Melihat senyuman mengusik sudah terukir lebar di bibir Tiya. Aku yakin gadis itu sudah nampak dan tahu siapa orang yang berada di belakangku dan siapa tuan punya suara tadi.
Telan liur aku seketika. Senyuman cuba disembunyikan. Muka masam aku tayangkan padanya. Dia berjalan ke depan kami berdua dengan penuh bergaya. Aku dengan lagak selamba, buat muka biasa bagaikan tiada sesiapa di hadapan kami.
"Bella, boleh awak tunggu kejap. There's something I want to tell you.” Aku tidak memandang ke arahnya, malah aku kuatkan diriku untuk memandang kereta yang lalu-lalang dihadapan kami. Aku tidak mahu memandangnya kerana jantungku bila-bila masa sahaja boleh gugur.
"Err...Boleh je. Lagipun, Bella dia nak ke kedai makan. Katanya dia lapar. Kalau korang berdua nak keluar makan, boleh aje. Saya balik dulu.” Lantas Tiya bersuara membuatkan aku tidak senang duduk.
"Eh, err...” Sengaja betul si makcik Kiyah ni nak kenakan aku lagi. Geramnya aku dengan dia ni. Si mamat di depan aku ini pula sudah tersenyum senget. Aku langsung tidak tahu maksud senyuman itu tetapi bagi aku senyuman itu terlihat jelas seperti senyuman sinis.
"Kau pergi je lah. Dia nak ajak kau dating tu. Ini peluang kau untuk pikat dia, Bella. Goodluck, bestie!” Bisik Tiya sambil bahuku ditepuk beberapa kali oleh Tiya lalu dia terus berlalu pergi. Hati aku mula panas dan geram dengan Tiya yang sudah pergi meninggalkan aku berdua-duaan dengan Mr.Chris yang masih berdiri di hadapanku.
"Ada apa?” Tidak menunggu lama, aku terus bersuara. Lelaki itu terus melabuhkan duduknya di sebelahku. Rapat denganku, sepantas kilat aku berdiri. Kerusi ini memang kecil tetapi masih ada jarak untuk berjauhan. Sengaja betul mamat ni!
"Isy, awak nak apa?” Soalku dengan nada sedikit meninggi. Tegas sambil memeluk tubuh menjeling sekilas ke arahnya.
"Jom.”
Berkerut dahiku dengan ajakannya secara tiba-tiba itu.
"Nak pergi mana?” Soalku yang masih bingung. Lelaki itu hanya senyum kecil dan berlalu pergi. Tidak menunggu lama, aku hanya mengikuti langkahnya. Mana lah tahu dia nak belanja aku makan lagi. Lagipun aku tengah lapar sekarang ni, hihihi.
*******
Takut-takut aku melangkah masuk ke sebuah kedai makan yang sungguh besar. Cantik kedainya berdekatan dengan pantai. Dapat melihat pemandangan laut biru pada waktu tengah hari. Cantik. Angin begitu lembut menampar kulit wajahku.
Di dalam kedai ini, dapat kulihat semua pelanggan yang berada di dalam ini semuanya berpasangan. Yang sudah kahwin dan yang sedang hangat bercinta. Tapi, kenapa Mr.Chris membawa aku di tempat begini? Romantik tetapi tidak sesuai untuk aku dan dia. Jangan nak anggap kami bercinta pulak!
Dengan ala-ala gentlemen, dia menarik kerusi dan memberi aku duduk. Senyuman manis aku hadiahkan padanya. Haih, romantik pula cikgu aku ni.
"Cantiknya tempat ni. Awak ni, susah-susah aje.” Aku ketawa kecil sambil memerhatikan sekeliling kedai ini. Meja makan kami berdekatan dengan pantai. Cantik dan sungguh indah.
"Dah banyak kali tau awak belanja saya. So, hari ini saya pulak belanja awak.” Ujarku pada lelaki itu yang sedang melabuhkan duduk di kerusi berhadapan denganku.
"Tak perlu lah, Bella. Ini semua untuk awak. Tak susah pun. Salah ke untuk saya belanja anak murid saya makan?” Dia menjongketkan kening sebelahnya. Aku hanya sekadar ketawa kecil.
"Memang lah tak salah, tapi asyik saya aje awak belanja makan.” Sengaja aku buat-buat mahu menolak sebaliknya terharu. Baik juga ya Mr.Chris ini walaupun sebaliknya dia seorang yang serius 24 jam!
"Because you are most special to me.” Perlahan suara itu tetapi aku hanya dapat dengar 'special'. Siapa yang special? Dengan senyuman Mr.Chris penuh dengan membawa sesuatu maksud yang tidak dapat aku ungkapkan.
"Special?” Soalku kembali. Tidak jelas kedengaran suaranya tadi. Aku meminta agar dia mengulangkan semula kata-katanya tadi.
Terkebil-kebil dia memandang ke tempat lain. "Err...Tak ada apa. Makan lah, saya tahu awak lapar. Tadi kawan awak kata awak lapar. Semua ni biar sahaja saya belanja. Bukannya hari-hari pun saya belanja awak.”
Aku pula segan. Dah banyak kali dia belanja aku tetapi aku tidak pernah lagi belanja dia. Kasihan dia. Sebelum aku memulakan makan, kiri dan kanan aku menoleh. Rasa takut pula mahu makan makanan di depan mata ini. Was-was.
"Errr...Awak, saya nak tanya sikit boleh?”
Melihat lelaki itu tenang sedang meneguk air coffee nya.
"Yes?”
"Makanan di sini halal ke?” Soalku sedikit teragak-agak. Lelaki itu hanya senyum manis. Aku pula malu. Rasa dah menyusahkan dia pula kena cari kedai makan yang halal khas untuk umat Islam yang berada di kota Venice ini.
"Don't worry, Bella. Di sini semua makanan berkhasiat dan makanan sihat-sihat. Kalau awak takut dan risau hendak makan, awak tengok di sana tu.” Dia menunding jari pada satu meja pasangan romantik yang sedang menikmati makanan sambil ketawa mesra. Kedua-duanya Islam. Melihat wajah lelaki itu kelihatan jelas mungkin berasal dari Arab Saudi dan kekasihnya pula bertudung. Sedang mesra gelak-ketawa sambil menikmati makanan yang berada di depan mata.
"Seperti yang awak tertanya-tanya tadi, makanan di sini semuanya halal dan berkhasiat.” Sambung Mr.Chris yang sudah tahu aku sedikit takut hendak makan. Melihat di dalam kedai ini mewah tetapi dipenuhi dengan pasangan muslim. Ada juga yang memandang pelik ke arah kami berdua. Mungkin mereka sangka yang aku sedang bercinta dengan lelaki non muslim sebaliknya kami hanya berkawan.
Huh, lega aku melihat. Selesai membaca doa makan, rezeki yang sudah terhidang di depan mata terus dimasukkan ke dalam mulut dengan penuh nikmat. Sedap!
Sudah hampir lebih sepuluh suap aku makan dan hampir habis aku menikmati makanan tersebut baru aku perasan yang lelaki dihadapanku ini sedang merenungku lama yang sedang makan. Terus aku terasa segan dan mula terasa malu. Kekok!
Terhenti terus hendak aku habiskan makan yang sudah tinggal sisa. Air jus oren aku teguk perlahan-lahan. Melihat di pinggan Mr.Chris langsung tiada makanan. Dia tidak makan ke? Takkan tengok aku makan aje? Tetapi dapat kulihat dia sedang merenungku makan sambil tersenyum kecil. Senyuman membawa sesuatu maksud yang langsung aku tidak tahu.
"Kenapa awak tengok saya makan? Kenapa awak tak makan? Tak lapar ke?” Terlalu lapar sangat tadi sampaikan aku tidak perasan yang dia sedang merenungku. Ah, malunya!
"It's oky. Saya tak terasa lapar pun.” Jawabnya ringkas.
"Tadi awak baca apa?” Soalnya lagi setelah keadaan menjadi sunyi sepi kembali.
"Baca apa?” Soalku padanya pula. Entah lah, aku tidak ingat.
"Kenapa awak angkat kedua-dua tangan awak? And, apa yang awak baca tadi?” Soalnya. Baru aku faham. Senyuman kecil terukir di bibirku.
"Oh, tadi saya baca doa makan. Untuk agama kami, sebelum makan atau minum perlu baca doa agar perkara buruk tidak berlaku dan kami juga akan dapat kebaikan daripada Tuhan kami.” Jelasku padanya. Wajahnya terlihat blur. Mungkin tidak faham. Aku ketawa kecil.
"Tapi, ada juga seseorang yang tidak membaca doa sebelum makan. Kalau kami memulakan makan dengan membaca doa, kami akan dapat kebaikan daripada Tuhan kami dan jika seseorang itu tidak membaca doa sebelum makan maka dia tidak akan dapat ganjaran kebaikan daripada TuhanNya.” Ulangku kembali memberi dia faham.
"Oh, I see. Dan, awak juga seorang wanita yang sangat baik.” Ucapnya membuatkan dahiku sedikit berkerut. Baik? Tidak. Aku seorang pendosa yang sedang berusaha untuk beristiqomah.
"Mana ada saya baik. Saya jahat. Tak semua manusia di atas muka bumi ini baik. Ada aje yang jahat. Macam saya.” Aku tayang muka jahat. Muka nakal. Memang aku jahat dan nakal pun. Lagi-lagi suka kacau orang! Hihihi.
"Nope. You so naughty girl. Tapi, awak seorang wanita yang baik walaupun awak nakal.” Kedengaran suara mengusik. Aku ketawa kecil. Entah lah, geli hati pula.
"Mana ada. Saya jahat.”
"Kalau awak jahat, awak tak akan ikut perintah Tuhan awak. Saya pernah dengar ada seseorang cakap, nak tahu seseorang itu baik. Dia seorang yang ikut dan taat pada tuhannya. Bukan seperti saya. Jahat dan....” Kata-katanya terhenti. Dia sedikit menunduk. Aku juga turut diam. Suasana kembali sunyi sepi.
"Untung kan kalau siapa dapat memiliki awak.” Ujarnya secara tiba-tiba. Aku mula tersipu-tersipu. Senyuman kecil terukir di bibir. Entah kenapa, wajah mula berbahang.
"Eh, mana ada lah Mr.Chris. Saya ni bukannya baik macam perempuan di luar sana. Saya pun jahat. Lagipun, siapa je nak dekat saya.” Air jus oren aku teguk beberapa kali. Jantung saat ini makin hebat berdebar. Lagi bertambah berdebar dengan renungan mata Mr.Chris buatkan aku tidak tentu arah.
"Tak, Bella. Awak baik. Perempuan baik sepatutnya akan dapat lelaki baik. A differenza di me, uomo cattivo.” Agak perlahan suaranya di hujung ayat itu. Berkerut-kerut dahiku. Apa yang dia cakap tu raju? Aku rasa itu bahasa Italy. Ah, sakitnya hati ini. Kata-kata yang penting selalunya dia akan bercakap dalam bahasa Italy.
"Err...Apa awak cakap tadi?” Soalku kembali ingin tahu apa yang dia cakap tadi. Suaranya agak perlahan dan tidak kedengaran jelas. Mr.Chris hanya senyum. Seperti yang aku cakap, senyuman yang membawa sesuatu makna yang tidak dapat aku ungkapkan. Tidak dapat aku teka dan tidak dapat aku tahu.
"Nothing. Awak dah habis makan ke? Jom, saya nak bawa awak ke sesuatu tempat.” Aku hanya mengangguk. Memang aku sudah selesai makan pun. Cuma aku rasa sedikit tidak selesa dan segan apabila hanya aku sahaja yang makan. Mr.Chris langsung tidak makan. Hanya minum kopinya sahaja. Aku pula berasa serba salah.
"Tapi, kita nak pergi mana pulak ni?” Soalku. Risau! Mana lah tahu dia bawa aku ke tempat bukan-bukan bagaimana? Jam pula sudah tepat pukul 2 petang. Masih awal tetapi bagi aku itu sudah agak lewat. Entah apa lagi lewat malam.
Dia hanya senyum kecil. Senyuman misteri.
Lelaki itu terus bangun dan berlalu pergi ke satu pintu yang menuju ke pantai. Dia nak buat apa di situ? Melihat di situ ramai orang sedang mengambil gambar, duduk santai di situ dan ada juga yang sedang bermandi-manda di pantai. Tapi, kami berdua pula nak buat apa di situ?
Tidak menunggu lama, aku hanya ikuti sahaja jejak langkah lelaki itu. Buatkan aku nak menangis di tengah-tengah pantai ini apabila melihat susuk tubuh lelaki itu hilang begitu sahaja. Bagaikan halimunan.
Kiri dan kanan aku toleh mencari susuk tubuhnya. Ke mana pulak lelaki ini pergi? Sengaja betul dia tinggalkan aku seorang diri di sini.
"Mr.Chris! Ooo...Mr.Chris. Where are you going?” Kepala yang dilitupi dengan tudung aku garu. Kelopak mata mula basah. Takut di tinggal seorang diri di sini oleh Mr.Chris yang sengaja kenakan aku.
Teringat kembali pada mimpiku. Tempatnya bagaikan nak sama dengan mimpiku semalam. Di tinggalkan seorang diri begini dan muncul lah heroku yang berwajah sama dengan Mr.Chris. Tetapi aku masih ingat, sebelum heroku yang berwajah mirip dengan Mr.Chris muncul, Zyan dahulu yang muncul.
Kemudian, muncul lah heroku bermata biru....
"Don't cry, dear. I'm here.” Seseorang bersuara dari arah belakangku dengan terselit tawa kecil. Tawa yang sungguh bahagia.
Lantas aku berpusing ke belakang. Mahu terkejut besar aku apabila hampir sahaja muka aku berlaga dengan teddy bear yang sungguh besar di depan mata. Besar, gebu, comel dan berwarna putih. Wah, teddy bear aku! Tapi kali ini lebih besar. Puas ni kalau peluk.
"For you, Bella.” Teddy bear yang besar dan gebu itu dihulurkan padaku. Lantas aku menyambutnya lalu dipeluk erat-erat.
Lelaki itu hanya sekadar ketawa melihat gelagatku yang gembira dapat teddy bear ini. Besar pula tu. Puas hati!
"Thank you, thank you and thank you so much Mr.Chris!” Ucapku gembira. Kalau dia perempuan, memang dah kena peluk dan dicium. Gembira tak terkata.
"Hahaha...Welcome. Happy tak?” Soalnya dengan sisa tawa.
Aku hanya sekadar sengih. "Hehehe, of course lah saya happy!”
"Teddy bear ni saya hadiahkan pada awak sebagai ganti semula. Dan, saya nak minta maaf sebab dah rosakkan teddy bear awak pada tempoh hari lepas.” Ujarnya. Aku hanya senyum manis.
"Saya marah awak pun tak ada lah sampai berdendam benci awak. Chill-chill je, hehehe.” Sengihku lagi sambil ketawa kecil. Lelaki itu hanya melepaskan tawanya. Kenapa? Aku ni lawak sangat ke sedangkan aku ini bukan seorang pelawak. Hahaha...
"It's okay, saya maafkan awak.” Ucapku lalu melabuhkan duduk di sebuah bangku sambil melihat pemandangan pantai di depan mata. Lelaki itu juga turut melabuhkan duduknya di sebelahku. Teddy bear besar itu masih kemas berada di dalam pelukanku.
"Termasuk hari ini, dah masuk pertemuan ketiga kita keluar makan bersama. I'm glad to get to know you. Will you be my friend?” Lelaki itu mula bersuara memecahkan kesunyian antara kami berdua yang daripada tadi senyap seketika.
Sekilas aku memandangnya. Senyuman terukir di bibir. Benar apa yang dia kata, termasuk hari ini aku sudah tiga kali keluar makan bersamanya. Mahu ketawa pun ada, mahu marah pun ada. Semuanya ada lah sejak kami mahu berkenalan ini.
Marah sebab dia dengan selambanya tidak bertanggungjawab, gembira pula sebab dia selalu belanja aku dan aku tak sangka yang dia akan gantikan teddy bear aku. Huhuh, gembiranya! Tapi ada satu lagi perasaan yang tidak dapat aku ungkapkan. Entah lah perasaan apakah itu tetapi aku hanya pendam. Buat-buat sahaja tidak tahu.
"Yeah, sure.” Jawabku dengan senyuman. Pasti lah boleh. Dia guru gymnastik dan ballet aku. Dan aku juga sudah anggap dia seperti kawan. Dia baik walaupun wajahnya tampak mengerunkan dan mampu buat orang kecut perut hendak direnung wajah dinginnya.
"Err...Mr.Chris,” baru sahaja hendak aku menanyakan satu soalan padanya, dia sudah laju memotong.
"Mulai hari ini awak panggil saya Chris sahaja. Rasa tak sesuai pula kalau awak panggil saya Mr.Chris. So now, you just call me Chris.”
Aku hanya mengangguk. Sengih kecil terukir di bibir. Rasa kekok pula mahu memanggil namanya sebab masih tidak biasa.
"Chris...”
Terhenti lagi kata-kataku apabila telefon bimbit lelaki itu berbunyi. Aku yakin telefon bimbit dia yang berbunyi kerana aku tidak membawa telefon bimbit. Tertinggal di rumah. Malas hendak di bawa.
Dia terus mengambil telefon bimbitnya yang berada di dalam poket seluar itu. Telefon terus dijawab. Aku memberi ruang padanya untuk menjawab panggilan tersebut.
Sambil dia sedang menjawab talian itu, aku bermain-main dahulu dengan teddy bear besarku ini. Comel. Rasanya ini lagi comel daripada yang aku dapat tempoh hari lepas.
"Attesa. Verrò!” Tegas suara itu mampu buat aku sedikit terkejut. Chris kembali mendapatkan aku. Lama dia renungku. Tajam. Wajahnya tadi lembut kini bertukar serius.
"Kenapa?” Takut-takut hendak aku bertanya padanya.
"I'm sorry, Bella. I have to go now.” Ucapnya yang sudah mulai tergesa-gesa. Aku ketap bibir. Rasa kecewa pun ada apabila dia sudah hendak pergi.
"I'm sorry again sebab tak dapat hantar awak pulang. Sorry,” belum sempat aku bersuara dia sudah berlalu pergi begitu sahaja. Aku hanya memerhatikan susuk belakangnya pergi sehinggalah kelibatnya hilang. Nafas kecil terlepas dari bibir. Saat dia pergi, rasa sedih pun ada dan rasa tak puas bersembang dengan dia pun ada. Walaupun sudah banyak kali aku ucapkan terima kasih padanya, untuk kali terakhir kami berjumpa aku tetap mahu mengucapkan terima kasih padanya kerana sudah gantikan teddy bear aku.
Tapi dia perlu pergi segera. Mungkin ada sedikit masalah. Pandangan aku lemparkan semula pada pantai. Angin kuat dan sungguh dingin mampu buat aku tenang dan nyaman.
"Terima kasih Chris.” Ucapku perlahan. Aku tahu dia tak dengar dan dia tiada di sini, biarlah kata-kataku ini akan didengari olehnya pada hari esok atau hari yang lain. Senyuman lebar terukir di bibirku.
Wajah lelaki itu entah kenapa boleh terbayang di ruang mataku saat ini. Kenapa ya? Aku ada sesuatu perasaan dekat dia ke?
Jatuh cinta?
Tidak sama sekali!
*******
Hari ini aku akan ke kelas sendiri tanpa Tiya di sisi. Pergi kelas bersama Nurul, Puteri dan Fiqah. Kalau berjalan dengan mereka, aku automatik jadi pendiam. Takut tersalah cakap, bergaduh pula dengan minah gedik tu karang.
Masuk sahaja di dalam kelas, dengan lagak seperti biasa aku menukar pakaian di bilik persalinan dan kembali ke studio ballet. Dress labuh ballet dan kasut ballet sudah kemas tersarung di tubuh.
Sekarang masanya untuk buat latihan. Kata Miss Liya, tidak banyak waktu lagi. Kami semua perlu berlatih bersungguh-sungguh. Aku nak tunjuk pada mereka yang bercakap aku tidak akan boleh berjaya menang dalam pertandingan tersebut, aku akan buktikan pada mereka yang aku boleh buat sampai berjaya!
Selesai kelas, kami semua berehat dahulu. Sekejap lagi kami perlu ke gelanggang gymnastik pulak. Botol air putih aku capai lalu diteguk laju. Dahaga! Peluh mula merenik di dahi.
Seketika, aku memanjangkan leher mencari susuk tubuh seseorang. Chris!
Hari ini dia tidak masuk ke kelas kami ke? Ke mana dia pergi? Busy sangat ke dia tu? Semalam tinggalkan aku sendirian aje kerana kerja dia yang sangat penting itu. Tapi, apa yang aku nak buat? Tak akan lah nak halang. Itu dah kerja dia. Mungkin kerja penting. Dia bukan sahaja menjadi guru ganti gymnastics dan ballet di sini, aku yakin dia banyak kerja lagi perlu diselesaikan di luar sana dan aku yakin dia bukan orang biasa-biasa kalau orang samseng pun ada yang menunduk hormat padanya.
"Kenapa, Bella? Ada apa-apa yang boleh Miss bantu?” Terkejut aku dengan soalan itu yang muncul secara tiba-tiba dari arah belakangku.
Terkebil-kebil aku memusingkan tubuh ke belakang. Melihat wajah Miss Liya manis dengan senyuman. Aku yang tadi duduk kini kembali berdiri. Memandang tepat ke arah Miss Liya yang berada di hadapanku ini.
"Errr...Tak ada apa, Miss.” Balasku dengan senyuman.
"Kalau tak ada apa-apa, Miss masuk ke gelanggang dulu ya. Nanti masuk ke gelanggang cepat. Miss tunggu di situ, ajak sekali Nurul, Puteri dan Fiqah.” Ujar Miss Liya dan berlalu pergi. Tetapi sempat aku menghalang pergerakan Miss Liya. Wanita itu kembali mendapatkan aku.
"Err..Miss.”
"Ye, Bella. Kenapa?”
"Chris...Err..sorry, Mr.Chris tak datang ke hari ini? Selalunya dia yang masuk ke kelas ni?” Laju aku menyoal. Sedikit gagap dipercakapanku tadi. Aku cuba membiasakan diri pada Mr.Chris dengan memanggilnya Chris sahaja kerana dia menyuruhku untuk memanggilnya Chris. Tapi, terbawa-bawa sekali pula pada Miss Liya, hadehh!
"Oh, err...Dia busy sikit. Tidak 24 jam dia di sini. Katanya, dia banyak kerja sikit di luar sana yang perlu diselesaikan.” Kata Miss Liya. Aku hanya mengangguk mengerti. Senyuman tipis terukir di bibir. Rasa kecewa mula menguasai hati.
"Oh, oky Miss. Saya pergi panggil kawan-kawan saya dulu ya.” Aku terus meminta diri untuk memanggil rakan-rakanku untuk ke gelanggang gymnastik dan menukar pakaian di bilik persalinan.
Haih, kenapa lah hari ini dia tiada? Rasa tak lengkap pula kelas kalau dia tiada.
Langkah terus terhenti di hadapan locker setelah selesai menukar pakaian ke baju sukan. Pakaian gymnastik. Beg sukan terus aku letakkan di dalam locker lalu kembali kunci pintu locker tersebut.
Kini tubuh berpusing ke belakang dan berjalan keluar daripada locker room. Keluar sahaja daripada bilik persalinan itu, bahuku berlaga dengan bahu seseorang.
Automatik aku berpaling pada orang tersebut dengan hati yang begitu marah. Tajam aku merenungnya yang berwajah bersahaja bagaikan dia tidak melanggarku.
"Hoi! Kau jalan pakai apa, hah?! Buta ke?!” Bentakku keras. Dia membalas renunganku, tajam! Sedikit pun aku tidak takut.
"Kau yang buta. Jalan tak pakai mata, aku dah masuk sengaja aje kau langgar aku kan! Asal? Tak puas hati?!” Bahuku terus ditolak kasar olehnya. Aku sedikit ke belakang membuatkan tubuhku hampir terjatuh tetapi dapat kurasakan ada seseorang menyambut tubuhku daripada tersungkur jatuh daripada belakang.
Apabila aku sudah sedar siapa yang menyambut tubuhku daripada terjatuh, cepat-cepat aku berdiri tegak dan berganjak sedikit berjauhan dengannya.
"What happen?” Suara itu tegas. Tidak berani hendak mengangkat wajah malah aku hanya menunduk memandang lantai putih bersih itu walaupun hati terselit ceria dan gembira dia muncul.
"Err...Mr.Chris! I'm sorry. This girl is looking for trouble with me.” Selamba sahaja Fiqah berkata begitu menuduh aku macam-macam sedangkan dia yang langgar bahuku tadi. Ya Allah, panasnya hati aku ni! Jangan sampai hari ini jadi arwah anak orang ni karang!
Aku mula terkebil-kebil apabila Chris memandangku. Tajam! Lama dia renungku membuatkan aku tidak tentu arah. Aku hanya menunduk, tidak memberi apa-apa reaksi. Jantung makin hebat berkencang. Dapat kulihat Fiqah senyum sinis. Pasti dia suka aku akan kena marah dengan Chris. Kurang ajar punya budak!
"What have you done, Bella? No fighting here! Keep your manners here. Don’t look for problems here if you don’t want to get out of here!” Tegas suaranya memarahiku.
Entah lah, aku rasa sebak apabila dia marahku sedangkan Fiqah yang cari masalah dulu dengan aku. Hampir sahaja air mataku mahu tumpah ke pipi. Tetapi aku cuba tahan. Walaupun aku tidak salah, biarlah aku kena marah sekalipun. Tahan aje lah walaupun aku tidak bersalah.
"I'm sorry, Chris...” tergagap-gagap aku bersuara.
"Mr.Chris!” Bentaknya buatkan kedua-dua bahuku ternaik dan terkejut dengan suaranya yang begitu kuat. Makin laju jantungku berdebar hebat. Birai mata mula basah, pandangan masih menunduk. Tidak berani mahu mengangkat wajah.
Bibir aku ketap kuat-kuat. Dalam hati berkali-kali aku istighfar agar aku tidak terlepas marah pada mereka berdua.
Astaghfirullahalazim!
"I'm sorry, Mr.Chris because I don't keep my manners here. I promise I won't do it again.” Sedikit gagap aku bersuara. Masih menahan sebak di dada. Perlahan-lahan aku mengangkat wajah, merenung tajam ke arah Fiqah yang sudah tersenyum sinis. Kini aku memandang pula Chris yang berada di hadapanku dengan renungan tajamnya. Aku yakin dia nampak air mataku yang mula bertakung di birai mata. Tunggu masa sahaja air mata ini jatuh di pipi.
Ya, dia perasan!
Wajahnya yang tegang tadi berubah setelah melihat air mataku jatuh di pipi. Mungkin berasa serba salah kerana telah buat aku menangis. Aku tahu, dia mula berjalan menghampiriku. Tetapi langkahnya terhenti apabila ada seseorang bersuara menghentikan pergerakannya.
"Err...Mr.Chris, can you teach me gymnastics exercises?”
Lelaki itu memandang Fiqah yang berada di sebelahnya. Fiqah sudah mula tergedik-gedik senyum manis ke arahnya. Aku masih menunduk. Mengelap air mata yang sudah tumpah di pipi. Tidak menunggu lama aku terus melangkah pergi meninggalkan mereka berdua.
********
Aku rasa tidak mahu pulang awal hari ini. Masih awal. Kelas tamat pada pukul 4 petang. Rasa tidak puas lagi hendak melihat pemandangan di kota Venice. Langit cantik, suasana ceria dan angin berdesir lembut menyapa kulit wajah.
Perlahan-lahan aku berjalan di sebuah padang. Luas tempatnya. Nampak macam padang tetapi tempat ini bukan padang. Ramai pasangan romantik sedang duduk bersantai di situ. Ada yang sedang bergelak-ketawa, ada kanak-kanak kecil yang sedang berlari-lari berkejaran. Ada sepasang suami isteri yang sudah berumur dalam lingkungan 50-an sedang mesra duduk bersantai sambil makan bersama-sama.
Ah, tenangnya tempat ini. Sesuai untuk pasangan yang sedang berbulan madu.
Aku terus melabuhkan duduk di sebuah bangku yang tersedia di situ. Menghirup udara segar sambil memerhatikan gelagat-gelagat orang-orang yang berada di sini.
Hidup mereka aman-damai. Ceria selalu tidak seperti aku sepanjang hari kemurungan apabila timbul satu-persatu masalah yang mampu buat otak aku pecah. Kusut. Rasa dah nak pecah otak ni kalau nak memikirkan satu-satu masalah yang hendak diselesaikan.
Rasa sedih dan sakit dihati ini masih belum sembuh dengan baik. Sampai hati Chris buat begitu padaku. Semalam bukan main lagi dia jadi ala-ala gentlemen. Acah-acah aje baik depan aku.
Sebab apa?
Sebab nak jaga hati aku?
Eeee! Menyampahnya! Benci lah! Lelaki semuanya sama!
Bela aje lebih si Fiqah tu. Aku ni tak nak tanya dulu kenapa kami bergaduh. Dah terang-benderang yang Fiqah tolak bahu aku, boleh lagi dia nak salah aku lepastu nak bela si minah gedik tu. Lagi bertambah malu apabila orang yang berada di sekeliling aku semuanya memandang ke arah kami. Lagi tepat, memandang ke arah aku yang sedang dimarahi oleh Chris di depan khalayak orang ramai tadi.
Kurang ajar betul la! Sengaja buat aku malu!
Sabar Bella, sabar! Kuatkan hati kau untuk bersabar! Allah sayang pada hambaNya yang penyabar. So, kita perlu sabar!
Dalam-dalam aku menarik nafas lalu menghembuskan dengan hati yang lapang.
"Assalamualaikum, hai Bella.”
Baru sahaja jantung aku ini nak aman. Tak mahu terkejut lagi. Tetapi ada pula satu hamba Allah yang sergah aku lagi buatkan jantung aku kembali berdetak laju.
"Waalaikumusalam, eh Zyan!” Jeritku gembira. Lantas aku bangun. Eee! Rasa nak aje peluk dia. Rindunya dekat dia ni. Lama menghilang.
Zyan ketawa kecil dengan gelagatku bagaikan budak kecil yang baru jumpa ayahnya setelah lama di tinggalkan ayah sendiri. Tetapi ini kawan baik aku. Yes, my best friend!
"Boleh saya duduk?” Dia meminta izin. Aku hanya mengangguk. Kami berdua bersama-sama melabuhkan duduk di bangku yang aku duduk tadi.
"Ya Allah, lama tak nampak awak. Rasanya dah nak hampir seminggu dah tak nampak awak bagaikan setahun tau.” Pecah tawa kami bersama. Memang betul pun. Lama aku tak nampak dia. Mesej aku pun tidak.
"Hahaha...Sorry, Bella. Saya busy sikit.” Katanya dengan tawa kecil.
"Ya, saya faham awak busy. Tapi, mesej lah saya. Saya risau tau kalau terjadi apa-apa dekat kawan baik saya ni. Lagipun, kita tinggal di negara orang. Bukan negara kita. Rasa takut tu selalu ada pada diri.” Panjang lebar aku membebel terselit nada risau. Ya, aku jujur. Aku risaukan kawan baik aku ini jika dia terjadi apa-apa di sini.
"Awak jangan risau sangat lah, Bella. Saya okey aje di sini. Lagipun, saya dah banyak kali ke sini. So, saya dah biasa di sini. Saya ada mesyuarat meeting di sini bersama syarikat yang membantu saya di Malaysia. So, saya busy sikit berbincang dengan mereka. Sorry sangat-sangat kalau saya dah lama tak jumpa awak. Saya minta maaf sangat-sangat sebab tak hantar awak pulang ke rumah dan ambil awak dari kelas. Mesti ayah awak marah saya kan?” Panjang lebar dia jelaskan padaku.
Baru aku faham yang dia sibuk dengan syarikatnya. Ingatkan dia masih marahkan aku sebab itulah dia berjauhan dari aku sampaikan tidak mesej dan call aku bertanyakan khabar. Haih...
Bersyukur juga kami dapat bertemu tanpa diduga.
"Oh. Awak jangan risau tentang ayah saya tu. Dia okay aje. Dia pun faham keadaan awak bagaimana. Awak pun, jangan risau lah tentang saya. Saya boleh jaga diri saya sendiri. Saya kan ada Tiya.” Kataku sambil tersenyum lebar.
Cakap pasal ayah. Ya, semalam ayah ada call aku. Boleh dikatakan, hari-hari dia akan hubungi aku. Hanya aku sahaja anak ayah, pasti lah dia risaukan aku yang berada di sini. Aku pula jarang keluar rumah, mana tak nya ayah risau dan hari-hari hubungi aku. Tapi, dia tidak lah sampai risau sangat-sangat kerana dia tahu aku ada bersama Tiya dan juga Zyan yang turut ada bersama aku di sini. Kerana ayah mempercayai mereka berdua yang berada di sisiku.
"Oh ya, awak sebut nama Tiya baru saya ingat. Mana Tiya? Korang dah habis kelas ke?” Bertalu-talu dia menyoalkan tentang Tiya kawan baik yang paling dia rapat itu. Aku ketawa kecil. Pagi-pagi tadi dah buat aku gelak sehingga sakit perut dengan Tiya yang sudah buat perangai.
"Dia sakit dan tak dapat nak datang ke kelas.” Jawabku ringkas. Masih menahan tawa kalau diingat-ingatkan kembali pada pagi tadi.
"Sakit? Serius la? Dia sakit apa? Saya boleh belikan ubat untuk dia.” Amboi, risau benar dia terhadap kawan baik dia itu.
"Hahaha...Awak jangan risau lah, Zyan. Dia cuma sakit biasa aje. Err...Sakit perempuan.” Malu-malu hendak aku jelaskan pada Zyan. Lelaki itu yang sudah faham hanya mengangguk sambil tersengih kecil.
Ya, Tiya bendera merah. Pagi-pagi dia dapat tahu yang dia datang bulan, terus dia menjerit. Sedih katanya tidak dapat hadir ke kelas. Kata Miss Liya, kalau kami datang bulan kami tidak dibenarkan ke kelas. Kalau nak ke kelas boleh aje sewaktu datang bulan, tapi tidak dibenarkan ikut latihan yang lasak. Kalau nak berlatih pun boleh tetapi hanya latihan yoga, senaman regangan otot dan lain-lain. Hanya latihan yang dapat buat otak kita tenang dan hati yang lapang.
"Oh ya, dah alang-alang kita berjumpa ni. Jom saya belanja awak makan. Lepastu saya hantar awak balik ke rumah.” Cadang Zyan yang sudah mengangkat punggung.
"Boleh je. Tapi, kali ini biar saya pula yang belanja awak. Dah jom!”
"Eh, tak boleh lah macam tu, Bella. Awak simpan aje duit awak tu. Biar saya belanja awak makan. Saya perlu bertanggungjawab dalam hal ni. Tak perlu susah-susah.” Tolak Zyan. Tetapi aku tetap degil hendak belanja dia sekali.
"Tak apa, Zyan. Awak kan kawan baik saya. Dah jom!” Tidak pedulikan lagi kata-kata Zyan, aku tetap mahu belanja dia makan.
*********
Tisu yang berada di atas meja aku capai lalu perlahan-lahan aku mengelap mulut. Mana lah tahu ada sesi makanan yang tersesat di tepi mulut. Comot!
Perut sudah terisi, hati pula gembira. Pasti lah gembira!
Melihat Zyan masih belum selesai makan. Tidak ada masalah, aku masih setia menunggu dia makan. Air teh perlahan-lahan aku hirup sambil mata memerhatikan sekeliling kedai makan ini. Restaurant Arab. Semua makanan di sini sedap-sedap. Mampu buat aku terkeliur.
Sedang sibuk aku memerhatikan sekeliling kedai makan ini, mata tertangkap pada seseorang. Tu lah, gatal sangat nak perhati aje daripada tadi, akhirnya terpandang benda lain pula.
Lama aku merenung pada seseorang itu. Aku mengecilkan sedikit mata memandang ke arahnya. Mahu memastikan. Aku sedikit terkejut apabila ternampak satu susuk tubuh yang berpakaian suit kemas berjalan di depan kedai makan ini. Belakangnya ada 3 orang yang turut mengikuti jejak langkahnya. Berbadan sasa dan wajah mereka cukup mengerunkan hendak di lihat.
Wajahnya dari sisi dapat kulihat dan sangat aku kenal. Berkaca mata hitam membuatkan wajahnya sedikit sahaja dapat kulihat. Dia tidak masuk ke dalam kedai makan ini, mungkin dia ke kedai sebelah. Kerana kedai sebelah kedai mewah. Khas untuk orang yang kaya dan sedikit kecewa kerana kedai itu hanya untuk orang non muslim.
Lama aku memerhatikan mereka dari jauh. Kaki gatal sangat ingin ikut jejak langkahnya. Tetapi cuba ditahan. Bahaya! Takut salah orang.
"Awak dah habis makan?” Soalku memecahkan kesunyian. Zyan hanya mengangguk lalu mengelap mulutnya dengan tisu.
"Err...Zyan, awak boleh tak tunggu sekejap? Saya nak ke tandas jap ya.” Terus aku mencapai beg lalu di galas ke bahu. Zyan hanya mengangguk. Langkah terus berjalan ke tandas tetapi sempat aku menjeling sekilas ke luar kedai. Susuk tubuh itu sudah tiada.
Alang-alang dah sampai ke tandas, aku terus mencuci tangan. Membetulkan tudung dihadapan cermin dan kembali keluar daripada tandas. Sempat mata memandang ke arah Zyan. Lelaki itu sedang sibuk bermain telefon bimbit. Ah, mungkin aku gunakan kesempatan ini untuk melihat lelaki tadi. Sumpah aku macam kenal lelaki tadi, jadi untuk mengambil kepastian aku mahu berhadapan dengannya. Mahu melihat jelas wajahnya.
Haih, kau ni Bella! Nakal! Ikut sangat kata hati tu!
Tidak pedulikan dengan kata-kata hati yang mula memujuk agar tidak melakukan kerja gila, aku terus melangkah keluar daripada kedai makan ini. Berjalan perlahan-lahan ke kedai sebelah. Besar kedainya dan mewah. Cantik!
Tetapi penuh dengan orang-orang Italy. Semuanya berpakaian suit dan dress labuh yang sungguh cantik. Mungkin mereka ada buat majlis. Tetapi pandangan mereka semuanya tertumpu padaku dengan pandangan yang pelik. Pasti mereka pelik apabila melihat wanita muslim, secara tiba-tiba masuk ke dalam majlis mereka kerana aku seorang sahaja wanita muslim di sini.
Seketika aku memerhatikan majlis tersebut, dapat aku tangkap satu susuk tubuh yang aku sangat kenal. Lelaki tadi bersama dengan 3 orang lelaki yang berbadan sasa masuk ke dalam satu bilik. Aku pun tidak tahu bilik itu bilik apa. Tidak menunggu lama, kaki yang sudah gatal hendak mengikut jejak langkahnya, terus aku membuka langkah untuk berjalan ke pintu tersebut.
Satu langkah...
Dua langkah...
Tiga langkah...
Sikit sahaja lagi tangan hendak menaik memulas tombol pintu bilik itu dan.........
"Mi dispiace, signora. Questa è un'area riservata e nessuno può entrare in questa stanza."
Share this novel