Bab 24

Drama Series 202

Baru saja Hafiyy nak buka cerita, tiba-tiba bunyi rantai basikal berdecit kasar. Seorang budak lelaki berumur belasan tahun, Naufal — budak kampung yang biasa melepak di kampung — muncul dengan muka cemas.

"Hafiyy! Tok kau jatuh! Kat rumah! Cepat balik!"

Dada Hafiyy serta-merta rasa berdegup kencang. Dia terlompat dari pangkin, wajah pucat.

"Apa? Bila?"

"Baru je! Aku lalu depan rumah kau tadi, nampak Tok terbaring... Ada orang kampung dah pergi tengok!"

Tanpa berlengah, Hafiyy terus capai basikal yang disandar dekat batang pokok dan mengayuh sekuat hati. Ara, yang terkejut sama, cepat-cepat melompat dari pangkin dan mengambil basikalnya juga, mengejar Hafiyy.

Rumah Hafiyy tak sampai tiga minit kalau kayuh laju. Sampai sahaja, Hafiyy terjun dari basikal dan terus berlari masuk halaman. Tok sudah terbaring di anjung rumah, matanya terpejam rapat. Dua tiga orang kampung mengerumuni, ada yang sudah cuba beri bantuan.

"Tok!!" Hafiyy menjerit kecil, suaranya pecah. Dia terus melutut di sisi Tok, menggenggam tangan tua itu yang dingin.

Ara sampai sekejap kemudian, termengah-mengah. Dia melihat keadaan itu dengan mata berkaca.
Dia tahu betapa Tok itu bermakna untuk Hafiyy, satu-satunya keluarga yang tinggal dengan dia.

Seorang pakcik kampung berpaling kepada Hafiyy.
"Kami dah call ambulans, nak sampai dah ni. Sabar ye, Fiyy."

Tangan Hafiyy menggigil, dia tunduk, dahinya hampir menyentuh lutut Tok. Air mata mula membasahi pipinya. Ara menghampiri perlahan, duduk mencangkung di sebelah, menyentuh bahu Hafiyy dengan hati-hati.

"Hafiyy..." suara Ara perlahan, menggetar dalam dada yang penuh sayu.

Bunyi siren ambulans akhirnya kedengaran dari jauh. Orang kampung memberi laluan bila ambulans berhenti di depan rumah. Dua orang paramedik meluru turun, membawa stretcher dan peralatan.

Dengan pantas mereka memeriksa keadaan Tok, sebelum mengangkat tubuh itu dengan cermat.
Hafiyy masih di sisi, enggan berpisah. Paramedik memanggil:

"Kalau nak ikut sekali, naiklah."

Tanpa fikir panjang, Hafiyy melompat masuk ke belakang ambulans. Ara teragak-agak sekejap, sebelum paramedik lain memanggil,

"Adik nak ikut? Boleh. Cepat."

Ara angguk pantas, lalu memanjat masuk juga.

Dalam ambulans, Hafiyy duduk rapat di sisi Tok, memegang tangan Tok yang lemah. Dia menangis dalam diam, dada berombak-ombak. Ara, duduk di sisi bertentangan.

"Allah jaga Tok, Fiyy. Jangan takut..." bisik Ara, air matanya bergenang melihat Hafiyy yang selama ini gagah, kini luluh di hadapannya.

Suasana dalam ambulans dipenuhi hanya bunyi mesin pemantau dan esakan perlahan Hafiyy.
Ara tetap duduk di situ, menemani dalam diam.
Tanpa Hafiyy sedar, dalam hati Ara sempat berdoa berkali-kali untuk Tok... dan untuk Hafiyy.

***

Ambulans berhenti betul-betul di hadapan Jabatan Kecemasan. Beberapa orang staf hospital sudah sedia menunggu dengan stretcher baharu. Mereka segera mengambil alih Tok yang tidak sedarkan diri, bergerak pantas ke dalam bangunan hospital.

Hafiyy turun dengan langkah terhuyung-hayang, mukanya pucat. Ara menyusul, matanya tak lepas dari sosok Tok yang dibawa masuk. Salah seorang jururawat memandang Hafiyy dengan suara tegas tetapi lembut,

"Adik boleh tunggu kat luar dulu ya. Kita akan stabilkan keadaan dia."

Hafiyy angguk perlahan. Kakinya terasa seolah hilang tulang. Dia duduk di kerusi biru di ruang menunggu, memeluk tubuh sendiri, tunduk diam.
Ara, walaupun kekok, tetap setia duduk di sebelah, memandang Hafiyy dengan hati yang berkecai.

Masa berlalu terasa terlalu perlahan.
Setiap kali terdengar bunyi tapak kaki doktor atau pintu kecemasan terbuka, Hafiyy akan tersentak.
Akhirnya, selepas hampir sejam, seorang doktor lelaki dalam lingkungan lewat 30-an mendekati mereka. Namanya tertera di tag nama: Dr. Haris.

Dr. Haris memandang Hafiyy dan Ara, kemudian bercakap perlahan tapi serius.

"Awak keluarga pesakit, ya?"

"Ha-ah... Saya cucu dia," suara Hafiyy bergetar.

Doktor mengangguk kecil, wajahnya kelihatan tenang, tapi ada riak berat.

"Okay. Buat masa ni, nenek awak dah stabil, tapi keadaannya sangat kritikal. Kami terpaksa pindahkan dia ke ICU untuk pemantauan ketat."

Hafiyy menggenggam erat jari-jarinya. Ara pun menahan nafas.

"Kami dapati nenek awak mengalami stroke — lebih spesifik, ischemic stroke. Bahagian otak yang mengawal pergerakan badan dia, kemungkinan besar dah terjejas. Berdasarkan simptom awal dan imbasan CT tadi, ada saluran darah ke otaknya tersumbat. Itu menyebabkan bekalan oksigen ke otak terhenti sekejap."

Dr. Haris berhenti sekejap, seolah-olah memberi ruang untuk Hafiyy hadam maklumat itu. Tapi Hafiyy hanya menunduk, tangan menutup mulut, menahan diri daripada teresak.

"Selain tu," doktor menyambung dengan nada lebih perlahan, "kami dapati jantung nenek awak pun agak lemah. Ada tanda-tanda cardiomyopathy ringan — otot jantung dia dah menipis dan kurang kuat mengepam darah. Sebab tu tekanan darah dia rendah sangat masa sampai sini tadi."

Ara menggenggam hujung bajunya sendiri. Setiap patah kata doktor terasa menambahkan beban di hati mereka.

"Sekarang, dia dalam mesin bantuan pernafasan. Kami juga masukkan ubat cair darah untuk bantu larutkan bekuan dalam otak tu... tapi kesannya bergantung pada berapa cepat badan dia respon."

Hafiyy mengangkat muka sedikit, matanya merah.
"Doktor... Dia boleh sedar balik ke?"

Dr. Haris menghela nafas panjang.
"Kami buat yang terbaik. Tapi untuk kes macam ni... risiko lumpuh, hilang upaya bercakap, atau memori terjejas sangat tinggi. Kami akan pantau setiap jam, terutama 24 jam pertama ni. Kalau otak dia bengkak terlalu teruk atau ada pendarahan, keadaannya mungkin lebih kritikal..."

Hafiyy tak tahan lagi. Air mata jatuh laju di pipi.
Ara, dengan hati-hati, memegang bahu Hafiyy. Dia sendiri rasa dadanya bagai ditindih batu besar.

Dr. Haris meletakkan tangan di bahu Hafiyy, sekadar memberi sedikit kekuatan.

"Buat masa ni, awak boleh tunggu di ruang ICU. Kalau ada perkembangan, kami akan update."

Hafiyy hanya mengangguk lemah. Ara membantu dia bangun, dan bersama-sama mereka berjalan perlahan ke arah Unit Rawatan Rapi (ICU), meninggalkan ruang kecemasan yang terasa begitu dingin dan suram.

Dalam hati Ara, dia berdoa tanpa henti.
Semoga Tok kembali sedar.
Semoga Hafiyy kuat menghadapi apa saja yang bakal mendatang.

***

Petang itu, di ruang tamu yang luas dan tenang, Aisya membantu Puan Mariam menyusun beberapa barangan dalam bakul kecil — kain telekung, kitab kecil, dan sejadah lipat. Puan Mariam duduk di atas sofa, sibuk memeriksa satu persatu barang yang mahu dibawa.

"Aisya, hujung minggu ni umi ada jemputan dekat Kampung Seri Bayu. Ada ceramah lepas Maghrib kat masjid sana. Isteri imam masjid yang ajak... katanya, nak buat program motivasi keluarga." ujar Puan Mariam, menyelitkan sejadah terakhir ke dalam bakul.

Aisya, yang tengah melipat sehelai kain putih, angkat kepala. Dia tersenyum kecil. "Kampung Seri Bayu? Lama betul kita tak ke sana kan, umi?"

Puan Mariam mengangguk perlahan, wajahnya sedikit sayu. "Yalah... sejak Mak Mah meninggal, umi pun jarang-jarang singgah sana."

Aisya termenung sekejap.
"Rindu juga dengan suasana kampung tu... rindukan Mak Mah." Dia mengeluh perlahan.
"Ingat lagi dulu Mak Mah jaga Aisya macam cucu dia sendiri masa umi dan abi sibuk kerja dulu."

Puan Mariam tersenyum nipis, mengenang kenangan lama.
"Mak Mah tu tak pernah berkira. Walaupun dia cuma pembantu rumah kita, kasih sayang dia ikhlas. Sampai ke hari ni umi masih terhutang budi pada arwah."

Aisya membetulkan duduk, melipat tangan di atas riba. "Nanti kalau ada rezeki, Aisya nak ikut umi pergi kampung tu. Ziarah kubur Mak Mah sama-sama. Ajak Pak Mat sekali."

Puan Mariam tersenyum manis, matanya berkaca sedikit. "InshaAllah, sayang. Kalau ada kelapangan nanti, kita pergi sama-sama, ya."

Tiba-tiba Puan Mariam teringat sesuatu.
"Eh, kiranya minggu ni Aisya tak ikut sekali ke? Pergi Kampung Seri Bayu tu?"

Aisya geleng perlahan, nada suara sedikit kesal.
"Tak dapat, umi... hujung minggu ni Aisya ada seminar dekat sekolah. Lepas tu sambung terus solat hajat lepas solat Isyak. Wajib hadir, cikgu dah pesan."

Puan Mariam angguk memahami.
"Tak apa lah, kalau macam tu kali ni umi pergi dulu. InshaAllah nanti umi doakan untuk Aisya sekali masa kat masjid nanti."

Aisya ketawa kecil, menunduk malu.
"Terima kasih, umi... Aisya pun doakan umi dipermudahkan urusan ceramah nanti."

Puan Mariam mengusap kepala Aisya penuh kasih sayang.

"Kalau ada rezeki, kita rancang lagi. Sama-sama pergi. Takkan ke mana pun tempat tu. Kubur Mak Mah sentiasa ada, tunggu doa dan ziarah kita," balas Puan Mariam perlahan, suaranya sarat dengan makna.

Aisya mengangguk, hatinya terasa lapang.
Meskipun tidak dapat bersama kali ini, dia tahu, ada banyak masa lain nanti. Masa yang lebih bermakna, jika Allah izinkan

***

Loceng panjang tamat sesi sekolah bergema di udara. Ara segera mengemaskan bukunya, tidak seperti biasa yang sering ke surau sebelum pulang. Hari ini, fikirannya hanya tertumpu pada satu tempat — hospital. Tok masih di sana, dan dia harus segera ke sana.

Langkahnya laju menuruni tangga. Hafiyy tiada di sekolah hari ini, menjaga Tok yang masih belum sedarkan diri.

Ketika Ara hampir tiba di pagar sekolah, dia berselisih dengan satu susuk yang sangat dikenalinya — Rahayu.

Mereka bertentangan jalan, hanya beberapa inci memisahkan. Pandangan mata bertembung tajam. Kedua-duanya saling menjeling, tiada sapaan, hanya pandangan dingin. Namun langkah Ara yang tenang itu seakan mencurah minyak ke api Ayu.

"Woi! Dasar perempuan tak tahu malu!" jerit Ayu dari belakang, suaranya cukup kuat hingga beberapa pelajar lain mula memandang.

Ara mengetap gigi, menahan sabar. Dia teruskan langkah, memaksa dirinya untuk tidak berpaling.
Tak guna layan, tak guna.

Tapi Ayu tidak berhenti di situ. Makin galak mulutnya memaki.
"Kau ingat kau baik sangat ke hah? Penuh dosa nak tunjuk baik lah?! Orang macam kau ni patut disumbat dalam longkang! Dasar tak sedar diri! Dah busuk, berkulat, masih nak tunjuk suci konon!"

Langkah Ara terhenti. Tangannya mengepal kuat di sisi tubuh. Nafasnya berat, dadanya bergelora.

Perlahan, dia berpaling. Pandangan matanya menusuk ke arah Ayu — dingin, tajam, menikam.

Namun bibirnya tetap terkunci. Tiada satu perkataan pun meluncur.

Melihatkan Ara hanya diam, Ayu melangkah selangkah mendekat. Senyuman sinis terukir di bibirnya.

"Apa? Bisu ke? Suara dah takda? Dah serang orang, pukul anak orang, sekarang nak tunjuk insaf pulak? Menyampah aku tengok muka kau. Patutlah mak bapak kau pun benci kau."

Degup jantung Ara bagai terhenti sesaat. Wajahnya menegang. Ayat itu — menikam jauh ke dalam hatinya.

Saat itulah satu suara garau memecah udara.

"Hoi!"

Ayu tersentak, matanya membulat. Dia berpaling dan melihat Wahyun berdiri di sisi lorong, memandangnya dengan pandangan yang cukup tajam dan serius.

"Sedap mulut kau maki orang ya? Tak ada benda lain ke nak buat selain kutuk orang tepi jalan?" suara Wahyun tenang, tapi nada tajamnya bagaikan pisau menghiris.

Ayu menggigil kecil, menahan malu bercampur marah. Wajahnya merah padam.

"Orang yang hatinya kotor macam kau... selalunya maki orang lain sebab nak tutup busuk diri sendiri."

Ayu kaku, terkedu tak tahu nak jawab. Dia menggenggam tangan menahan marah, tapi dalam masa yang sama malu kerana ditegur di hadapan pelajar lain.

Suara Wahyun makin dingin, mata tajam menikam.

Wahyun tak menunggu balasan. Dia terus berjalan menghampiri Ara yang masih berdiri di situ, memerhati sepi.

"Okey?" Wahyun bertanya perlahan.

Ara hanya angguk kecil. Mereka mula berjalan sama-sama ke arah luar pagar sekolah, meninggalkan Ayu yang tergamam, memandang dengan mata penuh benci.

Beberapa langkah berjalan dalam diam, Wahyun memecah sunyi.

"Biasa ke dia macam tu? Suka maki hamun orang?"

Ara menarik nafas panjang, memandang ke jalan di hadapan. "Tu Ayu. Classmate saya. Dulu kitorang kawan baik."

"Serius? Kawan baik? Nampak macam musuh dunia akhirat," balas Wahyun sambil mengerutkan dahi.

Ara tersenyum hambar. Ada pahit yang disimpan dalam senyumannya. "Manusia berubah. Kadang-kadang, orang yang kita percaya itu lah jadi orang pertama yang tikam kita."

Wahyun hanya mengangguk, menghormati diam Ara yang terasa berat.

Beberapa saat kemudian, seolah teringat sesuatu, Wahyun bersuara lagi.

"Kejap, nak tanya. Ayu tu... dia kenal Shazwan ke?"

Ara tersentak. Dia berpaling sedikit ke arah Wahyun. "Kenal, yelah sebab sama sekolah kan. Kenapa awak tiba-tiba tanya macam tu?"

Wahyun mengangkat bahu santai, tapi nadanya serius. "Tak, sebab saya pernah nampak gambar dalam telefon dia sebelum ni. Ada gambar lelaki. Mula-mula saya tak cam. Tapi lepas fikir-fikir balik... baru teringat rupa-rupanya Shazwan dalam gambar tu."

Ara memandang Wahyun, matanya membulat sedikit. "Oh awak kenal Shazwan?"

Wahyun mengangguk. "Siapa je tak kenal? Lepas kes dia dibuang sekolah tahun lepas, kecoh satu sekolah. Banyak kesalahan dia buat. Fitnah orang, buli junior, kacau budak perempuan... Macam-macam."

Ara memandang ke depan semula, fikirannya bergelora.

"Macam mana awak kenal Shazwan?" soal Ara perlahan.

"Saya pernah nampak dia sekali masa ada kes gaduh dulu. Muka dia memang susah nak lupa. Masa nampak dalam telefon Ayu hari tu, saya mula-mula macam ragu. Tapi makin lama, makin saya yakin." jawab Wahyun tenang.

"Tapi bila fikir balik... tak sangka Ayu boleh kawan dengan orang macam tu." Wahyun menyeluk tangan ke dalam poket sambil berjalan perlahan.

Ara mengetap bibir. Ada sesuatu yang semakin jelas dalam kepalanya. Kalau Ayu memang ada kaitan dengan Shazwan... tak mustahil semua fitnah tu dirancang.

Dia teringat malam kejadian — rasa samar yang ada seseorang duduk di sebelahnya. Selama ini, dia sangkakan itu Ayu. Tapi... kalau sebenarnya orang itu Shazwan?

Fikiran Ara mula berputar ligat. Wajah Shazwan. Ayu. Kejadian malam itu. Segala bayangan mula datang bertubi-tubi.

Kepalanya terasa berat. Nafasnya sesak.

"Ara?" Wahyun menegur, menyedari perubahan wajah Ara.

Ara tersentak. Dia paksa bibirnya tersenyum kecil, walaupun terasa pahit. "Saya okey." jawabnya perlahan.

Tapi hakikatnya, tidak. Tidak okey langsung.

Kerana hari ini, dia mula sedar... luka yang pernah dia rasa — mungkin sebenarnya lebih dalam dari yang dia pernah sangkakan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience