7

Humor Completed 34688

Tepat pukul 6.33 petang, mereka sudah sampai di rumah. Kalau balik lewat nanti tak pasal-pasal dua orang mereka kena libas dengan pedang samurai oleh ayah Syukri yang garang itu.

"Macam mana, okay ke pusing kampung tadi? Puas?" Soal Syukri lalu dia mencampakkan kunci motosikal di atas meja.

"Tak puas lagi, esok kita pergi tempat lain pulak boleh?" Balas Putera sambil menggigit bawah bibirnya.

"Aish, macam-macam. Nasib kau bos aku je tau." Ucap Syukri sambil memusingkan bebola matanya. Layankan sahajalah budak bandar ni. Ingatkan cuti seminggu dapat berehat, rupanya tetap kena kerja. Kerja kena layan bos. Lebih baik macam tu dia tak balik je senang.

"Dah aku pergi mandi lepastu solat." Ucap Putera dengan langkah semakin laju menuju ke bilik yang dikongsi bersama Syukri.

"Aik, buaya darat solat?" Perli Syukri sambil ketawa mengekek-ngekek.

"Sebuaya-buaya aku pun, aku ingat Tuhan. Bukan macam kau." Perli Putera kembali dengan kata-kata yang lebih pedas.

Syukri hanya ketawa kuat sebab dia ini memang midah terhibur. Kadang-kadang suka gelak tanpa sebab sampaikan orang lain turut ikut ketawa bersamanya.

•••

Selesai sahaja mereka semua makan malam, terus dua anak teruna tua tadi kembali terbongkang di hadapan kaca televisyen beralaskan toto dan beberapa bantal setia menemani mereka.

Ibu bapa Syukri awal-awal lagi sudah masuk tidur. Berselera betul Putera semasa makan tadi, tak henti-henti tambah makan masak lemak cili padi tadi. Sekali suap Perghh! Nak lagi!

"Syukri, esok jom lagi kita pergi jalan-jalan lagi. Lepas subuh kita pergi jalan dekat pintu air sana." Ajak Putera lagi sambil bermain Whats'app.

"Hmm, tengoklah." Balas Syukri acuh tak acuh dengan mata makin layu.

"Aku tak puas lagi ni nak pergi ronda pusing kampung. Tiba-tiba aku rasa macam tak nak balik KL lah. Dah syok duduk sini." Kata Putera dengan nada ceria.

Syukri hanya mendiamkan diri.

"Woi, Syukri! Aku cakap dengan kau ni." Ucap Putera setelah Syukri tidak menjawab. Dia menoleh sebentar ke arah Syukri.

"Ya Allah, tidur dah rupanya. Tak guna betul, aku cakap dengan hantu ke tadi." Kata Putera lagi sambil menyiku pingang Syukri.

Syukri tersedar lalu dia mendecitkan bibir.

"Ish, tidurlah. Kau jangan tidur lewat sangat. Kampung aku ni baru terlepas hantu kopek. Baik kau tidur kalau kau tak nak tengok muka hodoh dia." Kata Syukri dengan suara sudah tenggelam.

"Uish, hantu kopek? Kopek tu bukan..."

"Dah, tidurlah. Esok cerita esoklah. Haish." Balas Syukri dengan dahi berkerut.

Putera mengiyakan sahaja, malas nak nergaduh lagi. Mereka berdua tidur di ruang tamu cukup beralaskan toto. Malam ini agak panas. Tidur di ruang tamu sejuklah sikit.

Putera bangun seketika untuk menutup televisyen yang masih terpasang. Lampu juga semua sudah di tutup dari tadi cuma terpasang lampu luar rumah. Putera terus merebahkan kepala di atas bantal lalu matanya dipejam rapat. Memang dia agak letih hari ini. Semalam pun tak cukup rehat. Perlahan-lahan dia mula menenangkan diri untuk menerjah ke alam mimpi.

•••

Jam tepat pukul 12.30 minit pagi. Tiba-tiba Putera terdengar seperti ada seseorang sedang membuka pintu dari luar. Namun, Putera membiarkan sahaja. Mungkin itu ayah Syukri tengah periksa keadaan luar rumah, getus hati Putera lalu dia sambung tidur kembali.

"Wuish, rasa nak terkencinglah pulak." Kata Putera selepas lebih kurang lima belas minit. Tanpa membuangkan masa lagi, terus dia menuju ke tandas secepat mungkin dalam kegelapan malam.

-

Lima minit masa berlalu, lantas Putera terus keluar dari bilik air. Sekarang barulah lega pundi kencingnya tak sakit lagi. Dengan hati yang senang, dia menuju kembali ke arah ruang tamu untuk sambung tidur kembali.

Secara tiba-tiba langkah kaki Putera terhenti setelah melihat ada sesuatu di hadapannya. Bulat sahaja matanya memerhatikan satu susuk tubuh sedang berdiri di hadapan sebuah pintu bilik dalam keadaan gelap-gelita.

'Uish, ini ke hantu kopek yang Syukri cakap tadi tu?!' Ucap Putera dalam hati sambil sembunyi di tepi langsir pintu. Yang peliknya dia langsung tak rasa takut dengan hantu kopek tersebut. Dia lagi nak tengok, lagi adalah.

'Uish, kalau aku ada kuali, dah lama aku ketuk kepala hantu ni macam dalam game PUBG!' Kata Putera lagi dalam hati.

'Ish, tak boleh jadi ni. Aku kena buat sesuatu.' Kata Putera dalam hati sudah dapat satu idea gila. Perlahan-lahan dia menuju ke arah hantu kopek tersebut dari arah belakang.

"Haa!!! Dapat dah pon!!! Syukri!!! Bangun Syukri!!! Aku dah tangkap hantu kopek!!!" Laung Putera dengan suara garaunya sampai kedengaran ke luar rumah.

"Ahhhh!!! Ahhhh!!! Ahhhh!!!" Hantu kopek tersebut terjerit kuat setelah Putera mengunci tubuhnya dengan erat. Dia meronta-ronta untuk melepaskan diri.

"Hah?! Hantu kopek?! Mana?!" Balas Syukri setelah terjaga dari tidur. Suara garau kuat milik Putera itu mengalahkan jam loceng, kuat bukan main sampai satu rumah dengar dibuatnya.

Tanpa membuang masa lagi terus Syukri berlari ke arah suara Putera sampai terlondeh kain pelikatnya. Nasiblah di dalamnya ada seluar pendek kalau tidak tak tahulah apa yang ternampak.

"Putera mana hantu kopek tu?! Mana?!" Laung Syukri dengan suara kuat juga.

"Sini Syukri! Sini!" Balas Putera dengan pantas.

Terus Syukri memetik semua suis lampu agar rumah itu kembali terang benderang. Setelah beberapa detik rumah itu kembali cerah. Terlopong mulut Syukri melihat Putera yang sedang bergusti dengan seseorang yang amat dia kenali.

"Hahaha! Syukri! Aku dah tangkap hantu kopek!" Ucap Putera sambil ketawa puas.

"Kepala hotak kau hantu kopek! Itu adik akulah bodoh!" Balas Syukri seraya cuba untuk melepaskan adiknyadari gengaman Putera.

"Hah?! Adik?!" Balas Putera sambil memandang ke arah hantu kopek yang disebut-sebut olehnya tadi. Alamak ini bukan hantu kopek! Tapi bidadari kayangan! Terus dia melepaskan tubuh gadis itu.

"Syukri! Putera! Apa bising-bising ni?" Soal Pak Rashad yang sudah keluar dari biliknya sambil memegang sebilah parang dan disusuli oleh Mak Aminah dari belakang Pak Rashad sambil memegang sebuah senapang shotgun. Mereka ingatkan ada pencuri masuk rumah.

"Hah?! Ada pencuri masuk rumah ke Syukri?! Mari mak tembak kepala dia!!! Tak guna punya pencuri kau salah masuk rumah tahu!" Kata Mak Aminah sambil mula menarik picu shotgun yang berada di tangannya itu.

Mereka berlima saling berpandangan antara satu sama lain kerana tercenggang. Masing-masing terkedu melihat wajah yang ada di ruangan itu.

"Apa?! Ayu?! Bila balik?!" Tanya Pak Rashad dan Mak Aminah serentak dengan nada terkejut. Nasib baik orang tua itu tak ada lemah jantung, kalau tidak boleh arwah orang tua itu nanti.

Kini Ayu dan Putera saling berpandangan mata dengan nafas naik turun.

Share this novel

Ropiah Sedek
2019-09-21 17:01:09 

habis syukri buaya tembaga dah jumpa hantu kopek ayu


NovelPlus Premium

The best ads free experience