Aku tak pasti kau masih ingat aku atau tidak. Tapi aku masih ingat setiap doa yang pernah aku bisikkan untuk kau. Setiap hela nafas yang aku selitkan namamu diam-diam.
Wahyun.
Nama yang tak pernah keluar dari bibirku... tapi tak pernah keluar juga dari hatiku. Aku tak tahu bila sebenarnya aku mula menunggu. Mungkin sejak kita mula berkawan. Atau sejak kau senyum pada aku buat kali pertama. Senyum yang aku tahu, bukan hanya untuk aku. Tapi aku tetap simpan. Seolah-olah itu cukup untuk aku hidup sehari lagi.
"Kalau nak dibandingkan kita, awak umpama bintang. Tampak indah namun sukar untuk digapai..."
Aku masih ingat ayat tu. Aku tulis dalam nota yang aku tak pernah hantar pada kau. Aku tak pernah rasa aku cukup cantik, cukup baik, cukup layak... untuk berjalan seiring dengan kau. Tapi aku tetap setia menunggu. Kerana pada aku, cinta itu bukan tentang memiliki. Cinta itu doa. Dan aku berdoa untuk kau setiap hari, dalam diam yang aku sendiri tak faham kenapa aku mampu tahan bertahun-tahun.
Tapi malam ni, entah kenapa... dada aku sesak. Tangan aku gementar. Seolah-olah aku tahu... aku perlu belajar melepaskan. Bukan kerana aku dah tak sayang. Tapi kerana aku perlu belajar menyayangi diri sendiri.
"Kalau Tuhan tak izinkan kau jadi milik aku... mungkin Tuhan nak aku jadi milikNya dahulu, sepenuhnya."
Dan kalau satu hari nanti, kau terbaca surat ni—walaupun aku tak pasti aku berani serahkan, aku cuma nak kau tahu...
Aku maafkan segalanya. Aku redha dengan takdir yang tak berpihak pada aku. Dan aku masih doakan kau. Seperti selalu.
Kerana mendoakanmu, adalah satu-satunya caraku memelukmu... dari jauh.
– Haura
10/04/2025
Share this novel