4

Humor Completed 34688

Kereta besar sudah tepat memakir di halaman rumah Ayu. Tergesa-gesa Ayu keluar dari rumahnya sehinggakan dia tak sempat untuk bersarapan.

"Mak, ayah. Ayu pergi dulu!" Ucap Ayu seraya terus bersalam dengan mak dan ayahnya.

"Ayu, hati-hati jangan nak seronok sangat. Solat jangan lupa." Pesan ayahnya dengan tegas. Biasalah, nama pun polis pencen.

"Ya, tahu. Assalamualaikum, Ayu pergi dulu." Balas Ayu yang sudah mula melangkah pergi untuk masuk ke dalam kereta besar milik kawannya itu. Sebaik sahaja Ayu duduk di dalam perut kereta, terus dia melambai-lambaikan tangannya ke arah kedua orang tuanya.

"Waalaikumsalam." Jawab Aminah dan Rashad di tepi daun pintu. Dalam beberapa saat, susuk kereta itu hilang daripada pandangan orang tua yang makin di mamah usia itu.

Suasana sepi sejenak.

"Hmm, besar-besar dah anak kita Minah." Ucap Rashad dengan nada suara sebak.

"Nak buat macam mana ayahnya? Kita pun makin tua." Balas Aminah kepada suaminya.

"Anak kita yang nama Syukri tu entahlah bila nak pulang. Dah lama dia tak pulang." Ucap Rashad lagi sambil terbayangkan wajah anak lelakinya.

"Sibuk kerja tu, nanti dia ada cuti dia baliklah ayahnya pun." Balas Aminah lagi.

Rashad terdiam, lantas dia terus masuk ke dalam rumah disusuli oleh Aminah.

•••

Tiga jam kemudian, datang pula kereta BMW pakir tepat di halaman rumah Rashad. Suasana sunyi sepi seolah-olah tiada penghuni yang tinggal dalam rumah itu.

"Err.. Putera." Syukri bersuara sambil menggaru-garu kepalanya. Wajahnya juga kelihatan agak gelisah.

"Ya, ada apa? Betullah kan ini rumah kau?" Balas Putera dengan wajah berkerut. Tepat sahaja anak matanya memanah wajah Syukri.

"Kau tunggu sini kejap, jangan masuk lagi tau!" Kata Syukri sambil memandang muka Putera.

"Eh, kenapa?" Soal Putera mula hairan.

"Alah tunggu kejap je. Err... Kau angkatlah dulu barang ke apa yang patut ya?" Balas Syukri seraya mula membuka pintu kereta dan terus berlari masuk ke dalam rumah macam lipas kudung.

"Cis, tak guna punya kawan." Putera mengomel sendiri di dalam perut kereta sambil matanya melihat sahaja Syukri masuk ke dalam rumah dengan laju.

Syukri terus masuk ke dalam rumahnya tanpa memberi salam terlebih dahulu. Tiba-tiba sahaja wajah emaknya terpacul keluar di ruang tamu dengan wajah terkejut. Mana tak terkejutnya? Baru sahaja tadi sebut nama anak sorangnya ini, tiba-tiba sahaja terus balik! Balik tak bagitahu pula tu!

"Ehh, Syukri?! Bila balik?! Tak bagitahu dekat mak pun?!" Terus emaknya serang dengan soalan-soalan.

Kewujudan emaknya di abaikan sahaja olehnya. Dia seperti tergesa-gesa mencari sesuatu. Maknya jadi hairan. Kenapa anaknya sorang ini dah macam kena sampuk hantu?!

"Haih, Syuk?! Kenapa macam kena sawan babi ni?" Tempit emaknya setelah melihat anak sulungnya ini buat perangai tak ketahuan. Tiba-tiba sahaja balik lepastu buat perangai macam kena sampuk hantu.

Mata Syukri memandang sahaja ke arah dinding. Semua gambar adik perempuannya itu di ambil tanpa tinggal satu pun. Selepas itu, gambar-gambar keluarga yang ada muka adiknya juga di ambilnya dari atas meja. Segela barang adiknya di ambil tak cukup tangan.

"Eh, Syuk! Kenapa ambik semua gambar adik kau tu?!" Maknya meninggikan suara setelah melihat kelakuan pelik anak sulungnya itu.

Semua barang itu Syukri mencampakkan ke dalam sebuah kotak barang lalu disimpan di dalam bilik adiknya.

"Fuhhh!" Kini, barulah Syukri dapat menarik nafas lega. Segera dia keluar daripada rumah itu lalu, membantu Putera mengambil barang-barang mereka dari bonet kereta.

"Eh, Syukri? Kau buat apa dalam rumah tu? Tiba-tiba keluar terus berpeluh satu badan ni?" Tanya Putera sambil melihat ke arah Syukri yang sudah basah lencun satu badan dengan nafasnya semput-semput.

"Err, tak ada apalah. Dah jomlah kita masuk, jumpa mak dengan ayah aku." Kata Syukri dengan tak cukup nafas.

"Haih.." Putera hanya menggelengkan kepala.

"Assalamualaikum mak... Syuk dah balik." Kata Syukri seolah-olah baru masuk ke dalam rumah dan buat-buat seperti tak ada apa yang telah berlaku. Haih, tadi dah masuk tegur apa tak. Salam pun tak bagi. Ini tiba-tiba jadi baik, dah kenapa? Habis, yang emak dia cakap dengan dia tadi tu entah dengar ke tidak.

"Waalaikumsalam bertuah punya anak, aku cakap tadi dia buat pekak je. Eh, siapa tu Syukri?" Tanya mak Syukri setelah melihat seorang anak muda sebaya Syukri melangkah masuk ke dalam rumahnya.

Terus Putera meluru ke arah Puan Aminah lalu tangan orang tua itu disalam dengan penuh rasa hormat dan rendah diri.

"Mak cik, nama saya Putera, kawan sekerja Syukri." Ucap Putera dengan penuh rasa sopan santun.

"Ni, kawan Syukri mak. Err... Dia bo..s."

"Shutt!" Putera memberi isyarat kepada Syukri supaya jangan pecahkan rahsia, lalu dia menggelengkan kepalanya supaya jangan beritahu yang dia ni ialah bos kepada Syukri. Terus Syukri membatalkan kata-katanya tadi.

"Err.. Saya kawan sekerja Syukri mak cik."

"Oh ya ke. Kawan baiklah ni. Kenapa tak cakap nak bawa kawan. Boleh mak masak sedap-sedap sikit. Kau pun tak bagitahu nak balik. Terkejut mak tau!" Balas emaknya diselitkan ketawa kecil. Seronok tengok Syukri bawa balik jejaka kacak. Patutlah tadi Syukri ambil semua gambar adiknya. Kini, barulah dia faham kenapa.

Tiba-tiba ayah Syukri menghampiri mereka berdua. Dia memandang dinding rumahnya. Bebola matanya memusing-musing seperti ada yang tak kena dengan dekorasi rumahnya. Macam ada kurang sesuatu tapi dia tidak pasti apa. Wajahnya berkerut sahaja.

"Ayah!" Tegur Syukri dengan riak wajah gembira lalu dia bersalam dengan orang yang telah melahirkannya itu, lau diikuti oleh Putera kemuadiannya.

"Eh, bila balik ni?! Tak bagitahu pun?! Bawa kawan pula tu, kenapa tak bagitahu. Allah." Ucap Rashad dengan wajah terkejut. Baru sahaja tadi dia teringat akan anak sulungnya tadi, tiba-tiba muncul depan mukanya seolah-olah mimpi pula.

"Err.. maaflah lupa, Syukri sibuk kerja." Kata Syukri mengaru-garu pipinya.

'Aish, tak guna punya Ayu. Boleh pulak dia tak bagitahu dekat mak dengan ayah yang aku ni nak balik. Seronok sangat nak pergi Cameron Highland lah tu sampai lupa pasal aku.' Kata Syukri dalam hati.

"Nama kamu siapa?" Tanya Rashad sambil mengentel-ngetel misai polisnya.

"Putera pak cik." Balas Putera dengan nada takut-takut. Tak tahu pula yang ayah Syukri ini nampak garang nak mampus.

"Ouh, putera, putera negara mana?" Soal Rashad dengan tegas.

"Err, tak ada negara mana-mana pun pak cik. Memang dalam surat beranak nama Putera." Balas Putera dengan selamba.

Rashad sudah ketawa berdekah-dekah dengar ayat-ayat yang keluar dari mulut anak muda itu.

"Hahaha! Pak cik gurau je. Dah jom kita makan sama-sama. Entahlah apa yang mak kamu masak." Kata Rashad atau orang kampung panggil Pak Rashad itu sambil tersenyum gembira menyambut tetamu. Senang apabila dapat tahu anaknya di bandar sana berkawan dengan orang baik-baik.

Mereka berdua berjalan menuju ke dapur. Kebetulan, mereka berdua memang lapar sangat pun. Bolehlah makan menjamah apa yang ada.

"Ouh, sebab tu kau sorok gambar adik kau ya?" Bisik emaknya di tepi telinga Syukri.

"Haah. Ish bahaya mak kalau dia syok kat adik." Balas Syukri sambil berbisik perlahan pada emaknya.

"Alah, bahaya apanya. Handsome apa? Adik kamu sukalah muka Mat Saleh macam ni. Kalau jadi menantu mak, ish tiga hari tiga malam kita buat kenduri." Kata emaknya cuba untuk berseloroh lalu, dia melajukan langkahnya menuju ke dapur.

Syukri pula terhenti daripada melangkah.

"Eheh, mak ni. Nak cari calon suami dekat adik ke, nak cari calon suami dekat dia sekarang ni?" Ucap Syukri perlahan. Erghh! Janganlah Putera jadi ayah tirinya pula nanti. Tak pasal-pasal dia kemurungan sepuluh tahun!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience