Langit petang itu seperti malas melukis warna. Awan tebal menutup cahaya, cuma membiarkan angin bergerak lesu. Wahyun menyangkut beg galas ke bahu, tangan capai helmet yang tersandar di tepi pintu.
"Mak, Yun gerak dulu ya. Study group kat rumah Muaz."
"Muaz yang rumah dekat simpang masuk Kampung Seri Bayu tu ke?" jerit mak dari dapur.
"Ha'ah, yang tu. Rumah dia dekat-dekat dengan surau lama tu."
"Balik jangan lambat sangat. Dah nak masuk musim hujan ni. Gelap awal."
"Okay mak!"
Dia hidupkan enjin motor. Bunyi enjin dua lejang membelah senyap petang. Jalan kampung lengang, cuma sekali-sekala berselisih dengan makcik berbasikal atau budak-budak sekolah yang baru balik tuisyen.
Dia ikut jalan biasa — jalan yang lalu tepi bendang dan masuk ke lorong kecil sebelum sampai ke simpang Kampung Seri Bayu. Lorong tu memang jarang dilalui, sebab agak sunyi. Tapi itulah jalan paling cepat.
Tapi entah kenapa hari tu, ada satu kelibat menarik matanya.
Wahyun perlahankan motor. Di hujung lorong kecil itu — betul-betul dekat kawasan berbukit rendah yang dah lama tak dibangunkan — ada seseorang sedang mengayuh basikal. Sosok itu betul-betul familiar, langkahnya tergesa macam sembunyikan sesuatu.
"Siapa?" bisiknya cuba mengingat.
Dia cam.
Ara.
Dahi Wahyun berkerut.
'Kenapa dia kat sini?' bisik hati kecilnya.
Dia tahu betul — jalan itu tak bawa ke mana-mana. Jalan mati. Hujungnya cuma tinggalan rumah lama, macam rumah separuh siap yang terbengkalai sejak dulu. Tiada siapa guna tempat tu.
Tak sedap hati, Wahyun matikan enjin motor perlahan, turun, dan mula mengekori dari jauh.
Ara tak sedar. Langkahnya makin laju, masuk celah semak kecil yang menyembunyikan laluan ke rumah lama. Wahyun ikut. Nafasnya mula jadi berat, jantung berdebar. Lorong makin sempit, bunyi unggas bersahut-sahutan dalam sunyi.
Sampai satu ketika, Wahyun nampak dari celahan daun — Ara masuk ke dalam salah satu struktur bangunan lama itu.
Tak lama kemudian, tiba-tiba kelihatan seorang lelaki muncul dari pintu sebelah rumah tersebut — Shazwan.
Jantung Wahyun seolah terhenti.
Wajah Shazwan — wajah yang selama ini dia kenal dari cerita orang, dari gosip sekolah, dari firasatnya sendiri.
Dan Ara... bersendirian.
***
Jalan kecil yang jarang dilalui itu sunyi. Debu tanah merah naik ke udara bila Ara melangkah. Semak dan ilalang tinggi memagari kiri kanan. Bunyi cengkerik dan unggas seolah menyambutnya ke alam asing.
Ara melangkah ke dalam rumah lama itu. Lantai simennya dipenuhi habuk. Bau hapak menusuk hidung.
Tapi buku itu ada di situ. Terletak atas meja kayu reput di tengah ruang.
Langkah Ara terhenti di hadapan meja usang itu. Buku yang dia cari terletak kemas, bersandar pada kaki meja yang hampir reput. Tangannya hulur, jemari menyentuh kulit buku itu perlahan. Sebelum sempat dia menarik nafas lega —
KRAAKK!
Pintu belakang tertutup kuat. Ara berpaling pantas.
Shazwan.
Dia berdiri di ambang pintu belakang. Senyuman sinis terukir di wajahnya. Mata itu — mata yang dia tak pernah mahu lihat lagi dalam hidup.
"Kau buat apa kat sini?!" jerit Ara, melangkah ke belakang.
Shazwan diam. Bunyi klik kunci berpusing buat dada Ara berdegup laju.
"Aku tanya, buat apa kau kat sini?!" suara Ara semakin tinggi.
"Aku cuma nak cakap... aku rindu," jawab Shazwan sambil berjalan ke arahnya, langkah perlahan tapi pasti.
Ara kaku. Tapi bila Shazwan cuba mendekat, dia hayun tangan — PANG!
Tamparan kuat mendarat di pipi Shazwan.
"Jangan dekat dengan aku, binatang!"
Shazwan tersentak. Tapi wajahnya berubah jadi bengis.
"Binatang?" ujar Shazwan sambil menahan geram.
Ara sempat capai kerusi kecil buruk di tepi dan lempar ke arahnya — Shazwan elak. Ara terus maju ke pintu namun pintu tak dapat dibuka. Dia hentak, tendang, tumbuk, tapi pintu tak bergerak.
"Tolongggggg!"
Shazwan datang dari belakang. Dia tarik rambut Ara — Ara berpaling dan terus menumbuk dada lelaki itu.
"Berani kau sentuh aku!"
Shazwan terhuyung. Ara capai botol kaca pecah dan acukan padanya.
"Lagi sekali kau sentuh aku, aku cucuk mata kau!"
"Jangan berlagak macam kau suci sangat, Ara," Shazwan mendengus.
"Apa kau nak sebenarnya hah?!"
Ara menggigil. Bukan sebab takut. Tapi sebab jijik. Jijik dengan kehadiran lelaki itu. Dengan suara dan bau nafsunya.
Dia cuba lari ke arah tingkap tapi Shazwan tarik bajunya. Mereka bergelut — Ara tendang, siku, pukul. Dia jerit sekuat hati.
"Tolong! Ada orang tak?! Tolong!"
***
Beberapa detik berlalu, tiba-tiba...
Jeritan.
"Lepaskan aku! Tolong! Jangan buat aku macam ni! Tolong!!"
Wajah Wahyun berubah. Dia berlari ke arah pintu depan, cuba buka. Terkunci.
"Ara?!"
Dia dengar jeritan dari dalam makin kuat. Suara Ara — penuh ketakutan.
Wahyun mundar-mandir di luar pintu. Nafasnya berat. Tangan mencari batu besar, kayu panjang, apa saja yang boleh dijadikan senjata.
DUM!
Dia hempas batu ke pintu.
DUM!
Sekali lagi. Kayu patah. Dia ulang dan ulang. Hatinya panas, tangan berlumur debu dan calar.
Akhirnya — pintu terbuka sedikit. Cukup untuk dia selitkan badan dan masuk.
Pemandangan dalam itu membuatkan darah dia menggelegak.
Ara, di satu sudut, rambutnya serabai, baju kotor, wajah penuh tangis. Shazwan berdiri di hadapan, terkejut, dengan tangan yang baru sahaja ingin menyentuh sesuatu yang tak sepatutnya.
Tanpa sepatah kata, Wahyun terus meluru dan terajang Shazwan ke dinding.
PANG!
Bunyi tumbukan dan hentakan bergema dalam ruang sunyi itu.
"Apa kau buat kat dia?!!" Wahyun menumbuk berkali-kali. Mata dia tak berkelip. Macam nak bunuh.
Shazwan melawan sikit tapi akhirnya kalah.
Shazwan jatuh. Wahyun tak berhenti. Dia pukul, dia belasah tanpa kata. Wajahnya bengis. Mata penuh amarah. Nafas laju macam binatang liar melepaskan geram.
Shazwan akhirnya merangkak tercungap-cungap, lari keluar ikut pintu belakang, tubuh berdarah dan longlai.
Wahyun berdiri beberapa saat, cuba tarik nafas. Pandangannya jatuh pada Ara yang berdiri lemah di satu sudut. Mata Ara kabur dek air mata. Nafasnya putus-putus. Bibirnya biru. Dia hanya mampu tunduk. Teresak.
Wahyun melangkah perlahan ke arah Ara. Tangan perlahan letak atas bahu Ara.
"Ara..." dia sebut perlahan, suara hampir tiada. Tapi cukup untuk memberi isyarat bahawa dia ada di situ. Bahunya bergoyang sedikit, memastikan Ara sedar dia selamat sekarang.
Ara angkat wajah. Mata mereka bertemu. Air mata jatuh deras dari pipi Ara. Tapi tiada kata.
Namun tiba-tiba—
Praaang!!
Pintu itu terhayun terbuka luas, disambar angin — atau mungkin ditolak kuat dari luar.
Serentak, suara-suara mengejutkan menerjah masuk.
"Astaghfirullahalazim!!" suara seorang makcik bergema.
"Ya Allah, apa korang buat ni?!" suara lelaki pula menyusul, keras, terkejut.
Di muka pintu, berdiri Puan Siti Hajar, wajahnya pucat lesi. Di belakangnya, Fia, Atul, Ayu — dan dua tiga orang kampung — memandang dengan mata terbelalak.
Pemandangan yang mereka lihat—
Seorang lelaki muda memegang bahu seorang gadis.
Gadis itu dengan baju sedikit terselak di bahu, kotor, serabai dalam rumah kosong.
Satu gambaran yang cukup untuk mencipta seribu salah faham dengan tempat sebegitu.
Ara dan Wahyun yang terdengar pintu terhempas terkejut. Ara cepat-cepat menepis tangan Wahyun, mundur kebelakang, matanya membulat ketakutan.
Wahyun juga membetulkan posisi, wajahnya berubah cemas.
Namun segala-galanya sudah terlambat.
Mata orang kampung menikam mereka dengan pandangan penuh curiga dan jijik.
"Bukan macam tu, saya boleh terangkan..." suara Wahyun terketar, melangkah ke depan, cuba jelaskan.
Tapi suara makcik kampung itu memotong kasar.
"Terang apa lagi? Semua dah jelas depan mata! Dalam rumah kosong pulak tu!"
Seorang lagi lelaki kampung bersuara garang.
"Buat maksiat dalam rumah orang! Malu! Buat malu keluarga!!"
Puan Hajar memegang dada, sesak nafas. Bibirnya terbuka, tapi tiada suara keluar. Hanya mata sayunya yang menatap Ara — penuh kecewa, penuh luka.
Fia terpaku. Dia menoleh ke arah Ayu, wajahnya menegang.
Ayu yang berdiri di belakang, kelihatan canggung.
Wajahnya ketara terkejut — bukan hanya kerana salah faham itu —
tapi juga kerana Wahyun yang ada di situ, bukan Shazwan seperti yang dia rancang!
'Mana Shazwan?!' desis Ayu dalam hati, matanya liar mencari kelibat lelaki itu — tapi tak ada. Yang ada cuma Wahyun dan Ara.
Ara cuba berdiri dengan betul, tubuhnya masih menggigil. Suaranya tersekat di kerongkong.
"Mak... Ara... Ara tak buat apa-apa, mak..." suaranya pecah, separuh menangis.
Tapi tiada siapa yang mendengar.
Yang mereka lihat hanyalah dua anak muda dalam keadaan memalukan, dalam rumah kosong, tanpa saksi lain.
Suasana kian berat. Sunyi. Hanya bunyi dedaunan dan cengkerik dari luar yang mengisi ruang.
Wahyun menggenggam erat penumbuknya.
Dia ingin melindungi Ara. Dia ingin menjerit, ingin terangkan semua. Tapi dalam situasi itu, siapa yang mahu percaya?
Ayu, dalam diam, melangkah sedikit ke tepi, memandang reaksi semua orang. Dia tahu dia perlu cepat buat sesuatu... sebelum semuanya terbongkar.
Sementara itu, Puan Hajar masih kaku. Airmatanya bergenang. Dia tidak sanggup... tidak sanggup menerima hakikat yang mungkin anak gadisnya telah dihina sedemikian rupa.
"Atul..." bisik Fia perlahan, suaranya bergetar.
Atul memandang Ara dengan wajah kosong — tak tahu mahu percaya atau tidak.
Wahyun melangkah ke hadapan, suara tersekat tapi tegas.
"Saya boleh sumpah... saya tak buat apa-apa dekat dia." katanya dengan nafas berat.
Tetapi, dalam dunia kecil itu — fitnah lebih pantas daripada kebenaran.
Share this novel