42

Humor Completed 34688

"Assalamualaikum pakcik, makcik. Sihat?" Tanya Putera sambil menyalam kedua belah tangan orang tua itu dengan penuh rasa hormat.

Pak Rashad dan Mak Aminah mengulurkan sahaja tangan mereka walaupun masih terkejut dengan apa yang berlaku.

Usai sahaja bersalam dengan dua orang tua itu terus sahaja Putera sambung tersenyum kembali sehingga menampakkan lesung pipitnya yang manis itu.

"Errr, Putera ni sebenarnya.." Ujar Pak Rashad sekerat. Tak mampu dia nak habiskan ayatnya. Wajahnya berkerut serius.

Putera ketawa kecil lalu tertunduk sedikit ke bawah sebelum mula berbicara kembali. Jam tepat pukul dua petang namun kawasan itu langsung tidak panas. Sejuk sahaja dengan pokok-pokok tropika di kawasan halaman rumah itu.

Gaya halaman rumah dan perabot-perabot rumah ini juga boleh dikatakan vintage juga kerana rasa seperti mengimbau gaya-gaya rumah orang kaya pada zaman 2003.

"Errr, ya. Saya bos kepada Syukri sebenarnya tapi kami ni rapat dari universiti lagi. Kami berkawan dari universiti lagi macam saya cerita dekat pakcik haritu." Balas Putera malu-malu.

"Ish, ayahnya. Yang datang rumah kita tu bos anak kitalah. Ya Allah, malulah saya." Bisik Mak Aminah kepada Pak Rashad sambil mencuit-cuit tangan orang tua itu. Pak Rashad masih terkaku menghadamkan apa yang sedang berlaku.

"Eh, makcik janganlah cakap macam tu. Saya orang biasa je. Maaflah, tak ada niat nak menipu makcik pakcik. Maafkan saya ya." Kata Putera sambil menggosok belakang rambutnya. Rasa serba salah pula bila terjadi seperti ini.

"Heh, Ayu." Tegur Syukri dengan nada mendatar sambil memeluk tubuh dengan kemas seraya berdiri tepat di sebelah adiknya secara tiba-tiba.

Ayu perhatikan sahaja kelakuan abangnya ini. Serius semacam, tak segila seperti di kampung. Kelihatan seperti sangat matang dan lelaki yang maskulin.

Ayu perhatikan pula pakaian abangnya dari atas hingga bawah. Kelihatan rapi seperti anak orang kaya. Hilang terus rupa kampungnya. Rambut di sikat rapi malah lebih rapi dari biasa. Di kenakan pula baju kemeja putih slim fit sama seperti Putera dan seluar berwarna hitam. Kasut kulit berkilat pula menghiasi kaki.

"Amboi, sombongnya orang tu, lupa diri dah ke?" Perli Ayu kepada abangnya yang seakan-akan kelihatan lupa diri itu.

"Sorry sikit abang nak lupa diri kalau abang lupa diri, abang tak balik kampung lama dah okay. Ini, ini pakai baju kurung macam perempuan kampung sangat ni kenapa? Takde baju elok sikit ke?" Kata Syukri dengan nada tegas.

"Eleh, biarlah orang nak pakai baju apa pun. Nak pakai baju kurung ke, baju getah ke, daun pisang ke apa. Suka hati kitalah." Balas Ayu dengan wajah monyok.

Selama ini tak pernah pula abangnya nak kata apa-apa. Mentang-mentanglah sekarang ni tengah duduk dekat rumah orang kaya bolehlah dia cakap macam tu.

'Entah-entah malu nak mengaku aku ni adik dia, sebab tu cakap macam tu. Puih!' Getus Ayu dalam hatinya.

"Hmm, suka hati Ayulah." Balas abangnya dengan nada mendatar bersuara garau. Matanya terarah ke arah lain.

"Abang tak bagitahu ada majlis apa, Ayu pakailah baju kurung. Lain kali cakap tu bagi habis!" Tempit Ayu perlahan masih lagi tak puas hati.

Syukri mendiamkan sahaja diri. Malas nak layan adiknya yang mula hidupkan enjin mulutnya. Kalau terus bertengkar nampaknya sampai ke sudah tak habis cerita.

"Errr makcik, pakcik, Ayu. Jemputlah masuk ke rumah. Ada makan-makan sikit, kereta pakcik tak apa, nanti saya suruh orang alihkan." Pelawa Putera dengan sopan seraya mula mengatur langkah.

Mak Aminah dan Pak Rashad saling berpandangan. Rasa malu pula nak melangkah masuk ke dalam. Rasa nak balik kampung pun ada. Malu nak masuk rumah sebesar bukit itu.

"Jomlah. Jangan malu-malu." Pelawa Putera lagi sekali sambil tunduk tersenyum-senyum. Dia tahu mereka semua malu. Jadi dia haruslah meramahkan diri.

Tanpa membuang masa lagi, mereka turutkan sahaja dari belakang Putera perlahan. Syukri pula berjalan di belakang adiknya. Sepanjang jalan masuk itu, kawasan rumah sangat sejuk dan tenang ditemani dengan bunyi cengkerik seperti di dalam hutan.

Boleh tahan jakun jugalah Mak Aminah dan Pak Rashad melihat halaman rumah mereka yang sebesar padang bola itu. Jalan sudah lama tapi langsung tak rasa penat kerana leka dengan halaman rumah yang sangat cantik ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience