut. Tapi ke mana dia? Ke mana dia menghilang?!
*********
"Ayah...”
Duduk dilabuhkan di sebelah ayah yang sedang kusyuk membaca surat khabar. Saat ini sungguh hatiku sangat gelisah.
"Hm?”
"Sekejap lagi Bella nak keluar sekejap nak jumpa Tiya.”
Semalam aku sudah ceritakan semuanya pada Tiya dan reaksi gadis itu benar-benar terkejut. Dia juga bagai tidak percaya dengan apa yang Zyan dah buat sekarang. Menghilang secara tiba-tiba.
Dengan itu, Tiya mahu berjumpa denganku. Katanya, dia juga rindu padaku kerana sudah lama tidak jumpa. Setelah sampai di Malaysia, kami masing-masing buat hal sendiri sampaikan lupa nak lepak semula seperti dulu.
"Okay. Tapi, jangan lambat balik.” Pesan ayah tanpa memandangku. Masih kusyuk dengan surat khabar yang berada di depan mata.
"Err...Ayah. Ayah ada call Zyan? Kenapa dia tak angkat call Bella ya?” Sudah dua kali aku tanya soalan itu pada ayah. Ayah tersenyum sambil menoleh memandangku sekilas.
"Dia sibuk lagi di sana. Ayah pun dah lama tak call dia tapi dia janji, katanya bulan depan dia akan balik ke sini dan dia akan terus bernikah dengan Bella.” Aku tersentak. Adakah itu akan menjadi kenyataan? Zyan memang nak kahwin dengan aku sebab itu dia macam ni? Dia tipu aku?
Sungguh aku benci dia!
"Bella?”
"Err...ya, ayah.”
"Kenapa ni? Rindu dia ke? Sebab tak angkat call Bella?” Ayah ketawa kecil. Aku hanya tersenyum kelat.
"Bella naik atas dulu. Nak siap.” Tidak menunggu lama, laju aku membuka langkah naik ke bilik.
Hati begitu sakit dan membara-bara dengan api kemarahan!
********
"Kau rasa Zyan tipu kau?”
"Yes!”
Makanan yang terhidang di depan mata sungguh buat seleraku hilang entah ke mana. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja aku pulang semula ke Italy dan mencari lelaki itu semula. Apa yang sibuk sangat dia di Italy itu sampaikan lupa dengan janji aku?
"Kau ada call dia tak?”
Tiya hanya menggeleng kepala.
"Ada sekali, tapi dia tak angkat. Busy kot.”
"Isy, kau ni sama aje dengan ayah aku. Busy, busy. Entah iya ke tidak si Zyan tu busy dekat sana. Entah-entah dah ada perempuan lain sampai lupa janji aku dengan dia!” Marahku dengan nada yang sungguh tidak puas hati sehingga meja sebelah kami memandang ke arah meja makanan aku dan Tiya.
"Sabar, sabar. Minum air ni dulu. Sejuk kan hati tu. Fikir yang baik aje lah, mungkin Zyan busy dengan syarikat dia di sana. Kau ni, fikir buruk sangat lah. And, lagi satu kau rasa dia ada kekasih baru kat sana? Are you sure? Kalau dia ada girlfriend di sana, kau cemburu? Macam tu?” Nak aje aku hempuk si makcik Kiyah ni. Tiya sudah mengekek-ngekek ketawa. Aku menjeling tajam ke arahnya.
"Mana ada! Memang tak lah aku nak cemburu. Sekarang ni aku nak dia cepat-cepat muncul untuk batalkan majlis seterusnya!”
"Majlis apa?”
"Nikah!”
Tiya terlopong. Terkejut member!
"Cepatnya ayah kau nak korang berkahwin. Aku rasa baru aje seminggu kau dah bertunang.”
"Iya, ayah nak Zyan dan aku bernikah pada bulan depan.” Mana tak hati aku sakit. Dengan kewujudan Zyan tidak muncul-muncul, mampu buat hati aku bertambah sakit.
"Sebelum kau berkahwin, aku pun dah nak menyusul. Aku nak minta tolong kau untuk temankan aku cari baju pengantin nanti. Kalau kau free lah, kau tahu lah bakal tunang aku tu kerja dekat tengah laut. So, dia tak ada masa nak temankan aku.” Ujar Tiya sambil tersengih miang. Gatal tak bertempat.
Ya, Tiya sudah bertunang. Sama dengan aku tetapi aku bertunang dulu barulah Tiya. Sama kan? Hihi, kawan baik kena lah sama-sama.
Tapi, kenapa aku nak kena happy? Sepatutnya aku kena berusaha cari Zyan.
"Tengok lah macam mana.”
Coffee latte diteguk perlahan-lahan dengan hati yang masih panas. Tiya tersenyum comel sambil kelip-kelip kedua-dua matanya.
"Tenkiu!”
********
Hubungan Tiya bersama pasangannya sudah semakin rapat dan hanya tunggu tiba masanya aje status hubungan mereka berdua halal.
Tidak lama lagi Tiya akan bernikah dahulu.
Bertunang aku dulu tapi nikah pula mereka dulu. Agak pelik, hahaha. Tetapi, perkara itulah yang aku mahukan. Moga biarlah majlis nikah aku dan Zyan batal.
Dulu-dulu, kami selalu berjanji nak kahwin bersama-sama. InsyaAllah kalau ada rezeki boleh naik atas pelamin bersama pasangan masing-masing.
Cakap pasal Zyan?
Keadaan sudah menjadi tegang. Kelibat Zyan masih tidak muncul. Lagi beberapa bulan akan menjadi saksi atas hubungan status aku bersama Zyan telah menjadi halal.
Tetapi lelaki itu masih belum memunculkan diri. Melihat ayah juga turut gelisah tidak senang duduk apabila bakal menantu kesayangannya tidak muncul-muncul. Cuba untuk hubungi lelaki itu, juga tidak dapat.
"Dia ni buat hal betul la! Tak akan dia tak tahu bulan depan dia dah nak nikah? Lagi beberapa minggu aje lagi ni.”
Marah ayah tak lepas-lepas menghubungi Zyan. Aku juga turut gelisah. Mak ngah yang ada juga turut susah hati. Melihat barang-barang hantaran semua sudah siap. Membuat persediaan awal-awal dan majlis tersebut akan dilangsungkan di sebuah hotel lima bintang. Ayah betul-betul mahukan yang terbaik untuk anaknya.
Terlintas juga di dalam fikiran, kalau lah ayah buat semua ini untuk aku dan Chris, hari itulah hari yang paling bahagia buatku dan Chris. Sungguh, lelaki itu juga sangatlah aku rindu. Rindu yang teramat. Cincin pemberiannya masih aku simpan dan cincin tersebut menjadikan pengubat rinduku pada Chris.
"Sabar lah, along. Dia dalam flight kut. Atau dalam perjalanan pulang ke Malaysia.” Pujuk mak ngah. Aku tersenyum. Harap Zyan tidak buat kerja gila dia!
"Tapi, kenapa dia tak angkat call ni? Macam nak mengelak aje! Ke, kamu ada buat apa-apa ni Bella? Kamu ikhlas ke nak kahwin dengan Zyan ni? Bukan ke selama ni kamu benci teramat pada lelaki itu?”
Aku tergamam dengan kata-kata ayah itu. Jantung berdegup pantas. Lidah kelu hendak membalas persoalan cemas itu. Renungan ayah begitu tajam.
"Kalau dia tak datang pun, Bella tak kesah ayah. Kita...err...kita cari calon bakal suami Bella yang lain.” Entah kenapa, bibir ini ringan sahaja hendak membalas. Sepantas itu, riak wajah ayah berubah dengan sungguh berang.
"Kamu jangan macam-macam, Bella! Jangan nak buat malu! Semua orang kampung ayah dah ajak, jangan tak jadi. Nanti apa pula mereka hina keluarga kita lagi lepas ni!” Bentak ayah buatkan kedua-dua bahuku ternaik.
"Bella suka ke tak suka ke, ayah tetap nak Bella kahwin dengan Zyan! Keputusan ayah muktamad, walau lambat macam mana sekalipun, ayah tetap nak korang berdua berkahwin!”
Rapat-rapat aku pejam mata. Nafas berat aku hela panjang-panjang. Ya Tuhan, dugaan apakah ini? Kalau Zyan tidak mempertahankan dan lupa janji dia, aku sendiri perlu ke depan untuk batalkan semua ini. Aku nekad!
Ayah menghempas punggung di atas sofa sambil meraup wajahnya. Ayah kalau dah marah, tidak berani hendak aku buka mulut lagi.
Sakit hati hendak duduk lama-lama di situ, terus sahaja aku mengangkat punggung lalu membuka langkah untuk naik ke bilik. Sungguh sakit hati ini.
Pintu ditutup rapat-rapat. Air mata mengalir laju ke pipi. Kenapa dugaan berat begini untukku, Ya Tuhan?
Kini mata terpandang pada kotak cincin berwarna merah yang berada kemas di atas meja solekku. Senyuman terukir lebar di bibir. Kotak cincin dibuka dan cincin batu berlian yang cantik terletak di dalam kotak tersebut di bawa keluar. Cantik!
Buatkan aku semakin rindu padanya. Ya, Chris. Cincin pemberian Chris. Kalau lah aku masih ada nombor telefonnya, sudah lama aku menghubunginya. Tapi kami sudah lost contact.
Tetapi, aku selalu berdoa semoga kami ditakdirkan bertemu lagi. InsyaAllah, dengan izin Allah.
********
Abaya fashion muslimah berwarna pink cair yang sungguh cantik dan kemas sudah tersarung pada tubuhku. Tudung shawl pula yang berwarna pink cair juga di lilit di kepala.
Hari ini serba pink, kikiki.
Tak cantik mana pun hanya sekadar teman Tiya sahaja. Sahabat aku pun tak lama lagi sudah hendak kahwin, aku ni pula bulan hadapan. Tiya pula 2 minggu lagi. Katanya, dia sungguh berdebar. Nervous!
Lip bam yang berwarna pink cair di letakkan sedikit pada bibir agar wajah tidak kelihatan kusam. Sudah puas hati melihat diri sendiri pada cermin besar di hadapanku ini, terus kaki mengatur keluar dari bilik tidur yang bersambung dengan balkoni ini.
Kelihatan ayah tiada di rumah, mungkin ke rumah pak lang.
Senyuman terukir di bibir. Buat masa ni aku tidak mahu berdepan dengan ayah, ayah pun sudah tahu yang aku tidak sukakan Zyan. Ya, tidak lama lagi aku akan batalkan majlis itu.
Tidak menunggu lama, terus aku melangkah keluar daripada rumah banglo dua tingkat ini. Melihat kereta Myvi berwarna putih milik Tiya sudah berada betul-betul dihadapan rumahku.
Ah, rindunya gadis ini!
Laju aku berjalan masuk ke dalam keretanya. Melihat dia turut terkejut dengan kemunculanku lalu dengan sepantas kilat aku memeluk tubuhnya erat-erat.
"Ya Allah, rindunya princess kita ni!” Jerit Tiya yang bagaikan bertahun-tahun tidak jumpa. Aku ketawa kecil.
Mana tidaknya rindu, akhir sekali kami berjumpa pada 3 minggu lepas. Agak lama sudah kami tidak berjumpa seperti sekarang ini lagi kerana Tiya sudah sibuk dengan majlis perkahwinan mereka. Lagi-lagi bakal suaminya pun sudah pulang. Memang loncat girang la gadis tu.
"Aku tak rindu kau, aku rindu mulut itik kau tu je.” Sengaja hendak mengusik dia lagi. Rindu hendak kenakan dia. Tiya memuncung bibirnya sebijik dah macam itik. Aku ketawa kecil.
"Isy, jahat lah kau ni!”
Tidak membalas apa-apa, aku hanya melepaskan tawa.
Keretanya mula bergerak. Siapa sangka sekarang Tiya sudah pandai membawa kereta. Senang lah aku nak ajak dia pergi shopping.
"Eh, jap. Awat kau lawa sangat ni? Nak jumpa siapa? Hah! Entah-entah....” Tiya mengecilkan sedikit matanya sambil tersenyum senget ke arahku. Berkerut dahiku sambil mata memandang tubuh sendiri. Pakaian simple macam ni dia cakap cantik?
"Lawa? Mana ada lawa. Biasa aje la.”
"Eley, kau tu dah lawa cakap aje lah lawa. Patutlah Mr.Chris tu dulu tergila-gila dekat kau!” Ujar Tiya menyempat cuit bahuku. Tak fokus langsung pada jalan raya si minah ni.
Aku sedikit tergamam. Kenapa nama itu berlaga-laga di kotak fikiranku? Dan sejujurnya aku sangat merinduinya. Mana mungkin aku akan melupakannya sebaliknya aku berharap yang kami dapat bertemu.
Tiya yang melihat aku hanya berdiam diri, dia juga turut berdiam diri.
"Err...Sorry kalau aku ada salah cakap.”
"It's okay, but....”
"You miss him?” Tebak Tiya sangat tepat sambil memetik jari lagi minah ni. Aku menyembunyikan senyuman yang hendak mekar.
"Macam-macam lah kau ni Tiya, mana ada la!” Terus aku alihkan pandangan ke luar tingkap. Tiya sudah ketawa mengusik.
"Eleyy, kau rindu dia cakap aje la. Aku yakin dia pun rindu kau tu. Mana lah tahu ada rezeki dapat jumpa dia lagi, InsyaAllah.”
Sungguh trauma dengan kata-kata Tiya itu.
Kenapa?
Kerana mulut dia masin.
Ah, scary!
"Isy, enough! Jangan cakap pasal tu lagi. Sekarang ni kita nak ke mana?”
"Butik pengantin.” Balas Tiya sambil senyum menampakkan giginya yang tersusun cantik itu. Aku hanya menggeleng kepala dengan perangai Tiya yang tidak pernah berubah dari dulu hingga sekarang. Suka menghiburkan orang.
Seperti yang telah aku janjikan pada Tiya dahulu yang aku akan teman dia pergi membeli barang-barang hantarannya dan mencari baju pengantin untuknya.
Biasa lah, bakal suami dia walaupun dah tak duduk di laut masih sibuk lagi di sini.
Jadi aku sebagai kawan baik Tiya malah baik hati lagi perlulah teman si makcik Kiyah mulut itik ini.
********
Gaun pengantin berwarna putih bersih itu menarik perhatianku. Sungguh cantik. Corak yang sungguh cantik dan mampu menarik perhatian yang lain. Tersenyum aku melihatnya. Kainnya juga sangat lembut dan selesa. Lembut aku mengusap kain gaun pengantin itu. Cantik!
"I love you so much, sweetheart. I love you so so much!”
Ucapan itu lembut menyapa di telingaku. Terasa pinggangku di peluk seseorang daripada belakang. Senyuman terukir lebar di bibir.
Buatkan aku sedikit terkejut yang gaun putih cantik itu sudah tersarung pada tubuhku dan bagaikan ada sebuah majlis perkahwinan buat aku dan seseorang.
"I love you too.”
Ucapku kembali sambil menatap matanya. Tetapi mampu buat aku terkejut apabila orang itu ialah...
Chris!
Kenapa dia boleh muncul? Kerana aku merindui dia ke? Atau kerana dia merinduiku? Atau kami bersama-sama sedang mempunyai perasaan yang sama?
"Ah, I miss you too Chris!” Lantas aku memeluk tubuhnya erat-erat. Wajahku yang sudah basah dek air mata aku sembamkan pada dada bidangnya. Terasa belakangku diusap lembut olehnya.
"I miss you too, sweetheart. Please, don't go darling.” Ucapan itu lembut bagaikan merayu agar aku tidak pergi meninggalkannya. Tapi aku yakin, kami akan tetap bertemu semula walaupun kami terpaksa berpisah.
"Macam mana? Okay tak baju pengantin yang tadi tu yang kau pilihkan untuk aku?” Soal Tiya, terus terbang lamunan aku seketika tadi.
Terkebil-kebil aku memandang Tiya.
"Errr...apa tadi?” Soalku sambil menggaru-garu kepala yang terselindung dengan tudung itu. Ah, berangan!
Macam mana aku boleh berangan yang aku bersama Chris? Ah, mengarut betul lah kau ni Bella. Boleh percaya ke yang aku dapat bertemu semula dengan Chris? Atau kami akan terus berpisah selama-lamanya?
"Kau ni dah kenapa? Mengelamun? Teringat dekat siapa? Mr.Chris?” Usik Tiya sambil mencuit bahuku.
Tajam aku menjeling Tiya. Minah itu hanya sekadar ketawa mengusik.
"Kita pergi semula kepada baju, aku yakin 100% baju tu memang sesuai dengan kau dan cantik sangat-sangat. Tak boleh nak bayangkan kau pakai nanti betapa cantiknya kau waktu tu.” Ujarku yakin. Tiya sudah sengih-sengih gedik.
"So, dah selesai beli baju sekarang kita cari barang-barang untuk hantaran pulak. Jom!”
Lengan aku terus ditarik oleh Tiya buatkan tubuhku hampir sahaja mahu terjatuh tetapi nasib baik sempat aku mengimbangkan badan kalau tak memang muka dah tercium dengan lantai.
Minah ni apa dia nak risau? Dia main tarik aje aku ni yang kurus keding ni!
********
"Semua dapat! Akhirnya, siap juga!” Jerit Tiya gembira semua barang-barang yang dia perlukan sudah cukup dan lengkap. Aku tersenyum sambil menggeleng kepala.
Yalah, kalau aku pun akan hela nafas lega. Lagi beberapa minggu sahaja lagi hubungan mereka akan dihalalkan. Aku sebagai kawan baik Tiya tak akan lah tak rasa gembira. Mestilah gembira!
Tapi terselit rasa sedih kerana kali ini Tiya tidak akan dapat lagi lepak bersama aku seperti dulu.
"Sekarang nak pergi mana?” Soal Tiya sambil memasukkan barang-barang yang selesai di beli itu ke dalam bonect belakang kereta.
Aku menilik jam yang sudah tepat pukul 1 petang. Perut sudah berdandut di dalam. Tiya yang perasan dengan perut nakalku ini yang sudah berbunyi melepaskan lagi tawanya.
Memang suka kenakan aku. Lagipun memang aku lapar pun. Pagi tadi aku langsung tidak makan, sekarang lah baru dapat makan kalau Tiya baik hati untuk belanja. Hihi!
"Hahahaha...lapar sangat tu. Okay, jom kita pergi makan. Disebabkan kau dah teman aku hari ini, so aku yang baik hati malah cantik seperti bidadari syurga ini, aku akan belanja kau!” Pecah tawaku dengan kata-kata gedik Tiya yang suka memuji diri sendiri itu. Perasan!
"Kenapa gelak? Betul lah apa yang aku cakap tu.”
"Kau bukan bidadari lagi kalau mulut itik! Mulut tu tak reti nak tutup, pok pek pok pek aje!” Pecah lagi tawaku. Sengaja hendak bagi dia sakit hati.
"Oh, kau...tak nak aku belanja kau. Aku hantar kau balik terus, biar kau kebulur kelaparan!”
Dia sudah wujudkan muncung itiknya itu sambil memandu kereta. Minah ni tak sah kalau tak merajuk. Nak aje orang puji dia cantik. Tapi memang dia cantik pun. Bestie saya ni!
"Alolo....Sorry lah. Jangan lah merajuk, ni kalau tunang kau tengok kau macam ni mahu dia tenggelam dalam laut terus. Tak nak kahwin dengan kau.” Usikku lagi. Pecah lagi tawaku. Tiya memukul bahuku. Lagi bertambah tawaku saat ini.
"Tak nak lah kawan kau!”
"Alolo...merajuk dah princess pretty kita ni. Jangan lah merajuk. Aku gurau je. Sorry.” Ucapku sambil buat muka comel. Kini giliran Tiya pulak yang ketawa. Begini lah kalau dua-dua kepala yang suka masuk air. Satu kepala!
"Macam tu lah saya nak dengar.” Pecah tawa kami bersama dengan kerenah Tiya yang dari dulu hingga sekarang tidak pernah berubah. Suka menghiburkan aku malah aku tukang gelak.
"Oh, ya. Ayah kau tahu ke kau keluar ni?” Soal Tiya dengan riak wajah risau. Dia pun tahu ayah aku bagaimana garangnya.
"Dah lama kita shopping dekat sini barulah kau nak teringat dekat ayah aku.” Ujarku sambil menggeleng kepala. Tiya ketawa terbahak-bahak. Minah ni memang nak kena lipat leher!
"Hehe...lupa.” Sengih Tiya.
"Entah, dekat rumah pak lang kut. Aku malas nak fikir sekarang ni. Yang aku fikir sekarang ni aku nak lari bila majlis tu dah dekat.” Ya, itu lah idea yang paling bagus bagiku. Biar lah aku lari sejauh mana sehingga aku jumpa Zyan! Masa itulah tahu apa yang aku nak buat *senyum jahat.
"What?!” Terkejut Tiya dengan idea gila aku itu. Aku tersenyum sinis.
"Kau serius lah, Bella?” Aku hanya mengangguk kepala.
"Kau nak lari waktu majlis nikah tu?” Soal Tiya lagi, aku mengangguk kepala.
"Kau ni betul-betul dah gila lah, Bella. Kalau ayah kau tahu, mahu kena marah teruk kau nanti.”
Iya, sudah tidak aku pedulikan semua itu.
"Buat apa kita kahwin dengan orang yang kita tak suka tapi tak bahagia. Tambahkan dosa lagi ada lah.” Aku julingkan mata ke atas. Sungguh aku tidak setuju.
Perut yang masih berbunyi tanda perlu di isi tidak dapat di halang.
Aku sengih kecil.
Hihi ~
**********
Kami makan di sebuah restaurant di Pavilion. Sambil-sambil itu Tiya mengajak aku berjalan-jalan shopping. Katanya hendak membeli barang-barang mekup.
Siapa aje tak kenal Azkiyah ni? Kalau nak tahu dia suka apa, dia paling suka mekup. Kalau aku? Tidak, aku langsung tidak minat dengan semua itu.
Akhirnya, dapat juga lepaskan satu sendawa. Nasib tak kuat, kalau tidak malu aje aku pada meja sebelah yang dengar.
Tiya apa lagi, pecah terus tawanya sehingga meja makan sebelah kami berpaling ke arah kami. Gelak tak kawal betul perempuan ni.
"Kau tak makan dah berapa hari ni? Macam dah setahun tak sentuh nasi. Patutlah makin kurus.” Aku hanya sengih. Sejujurnya, aku langsung tiada selera saat ayah sudah mulai sakit. Entah lah, selera makanku betul-betul hilang.
"Jom, kita singgah Sephora pulak. Aku nak beli barang-barang mekup sikit.”
Tak boleh percaya dengan sikit dia tu. Kalau boleh semua barang mekup dalam kedai tu dia borong.
Sempat aku menilik jam di pengelangan tanganku. Sudah masuk waktu Zohor. Kalau dibiarkan nanti terlepas pulak waktu untuk aku menunaikan solat Zohor.
"Err...Tiya, kau pergi lah dulu beli barang kau apa yang patut. Aku nak solat kejap. Nanti terlepas waktu. Kau boleh solat tak?”
"Hihi, saya bendera merah. Kalau macam tu, kau pergi lah. Nanti jumpa dekat sana ya.”
Aku hanya mengangguk. Kami berdua terus berpisah. Tiya ke haluannya sendiri aku pulak sedang bergegas mencari surau yang terdekat di dalam mall besar ini.
Tapi langkahku mati apabila mataku terpandang pada satu restaurant dan pada sebuah meja ada 3 orang lelaki.
Kelihatan mereka bertiga bagaikan sedang berbincang dengan raut wajah begitu dingin bagaikan baru lepas marah. Masing-masing muka serius.
Dan yang paling tepat sekali, aku kenal mereka!
Hati ingin sangat hendak berjumpa mereka. Biar lah salah orang pun, aku sanggup menahan malu. Tapi aku yakin, mereka bertiga itu seperti aku kenal. Kenal sangat-sangat.
Kaki yang ingin pergi ke arah mereka tetapi hati menghalang, kaki tetap degil. Dengan hati yang hanya tawakal, perlahan-lahan aku membuka langkah ke arah mereka.
Selangkah...
Dua langkah...
Tiga langkah....
Langkahku mati lagi apabila ada seorang wanita yang pakaiannya sedikit seksi dan langsung tidak sedap mata memandang menghampiri tiga orang lelaki tadi.
Dia terlebih dahulu mendapatkan mereka bertiga tersebut yang sedang berbual dengan wajah begitu serius. Mengerunkan!
Wajah gadis itu juga serius mendengar kata-kata daripada seseorang yang sedang bercakap dengannya di situ. Bagaikan sedang memberi sesuatu arahan pada gadis itu yang daripada tadi mengangguk-angguk faham.
Aku sembunyikan sedikit diriku daripada pandangan mereka. Hendak dengar perbualan mereka tetapi tidak dapat hendak aku merapati mereka.
Nanti kantoi tak pasal-pasal mereka ingat aku ni mengintip perbualan mereka dan kalau mereka salah orang yang aku sangka mahu membahang malu.
Wanita itu mengangguk lagi sambil tersenyum sinis. Aku sedikit mengecilkan mata apabila dia memegang bahu seseorang.
Lelaki itu juga turut membalas senyuman wanita tersebut. Dari pandangan aku, wanita yang pegang bahu lelaki itu seperti aku kenal. Ya, bagaikan aku kenal lelaki mat salih itu.
Macam mana aku tahu?
Dari sisi wajahnya aku sudah dapat lihat dengan jelas dia memang bukan orang Asian. Rambutnya berwarna kuning keperangan dan kalau fikirkan semula rambut si dia juga berwarna kuning keperangan.
Adakah itu.....
Chris?
Aku tidak mahu yakin pada diri sendiri yang itu Chris. Mungkin salah orang. Dan lagi dua wajah lelaki dihadapan lelaki yang mirip dengan Chris itu juga bagaikan aku kenal.
Adakah itu juga abang Chris? Ah, mustahil! Tidak mahu lebih lagi bersangka apa-apa. Di fikiranku, mungkin itu hanya lah orang lain dan hanya perasaanku sendiri.
Mereka berada di Italy, mustahil mereka berada di sini dan mustahil juga aku akan dapat berjumpa lagi dengan Chris.
Tapi, aku sedikit terkejut apabila dengan selamba mereka berpelukan. Tapi tadi kelihatan seperti mereka sedang berbincang perkara serius, kini wajah masing-masing sudah berubah ceria dan ada terselit satu senyuman sinis.
Berkerut dahiku seketika.
"Eh, jap. Apa yang aku buat dekat sini? Itu bukan dorang lah Bella. Ya Allah, dah nak habis waktu. Aku kena cepat. Haih, tulah kau ni Bella. Lalai!” Bebelku pada diri sendiri apabila lalai dan sibuk memikirkan orang yang telah melupakan aku.
Dia dah lupakan aku? Benarkah?
Hanya membiarkan sahaja, terus aku membuka langkah pergi daripada situ. Tidak mahu ambil tahu apa-apa lagi. Mungkin aku salah orang.
*********
"Dah dapat beli barang mekup ke?”
Selesai menunaikan solat tadi, Tiya menghubungiku yang dia sudah berada di Starbucks. Dia lepak di situ sementara menunggu aku siap solat.
Hahaha, penat shopping mekup lah tu.
Duduk terus aku labuhkan di kerusi berhadapan dengan Tiya.
Gadis itu hanya sengih seperti kanak-kanak kecil yang baru lepas dapat gula-gula yang begitu banyak.
"Mestilah! So, kita nak pergi mana lagi? Jalan-jalan?”
Aku hanya menggeleng kepala. Tidak setuju.
"Kita balik la. Aku takut ayah dah balik rumah, dah lah aku tak minta izin dekat ayah dulu nak keluar temankan kau ni. Nanti dia tercari-cari aku pulak.” Ujarku hendak pulang.
Tidak mahu lama-lama. Nanti tak pasal-pasal, ayah pula yang akan call aku sendiri.
"Okay, kalau macam tu jom balik. Lagipun aku dah penat ni, hihi.”
"Amboi, kau...dah dapat barang mekup kemain happy.” Tiya hanya ketawa gedik, aku hanya menggeleng kepala.
Sempat aku menilik telefon bimbitku seketika. Risau jika terlepas pandang, kut-kut ada panggilan masuk daripada ayah.
"Errr...Tiya.” Panggilku sewaktu kami sedang berjalan bersama-sama ke lif mall besar itu turun ke tingkat parkir.
"Hmm...”
"Tadi kan, waktu aku nak pergi surau, aku ternampak ada 3 orang lelaki ni yang sangat aku kenal. Mereka ada di sebuah restaurant.” Aku mula ceritakan tentang itu pada Tiya. Tak boleh kalau Tiya tak tahu. Gadis ini mesti kena tahu.
"3 orang lelaki? Siapa?” Soal Tiya tidak mengerti. Aku ketap bibir. Nama itu memang sudah pupus dari kotak fikiranku, tapi kena juga sebut nama itu lagi.
"Err...Seorang ni muka dia sebijik sangat macam muka...Chris.”
Terlopong Tiya mendengarnya. Bagaikan tidak percaya. Aku hanya mengangguk.
"Aku tak tipu. Wajah dia dari sisi sebijik macam Chris. Dan lagi dua orang tu pulak muka dorang sebijik-bijik macam muka Tuan Rayyan dan Zyan.” Ujarku yakin siap keluar lagi sebijik-bijik. Betul-betul yakin saat aku melihat muka mereka tadi tetapi aku tidak mahu yakin sangat. Takut salah orang.
"Serius lah?”
"Iya. Aku tak tipu.”
"Tapi kan, apa kena mengena dengan Zyan?”
"Sumpah, aku nampak muka Zyan sekali. Kau tak rasa ke yang....”
DUSH!
Sungguh bahuku benar-benar sakit apabila ada seseorang melanggar bahuku. Ah, sakitnya hati ni. Sampaikan aku terjatuh di atas lantai lalu telefon bimbitku juga tercampak entah ke mana. Malunya!
"Aduh, sakitnya!”
"Eh, Bella kau okay tak ni?” Tiya sedaya upaya membantu aku untuk bangun. Perlahan-lahan aku bangun sambil membetulkan bajuku semula. Malu! Di khalayak orang ramai pulak tu.
Terus aku berjalan mendapatkan orang yang telah melanggar aku tadi, nasib baik dia tak pergi lagi.
"Hei, mata kau dekat mana hah?! Buta ke?!” Marahku sambil membetulkan sedikit pakaianku yang sedikit kotor. Haih, macam mana boleh kotor ni pun aku tak tahu la. Ni semua salah orang yang telah langgar aku ini!
"Sorry.”
Dengar aje suara itu, terus aku mengangkat wajah kerana hendak menengking dia lagi. Senang betul dia dengan mengeluarkan perkataan 'sorry' dia selamat?
Cukup panas hati aku saat ini!
Siapa nak ganti baju aku ni yang sudah kotor ini?!
"Kau.....”
Sumpah aku mati kata saat mata kami bertembung. Telan liur aku seketika. Jantung saat ini memang dah tak payah nak cakap. Bagaikan nak tercabut. Lidah terus kelu.
Hanya mata hitam aku ini sahaja sedang merenung mata biru itu. Mata ini lah yang paling aku rindu. Dia dah kembali. Sumpah aku tak sangka dengan pertemuan ini.
Adakah aku mimpi?
Bagaikan mimpi yang aku dah bertemu dengannya lagi.
Adakah ini dia?
Atau hanya lah perasaan aku?
Tak, aku tak rasa ini hanyalah perasaan aku. Ini lah dia. Yang telahku tunggu-tunggu selama ini.
Tetapi, masihkah ada perasaan cintanya itu di dalam hatinya setelah lama kami berpisah?
Adakah dia masih ingat aku? Masih ingat cinta kami?
Atau dia dah lupakan semuanya?
Sumpah, sejujurnya aku rindu dia!
Share this novel