35

Humor Completed 34688

"Assalamualaikum, puan. Err, ada apa suruh saya datang rumah?" Sapa Syukri malu-malu.

Puan Kamariah tersenyum nipis setelah melihat wajah Syukri datang menghampirinya sambil menyalam tangan dengan sopan sekali.

"Waalaikumusalam, duduklah dulu." Arah Puan Kamariah kepada Syukri supaya duduk di hadapannya.

Tanpa banyak bunyi, Syukri duduk sahaja di atas kerusi di hadapan Puan Kamariah. Sopan benar Syukri duduk. Dia agak malu-malu walaupun sudah kenal lama kerana dia terlalu hormatkan perempuan Belanda di hadapannya ini.

Puan Kamariah banyak membantunya sampai sekarang. Besar benar jasa yang ditaburkan oleh Puan Kamariah kepadanya sehinggakan kondominium yang dia tinggal bersama Putera itupun di bagi secara percuma oleh Puan Kamariah.

"Err, ada apa puan nak jumpa saya?" Soal Syukri tanpa basa-basi lagi.

"Putera kata, Syukri ada adik perempuan. Lawa orangnya." Ucap Puan Kamariah dengan terus terang juga.

Jantung Syukri mula berdegup kencang. Tapak tangannya juga sudah berpeluh. Nampaknya, dia sudah tahu apa niat Puan Kamariah menjemputnya datang ke rumah agam ini. Hatinya mula rasa gelisah dan tak sedap hati.

"Saya pun dah tengok adik kamu tu, cantik orangnya. Sopan, pakai tudung. Saya berkenan sangat dengan adik kamu tu Syukri, boleh tak.."

"Maaf, puan. Saya tahu apa niat puan, tapi jawapan saya tak boleh puan. Maafkan saya." Potong Syukri secepat mungkin. Biarlah dia dibuang kerja sekali pun, janji adiknya tidak terluka kerana seorang lelaki.

Puan Kamariah tersenyum nipis, lantas mengangguk faham. Dia tak boleh memaksa, ada rezeki tu, adalah nampaknya.

"Tahu. Syukri takut nak serahkan adik Syukri dekat Puterakan? Kalau saya pun buat benda yang sama macam kamu tapi Putera tu nampak macam bersungguh-sungguh nakkan adik kamu. Saya boleh nampak keikhlasan dari wajahnya." Kata Puan Kamariah lagi.

Syukri hanya mampu tersenyum kelat. Entah kenapa dia susah sangat nak lepaskan adiknya kepada Putera. Takkan kerana satu alasan konyol sahaja, dia terus tak berkenan dengan Putera.

"Hmm, kalau macam itu tak apalah, tapi boleh tak ajak keluarga Syukri datang rumah. Saya nak kenal-kenal dengan keluarga kamu." Pinta Puan Kamariah sambil tersenyum manis.

"Tapi, keluarga kami orang-orang biasa je, kenapa puan nak sangat jodohkan adik saya dengan Putera? Puan boleh dapat calon yang lebih sesuai dengan keluarga yang sama taraf dengan keluarga puan juga. Kami ni hanya orang biasa yang tinggal di kampung. Bagai langit dengan bumi puan." Kata Syukri lagi dengan nada serius. Pinta Puan Kamariah diabaikan olehnya.

Puan Kamariah tersenyum seketika sebelum menjawab soalan yang diajukan oleh Syukri sebentar tadi.

"Duit bukan segalanya, yang paling penting dalam hidup ni bahagia. Apa guna hidup bertimbun duit tapi hati tak gembira? Saya tak kisah pun kalau menantu saya asal dari keluarga apa pun, lagi-lagi keluarga kamu Syukri, saya tahu keluarga kamu ini keturunan baik-baik. Saya tak kisah, asalkan kedua belah pihak setuju." Ucap Puan Kamariah panjang lebar.

"Baiklah puan kalau itu yang puan nak, saya akan bawa keluarga saya datang sini tapi pasal nak jodohkan adik saya dengan Putera tu, saya tak nak kata apa-apa. Saya bukan nak burukkan Putera, tapi saya tak nak adik saya kecewa." Ucap Syukri dengan nada bertukar sebak. Berat benar dia ingin melepaskan adiknya pergi ke tangan lelaki lain walaupun lelaki itu dia kenal sudah lama.

Puan Kamariah hanya mampu mengangguk faham. Dia juga jadi serba salah dengan Syukri. Seolah-olah dia terlalu mendesak Syukri supaya adiknya bernikah dengan anaknya tapi bukan itu maksudnya, kalau ada rezeki tu, adalah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience