Ara duduk di tepi katil rawatan, tubuhnya masih lemah, tapi wajahnya kelihatan sedikit lebih segar berbanding tadi. Bekas makanan polisterin kosong terletak di sisi meja — nasi goreng yang dibelikan oleh guru bertugas tadi sudah habis dimakan perlahan-lahan.
Cikgu Sakinah berdiri di hadapannya dengan senyuman lembut. "Cikgu dah minta pihak kantin bungkuskan nasi sebab kamu tak boleh makan ubat dengan perut kosong. Nasib baik sempat," katanya sambil menyentuh lengan Ara perlahan. "Lepas ni, jangan biarkan perut kosong lagi ya, Ara. Ini bukan kali pertama cikgu dengar kamu macam ni."
Ara angguk perlahan, suaranya serak. "Terima kasih, cikgu..."
"Lain kali, walau sibuk macam mana pun, makan dulu. Faham?" Cikgu Sakinah memberi pesanan dengan tegas tapi penuh kasih.
"Faham, cikgu." Ara tunduk. Wajahnya merah malu, sedikit terselit rasa bersalah.
"Dah boleh balik ke cikgu?" tanya Hafiyy sambil menghampiri.
Cikgu Sakinah angguk. "Boleh, cuma jangan terus balik jalan kaki atau naik basikal. Kuatkan diri dulu. Ara dah makan, jadi lepas ni kalau rasa pening lagi, terus bagitahu."
"InsyaAllah cikgu," Hafiyy senyum sambil pandang Ara seketika.
Ara perlahan-lahan turun dari katil. Hafiyy hulurkan tangan untuk bantu, tapi Ara hanya ambil begnya dan mengangguk tanda dia boleh berjalan sendiri.
Mereka pun keluar perlahan-lahan dari bilik rawatan. Suasana kawasan sekitar mulai lengang. Hanya tinggal beberapa guru yang masih menyelesaikan kerja petang.
***
Sabtu pagi, langit cerah dan angin sejuk membelai pipi. Ara melangkah bersama Hafiyy di antara deretan kedai di pekan kecil. Tujuannya cuma satu—beli buku rujukan matematik.
Ara berjalan laju, muka fokus macam tengah misi penting. Hafiyy ikut dari belakang sambil tangan seluk poket.
Mereka masuk ke kedai buku. Deretan rak tersusun kemas, bau buku baru memenuhi ruang. Ara terus ke seksyen buku rujukan. Tak sampai dua minit, dia dah capai buku yang dicari.
Ara bergegas ke kaunter, tapi langkahnya terhenti bila matanya tertangkap pada bahagian rak buku agama di hujung lorong. Seolah ada magnet menariknya ke situ.
Tanpa sedar, dia berdiri di situ, lama. Membelek satu demi satu buku—tajuk-tajuk yang tenang tapi menggugah hati. Hati Yang Gelap, Cahaya Yang Dicari. Jalan Pulang. Pelukis Takdir.
Dari jauh, Hafiyy memerhati. Dia berjalan perlahan-lahan, berdiri dekat belakang Ara.
"Kalau kau nak beli, beli je lah. Tenung macam nak tunggu buku tu jawab balik." tegurnya perlahan sambil berdiri di belakang Ara.
Ara tak toleh. "Aku bukan macam kau. Semua benda kau boleh ambik macam tak fikir panjang."
"Wah, sindiran tajam! Macam pernah kenal gaya ni," Hafiyy ketawa perlahan. "Ara is back! Ara yang dulu—tapi dalam versi yang dah belajar sikit pasal sabar. Hehehe."
Ara geleng kepala. "Kau memang suka bahan aku kan?"
"Aku rindu kot. Dulu kau ni la queen of sindiran. Tapi sekarang, ada tone lembut sikit. Matured la konon." Balas Hafiyy.
Ara sengih sikit, tapi mata masih tertumpu pada buku. Tangannya ambil satu, baca belakang. Letak balik. Ambil satu lagi. Letak balik.
"Masalahnya sekarang aku bingung. Semua macam aku nak. Tapi aku tak tahu mana satu. Sebab aku rasa aku serba-serbi tak tahu." katanya perlahan, suara dia dah tak sarkastik seperti tadi.
Hafiyy diam sejenak. "Pilih yang kau rasa paling dekat dengan diri kau. Yang bila kau baca, kau rasa macam... dia cakap dengan hati kau."
Ara terdiam. Kata-kata Hafiyy bergema di fikirannya. Perlahan dia membelek semula satu buku, jemarinya berhenti pada tajuk 'Jalan Pulang'. Dia baca blurb belakang buku itu. Dadanya berombak perlahan.
"Aku rasa... ni."
Ara bawa buku-buku itu ke kaunter.
Namun, baru saja Ara ingin keluarkan dompetnya dari beg, Hafiyy tiba-tiba menghulur duit pada juruwang di kaunter tersebut. "Nah kak."
Ara terkejut. "Eh! Tak kak, saya yang bayar. Sibuklah kau!" Sambil sikunya cuba untuk menolak Hafiyy.
Juruwang tersebut pandang mereka bergilir-gilir, serba salah.
Hafiyy tahan tangan Ara. "Dah bayar dah. Kira hadiah. Takyah nak kecoh-kecoh."
"Hadiah kepala otak kau. Aku tak nak terhutang budi dengan sesiapa!"
Ara cuba halang tangan Hafiyy. Tapi juruwang tersebut sudah pun terlebih dahulu ambil duit Hafiyy dan teruskan proses pembayaran. Hafiyy senyum puas.
Ara cubit pinggang Hafiyy. "Geramnya! Siapa suruh kau menyibuk?!"
"Aduh! Sakitlah!" Hafiyy mengaduh kecil, sambil senyum tak hilang-hilang.
Keluar saja dari kedai, Ara terus membebel.
"Tahu la kau tu anak orang kaya, tapi tak payahlah nak bayarkan barang keperluan aku. Aku boleh bayar sendiri."
"Eh, excuse me Cik Haura. For your information, aku tak kaya lah. Yang kaya tu mak bapak aku," jawab Hafiyy selamba.
Ara menjeling. "Geramnya aku tengok muka kau ni."
"Kalau geram sangat, belanja aku cendol. Tapi cendol special. Yang ada pulut, jagung, aiskrim satu scoop."
Ara pandang Hafiyy lama-lama. "Macam tu pulak. Eee pelik-pelik la mamat ni."
Hafiyy sengih. "Pelik yang buat hari kau tak bosan, kan?"
Ara terus berjalan laju ke depan. "Arghh malas nak layan kau."
Hafiyy ketawa kuat, kemudian berlari perlahan mengejar. "Araaa, jangan lari! Aku tak sempat pilih topping cendol lagi!"
***
Warung cendol bawah pokok besar itu sentiasa penuh hujung minggu. Angin panas diredakan dengan bayu sepoi-sepoi. Kipas siling usang berpusing perlahan. Di meja plastik warna hijau lumut, Ara dan Hafiyy duduk berhadapan.
Ara tengah sedut cendol biasa, manakala Hafiyy sibuk betul dengan mangkuk cendolnya yang bermacam-macam topping.
"Wehh tengok ni," Hafiyy angkat sudu penuh dengan cendol, jagung, pulut, kacang merah, dan seketul aiskrim vanilla.
"Aku rasa ni antara tujuh keajaiban dunia yang patut masuk buku sejarah," katanya bangga.
Ara angkat kening. "Cendol pun nak masuk buku sejarah?"
"Haruslah! Oh by the way, terima kasih ye Cik Haura, sebab sudi belanja cendol special ni. Aku tak sangka hari ni kau terbuka hati nak sponsor aku."
Ara sempat jeling. "Sponsor kepala hotak kau. Aku belanja sebab kau dah bayarkan buku tadi. Aku memang dah agak dah, kau ni ada je onar kau nak buat kan."
Hafiyy tergelak.
Ara senyum sikit sambil sambung sedut cendol. Tapi mata dia tiba-tiba jadi kosong, pandang jauh melepasi jalan pekan.
"Haaaa sudah... dah start dah tu," Hafiyy bersuara, angkat kepala tengok wajah Ara. "Ara... Oi Cik Haura... Tuan puteri yg kuat termenung ke negara entah mana."
Ara geleng perlahan. "Aku termenung, kau menyampuk. Aku jawab kang, kau bahan. Aku diam, kau kacau. Semua kau nak kacau eh."
Hafiyy sengih.
Ara letak sudu dalam mangkuk. Nafas ditarik perlahan.
"Hafiyy..." Dia pandang Hafiyy dalam-dalam.
"Kau rasa kan, kalau satu hari nanti... aku berubah jadi orang lain, kau masih nak kawan dengan aku ke?"
Hafiyy diam. Lama. Dia letak sudu. Tengok Ara tanpa senyum kali ni.
"Maksud kau... berubah macam mana?" suara Hafiyy perlahan.
Ara tunduk. "Aku pun tak tahu. Mungkin jadi lebih baik... atau lebih teruk. Mungkin satu hari nanti kau jumpa aku, tapi aku dah tak sama macam sekarang. Cara aku cakap, cara aku layan orang, cara aku fikir. Mungkin kau dah tak kenal pun aku."
Hafiyy ambil masa sebelum jawab.
"Aku rasa... semua orang akan berubah, Ara. Masa akan ubah kita. Pengalaman, ujian, kesilapan... semua tu membentuk siapa kita hari esok. Tapi kau tahu apa yang aku percaya?"
Ara angkat kepala. "Apa?"
"Kalau seseorang tu ikhlas nak ada dalam hidup kau, dia akan terima versi kau yang baru... walaupun versi tu penuh luka, penuh silap, dah berubah. Sebab dalam banyak versi tu, tetap ada diri kau yang sebenar."
Ara terdiam. Wajahnya lembut.
"Kalau kau berubah sebab nak jadi lebih baik... aku akan sokong. Kalau kau berubah sebab terluka... aku akan tunggu kau sembuh. Kalau kau berubah dan hilang arah... aku akan cari jalan bawak kau balik."
Ara genggam sudu dalam tangan. "Dan... kalau satu hari nanti... aku hilang?"
Hafiyy senyum kecil. "Hilang macam mana? Hilang macam lesap kat dalam hutan kena sorok bunian ke? Kau jangan buat aku report polis."
Ara tarik nafas pendek. "Maksud aku... kalau satu hari nanti aku tiba-tiba hilang dari hidup semua orang. Senyap. Tanpa jejak. Agak-agak... ada tak orang yang cari aku?"
Hafiyy renung Ara. Nada dia serius.
"Aku akan cari. Mungkin lambat. Mungkin aku tak tahu kau ke mana. Tapi aku akan cari. Sebab orang yang pernah buat kita rasa hidup... susah nak lupa. Orang yang pernah buat kita gelak, menangis, gaduh... takkan hilang macam tu je. Kalau orang lain tak cari... aku tetap akan cari."
Ara tunduk. Lama mereka diam, cuma bunyi hirupan cendol dari meja sebelah yang kedengaran.
Lepas beberapa minit, Hafiyy bersuara semula.
"Eh... hujung bulan ni mama dengan papa aku balik sini kejap. Lawat Tok."
Ara angguk. "Ooo... Lama tak nampak mak ayah kau. Rasanya last diorang datang tahun lepas kan?"
"Diorang sibuk. Tapi haritu mama call, dia cakap lepas aku habis SPM nanti, diorang cadang nak bawak aku sambung belajar kat Amerika."
Ara terus toleh. "Hah?! Amerika??"
Hafiyy angguk. "Yup. Kat sana senang sikit dapat duduk dekat dengan diorang. Senang untuk diorang tengok-tengokkan aku. Mama nak bawak Tok sekali, sebab tak nak Tok duduk sorang-sorang kat rumah tu. Tapi... Tok macam berat hati la. Kau tahu la orang tua. Rumah tu penuh kenangan dia."
Ara senyap. "Lepas ni... susah la aku nak jumpa kau."
Hafiyy senyum. "Mana ada. Teknologi kan ada."
Ara buat muka. "Eleh. Kau nanti dah dok tempat orang, cakap Melayu pun lupa. Mesti kau bunyi macam 'Hey dude, I don't remember you. Who's Ara?'"
Hafiyy tergelak. "Wey jangan fitnah aku. Aku nak pergi belajar, bukan buang memori."
Ara sengih. "Yakin sangat."
Hafiyy tunduk sikit. Suara dia perlahan.
"Tapi Ara... kalau aku pergi jauh, tak bermakna aku pergi dari hidup kau. Kita semua akan sampai satu masa kena pilih jalan masing-masing. Tapi ada sesetengah orang... walau jauh mana pun dia pergi, dia tetap tinggal kat tempat yang sama—dalam ingatan orang lain."
Ara terdiam.
Hafiyy sambung, "Macam kau. Aku tak janji aku boleh selalu ada, tapi aku janji... aku akan ingat kau."
Dan untuk pertama kali dalam hari tu, Ara tak balas dengan sindiran.
Dia hanya senyum. Perlahan. Tapi mata dia kelihatan berkaca.
***
Malam di rumah kampung itu tak pernah terlalu sunyi.
TV di ruang tamu masih berbunyi perlahan—iklan ubat sendi. Puan Hajar masih di dapur, sedang mencuci periuk belanga yang tak sempat dicuci petang tadi. Fia pula masih tak habis-habis dengan kerja sekolahnya di meja makan. Atul baring tengok YouTube di telefon, earphone disumbat di telinga.
Dan Ara—duduk diam di hujung katil, sambil pandang lantai.
Dia dah ambil wuduk. Dalam bilik air tadi, dia bertekad. Dia rasa nak solat malam ni. Entah kenapa rasa tu datang, tapi dia tahu... dia nak buat.
Tapi sekarang, kaki dia kaku.
Dia jeling jam dinding. Dah pukul 9:38 malam.
'Kenapa aku rasa macam ni...?' bisik hati kecil Ara.
Solat bukan jenayah. Solat bukan salah. Tapi entah kenapa, dia malu. Bukan malu dengan Tuhan. Tapi malu dengan manusia.
Dia tak nak orang tahu dia solat. Dia tak nak dinilai. Dia takut... kalau satu hari nanti dia gagal jadi baik, orang akan ungkit yang dia pernah cuba.
Benda baik. Solat. Nak solat. Tapi... dia rasa macam nak sorok dari semua orang.
Dia rasa seolah-olah kalau keluarganya tahu dia nak solat, mereka akan pandang pelik. Atau mungkin, mereka akan diam... tapi pandang dengan pandangan yang buat dia rasa macam orang hipokrit.
Sebab selama ni, dia bukan jenis "baik". Dia bukan yang rajin ke surau, bukan yang pakai tudung elok-elok. Bukan yang ada imej alim.
Dia takut kalau orang mula tengok dia dengan harapan—dan satu hari nanti bila dia jatuh balik, orang akan cakap: "Tu la... aku dah agak."
Dia tak nak semua tu.
Dia cuma nak mula... dalam senyap.
Tapi semua orang masih belum tidur. Ruang tamu tak kosong.
Dan lagi satu...
Telekung pun tak ada.
Hari tu pun dia pinjam senyap-senyap telekung Atul. Letak balik cepat-cepat sebelum Atul perasan. Itu pun nasib baik tak kantoi.
Ara tarik nafas panjang.
Dia baring semula atas katil, tapi mata tak pejam. Dada terasa sesak, macam ada sesuatu yang belum dilepaskan. Dia pejam mata rapat-rapat, sambil memeluk bantal peluk kecilnya.
Akhirnya... lena datang juga. Dalam hati yang bercampur-campur. Dalam fikiran yang masih bergelut antara takut dinilai dan harapan untuk berubah.
***
Share this novel