KUALA LUMPUR, MALAYSIA
Alhamdulillah! Di dalam hati berkali-kali aku mengucapkan kesyukuran dan terima kasih kepada Allah. Tuhan sudah mempermudahkan segala urusanku pada hari ini untuk pulang ke tanah airku di tempat asalku kembali. Sekeliling aku perhatikan kawasan perumahan tersebut. Ya Allah, rindunya tempat ni.
Sengaja aku tidak memberitahu pada ayah yang akan sudah pulang dan aku tidak mahu ayah mengambil aku di airport. Kerana aku mahu buat kejutan pada ayah yang akhirnya aku sudah pulang!
Nafas dihela panjang-panjang. Berejam-jam aku duduk di atas kapal terbang itu untuk pulang ke Malaysia dan kini alhamdulillah aku sudah sampai di hadapan rumahku.
Rumahku syurgaku!
Ya Allah rindunya pada ayah!
Selesai mengeluarkan beg bagasiku dari dalam bonect kereta teksi dan selesai membuat pembayaran pada pemandu teksi tersebut, kini aku berdiri betul-betul dihadapan rumah banglo yang bertingkat dua ini.
Senyuman kelegaan dan kegembiraan terukir mekar di bibir. Kaki terus di atur masuk ke dalam pagar rumah sambil menarik beg roda tersebut. Berkerut seribu dahiku apabila melihat ada beberapa kasut di luar pintu menandakan di dalam rumah ini ada orang datang.
Siapakah tetamu tersebut?
"Assalamualaikum.” Ucapku dengan jantung yang tiba-tiba berdebar-debar.
Daun pintu rumah aku ketuk sekali, serentak itu kedengaran satu suara di dalam menjawab ucapan salam daripada aku. Kedengaran suara itu sangat asing. Berkerut-kerut dahiku. Tak akan lah mak ngah. Kalau suara mak ngah aku kenal. Tapi suara wanita itu sangat tidak aku kenal.
Tidak lama kemudian, daun pintu di buka dari dalam. Muncul satu susuk tubuh yang sangat aku tidak kenal. Melihat wajahnya sangat asing. Berpakaian uniform berwarna coklat terang dan kelihatan seperti uniform maid.
Adakah ayah ada ambil maid di dalam rumah ini?
Aku hanya sekadar senyum manis.
"Cik Bella Brianna ya?” Soalnya dengan senyuman yang turut dihulurkan padaku. Aku hanya senyum manis sambil mengangguk.
"Ya, saya.”
"Selamat datang, Cik Bella. Nama saya Gayah. Panggil Mak Gayah aje. Mak Gayah pembantu rumah kat sini.” Mesra dia menyapaku. Aku tersenyum manis sambil menunduk hormat pada Mak gayah yang berumur dalam lingkungan 50-an itu.
"Panggil aje saya Bella.” Balasku memperbetulkan ayatnya. Aku masih muda, aku yang sepatutnya hormat dia bukan dia yang hormat aku.
"Baik, Bella.” Dia tersenyum lagi.
"Bella, kamu letak aje beg bagasi kamu tu dekat situ, nanti mak Gayah tolong angkatkan. Kamu masuk lah. Dato Badrul tengah tunggu kedatangan Bella dan kalau Bella nak tahu hari ini ada tetamu yang turut menunggu kedatangan Bella.” Aku sedikit tergamam.
Tetamu.
Siapakah tetamu tersebut? Tepat tekaanku. Ada tetamu yang datang ke rumah ini.
Aku hanya senyum dan akur. Rasa serba salah kerana memberi Mak Gayah yang mengangkat beg pakaianku itu. Telahku melarang tetapi Mak Gayah tetap berkeras mahu membantu mengangkat beg pakaianku itu.
Sudahnya aku hanya akur. Kaki mula melangkah masuk ke dalam rumah yang sudah lama aku tinggal ini. Dengan lafaz bismillah aku melangkah masuk. Tetamu yang langsung tidak aku tahu itu mampu buat jantung aku berdebar-debar untuk bertemu dengan mereka nanti.
Ya Allah, rindunya rumah ni!
Rumah ini masih sama. Tiada perubahan dan susunan atur perabot masih sama. Ayah seorang yang pembersih. Dia tidak suka bersepah. Begitu juga aku pergi ke Italy, rumah ini kemas tersusun rapi dan pulang aje ke rumah semula masih sama. Kemas dan bersih.
Mungkin ayah tidak larat dan tidak lagi berdaya untuk mengemas rumah ini sebab itu ayah mengambil pembantu rumah di sini.
Satu langkah...
Dua langkah...
Tiga langkah...
Kini aku sudah terpacak di ruang tamu yang berhadapan dengan beberapa orang yang sedang duduk di sofa sambil bersembang mesra dengan ayah. Melihat kemunculan aku ini, terhenti perbualan mereka dan kini tumpuan sepenuhnya di berikan kepadaku.
"Eh, Bella! Alhamdulillah, selamat sudah dia pulang ke sini. Bila kamu balik? Kenapa tak bagitahu?” Mesra mak ngah menyambut kedatanganku.
"Alhamdulillah, rindunya! Dah besar anak kau Badrul. Terakhir jumpa sewaktu dia umur 14 tahun. Sekarang makin cantik macam mak dia.” Kata Pak lang mesra pada ayah.
Beberapa suara menyambut kedatanganku tetapi satu suara dan satu perkataan yang aku tangkap saat ini buatkan aku sedikit tersentak.
Makin cantik macam mak? Jadi benar lah selama ini aku ada mak? Adakah mak aku selama ini sudah meninggal dunia? Entah kenapa, hati ini teringat kepada mama.
Tangan mak ngah aku kucup lalu kami berpelukan. Dapat kulihat bukan sahaja mak ngah dan pak lang ada, bonda dan yang lain-lain juga ada. Sepupu aku juga semuanya ada tapi semuanya sudah besar-besar dan ada yang sudah berkahwin dan berkeluarga. Dapat kulihat wajah bonda yang masam mencuka dan bagaikan tidak suka dengan kedatanganku ini. Tapi aku tetap maniskan wajahku.
Aku tahu bonda tidak sukakan aku dari dulu lagi, sejak aku kecil lagi dia tidak sukakan aku. Saat aku kecil, aku tinggal bersama bonda sewaktu ayah sedang kerja, saat itu juga dia layan aku dengan buruk. Tidak akan aku lupakan apa yang telah bonda buat pada aku dahulu.
Semua makcik dan pakcik saudara aku ada di sini. Memang meriah rumah ini dengan semua yang ada. Aku pula rasa malu. Waktu aku dah pulang Malaysia ni lah baru mereka nak datang ramai-ramai ke rumah ini.
Perlahan-lahan aku melangkah mendapatkan ayah yang sedang duduk bersantai di atas kerusi. Tangan ayah aku capai lalu aku kucup lama. Tidak menunggu lama, tubuh ayah terus aku peluk erat-erat. Rindu aku pada ayah hanya tuhan aje tahu. Senang cerita, aku memang anak ayah. Selalunya kedengaran anak mak kan? Tapi aku spesis anak ayah, hihihi.
"Bella rindu ayah!”
Pelukan lagi dieratkan di tubuh ayah. Terasa kelopak mata mula basah. Rindu yang teramat. Bersyukur pada Allah kerana telah memberi peluang untuk aku pulang berjumpa ayah.
"Ayah pun rindu Bella.” Ucap ayah lalu membalas pelukanku.
"Itulah, pergi jauh-jauh bukannya dapat apa pun. Menang pun tidak. Lepastu baru lah tahu rindu. Kalau ayah kamu tu dah pergi menjemput ilahi, barulah kamu tahu. Menangis pun dah tak guna!” Suara itu buatkan pelukan kami terlerai. Bagaikan ada pisau menusuk ke hati. Sakit!
Kelopak mata cepat-cepat aku gosok dan kedip beberapa kali agar tidak mengalir. Bonda menjeling aku tajam. Kata-kata bonda tadi mampu buat aku terdiam.
"Mak, kita tak boleh nak halang apa yang dia minat. Biar lah dia buat apa pun. Sebab dia minat. Along tak boleh nak halang.” Ayah bersuara membela bagi pihak anaknya. Aku hanya tertunduk. Terasa bahuku diusap lembut oleh mak ngah.
"Minat tu boleh. Tapi kalau sampai jauh-jauh tu tak payah lah. Kamu tak tahu ke along, kamu tu sudah lah sakit jantung. Hampir sahaja nyawa melayang saat anak kamu tu tiada di sisi kamu. Nasib baik lah tuhan bagi kamu peluang untuk hidup berjumpa dengan anak kamu, kalau tak memang tak guna terus!” Marah bonda lagi sambil melepaskan jelingan maut pada aku. Aku hanya mampu bersabar. Menahan hati yang sungguh sakit. Masih mampu tersenyum manis.
Ingatkan pulang ke rumah dapat sambutan yang mampu buat aku tersenyum dan terharu, tapi lain pula jadinya. Mungkin hari ini aku hanya dapat sambutan kata-kata yang paling tajam dan pedih daripada bonda.
"Sudah la tu, mak. Bella pun dah selamat balik. Kita sepatutnya sambut dia pulang, bukan tambahkan api kemarahan lagi.” Nada suara ayah sedikit meninggi memarahi maknya. Aku pula rasa serba salah. Sebab kan aku, ayah dan bonda bergaduh. Aku tidak mahukan itu terjadi.
"Itulah, mak suruh kamu tu kahwin dengan Nadia tu kamu tak nak. Umur korang berdua sama. Dia boleh jaga kamu kalau kamu sakit. Nak harap anak kamu tu, tak payah la. Lebih baik dia enjoy dengan kawan-kawan dia yang lain tu. Nadia tu sepupu kamu along, baik, sopan, hormat orang tua, dia masih janda, kamu tu pulak sudah duda. Dia pun suka kamu, elok sangat lah korang berdua berkahwin. Tapi kamu tak nak. Degil tak nak dengar kata mak!” Marah bonda lagi mampu buat ayah berubah riak wajah rimas dan mula berdiri. Wajah ayah jelas marah.
"Mak ni memang tak habis-habis lagi kan nak cakap pasal Nadia tu. Dia sepupu along aje la. Macam adik along sendiri. Kenapa mak suka sangat nak bagi along kahwin dengan dia sedangkan along tak suka dia. Cukup la mak kalau mak nak cakap pasal tu lagi along malas nak dengar!” Marah ayah lalu membuka seribu langkah naik ke anak tangga. Aku mula teragak-agak. Melihat bonda masih menjeling ke arahku.
Tapi satu persoalan. Nadia? Aunty Nadia tu? Ya, aku kenal dia. Dia juga tidak menyukai aku. Pasti ada sahaja salah aku kalau kami berdua bersama, ini kan pulak nak suruh ayah aku berkahwin dengan aunty Nadia tu? Ayah pun tak suka dia. Aku? Aku ni lagi bertambah benci dia. Memang tak setuju lah aku kalau bonda suruh ayah kahwin dengan aunty Nadia yang sombong tu.
"Mak, sudah lah tu. Ni rumah along kan. Jangan lah buat perangai tu. Bella ni baru aje balik. Takkan nak buat kecoh pulak. Sepatutnya kita kena sambut Bella dengan meriah, bukannya tegangkan keadaan.” Mak ngah cuba meredakan keadaan yang tegang. Terasa kelopak mata mula basah.
Kenapa lah bonda nak sangat ayah tu kahwin dengan aunty Nadia?
Tapi, aku ada dengar satu perkataan yang keluar daripada mulut bonda.
Ayah duda? Jadi selama ini ayah pernah berkahwin dan ke mana perginya mama sekarang? Ya Allah, aku teringin sangat nak jumpa dengan mama.
"Kamu pun sama angah, suka sangat bela abang kamu tu. Sudah lah, mak nak balik. Menyampah duduk dalam rumah ni. Tengok lah hidup abang kamu tu sengsara sebab tak dengar kata mak. Sudah lah, malas mak nak cakap lagi. Jangan sampai satu hari nanti dia menyesal!”
Bonda terus mencapai beg tangannya yang jenama Gucci itu dan mula melangkah berjalan keluar daripada rumah banglo dua tingkat ini. Bonda memang orang senang, barang-barang yang dipakai semuanya berjenama mewah. Tapi sayang, dia sombong dan suka riak.
Sempat bonda menjeling aku atas bawah dan berjalan pergi keluar daripada rumah ini. Aku hanya telan sahaja kata-kata yang telah dia buat hati aku sakit. Hati yang masih terluka di Italy pun masih belum sembuh inikan pula di sini. Sungguh mengecewakan. Kalau bukan sebab pasal ayah, aku tidak akan pulang ke sini.
"Sabar ya, Bella. Bonda memang macam tu. Dia suka cakap lepas. Sabar ya.” Pujuk mak ngah sambil mengusap lembut bahuku. Aku hanya tersenyum.
"Tak apa, mak ngah. Bella faham. Mungkin Bella ni anak luar nikah dalam keluarga ni dan sebab itulah bonda tak sukakan Bella dan mahukan ayah berkahwin dengan aunty Nadia tu.” Hati yang sudah sakit, perkataan yang tidak sepatutnya akhirnya terkeluar daripada mulut.
"Eh, kenapa kamu cakap macam tu? Jangan fikir macam tu, Bella. Kamu anak yang sah. Kamu bukan anak yang seperti yang kamu fikirkan. Jangan fikir macam-macam. Sudah, sudah...jangan ikutkan bisikan syaitan tu.” Pujuk mak ngah lagi. Aku seka hujung mataku yang sudah mulai berair
"Macam mana Bella tak fikir macam-macam kalau Bella langsung tak tahu siapa mama Bella sebenarnya. Mak ngah tahu kan, Bella nak tahu sangat siapa mama Bella. Apa nama dia, dia tinggal di mana sekarang dan Bella teringin sangat nak jumpa dia. Please, mak ngah. Bagitahu di mana mama Bella sekarang. Bella teringin sangat nak tahu dia di mana sekarang. Please...” Rintihku sambil memegang kedua-dua tangan mak ngah. Air mata sudah mengalir laju ke pipi. Berharap sangat mak ngah ceritakan semua hal ini.
"Okay, baik la. Mak ngah akan cerita. Mama Bella sekarang berada di.....”
"Kak ngah!”
*********
Ingatkan balik ke rumah semula dapat sambutan gembira dan kesyukuran kerana aku telah selamat pulang. Malah lain pula yang jadi. Pulang bersama air mata.
Laju air mataku mengalir mengenangkan kata-kata bonda pada pagi tadi. Kenapa lah bonda benci sangat dekat aku? Apa lah kesalahan terbesar aku dekat dia?
"Kak ngah!”
Kami bersama-sama toleh ke arah suara pak lang itu yang seakan-akan menghalang untuk kakaknya meneruskan kata-kata itu.
Aku mengeluh berat.
Merenung wajah mak ngah semula berharap dia meneruskan kata-katanya dan aku mahu tahu di mana mama berada sekarang.
"Kak ngah, kita tak boleh cakap pasal ni sekarang tanpa pengetahuan along. Maafkan pak lang dan mak ngah, Bella. Sepatutnya kita kena meriahkan keadaan bila Bella dah pulang. Pak lang tak nak keadaan menjadi rumit.”
Halang pak lang dan mula berjalan mendekati kami berdua. Kelopak mataku mula bertakung air mata. Sebak di hati tak terkata. Walaupun aku tidak kenal siapa mama, apa nama mama, bagaimana wajah mama, mama tinggal di mana, aku tetap merindukan mama.
Dapat kulihat bagaikan pak lang memberi isyarat mata pada kakaknya agar tidak menyambungkan ayat itu. Hati aku mula panas. Tidak suka jika ada seseorang menyembunyikan sesuatu daripada aku atau menipu aku hidup-hidup!
Tidak menunggu lama, terus aku berjalan laju naik ke atas. Air mata tidak dapat tahankan lagi akhirnya jatuh ke pipi. Sakitnya hati yang teramat.
"Eh, Bella!”
Panggilan mak ngah tidak kupedulikan lagi. Air mata laju mengalir sepantas kilat aku membuka seribu langkah naik ke atas.
"Tulah kau ni dik, tengok Bella dah marah. Aku takut dia fikir lain nanti.” Marah mak ngah pada adiknya.
Pintu bilik tidur terus aku tolak daun pintu lalu kaki melangkah masuk, sebelum hendak aku menutup daun pintu itu susuk tubuh ayah berada di hadapan pintu bilikku.
Wajah ayah berubah saat melihat air mataku mengalir. Sungguh aku terluka jika ada seseorang menipu atau menyembunyikan sesuatu rahsia yang perlu aku tahu daripada pengetahuanku sendiri.
Daun pintu terus aku tutup. Di kunci lalu aku mula mengatur langkah ke balkoni bilik. Sempat aku perhatikan sekeliling bilik ini. Terubat sedikit hati ini. Ya Allah, sungguh aku merindukan bilik tidur aku ini. Tidak berubah dan tetap sama susunan perabot di dalam bilik ini. Langsung tiada habuk, mungkin ayah selalu kemas bilik ini.
Kini mata memerhatikan pemandangan pagi di luar balkoni. Air mata aku seka. Duduk di balkoni ini, teringat posisi begini di Venice dulu. Tapi sekarang sudah berubah. Pemandangan di sini hanya kelihatan bandar-bandar sahaja. Tetap tenang.
Macam mana lah wajah mama ya? Rindunya walaupun aku tidak pernah bertemu dengannya. Teringat akan mama air mata kembali mengalir laju ke pipi.
"Mama...”
"Bella rindu mama. Bella teringin sangat nak jumpa mama, peluk dan cium mama. Walaupun Bella tak pernah jumpa mama, Bella rindu mama sangat-sangat. Bella sayang mama. Bella yakin mama masih hidup dan mama masih ada. Semua orang tipu Bella. Semua orang tak sayang Bella, mereka sembunyikan perkara ni daripada Bella. Bella teringin sangat-sangat nak jumpa mama sebelum akhir nyawa Bella. Dapatkah Bella jumpa dengan mama nanti?”
Luahku sendiri dengan air mata yang makin lebat menuruni membasahi pipi. Kenapa lah semua orang hendak sembunyikan perkara ini daripada aku?
Teresak-esak aku menangis di luar balkoni itu. Tidak peduli lagi jika ada orang yang terdengar suara esakan tangisanku itu, akan aku lepaskan semuanya.
"Bella.”
Kedengaran satu ketukan pintu dan satu suara memanggilku. Kedengaran seperti suara ayah memanggilku.
"Bella, buka pintu ni. Ayah tak nak Bella menangis-nangis macam ni. Ayah sepatutnya sambut Bella dengan buatkan Bella gembira. Ayah tahu ayah salah. Maafkan ayah, Bella. Buka pintu ni Bella. Jangan lah macam ni Bella. Maafkan ayah.” Tergamam aku seketika. Ayah tidak pernah memujuk aku begini. Ayah seorang yang garang dan serius 24jam. Tiba-tiba aku pula rasa bersalah kerana telah buat ayah rasa serba salah. Seperti yang aku cakap, ayah akan lemah dan mengalah jika melihat air mata anaknya.
Cepat-cepat aku seka air mata. Entah kenapa, mata terpandang pula pada jari manisku di tangan kanan. Terukir satu senyuman saat mata terpandang cincin batu berlian daripada Chris. Masih kuat ingatanku pada lelaki itu. Saat begini lah aku boleh rindu padanya. Apa lah dia tengah buat sekarang ya?
Lagipun aku rasa, aku tak patut untuk ambil berat tentang dia. Nombor telefon pun aku sudah tukar ke nombor baru Malaysia. Nombor lama dari negara sana sudah siap-siap aku tukar ke nombor baru dengan itu nombor Chris tiada lagi di dalam contact telefon ini.
Kembali mengalir air mataku saat ini. Kalau ingat lelaki itu pasti akan ada halangan yang membuatkan aku dan Chris terpaksa berpisah. Tuan Rayyan yang begitu garang dan tegas tidak beri kami peluang untuk bersama malah dia berkeras untuk kami berpisah.
Pulang aje Malaysia pula, lagi bertambah stress. Air mata memang selalu akan mengalir dari negara sana hinggalah aku sudah pulang ke negara asalku. Air mata ini akan selalu mengalir malah akan selalu mengalir dengan hati yang terluka setiap kata-kata yang tajam telah menikam hatiku.
Terluka!
Sakit!
Perit!
Ah, semuanya aku yang hadap. Orang lain tak akan faham.
"Saya rindukan awak, Chris.” Ucapku perlahan dengan air mata kembali mengalir laju ke pipi.
"Bella, buka pintu ni. Ayah nak minta maaf, Bella.”
"Buka pintu ni, Bella.”
Panggilan ayah langsung tidak aku endahkan. Ayah pun sama! Sembunyikan perkara penting daripada pengetahuanku malah perkara itu yang sangat penting bagi aku dan perlu aku tahu.
Sungguh aku benci dengan semua orang!
"Bella...”
"Uhuk-uhuk!”
Tersentak aku seketika apabila kedengaran suara ayah batuk kuat berkali-kali. Tidak menunggu lama, lantas aku berjalan ke pintu bilik.
Tombol pintu bilik aku pulas dan membuka daun pintu tersebut. Terbeliak biji mataku melihat ayah sudah terbaring terlentang sambil memegang dadanya belah kiri yang menempatkan kedudukan jantung.
Melihat mak ngah dan pak lang sedang membantu ayah. Lantas aku mendapatkan ayah.
"Mak ngah, call ambulance sekarang!”
********
Sumpah aku rasa hendak mengalah. Rasa tidak mampu lagi hendak berdiri seorang diri sambil memikul beban yang berat. Mungkin ini ujian daripada Tuhan.
Pesanan Tiya terngiang-ngiang di peluput telingaku saat ini. Aku perlu kuat. Aku tidak boleh mengalah dan aku tak boleh mengaku kalah. Teruskan perjalanan hidup sehingga mampu buat bibir tersenyum lebar dengan takdir yang telah Allah tetapkan.
Lama aku merenung wajah ayah yang pucat lesu terkaku terbaring di atas katil wad dengan nafas yang masih tersekat dan sedikit tercungap-cungap. Mata ayah tertutup rapat. Ayah masih tidak sedarkan diri. Kata doktor, ayah perlu banyakkan berehat.
Lembut aku mengusap belakang telapak tangan ayah. Mungkin dengan kata-kata bonda tadi yang membuatkan ayah tekanan yang melampau dan buatkan ayah stress.
Ah, bonda memang suka cakap lepas dan langsung tidak memikirkan hati dan perasaan orang. Yang dia tahu, dia mahukan ayah yang sudah tua dan sakit ini berkahwin dengan anak saudaranya yang berumur sebaya dengan ayah. Siapa lagi kalau bukan aunty Nadia. Nampak aje tua, tapi bila bercakap sama aje dengan makcik saudara dia tu. Cakap lepas!
"Macam mana dengan keadaan ayah, Bella?” Soal mak ngah yang turut risau. Pak lang juga turut ada di sini. Mereka tiba di hospital sedikit lambat.
Aku hanya senyum kelat.
"Alhamdulillah, ayah okay aje. Cuma doktor suruh ayah banyakkan berehat.” Jelasku pada mak ngah. Mak ngah hanya menghela nafas lega.
"Bella, kalau Bella nak tahu ayah dah banyak kali jatuh sakit saat Bella tiada. Mak ngah risau jugak. Bila dia dapat tahu yang esok Bella nak balik ke sini, gembira dia tak terkata. Senyum lebar. Katanya dia rindukan Bella.” Cerita mak ngah buatkan aku kembali rasa sebak. Kalau satu hari nanti Tuhan ambil nyawa ayah, pasti aku akan hidup sendirian tanpa orang tersayang berada di sisi.
Hujung mata aku seka. Terasa mata ini sudah bengkak dek asyik menangis tidak henti-henti. Tetapi aku kuatkan hati untuk tidak bersedih lagi. Aku perlu kuat menjalani ujian daripada Tuhan.
"Bella jangan risau ya. Ayah baik-baik saja tu.” Pujuk pak lang pula. Terasa bahuku diusap lembut oleh mak ngah. Aku hanya senyum kecil sambil mengangguk.
Hanya mampu percaya pada takdir Tuhan kerana takdir daripada Tuhan itu lebih indah daripada rancangan manusia.
********
"Bella...”
Suara itu buatkan aku kembali membuka mata. Terlelap seketika kerana penat yang tak habis daripada tadi. Mak ngah dan pak lang sudah pulang. Aku menyuruh mereka pulang dan membiarkan aku jaga ayah malam ini di hospital.
Cepat-cepat aku mengangkat wajah. Melihat wajah ayah manis dengan senyuman walaupun ayah masih sedikit batuk-batuk. Lantas aku mencapai botol air putih lalu dihulurkan pada ayah. Ayah meneguk air tersebut lalu menyerahkan kembali botol air tersebut padaku.
Dalam hati bersyukur teramat pada Tuhan kerana ayah sudah sedarkan diri.
Alhamdulillah.
"Ayah nak apa-apa lagi? Bella ambil kan.” Ujarku bersedia buat sesuatu jika ayah mahukan sesuatu. Ayah hanya senyum tipis sambil menggeleng kepala.
"Tahniah anak ayah.” Ucap ayah tiba-tiba. Berkerut dahiku. Tahniah? Tahniah untuk apa?
"Alhamdulillah, ayah bersyukur sangat-sangat dan tahniah pada Bella sebab Bella dah berusaha sedaya upaya menangkan pertandingan tu. Tahniah lagi sekali kerana sudah dapat tempat pemenang yang pertama!” Ucap ayah buatkan aku tergamam. Aku juga turut tersenyum lebar.
Tapi bagaimana ayah boleh tahu?
Rasanya aku belum lagi ceritakan semua ini pada ayah.
"Macam mana ayah tahu? Rasanya Bella belum lagi bagitahu ayah tentang pertandingan tu.” Memang aku rancang untuk buat kejutan pada ayah.
Tapi rasanya tidak jadi kerana ayah sudah tahu. Siapakah yang memberitahu perkara ini pada ayah?
Ayah tersenyum senget.
"Zyan. Dia juga saksi dan ada di situ sewaktu Bella menang pertandingan tersebut.” Terkejut aku saat ini.
Zyan?
Zyan ada saat pertandingan itu bermula? Ah, macam mana dia ada? Aku tidak nampak dia pun.
Alamak! Adakah Zyan juga nampak pertandingan penari pasangan sewaktu aku bersama Chris? Ah, bagaimana ini?!
Bibir bawah aku gigit. Harap sangat-sangat perkara itu tidak dihebohkan sehingga ayah dapat tahu.
"Alhamdulillah. Terima kasih juga sebab ayah selalu sokong Bella.” Ucapku sambil tersenyum lebar. Memang gembira tak terkata.
"Wah, kali ini Bella boleh dah jadi ratu gymnastic dan balet. Lepastu Bella boleh buka satu kelas untuk mengajar orang lain balet dan gymnastics.” Ujar ayah yakin buatkan aku melepaskan tawa.
"Ada ke ayah fikir sampai ke situ? Bella belum lagi sampai ke tahap tu ayah.” Entah mengapa, ini pertama kali aku bersembang mesra dengan ayah sebegini. Rasa sebak di dada tiba-tiba.
"Yakin dan berusaha. Itu yang penting. Nanti kalau suatu hari nanti ayah sudah tiada di dunia ni, ayah nak Bella jaga diri baik-baik. Ramai lagi orang sayangkan Bella. Dan, suatu hari nanti juga Bella akan dapat tahu semua perkara yang selama ini Bella langsung tak tahu.” Terasa hendak menangis aku dengar kata-kata tidak sepatut diungkapkan oleh ayah. Dan, hujung ayat itu mampu buat aku tergamam.
"Kenapa ayah cakap macam tu? Jangan lah cakap macam tu. Bella sayang ayah seorang aje. Bella ada ayah aje di dunia ni dan ayah lah hero Bella tau! Tiada sesiapa dah selain ayah.” Ujarku sepantas itu aku memeluk tubuh ayah. Tangan ayah aku kucup lama. Terasa birai mata mula basah.
Lembut ayah mengusap kepalaku. Senyuman terukir lebar di bibir.
"Bella...” Panggil ayah. Aku sedikit bingung apabila mata ayah tak lepas-lepas memandang pada jariku. Aku juga turut memandang ke tempat yang ayah perhatikan saat ini.
Cincin!
Sedikit membulat mataku. Telan liur aku seketika. Ah, ayah sudah perasan dengan cincin ini. Bagaimana hendak aku beri alasan pada ayah?
"Ni cincin daripada Zyan ke? Ya Allah, cantik nya! Pandai betul Zyan pilih untuk Bella. Good! Zyan dengar kata ayah untuk beli cincin ni untuk Bella. Tak sabar betul ayah nak tengok anak ayah ni naik atas pelamin sebelum ayah pejam mata buat selama-lamanya.” Ujar ayah teruja sambil membelek-belek jari manis aku yang terletak kemas cincin batu berlian di jari manisku itu.
Alamak! Ayah sudah salah faham. Berkali-kali aku telan liur. Otak ligat mencari ayat untuk berikan pada ayah yang sudah gembira. Wajah pucat ayah tadi sudah berubah ke wajah gembira.
Aku juga turut tersenyum. Senyuman paksa. Kasihan ayah. Sudah salah faham. Kalau aku terus-terang pada ayah ni mesti ayah marah teruk pada aku dan sejujurnya aku tidak mahu ayah sakit lagi kerana hal ini. Ah, bagaimana?!
Tapi, buatkan aku terkejut apabila ayah pernah merancang bersama Zyan beli cincin untuk aku. Tapi sampai sekarang Zyan masih seru dan langsung tidak nampak kelibatnya sehinggalah aku sudah pulang ke Malaysia. Hairan juga. Ke mana dia pergi?
"Eh, err...” Gagap aku bersuara. Telan liur lagi.
Dada berdebar-debar. Mungkin hari ini aku habiskan sahaja di sini. Tidak mahu di simpan lagi, nanti hati tidak tenang.
"Korang memang secucuk dan sepadan. Ayah berkenan dengan Zyan tu. Kacak orangnya, sopan dan hormat orang tua. Sesuai untuk Bella.” Lebar senyuman ayah tak lepas-lepas merenung cincin tersebut. Ah, rasa berat pulak hati ini hendak berterus-terang. Mungkin aku akan bergantung kepada Zyan. Biar saja dia yang terus-terang pada ayah.
"Haah, Zyan memang baik. Tapi....” Belum habis aku bicara ayah sudah potong.
"Dia memang baik. Sebab itulah ayah suka dia dan ayah nak korang berdua berkahwin. Tak sangka Bella dah buka hati untuk terima dia. Alhamdulillah, ayah setiap hari doa supaya Bella dapat buka hati terima lelaki sebaik Zyan tu. Ayah tak nak sesiapa untuk jaga Bella sewaktu ayah tak ada nanti. Ayah nak Zyan. Ayah percaya Zyan. Hanya dia boleh jaga Bella dan ayah nak Zyan berkahwin dengan Bella sebelum ayah pergi buat selama-lamanya. Bukan lelaki lain.” Ditekan sedikit ayat akhir ayah itu buatkan aku terdiam terkelu. Telan liur lagi.
Hanya senyuman paksa yang terukir di bibir. Hati terasa begitu resah.
*********
Alhamdulillah, sudah seminggu aku tinggal di sini. Semuanya baik-baik sahaja. Ayah sudah sihat. Bersyukur pada Tuhan ayah tidak apa-apa terjadi lagi. Mungkin ayah tidak boleh terlalu tertekan.
Melihat ayah sedang bersembang bersama adik bongsunya yang setiap hari datang ke rumah melihat keadaan abangnya. Seperti yang aku cakap, ayah langsung tiada kawan. Hanya ada adik beradiknya sahaja yang di anggap seperti kawan. Terutamanya pak lang. Adik bongsunya yang paling dia rapat.
Dulang air aku hidang di atas meja berhadapan dengan mereka. Terus aku melangkah kembali ke dapur.
Cerita pagi tadi masih belum selesai. Pagi tadi aku hubungi Zyan. Tetapi langsung tidak dapat. Langsung aku tak tahu di mana keberadaan lelaki itu sekarang. Sudah pulang Malaysia ke belum? Atau masih di Italy.
"Bella nak air apa-apa ke?” Soal Mak Gayah setelah selesai mengemas dapur.
"Eh, tak apa. Biar saya aje ambil sendiri minuman tu kalau saya nak. Terima kasih, Mak Gayah.” Ucapku menghalang dia buatkan minumanku. Wanita itu hanya senyum dan meminta diri untuk pergi kemas di ruangan lain.
Kali ini sudah lebih 10 kali aku cuba hubungi Zyan. Sumpah gelisah aku saat ini. Dia tidak mengangkat call.
Aku mahu bincang dengan dia tentang ayah. Perkara yang harus berterus-terang pada ayah. Sumpah aku tidak boleh berdiam diri kalau masih belum di jelaskan semuanya pada ayah yang aku dan Zyan langsung tiada apa-apa hubungan.
Nafas berat aku hela panjang-panjang. Masih tidak angkat. Akhirnya aku mengalah. Kaki mengaturkan langkah ke belakang rumah. Mahu mengambil angin di luar rumah sebentar.
Duduk dilabuhkan di sebuah kerusi yang berada di situ. Fikiran mula serabut. Bagaimana hendak mencari idea untuk mencipta satu ayat yang masuk akal untuk diberikan pada ayah.
Tak akan lah nak cakap yang aku tak suka Zyan sebab itu kami mahu batalkan majlis pertunangan tersebut yang akan berlangsung pada bulan depan. Ah, stress!
Makin jauh aku mengelamun melayan perasaan sendiri, tiba-tiba mata jatuh memandang cincin yang kemas tersarung pada jari manisku. Senyuman terukir mekar di bibir.
Ya Allah, kenapa aku tiba-tiba rindukan dia sedangkan kami sudah mengambil keputusan untuk buat hal masing-masing? Dan jikalau kami bertemu kembali, mungkin jodoh kami kuat. Tapi, dapatkah kami bertemu semula?
Sekali lagi aku hela nafas panjang-panjang. Fikiran saat ini tersekat tengah jalan.
"Jauh betul mengelamun. Teringat dekat Zyan ke tu?”
Terkejut aku mendengar suara ayah yang muncul secara tiba-tiba. Terkebil-kebil aku memandang ayah yang sudah berada di sebelahku. Berkerut seribu dahiku melihat ayah tiba-tiba muncul.
"Eh, tadi bukan ke ayah tengah bersembang dengan pak lang. Mana pak lang?” Soalku hairan. Bingung. Tak silap aku, pak lang baru aje sampai. Tak akan sudah pulang?
Selalunya mereka kalau bersembang atau pak lang datang pasti lama. Mahu petang baru pulang. Dan makan tengah hari juga bersama pak lang. Tetapi awal pulak hari ini pak lang balik.
Ayah hanya tersenyum kecil sambil menggeleng perlahan.
"Pak lang dah balik. Katanya, ada hal sikit dekat tempat kerja dia. Kamu tu, ayah ada di sini pun tak perasan. Teringat dekat Zyan rupa-rupanya.” Sempat ayah sakat aku buatkan aku ketawa kecil sebaliknya hati resah tidak tentu arah.
"Eh, mana ada lah ayah. Tengah fikirkan.....”
"Lelaki lain?”
Tergamam aku seketika. Lidah automatik jadi kelu. Jantung bagaikan hendak luruh saat ini. Kenapa soalan ayah itu begitu tepat? Sumpah saat ini aku hilang kata.
"Ma...mana ada, ayah. Bella cuma terfikirkan majlis pertunangan tu je. Bella mana lah ada lelaki lain.” Sempat aku sengih kecil. Hati aku saat ini betul-betul resah. Risau sungguh jika kantoi.
Sekali lagi aku tekan liur apabila ayah merenungku begitu tajam.
"Bella jangan buat hal. Majlis pertunangan tu tak lama dah. Jangan ada sesekali lelaki lain yang muncul dalam hidup Bella. Ayah nak Zyan, bukan lelaki lain!” Tegas suara ayah buatkan jantung aku makin laju berdetak.
"Apa ayah cakap ni? Bella tak pernah pun ubah fikiran untuk cari lelaki lain. Dah lah, jom kita makan, ayah. Mak Gayah dah masak. Lepastu ayah rehat ya. Jom.” Mungkin dengan cara begini dapat mengelak untuk ayah terus bercakap tentang hal itu.
*********
1 bulan kemudian....
Seketika aku menilik jam di pengelangan tanganku. Ya Allah, tak akan lah aku kena teruskan majlis pertunangan ini.
Aku tak nak, tapi di mana pulak Zyan. Aduh, Zyan ni pun satu. Banyak kali aku cuba hubungi dia tapi tetap tidak dapat. Adakah Zyan sengaja buat begini sebab dia memang mahu berkahwin dengan aku? Ah, tak akan aku terima. Aku patut batalkan majlis ini!
Dress labuh berwarna kelabu sudah tersarung kemas di tubuh. Sangat cantik dress ini dan mengikut lekuk tubuhku yang kurus ini. Corak bunga juga sungguh cantik. Tudung juga warna kelabu dan mekup pula hanya simple tidak terlalu tebal.
Jantung makin hebat berdetak saat ini. Bagaimana hendak aku batalkan majlis ini kalau Zyan tidak pernah call aku dan tidak pernah mengangkat call daripada aku sampai sekarang.
Aku cuba tanya Tiya, mana lah tahu Zyan menukar nombor baru. Tetapi Tiya juga langsung tiada nombor Zyan kerana Tiya telah menukar nombor baharu. Ah, kusut!
Lelaki ni memang sengaja nak kenakan aku!
"Cantiknya kau!” Puji Tiya yang baru muncul di muka pintu bilikku.
"Hehe, thank you.” Ucapku dan kembali menekan skrin telefon kemudian telefon di dekapkan di telinga.
TUT...TUT...TUT...
Masih tidak dapat!
Nafas kasar aku hela dan akhirnya telefon itu dicampak kasar di atas katil. Duduk dilabuhkan di birai katil sambil memeluk tubuh. Sungguh panas hati aku saat ini.
"Eh, kenapa ni Bella? Marah sangat nampak?” Soal Tiya yang turut mendapatkan aku.
"Aku nak batalkan majlis ni!” Kataku tidak puas hati.
"What? Hei, kau gila ke apa? Kau tahu tak dekat bawah tu dah ramai orang tunggu kau. Majlis tu pun tak lama lagi dah nak bermula.” Marah Tiya tidak setuju sedangkan dia sudah tahu cerita sebenar.
Perempuan ni memang sengaja juga nak kenakan aku ke macam mana? Tiada masa hendak bergurau atau menyakat. Hati aku tengah membara dengan api kemarahan!
"Tiya, kau dah tahu kan hubungan sebenar aku dengan Zyan macam mana? Kami langsung tiada apa-apa hubungan la. Dan kitaorang dah ambil keputusan untuk buat hal masing-masing. Selesai sahaja rancangan kami untuk batalkan majlis pertunangan tu, aku dan Zyan dah tiada apa-apa lagi.” Sungguh marah. Lelaki itu pula boleh lesap begitu sahaja. Mana tidaknya aku marah saat ini.
Kalau dia susah sangat hendak jelaskan semua ini, biar aku sahaja lah yang jelaskan pada ayah. Aku redha jika di marah teruk oleh ayah.
"Oky, I know. So, now kau pergi aje lah terus-terang dengan ayah kau. Kenapa nak tunggu Zyan pulak?” Soal Tiya lagi. Aku hela nafas berat.
"Dia dah janji yang dia sendiri nak berterus-terang pada ayah. Dia halang aku untuk aku berterus-terang pada ayah. Mungkin dia risau yang aku akan dimarahi teruk oleh ayah.” Ceritaku lagi pada Tiya. Tiya hanya mengangguk faham.
"Bella, kau tak perasan ke? Atau kau buat-buat tak faham?” Soal Tiya buatkan aku berkerut kening. Apa yang minah ni cakap? Aku langsung tidak faham.
"Bella, dari situ kita dah boleh tahu yang dia sayang kau. Dia masih cinta kau. Mungkin dia tak boleh tipu diri dia yang dia sayangkan dan dia masih cintakan kau.” Ujar Tiya buatkan aku hendak lestik sahaja dahi gadis ini.
"Tiya, jangan buat lawak boleh tak? Kitaorang hanya berkawan baik aje la. Tak lebih pun daripada itu. Zyan sendiri cakap yang dia dah tiada perasaan cinta terhadap aku.” Balasku yang masih tidak puas hati.
Tiya tersenyum senget sambil menggeleng kepala beberapa kali.
"Itu dia yang cakap, tapi kita tak tahu hati dia macam mana, Bella. Mungkin dia masih cintakan kau. Kalau dia dah lupakan kau atau dia dah tak cintakan kau, dia tak akan tolong kau untuk jelaskan perkara ini pada ayah kau. Sebab apa? Sebab dia masih sayang kau dan dia tak nak kau dimarahi teruk oleh ayah kau. Kena fikir macam tu Bella. Aku yakin dia masih sayangkan kau. Dia masih cintakan kau, Bella.” Bahuku ditepuk beberapa kali oleh Tiya.
"Aku malas nak cakap lebih-lebih. Aku rasa kau dah boleh fikir sendiri. Aku turun dulu. Nanti jumpa.” Tiya terus keluar daripada bilikku dan tinggalkan aku sendirian di bilik ini dengan otak yang sedang lancar berfikir.
"Betul juga apa yang Tiya tu cakap. Tapi.....aku tak boleh terima dia. Ya Allah, macam mana ni?” Nafas berat aku hela.
Sumpah aku buntu saat ini.
TOK! TOK! TOK!
Pandangan terus aku alihkan pada daun pintu bilikku. Ada seseorang ketuk pintu bilik dan daun pintu dibuka dari luar. Muncul wajah mak ngah. Gembira wajahnya melihat aku sudah siap dengan dress cantik ini.
"Ya Allah, cantiknya anak buah mak ngah ni. Jom Bella, mereka semua dah tunggu.” Aku hanya mengangguk sambil tersenyum manis ke arah mak ngah.
Pintu bilik terus ditutup kembali oleh mak ngah. Aku mula bangun. Berdiri tegak dan kembali menilik diri pada cermin. Cantik! Hahaha tak salahkan puji diri sendiri.
Kini mata jatuh memandang pada jari manisku yang tersarungnya cincin pemberian daripada Chris.
Cincin tersebut perlahan-lahan aku cabut dari jari manisku itu dan diletakkan di atas meja solekku. Senyuman manis terukir di bibirku. Saat ini lah rasa sebak dan hendak menangis.
"I miss you, Chris.” Ucapku sendiri dengan nada perlahan. Berkali-kali aku kedipkan mata agar tidak mengalir air mata yang sudah bertakung.
Entah kenapa rindu aku pada Chris saat ini membuak-buak. Ah, tolak ke tepi semua itu. Sekarang ini aku perlu batalkan semua ini atau aku akan ambil masa dan putus tunang. Cara itu juga lebih mudah.
Perlahan-lahan aku aturkan langkah membuka pintu bilik. Kedengaran suasana riuh dan kelihatan ramai orang di bawah sedang menunggu kedatanganku.
Nafas ditarik dalam-dalam. Sungguh berdebar-debar.
Kaki di aturkan berjalan meneruni tangga. Sampai sahaja di tingkat bawah, semua mula mengambil gambar. Ah, rasa kekok pulak!
Tidak pedulikan, kuatkan kaki untuk berjalan sehingga naik ke atas pelamin. Baru sahaja tunang tapi ayah sudah buat persiapan dengan sungguh mewah. Belum lagi kahwin pasti akan lebih daripada ini.
Duduk dilabuhkan. Rasa begitu berdebar entah kenapa.
Saat cincin hendak menyarung ke jari manisku, air mataku mengalir. Terasa diri ini telah mengkhianati dan menipu Chris. Ya Tuhan, kalau lelaki itu tahu pasti dia akan terluka dan kecewa.
Akhirnya, tersarung jua cincin itu ke jari manisku. Ramai yang sibuk mengambil gambar, aku tersenyum manakala mak ngah mengusap lembut pipiku yang sudah basah dek air mata yang mengalir deras.
Share this novel