Sesal

Romance Series 135490

Melihat keadaan Nadhira yang terganggu, Syaza menarik lengannya perlahan-lahan menuju ruang pekerja. ‘Jom, duduk sini dulu. Kita boleh bercakap bila kau dah rasa tenang,’ ujar Syaza, memberikan ruang untuk Nadhira menenangkan diri. Lagipula masa kerja mereka tinggal lagi 10 minit untuk pulang.

Sementara Nadhira duduk menenangkan diri, Syaza diam-diam mengemas barang-barang mereka dari loker pekerja. Setiap barang disusunnya dengan cermat, seolah-olah memahami betapa perlunya suasana tenang bagi Nadhira saat ini.
"Nadhi, kita balik ya?' ajak Syaza lembut sambil menghulurkan tangan. Nadhira hanya mengangguk lemah, membiarkan dirinya dipimpin oleh sahabatnya. Mereka melangkah bersama dalam diam, masing-masing tenggelam dalam fikiran sendiri.

Sampai sahaja di hostel, Syaza dan Nadhira berbaring sebentar di katil masing-masing, menikmati detik kelegaan setelah seharian yang panjang. Mereka kemudian membersihkan diri dan menunaikan kewajipan, merasakan ketenangan yang mulai menyelimuti.

Melihat Nadhira sedikit tenang selepas kejadian tadi. Syaza memandang sahabatnya dengan pandangan penuh rasa ingin tahu, namun tetap menjaga nada bicaranya agar tidak memaksa. 'Nadhi, maaf kalau aku bertanya ini, tapi... apa sebenarnya yang berlaku antara kau dan Daniel?' katanya perlahan, cuba menyelami apa yang bersarang di hati Nadhira.

Nadhira menghela nafas dalam-dalam, berusaha mengumpulkan kekuatan. 'Aku tak tahu nak mula dari mana, Sya. Berat nak cerita semua ini.' Air mata yang ditahannya mulai jatuh satu per satu, mengungkapkan luka yang begitu dalam.

Syaza memegang tangan Nadhira dengan lembut. 'Aku faham kalau kau belum bersedia nak cerita sekarang. Tapi satu hari nanti, bila kau dah bersedia, aku tetap ada di sini untuk dengar apa pun yang kau nak kongsikan.' katanya sambil menyeka airmata sahabatnya.

Syaza mengucapkannya dengan penuh ketegasan, 'Aku pastikan Daniel tu takde seinci ruang pun dekat dengan kau, Nadhi. Kau takkan kena ganggu lagi.' Wajahnya serius, menunjukkan kesungguhan seorang sahabat yang tak mahu melihat Nadhira disakiti lagi. Syaza mengangkat tangannya ke depan, meniru gaya hero Ultraman dengan serius, seolah-olah siap menghalau 'raksasa' yang mengganggu. Aksi spontan itu membuatkan Nadhira tertawa, seketika melupakan resah di hatinya.

" Dahlah, kita nak makan apa malam ni?" Soal Nadhira. Perasaan sudah sedikit tenang dengan tingkah sahabatnya.
"Ooo, dah sejuk hati baru ingat nak makan, ya?' usik Syaza sambil mengenyitkan mata. 'Apa kata kita cuba makanan Korea? Lama tak makan spicy-spicy, kan?"

Nadhira mengangguk setuju. Memandangkan sudah lewat malam, mereka memutuskan untuk memesan makanan melalui aplikasi penghantaran.

“Order je dari sini, Sya. Kita tak larat nak keluar dah,” kata Nadhira sambil menyemak restoran yang tersedia dalam aplikasi.

Syaza mengangguk dan memilih beberapa makanan kegemaran mereka. “Apa kata kita ambil ayam korean spicy? Atau kau nak yang lain?” tanya Syaza.

Nadhira tersenyum kecil, merasa bersyukur dengan kehadiran sahabatnya di saat seperti ini. “Spicy pun okay. Pedas sikit biar lega hati ni, dan ambil yang cheese sekali” balasnya sambil ketawa kecil.

Mereka pun menunggu pesanan sambil berbual-bual ringan, mengisi malam dengan kehangatan persahabatan yang menenangkan.

Nadhira baru sahaja ingin meletakkan begnya di dalam loker ketika telefonnya tiba-tiba berdering. Tertera nombor yang tidak dikenali di skrin. Dia memandang nombor itu seketika, ragu-ragu sama ada mahu menjawab atau tidak.

“Siapa pulak ni, pagi-pagi dah telefon,” gumamnya perlahan, menimbang-nimbang.

Akhirnya, dia menarik nafas panjang dan menjawab panggilan tersebut. “Hello?” suaranya sedikit bergetar, masih tidak pasti siapa di hujung talian.

Namun, tiada jawapan yang diberikan pada awalnya. Hanya terdengar bunyi nafas berat sebelum suara perlahan namun jelas menyebut, “Kakak.......”

Darah Nadhira berderau. Suara itu seperti membawa kembali kenangan yang ingin dilupakannya.

“Angah?” soal Nadhira perlahan, hampir tidak percaya. Dia sangat mengenali suara itu — suara adik perempuannya yang sudah lama tidak didengarinya.

“Boleh kita jumpa sekejap, Kakak?” pinta Nayla dengan suara yang penuh harapan. Dia tahu Nadhira mungkin akan menolak, mengingat betapa dingin dan tidak adilnya dia pada kakaknya sebelum ini. Namun, dia buntu dengan siapa lagi perlu minta tolong.

Nadhira menarik nafas perlahan, perasaannya bercampur-aduk antara rindu dan luka lama yang masih terasa. Sejenak, dia teringat pada saat-saat ketika Nayla dan keluarganya melukakan perasaannya, membuatnya teringat bagaimana dia dihalau dari rumah. Namun, di sebalik rasa itu, terdengar juga suara lembut dalam dirinya yang merindui suasana keluarga.

“Angah… untuk apa?” tanya Nadhira perlahan, nadanya berat. Dia berusaha keras untuk tidak membiarkan emosinya menguasai, namun ada getaran dalam suaranya yang tak mampu disembunyikan.

“Aku cuma nak jumpa Kakak. Tolonglah, Kak… sekali ni saja. Aku tahu aku banyak salah, tapi aku… aku tak tahu dengan siapa lagi kak aku nak mintak tolong .” Suara Nayla terdengar makin sayu.

“Baiklah, nanti Angah datang tempat kerja Kakak masa rehat nanti,” jawab Nadhira akhirnya, suaranya masih bergetar sedikit. Keputusan itu membuat hatinya terasa berat, tapi dia tahu pertemuan ini mungkin dapat menjawab persoalan-persoalan yang selama ini menghantuinya.

Di seberang talian, Nayla menghela nafas lega. “Terima kasih, Kak. Aku janji takkan lama… aku cuma nak tengok Kakak, nak minta maaf…” suaranya terputus-putus, seakan menahan sebak.

Nadhira hanya mengangguk walaupun Nayla tak dapat melihat. Setelah panggilan itu tamat, dia termenung sejenak, memandang ke arah loker yang masih terbuka. Banyak persoalan bermain dalam fikirannya, namun dia cuba yakinkan diri untuk menghadapi pertemuan itu dengan hati yang terbuka.

“Semoga ini keputusan yang betul…” bisiknya perlahan, cuba meyakinkan dirinya sebelum menyambung tugas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience