Matahari belum pun naik tinggi, tetapi langit sudah membiru terang. Ara menunggang basikal dengan kelajuan sederhana, angin pagi menyapu pipinya yang masih terasa sedikit perit dari luka semalam. Dia cuba kuatkan hati—hari ini dia mahu hadapi sekolah seperti biasa, walau hakikatnya jiwanya masih berserabut dengan segala yang berlaku semalam.
Namun, langkah kakinya terhenti sejenak di hadapan sebuah warung kecil di tepi jalan. Dia ternampak sekumpulan makcik sedang bersarapan sambil mulut rancak berbual. Ara hendak melintas saja, tetapi langkahnya terhenti bila terdengar satu ayat yang membuatkan jantungnya berdetak laju.
"Kecoh betul semalam kat rumah Hajar. Dengar kata anak sulung dia keluar dengan jantan mana entah..."
Ara menegang. Langkahnya membeku. Telinga terus tajam menangkap perbualan.
"Haa, aku pun dengar! Astaghfirullah, zaman sekarang ni... anak perempuan keluar malam-malam dengan lelaki, tak tau malu betul. Tu lah, bila mak tak pandai jaga..." sambung seorang lagi makcik, sambil hirup teh tarik panas.
"Kau tau tak, yang aku paling terkejut..." sela makcik ketiga dengan nada berbisik tapi cukup kuat untuk didengar, "aku dengar si Ara tu siap tidur dengan jantan tu. Terkejut aku!"
"Eh, kau dengar dari mana cerita ni?" tanya makcik yang tadi senyum sinis.
"Anak aku limpas rumah dia masa tu, tengah gaduh besar. Boleh dengar dari luar, siap sebut nama budak Shazwan tu. Entah apa la yang Ara tu dah buat sampai mak dia menjerit marah macam tu."
"Ish, tak sangka betul. Nampak je pendiam. Rupanya... diam-diam makan dalam," sindir makcik berbaju bunga merah, geleng kepala.
"Macam mana la Hajar tu didik anak-anak dia. Anak sulung pun boleh dibagi bebas keluar malam. Orang perempuan pulak tu..."
Ara menggenggam kuat pemegang basikalnya. Rahangnya mengeras. Dadanya naik turun menahan amarah yang makin membuak. Tapi mereka teruskan juga.
"Kesian Hajar tu. Dah la laki dia tinggalkan dia, lepas tu anak-anak pun perangai tak semenggah. Memang ujian betul."
"Tapi kira nasib dia baik jugak, si Ubai tu masih bagi nafkah tiap bulan. Kalau tak, tak tahulah macam mana hidup dia dengan anak-anak tu."
"Ara tu pun bukannya elok sangat. Tengoklah, sikit-sikit melawan cakap mak dia. Kau ingat tak tahun lepas? Sampai kena kurung kat rumah. Siapa je tak sakit hati kalau ada anak macam tu."
"Budak sekarang ni, makin diajar makin jadi kurang ajar. Tak takut langsung dosa pahala. Kononnya moden, bebas la konon."
Tiba-tiba suara lantang menyergah, membuatkan semua kepala berpaling.
"Seronok sangat ke mengata orang?! Makcik semua rasa makcik tu baik sangat ke? Tak ada dosa langsung?" jerit Ara dengan mata merah menyala.
Mak cik-mak cik itu terkejut. Suasana warung menjadi senyap.
"Makcik patut bersyukur sebab Allah masih tutup aib makcik semua sampai hari ni. Cuba Allah buka, agaknya makcik sendiri pun tak sanggup keluar rumah tunjuk muka!"
"Ish, tengok tu! Dia marah kita pula. Ni lah budak sekarang, tak reti hormat orang tua," kata salah seorang makcik dengan nada perli.
Ara senyum sinis.
"Hormat orang tua? Kalau orang tua sendiri mulutnya lagi tajam dari pisau, menjaja fitnah macam kerja tetap... saya patut diam je ke?"
"Hoi Ara! Kau jangan nak kurang ajar sangat!" bentak seorang lagi.
"Kalau tak ada benda baik nak cakap, lebih baik diam. Daripada sibuk jaja cerita tak betul pasal orang, macam hidup tak ada tujuan," Ara melangkah selangkah ke hadapan, matanya tepat memandang setiap wajah itu.
"Satu hari nanti, makcik semua akan rasa sendiri. Bila anak makcik kena tuduh macam ni, baru tahu langit tu tinggi atau rendah!"
Ara terus berlalu pergi, basikalnya ditolak laju tanpa menoleh ke belakang, air mata panas mula bergenang.
"Tengok tu perangai dia. Tak hormat langsung. Menjawab macam singa, dah sah la betul apa orang kata pasal dia..." kata salah seorang makcik dengan wajah angkuh.
"Ni lah dia, budak zaman sekarang. Kita tegur sikit, dah melenting macam dunia nak runtuh," balas yang lain.
Tiba-tiba suara garau seorang lelaki tua menyapa, membuatkan semua terdiam.
"Hoi, mulut tu jaga sikit. Korang semua tu cakap pasal dosa pahala, tapi duk mengumpat depan orang ramai macam ni tak takut Tuhan ke? Esok-esok bila aib anak sendiri terbongkar, baru tahu rasa. Jangan sampai Allah balas depan mata."
Mak cik-mak cik itu saling berpandangan. Terdiam. Suasana warung yang tadi bising kembali senyap—yang tinggal hanya bisik-bisik kecil dan mata yang mengelak daripada terus menanggung malu.
***
Bunyi tapak kaki bergema di tangga blok makmal sains. Para pelajar kelas 5 Cempaka sedang bergerak semula ke kelas selepas tamat subjek Sains. Suasana sedikit bising dengan perbualan ringan dan gelak tawa yang bertebaran di udara pagi yang mula hangat.
Tiga figura perempuan berjalan beriringan menuruni tangga. Ayu di tengah, diapit oleh dua rakan sekelasnya, Dalila dan Rina. Ketiga-tiganya rancak berbual, wajah mereka ceria tanpa sebarang beban.
"Aku tak sabar nak tengok konsert tu minggu depan. Haraplah mama aku bagi izin," ujar Rina.
Dalila ketawa. "Kalau tak bagi, kita culik je kau!"
Ayu gelak kecil. "Wei, korang rasa..."
Belum sempat habis ayatnya—
"Arghhh!" jerit Ayu, tubuhnya hampir terdorong ke belakang. Tudungnya ditarik kuat dari arah belakang membuatkan lehernya tersentak, dan keseimbangannya hampir hilang. Dalila dan Rina terkejut, masing-masing cuba pegang Ayu yang hampir jatuh.
"Ara! Apa ni?!" jerit Dalila.
Wajah Ayu berpaling ke belakang dengan kemarahan—dan ketakutan. Ara berdiri di situ. Nafasnya turun naik. Tangan masih menggenggam hujung tudung Ayu yang hampir tercabut. Mata Ara membara, penuh dendam yang tak tertanggung.
"Kau cakap sekarang, apa sebenarnya yang jadi malam tu?!" suara Ara menggegar tangga sunyi itu.
Mata Ayu membulat. "Apa benda kau cakap ni?! Gila ke?"
"Dekat pub tu. Malam tu! Jangan nak berlagak lupa! Kau nak aku buat lebih teruk dari ni?!"
Rina cuba tepis tangan Ara, tapi Ara tolak kasar. Dalila pula cuba bantu, namun tangan kiri Ara pantas menepis mereka. Ayu meronta.
"Ara! Sakitlah! Lepaslah!"
"Bagitahu aku!" suara Ara meninggi. Matanya merah, suara bergetar dengan marah dan luka.
"Macam mana aku nak cerita kalau kau buat aku macam ni?!" Ayu balas dengan suara keras, wajahnya ketakutan.
Ara lepaskan genggamannya dengan kasar.
Bam!
Ayu terhuyung-hayang ke belakang, hampir terjatuh dari tangga—tapi sempat disambut oleh Dalila dan Rina. Tudung Ayu sudah terdedah, rambutnya terburai. Wajahnya merah padam, ada rasa malu, marah dan panik bercampur jadi satu.
"Kau gila ke, hah?! Datang serang orang tiba-tiba?!" jerit Ayu.
Dalam masa yang sama, Hafiyy yang sudah pun bergerak menuju ke kelas, perasan satu kekecohan sedang berlaku di tangga makmal. Matanya melilau.
"Ara?" bisiknya. Dia segera berpatah balik ke arah makmal.
"Kau memang dah tak betul!" Jerit Ayu.
Ara masih berdiri di situ, matanya tak berkelip. Dia mendekat semula pada Ayu.
"Aku tanya kau, kenapa Shazwan boleh datang rumah aku semalam cakap benda bukan-bukan? Siapa bagitahu dia kita keluar malam tu?! Kau yang kata kau nak jumpa someone dekat pub tu. Shazwan tu ke orang tu?!"
Ayu geleng kepala, gugup. "Aku tak tahu... aku tak tahu apa-apa..."
"Dah la Ayu, tak payah la pura-pura!" jerit Ara.
"Eh apa masalah kau ni?! Orang kata tak tahu, tak tahu la! Tak faham bahasa ke perempuan?!"
Dia terus tarik rambut Ayu kuat-kuat, membuatkan Ayu menjerit kesakitan.
"Ara! Lepaslah!" Ayu meronta, air mata mula mengalir.
"Aku takkan maafkan kau Ayu! Disebabkan malam tu, keluarga aku dah tak percayakan aku lagi. Disebabkan aku bodoh sangat percayakan kau, nama aku buruk satu kampung!" suara Ara parah, patah, penuh sesal.
Ayu menjerit, "Kau yang salah! Kau sendiri yang nak ikut aku! Dasar gila!"
"Ara!!"
Suara lelaki bergema kuat di tangga. Hafiyy akhirnya muncul di atas. Wajahnya terkejut, panik melihat apa yang sedang berlaku.
Dia terus meluru dan menarik tangan Ara, merenggangkan dia dari Ayu.
"Ara, cukup!" kata Hafiyy, cuba tenangkan.
Ara tak peduli. Tangannya masih cuba lepaskan dari genggaman Hafiyy. Dia mahu terus serang.
Hafiyy tarik lebih kuat. "Ara! Tengok aku!"
"Lepaslah perempuan! Kau akan menyesal buat aku macam ni!" Ayu masih meronta.
"Kalau kau terus buat macam ni... apa bezanya kau dengan dia ni?!" Hafiyy bersuara.
Ayat itu—seperti pisau yang menyentak kesedaran Ara.
Tiba-tiba, tangannya terkulai. Nafasnya masih tercungap, tapi dia terdiam. Matanya masih terpaku pada Ayu, tapi tubuhnya tidak lagi bergerak.
Ayu segera larikan diri ke bawah tangga dengan tudung terburai, rambut terkeluar serabai. Rina dan Dalila mengekor sambil pegang bahunya.
"Sial lah kau, Ara! Perempuan gila!" jerit Ayu dari bawah.
"Tunggu la balasan kau nanti! Aku sumpah kau akan kena!"
Langkah mereka laju meninggalkan kawasan makmal. Suara maki hamun Ayu masih kedengaran.
Hafiyy berpaling pada Ara. "Ara... apa sebenarnya jadi?"
Ara masih diam. Nafasnya pendek. Dia tak mampu jawab. Tak tahu macam mana nak mula.
Kakinya lemah. Dia terduduk di anak tangga. Tangan menutup wajah.
Dan akhirnya, tangisnya pecah. Tangisan yang dia tahan terlalu lama. Tangisan yang akhirnya pecah tanpa halangan, tanpa sekat, tanpa segan.
Hafiyy duduk di sebelah.
"Ara," suaranya lembut.
Ara menangis semakin kuat. Hafiyy hanya diam. Dia tahu pada saat ini, tiada nasihat mampu ubah rasa dalam hati Ara.
Dia hanya ada di situ. Menjadi bahu yang tak perlu dijanjikan. Menjadi tenang saat hati Ara sedang karam.
***
Langkah kaki Ara perlahan ketika dia sampai di halaman rumah. Suasana kampung masih lagi tenang dengan kicauan burung yang bersahut-sahutan. Tapi dalam dada Ara, tak ada satu pun yang tenang.
Dia menyorong basikal ke tepi rumah seperti biasa, kemudian menapak ke dapur. Dari celah langsir, dia nampak kelibat ibunya sedang menyusun bekas-bekas plastik ke dalam almari. Mungkin baru selesai mencuci pinggan mangkuk selepas makan tengah hari.
Ara berdiri seketika di muka pintu dapur. Nafasnya turun naik. Hatinya berperang—nak tegur, tapi takut. Nak buka mulut, tapi lidah kelu.
"Mak..."
Nada suaranya perlahan, tapi cukup untuk kedengaran. Namun Puan Hajar terus saja dengan kerjanya, seolah-olah suara itu tidak wujud di udara.
Ara gigit bibir. Dia beranikan diri melangkah masuk ke dapur. Hatinya benar-benar mahu bercakap. Walau sedikit.
"Mak masak apa hari ni?"
Dia cuba berlagak biasa, seolah tiada ribut besar yang pernah melanda semalam. Suaranya diatur selembut mungkin, berharap akan ada sedikit respon. Sedikit pun tak mengapa, asalkan bukan diam yang menyakitkan ini.
Tapi Puan Hajar langsung tidak menyahut. Tidak berpaling pun. Dan selepas beberapa saat, wanita itu menutup almari dapur perlahan-lahan, mengelap tangan dengan tuala kecil, kemudian terus berlalu... tanpa sepatah kata.
Ara terkedu. Matanya mengekori langkah ibu yang terus masuk ke bilik dan—klik!—pintu itu ditutup.
Bukan dihentak. Tapi ditutup perlahan-lahan. Namun sepi itu lebih menyakitkan dari jeritan.
Ara berdiri lama di tengah dapur, tidak tahu nak buat apa. Langit-langit rumah seakan runtuh ke atas kepalanya. Dadanya sesak. Bibirnya menggeletar, tapi tiada kata yang lahir. Hanya keluhan nafas yang tenggelam dalam diam.
Dia perlahan-lahan menapak ke biliknya sendiri. Menutup pintu perlahan. Melemparkan tubuhnya ke atas katil usang.
Dan saat itu, air mata tumpah tanpa dipinta.
"Kenapa jadi macam ni..."
Dia memeluk bantal kecil, menggenggam kain selimutnya. Tangisnya tenggelam dalam bisikan.
"Aku dah cuba nak berubah. Aku dah cuba nak jadi lebih baik... Tapi makin aku cuba, makin banyak halangan. Makin banyak yang salah faham. Makin sakit."
Matanya terpejam rapat. Dalam gelap itu, dia hanya nampak wajah ibunya—dingin, tawar, penuh kecewa. Dan wajah dirinya sendiri—keliru, luka, dan makin hilang arah.
Ara tidak tahu lagi apa caranya untuk menebus semua ini. Dia tidak tahu bagaimana mahu meraih kembali kepercayaan seorang ibu yang hatinya telah hancur.
Yang dia tahu, dia penat menahan air mata. Tapi hari ini, dia biarkan saja air mata itu mengalir... sebab dalam diam, dia sedang belajar. Bahawa perubahan bukan sesuatu yang mudah, dan jalan menuju kebaikan tak selalunya dilapisi cahaya.
***
Share this novel