Bab 35

Drama Series 202

Dalam kereta, angin sepoi-sepoi pagi lewat petang menyinggah masuk melalui celahan tingkap yang sedikit terbuka. Aisya duduk di tempat duduk belakang, ralit melihat ke skrin telefonnya. Di situ, terpapar gambar selfie yang diambilnya bersama Ara sewaktu di Baitun Nisa' pagi tadi. Ara tidak menolak ketika dia ajak bergambar. Satu reaksi yang buatkan hati Aisya rasa lapang dan senang. Dia tak sangka, gadis yang dulunya dingin dan berjarak, kini mula memberi ruang walau sedikit.

Aisya tersenyum kecil sambil pandang gambar itu lama. Senyumannya tak henti.

Dari cermin pandang belakang, Pak Mat perasan. Dia jeling sekilas, bibirnya terangkat senyum.

"Kenapa Cik Aisya dari tadi senyum sorang-sorang tu?" tegurnya, berjenaka.

Aisya ketawa kecil. "Sebab Aisya happy, Pak Mat."

"Pasal apa?"

"Sebab Aisya dah tak sunyi," jawab Aisya perlahan, tapi jujur. "Aisya rasa... macam ada kawan. Kawan yang boleh Aisya kongsi rasa. Kongsi kegembiraan. Selain Umi, Abi, dan Pak Mat."

Pak Mat diam seketika, menyelami kata-kata itu. Hatinya terasa lapang. Dia tahu Aisya selalu nampak kuat, tapi jauh di sudut hati, dia seorang gadis yang mudah sunyi.

"Pak Mat tumpang gembira, Cik Aisya." ucapnya perlahan.

Tapi kemudian dia bertanya, "Apa yang istimewanya Haura tu sampai Aisya boleh seronok sangat berkawan dengan dia? Pak Mat tengok, dia tu pendiam orangnya. Macam susah nak rapat."

Aisya pandang keluar, senyum masih berbaki di bibir.

"Sebab Aisya tengok Haura tu macam pintu lama yang dah lama terkunci," ujarnya perlahan, nadanya dalam. "Tapi bila kita sabar ketuk, sabar tunggu, insyaAllah dia akan buka juga. Dan bila dia buka, kita akan nampak... dalam tu ada luka, ada gelap, tapi juga ada cahaya yang cantik. Yang orang tak tahu."

Pak Mat terdiam. Kata-kata itu menikam tepat ke hati. Dia mengangguk perlahan. Pandangannya kini bukan lagi hanya pada jalan raya, tapi jauh lebih dalam—ke arah seorang gadis yang mungkin selama ini, terlalu banyak memendam sendiri.

***

Bunyi almari kayu dikuak perlahan. Ara bersila di atas lantai, tangannya lincah mengeluarkan satu persatu barang dari dalam beg pakaiannya. Baju dilipat kemas. Tuala disangkut di bahagian pintu almari. Botol kecil, losyen, dan sikat disusun di atas meja kecil bersebelahan katil.

Langsir ungu pastel yang separa terbuka membenarkan cahaya luar masuk, menyimbah lembut ke seluruh ruang bilik. Suasana tenang. Sunyi, tapi tidak kosong.

Saat tangannya menyentuh sehelai baju yang pernah dibelikan oleh ibunya suatu masa dahulu, hatinya terasa ngilu.

Tak sangka... Aku akan duduk dekat sini. Rumah orang. Bukan rumah sendiri. Bukan dengan mak. Bukan dengan ayah. Bukan dengan Fia, bukan dengan Atul.

Keluhan kecil terlepas di hujung nafas. Ara tunduk. Air mata tak gugur, tapi hatinya basah dengan kerinduan.

Tapi... aku dah tak ada tempat dalam keluarga tu, kan? Mereka pun dah tak nak tengok muka aku. Takkanlah aku nak menagih simpati.

Tangannya kembali menyelongkar beg. Kali ini, dia terhenti apabila tersentuh sesuatu.

Sebuah kotak sederhana kecil, berwarna coklat kusam. Tiada corak. Tiada tulisan. Kotak biasa.

Mata Ara membulat sedikit. "Eh... kotak ni..."

Dia letak kotak itu di atas ribanya. Perlahan-lahan dia buka penutupnya. Dan di dalamnya, tersusun kemas nota-nota kecil berlipat—nota misteri yang dia selalu terima setiap bulan sejak zaman sekolah menengah.

Ingatkan aku tinggal kotak ni dekat rumah. Rupa-rupanya aku bawa sekali.

Hujung bibir Ara terukir senyum kecil—senyum yang hanya dipamerkan pada kenangan. Pada sesuatu yang tidak dapat disentuh, tetapi sentiasa terasa dekat.

Tangannya mengambil dua nota secara rawak. Dia buka satu.

"Kau kuat, walaupun kau tak nampak. Kadang Allah bagi kita rasa gelap, bukan untuk menakutkan... tapi untuk kita belajar nampak cahaya."

Ara tunduk. Nafasnya perlahan. Lalu dia buka satu lagi.

"Kalau satu dunia benci kita, tapi Tuhan masih sayang... sebenarnya kita belum rugi apa-apa. Jangan putus asa."

Matanya sedikit berkaca. Nota-nota kecil ini... sekecil kertasnya, sebesar semangat yang pernah ditanam dalam jiwanya waktu dia hampir tumbang.

Siapa pun kau... Terima kasih. Aku tak tahu siapa kau, tapi nota-nota ni... kau tak tahu berapa kali kau selamatkan aku dari diri aku sendiri.

Kotak itu ditutup semula. Disimpan dengan penuh hati-hati di dalam almari. Seolah-olah menyimpan semangatnya sekali.

Selesai menyusun barang terakhir, Ara melabuhkan duduk di atas katil. Dia memandang sekeliling bilik baru itu. Catnya lembut, susun aturnya ringkas. Tapi baginya, asing. Dan diam-diam, dia tahu... bilik ini akan menjadi saksi permulaan baharunya.

Dia tak tahu apa yang akan berlaku selepas ini.

Tapi dia tahu satu perkara: dia masih ada harapan.

***

Langit petang berbalam jingga. Bayu berhembus perlahan, membawa aroma daun kering yang gugur dari pokok rambutan di tepi halaman. Wahyun duduk di bangku kayu usang yang terletak di bawah teduhan pohon itu, bersandar diam, mata terpaku pada hamparan rumput yang mulai kuning ditimpa senja.

Fikirannya jauh mengembara.

Masih terngiang-ngiang di telinganya jeritan Ara waktu itu. Waktu gadis itu melawan segala tuduhan yang dilempar ke arahnya tanpa belas. Waktu wajah Ara merah menahan marah dan air mata, sedang semua orang—termasuk dia—memilih untuk membisu. Dan waktu itu... dia hanya berdiri kaku. Ragu. Diam. Membiarkan Ara menanggung segalanya sendiri.

Kemudian, wajah Syazwan pula muncul dalam benaknya. Dan gambar itu.

Gambar yang menyentak seluruh kepercayaannya.

Ara dan Syazwan.

Di tempat yang tak sepatutnya.

Bersama.

Rapuh runtuh segala pertahanan di dadanya. Bukan kerana cemburu, tetapi kerana tidak menyangka. Tidak menyangka Ara mengenali Syazwan, bahkan kelihatan seolah-olah... akrab. Gambar itu terlalu banyak menimbulkan teka-teki yang tidak terjawab. Dan entah kenapa, sejak hari itu, hatinya mula disuntik rasa curiga.

Apakah semuanya satu perancangan?

Apakah Ara turut terlibat untuk memerangkap aku?

Namun, sebaik soalan itu muncul dalam hati, wajah Ara ketika memukul Ayu muncul kembali. Wajahnya sarat amarah, tapi bukan sembarangan marah. Itu wajah seorang gadis yang terluka. Yang terdesak mahu kebenaran ditegakkan.

Wahyun pejam mata.

"Kalau betul dia bersalah, kenapa dia berjuang sungguh-sungguh untuk pertahankan diri dia? Kenapa dia sanggup melawan semua orang? Termasuk mempertahankan aku?"

Dia keliru. Benar-benar keliru.

Dalam hening petang itu, Wahyun hanya mampu duduk termenung, hatinya bergelut antara percaya dan curiga. Antara rindu dan kecewa.

***

Di rumah kayu peninggalan arwah Tok, suasana suram tak pernah surut sejak pemergian wanita tua itu. Biar waktu terus berlalu, setiap sudut rumah masih menyimpan sisa-sisa kenangan yang terlalu kuat untuk dihapuskan.

Puan Laila menyandar di dinding dapur sambil menggenggam cawan teh yang sudah suam. Matanya meleret ke arah ruang tamu yang kosong. Di situ dulunya tempat Tok duduk berselimut sambil mengait, atau membebel manja apabila Hafiyy balik lambat dari sekolah.

Encik Farhan pula duduk di meja makan, membelek-belek surat khabar tapi tak satu pun berita dibaca. Pandangan matanya kosong, fikiran entah ke mana. Yang tinggal hanya sunyi.

Dan Hafiyy... duduk bersila di lantai bilik Tok, memeluk lutut, termenung lama di sisi almari kayu yang masih menyimpan baju-baju arwah.

Puan Laila mengetuk lembut pintu bilik, "Hafiyy?"

Hafiyy hanya menoleh sekilas.

"Masuklah, ma."

Puan Laila melangkah perlahan, duduk di sebelah anaknya. "Mama dah bincang dengan Papa. Kami fikir... mungkin lebih baik Hafiyy ikut kami balik ke Amerika."

Hafiyy angkat kepala sedikit. "Ma... Fi okey, tak apa. Fi boleh jaga diri sendiri kat sini."

"Tok dah tak ada, sayang. Rumah ni besar, sunyi. Kami tak tenang biar Fi sorang-sorang kat sini. Mak ayah mana yang tak risau tinggalkan anak dia jauh-jauh duduk seorang diri." suara Puan Laila lembut, tapi jelas bergetar menahan sebak.

"Lagipun kamu masih bawah umur," sampuk Encik Farhan yang tiba-tiba muncul di ambang pintu. "Biarpun kamu rasa kamu kuat, kamu masih anak kami. Dan kami takkan biarkan anak kami tinggal jauh tanpa penjagaan. Kami tetap bertanggungjawab."

Hafiyy tunduk. Tiada kata.

"Kamu mungkin rasa kampung ni rumah kamu, tapi ingat, kamu juga masih ada Mama dan Papa. Tempat kamu adalah dengan kami. Di sisi Mama Papa. Kalau kamu sedih, kami lagi sedih. Kalau kamu rindu Tok, kami pun sama. Tapi kami tak sanggup tengok kamu tinggal dalam kenangan yang menyakitkan setiap hari."

Sunyi mengisi ruang bilik.

Cuma bunyi kipas siling yang menderu perlahan.

Puan Laila memegang tangan Hafiyy. "Minggu ni kami akan uruskan. Urusan sekolah kamu, segala keperluan untuk berpindah. Papa kamu dah minta cuti. Kita usaha sama-sama ya."

Hafiyy masih diam.

Dalam hatinya, berperang dua dunia—satu dunia yang dipenuhi kenangan Tok, buah rambutan yang dia kutip sejak kecil, suara Tok yang menyanyi lagu lama di dapur. Dan satu lagi dunia yang menunggu di seberang lautan, asing, tetapi bersama keluarganya yang sebenar.

Air mata hampir menitis, tapi Hafiyy tahan.

Dia angguk perlahan.

"Baiklah, Mama... Papa. Kalau itu yang terbaik."

Puan Laila tersenyum hambar. Encik Farhan mengangguk dengan lega.

Dan di luar rumah, pohon jambu berbunga. Angin petang menyapa wajah bumi yang sepi.

Membisikkan satu hakikat.

Bahawa semua kehilangan itu... harus diterima, walaupun menyakitkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience