Mereka akhirnya tiba di pagar sekolah. Suasana sekitar sudah mulai lengang. Matahari tengah hari menggantung lesu di langit, seolah-olah turut menyaksikan pertemuan yang tidak dirancang ini.
Ara menyandarkan basikalnya sebentar, membetulkan tali beg yang senget di bahu. Dia menoleh ke arah Wahyun, ingin mengucapkan selamat tinggal sebelum berlalu... tapi belum sempat dia bersuara, Wahyun mendahuluinya.
"Ara..."
Langkah gadis itu terhenti. Dia menoleh perlahan.
Wahyun menarik nafas pendek. Matanya tidak terus menatap wajah Ara. Sebaliknya pandangannya dilarikan sedikit ke arah rumput di tepi pagar sekolah.
"Saya nak minta maaf."
Kening Ara terangkat sedikit. "Maaf?"
"Pasal hari tu... saya tengking awak depan semua orang. Saya terkejut masa tu dengan tindakan awak." Nada suara Wahyun turun naik, seolah-olah sedang cuba menyusun kata agar tidak menyinggung perasaan.
"Saya cuma..." Dia tunduk sedikit. "Saya tak tahu apa yang jadi pada awak. Tapi cara awak lintas jalan hari tu, awak betul-betul bahayakan diri awak."
Ara diam. Tak menjangka permintaan maaf itu akan keluar dari mulut seseorang seperti Wahyun.
"Saya harap kali ni awak lebih alert dengan sekeliling. Jangan bahayakan diri sendiri macam tu lagi."
Ara menatap wajah itu beberapa detik. Entah kenapa, bibirnya terukir senyuman kecil.
Senyuman yang pertama—di hadapan Wahyun.
Siapa sangka gadis dingin yang selama ini seperti tak mesra alam itu... punya senyuman yang semanis itu?
Ara tunduk sedikit, menyembunyikan wajah yang sedikit merah.
"Saya pun nak minta maaf... sebab menyusahkan awak."
Dia menyentuh sedikit pemegang basikalnya.
"Saya sendiri tak tahu kenapa saya jadi macam tu hari tu. Tapi... terima kasih, Wahyun. Sebab selamatkan saya."
Dia ketawa kecil, sedikit menyendiri. "Kalau bukan sebab awak, mungkin saya dah arwah kot sekarang."
Wahyun tergelak perlahan, tapi hanya seketika.
"Sebenarnya... bukan saya yang selamatkan awak." katanya sambil memandang Ara semula.
Ara berkerut kecil. "Habis tu?"
Wahyun tersenyum nipis, angin menyapu lembut rambut di dahinya.
"Allah yang selamatkan awak. Saya cuma asbab je. Jadi... berterima kasihlah pada Allah."
Ara terkedu.
Kata-kata itu membuatkan dia terdiam. Dalam diamnya, fikirannya kembali ke surau sebentar tadi... doa yang dibacakan... suara yang mendamaikan... rasa yang tak mampu dijelaskan dengan kata-kata.
Ya.
Ada benarnya.
Kalau Allah tak gerakkan hati Wahyun waktu tu, kalau Allah tak rancang semuanya...
Mungkin dia memang takkan ada di sini lagi.
"Terima kasih..." Ara berbisik lebih pada dirinya sendiri berbanding pada Wahyun.
Tak lama kemudian, bunyi enjin kereta kedengaran dari arah depan pagar. Sebuah kereta sedan berwarna hitam berhenti perlahan.
"Ayah saya dah sampai. Saya balik dulu, ya?"
Ara angguk. "Hati-hati."
Wahyun sempat tersenyum sekali lagi sebelum melangkah ke arah kereta. Kereta itu bergerak perlahan, lalu membelok dan hilang dari pandangan.
Ara masih berdiri di situ. Lama. Matanya tidak berkelip memandang ke arah jalan yang telah kosong.
Ada sesuatu dalam pertemuan hari ini yang menyentuh hatinya dengan cara yang tidak pernah dia rasakan sebelum ini.
Akhirnya, dia menarik nafas dalam-dalam dan mengayuh perlahan basikalnya, menyusuri jalan pulang yang biasa.
Tapi tidak seperti biasa.
Ada secebis rasa tenang... yang singgah dalam dadanya hari ini.
Dan dia sendiri tak tahu dari mana datangnya rasa itu.
***
Kereta meluncur perlahan menyusuri jalan utama. Suasana dalam kereta tenang, hanya ditemani desiran angin dari luar dan bunyi enjin yang mendengung halus.
Wahyun bersandar santai, memandang keluar jendela yang dibukanya. Wajah Ara masih berbayang-bayang dalam fikirannya. Senyuman gadis itu — ringkas, tulus, dan entah mengapa... terkesan di hati.
"Siapa budak perempuan tadi tu?" suara ayahnya tiba-tiba memecah keheningan.
Wahyun menoleh sedikit. Kemudian tersenyum nipis.
"Kawan baru," jawabnya pendek.
Ayahnya mengangguk perlahan. Tapi pandangannya masih terpaku pada jalan.
"Baru kenal hari ni ke?"
Wahyun menggeleng. "Baru-baru ni jugak... tapi bukan hari ni."
Ayahnya tersenyum. Lama dia diam, sebelum berkata perlahan, "Budak tu nampak baik, cantik."
Wahyun hanya tersenyum kecil, tidak membalas. Sebaliknya dia kembali mengalihkan pandangan ke luar tingkap.
Kereta terus meluncur tenang di jalan raya yang mulai diliputi bayang-bayang petang.
Tiba-tiba, ayahnya bersuara lagi. Suara yang lebih perlahan... lebih berat.
"Bila tengok cara kamu bercakap dengan dia tadi... ayah teringat masa kamu dengan Warda dulu."
Wahyun tersentak kecil.
Warda.
Nama itu. Nama yang sudah lama tidak menyinggah di telinganya. Sudah sekian lama tidak disebut oleh sesiapa... kecuali dirinya sendiri — dalam diam, dalam doa, dalam kenangan.
Ayahnya menyambung, suaranya seolah-olah tenggelam dalam kenangan juga.
"Agaknya apa khabar Warda sekarang, ya..."
Wahyun menunduk sedikit, jemarinya mengetuk perlahan paha. Suatu kebiasaan bila dia sedang cuba menyembunyikan sesuatu yang terasa di dada.
Nama itu membawa banyak perkara. Kenangan. Luka. Dan pengajaran.
Dan kini, satu nama baru pula datang menyentuh pintu hatinya — perlahan-lahan, tanpa sedar.
Ara.
Tapi dia tahu... dia masih belum bersedia untuk membuka ruang itu.
Atau mungkin... dia cuma takut.
***
Selesai sahaja solat Isyak, Hafiyy melipat sejadah dan menyangkut kembali kain pelikat ke penyangkut di bilik belakang. Suasana rumah kayu lama itu tenang, hanya bunyi cengkerik bersahut-sahutan dari luar. Waktu malam di kampung sentiasa terasa nyaman—dan menenangkan.
"Hafiyy, mari makan! Tok masak lauk kegemaran kamu malam ni!" suara Tok memanggil dari dapur, penuh ceria.
Hafiyy tersenyum lebar, cepat-cepat melangkah ke ruang makan. Bila sampai sahaja di meja, matanya terbeliak sedikit.
"Eh, Tok... MasyaAllah, macam kenduri. Tak padan dengan usia, makin berumur makin power tenaga Tok ni. Masak pun sedap-sedap!"
Tok tersenyum sambil duduk bertentangan dengannya, tangan pantas menyenduk nasi ke pinggan Hafiyy.
"Hafiyy ni je la cucu Tok... Kalau bukan untuk kamu, untuk siapa lagi Tok nak buat semua ni?" jawab Tok bersahaja, tapi ayat itu menikam hati Hafiyy tanpa disangka. Ada sesuatu dalam nada Tok yang buat dada Hafiyy rasa sebak sekejap.
Hafiyy senyum kecil, tunduk sedikit sebelum tiba-tiba bersuara sambil mengusik, "Alaaa Tok ni... jiwang pulak malam-malam. Tak boleh lebih-lebih sayang, nanti Hafiyy meleleh air mata."
Tok menjeling sambil ketuk bahu Hafiyy lembut dengan sudu. "Kalau meleleh pun Tok tadah je dalam mangkuk. Buat kuah kari esok!"
Hafiyy ketawa besar, kemudian pura-pura mengaduh sambil menggosok bahu. "Aduh! Tok ni sama je dengan Ara. Suka sangat pukul orang. Orang perempuan memang macam ni ke?"
Tok mencebik manja. "Kalau suka pukul tu tandanya sayang la tu."
Hafiyy ketawa kecil. "Eh, macam tu pulak? Nanti Hafiyy salah faham, kalau ada perempuan pukul Hafiyy terus rasa dia minat kat Hafiyy!"
Tok ketawa, kemudian menjeling nakal. "Hafiyy ni bila nak kahwin, ha? Tok ni dah tua. Nak tengok jugak cucu lelaki Tok ni duduk bersanding sebelah isteri dia."
Hafiyy mengangkat kening. "Amboi Tok! Hafiyy ni sekolah pun belum habis, Tok dah sembang bab kahwin? SPM pun tak tahu lulus ke tidak."
"Yela, siapa suruh kamu jadi anak tunggal. Tok cakap betul ni. Nanti kalau nak cari isteri, cari macam Ara tu. Dah la cantik, kuat semangat, pandai, tegas pulak tu. Bukan senang nak jumpa budak perempuan zaman sekarang yang macam tu."
Hafiyy tersedak kecil, terus letak sudu. "Tok... yang tu tak nak la. Ara tu bukan setakat tak pandai masak. Kasar pulak tu. Kadang tengok gaya macam nak karate orang je."
Dia gelak, tapi Tok sempat menepuk belakang tangan Hafiyy dengan senduk.
"Kamu ni! Kalau tak pandai masak, nanti dia belajar la. Tugas isteri bukan semata nak buat kerja rumah, nak layan suami dan lahirkan anak pun dah cukup besar. Sebenarnya, kerja rumah ni kerja lelaki tau. Lelaki yang kena bantu, bukan suruh."
Hafiyy buat gaya tangan angkat tanda kalah. "Ala Tok... Tok dah masuk team feminist ke ni?"
Tok buat muka puas hati. "Tok dah lama masuk team perempuan bijak."
Mereka sama-sama ketawa. Suasana jadi santai dan hangat.
Selesai makan, Hafiyy menyandar pada kerusi sambil mengusap perut kenyang. Tok sedang mengemas pinggan mangkuk. Suasana jadi sepi seketika sebelum Hafiyy bersuara perlahan.
"Tok... yang pasal mama papa ajak pindah Amerika tu..."
Tok yang sedang menyusun sudu garpu tiba-tiba terhenti geraknya. Hafiyy memandang Tok dengan hujung mata sebelum menyambung perlahan, "Jadi ke Tok ikut sekali ke sana?"
Soalan itu buat Tok terdiam.
Suasana ceria yang tadi penuh dengan gurau tawa terus berubah sunyi. Tok hanya berdiri di situ, diam. Tangan yang tadi sibuk mengemas kini terkulai di sisi. Wajah Tok tidak lagi ceria seperti beberapa minit yang lalu.
Hafiyy duduk tegak, memandang wajah tua itu. Menunggu jawapan yang lambat keluar.
Tok menarik nafas perlahan. "Bukan Tok tak nak ikut, Hafiyy. Tapi Tok rasa berat sangat nak tinggalkan tanah sendiri. Tanah tempat Tok lahir, tempat Tok meniti usia tua dengan arwah atuk kamu. Tempat penuh kenangan."
Hafiyy diam seketika, sebelum berkata dengan nada cuba memujuk, "Ala Tok... nanti kalau ada cuti, kita boleh balik Malaysia kejap. Bukan tak balik langsung pun. Lagipun Hafiyy tak sanggup tinggal Tok sorang-sorang kat sini."
Tok menggeleng perlahan. "Kamu takkan faham, Hafiyy. Kamu masih muda."
Kata-kata itu buat Hafiyy terdiam. Dia renung wajah Tok yang sudah dimamah usia. Ada kerut yang selama ini tak pernah dia perasan, ada getar dalam suara yang biasanya tenang dan penuh semangat.
Tok menarik kerusi dan duduk perlahan. Pandangannya jauh.
"Kalau boleh, Tok nak habiskan sisa umur Tok dekat sini, dekat kampung sendiri. Mana tahu... bila tiba masanya Tok pergi, Tok nak dikebumikan sebelah arwah atuk kamu. Itu je yang Tok harap."
"Eh, apa Tok ni tiba-tiba cakap pasal tu pulak?" Hafiyy terus menyampuk, cuba menukar nada. "Kita tengah cakap pasal pindah Amerika, kenapa tiba-tiba mood sedih ni?"
Tok senyum nipis. Tapi ada air jernih bertakung di hujung mata yang disembunyikan.
"Nanti kalau satu hari nanti Tok dah takda... Hafiyy jaga rumah pusaka ni elok-elok, ya? Jangan biar kosong. Jangan lupa selalu ziarah Tok, tengok-tengok rumah ni. Tok tahu kamu boleh."
Berubah serta-merta air muka Hafiyy. Matanya berkaca. Tapi dia cepat-cepat selindungkan dengan gelak kecil dan suara bergurau.
"Ke situ pulak Tok ni fikir. Tok ni drama la. Ni mesti Tok tengok cerita petang tadi tu kan? Suka sangat scene yang sedih-sedih tu!"
Tok menjeling, tak sempat nak senyum lagi, Hafiyy dah buat muka menyakat.
"Tok... kalau Tok tinggal sini, nanti kat sana takde siapa nak buat gulai tempoyak sedap tu dah. Kena pos dari kampung ke Amerika nanti!"
Tok terus hempuk belakang lengan Hafiyy dengan tangan basah. "Ha, mulut kamu tu! Nanti Tok pos je kamu ke kebun, suruh tanam durian sendiri buat tempoyak!"
Mereka sama-sama tergelak kecil.
Tapi jauh di sudut hati Hafiyy... dia tahu, gurauan Tok malam itu bukan sekadar gurauan. Ada makna yang lebih dalam, yang membuatkan malam itu terasa panjang — dan berat.
***
Share this novel