Pagi itu, langit cerah dan angin sepoi-sepoi mengiringi langkah Ara menuju ke kelas. Suasana sekolah masih belum terlalu sibuk. Derapan tapak kasutnya bergema perlahan atas lantai simen.
Tiba-tiba—
"Assalaamualaikum warahmatullahhh!!"
Satu suara kuat dan mengejut bergema betul-betul di telinga Ara.
"Hoi!" Ara terlompat kecil, tangan spontan menampar bahu yang empunya suara. "Hafiyy!! Tak boleh ke bagi salam elok-elok sikit?!"
Hafiyy mengaduh sambil pegang bahunya, "Sakitlah! Kau ni suka betul pukul orang, ingat bahu ni punching bag ke?!"
"Padan muka," Ara menjeling geram sambil tarik nafas cuba bertenang. "Sekali lagi buat macam tu, aku hempuk dua kali!"
"Dah la tak jawab salam..." Hafiyy mencebik sambil merengek manja.
Ara mendengus. "Wa'alaikumussalam warahmatullahhiwabarakaatuhhhh!" Jawabnya kuat-kuat sampai bergema di laluan koridor.
Tak sedar, dari arah belakang, ada sepasang mata yang memerhati sejak tadi.
"Saya tak sangka awak ni bising jugak orangnya." Suara itu tenang, tapi cukup buatkan Ara terkejut serta-merta.
Serentak, Ara dan Hafiyy toleh ke belakang.
Wahyun.
Berdiri tak jauh di belakang mereka sambil tersenyum kecil, matanya terhibur melihat gelagat dua sahabat itu.
Ara jadi terkedu. Jelas dia tak sangka Wahyun melihat semua aksi dan gurauan dia bersama Hafiyy tadi. Wajahnya cepat-cepat berubah merah.
"Sejak bila awak ada kat situ?" tanya Ara sambil pandang Wahyun, cuba kawal nada agar tak kedengaran terlalu terkejut.
"Lama dah. Tapi kamu berdua tu yang tak perasan. Bising sangat," jawab Wahyun sambil ketawa kecil.
Ara terus tunduk, rasa malu mula menjalar ke pipinya.
Hafiyy yang tak lepas peluang menyambung, "Ara ni kalau nak tahu, dia ni queen of menyindir, mencubit, pukul orang, haa semua pakej ada. Kau kena hati-hati sikit kalau nak kawan dengan dia. Luar je nampak sopan, dalam... garang macam singa lapar."
"Woi!" Ara angkat tangan nak menampar Hafiyy lagi.
Belum sempat kena, Hafiyy dah bersuara, "Haa tengok! Belum sempat aku habis ayat, tangan tu dah naik! Betul tak aku cakap?"
Ara berhenti sambil menjeling Hafiyy, tapi sempat jeling Wahyun juga — masih dengan senyuman di bibir, matanya jelas terhibur.
Namun, tak lama kemudian, suara seorang guru memanggil Wahyun dari arah bangunan pejabat sekolah. Wahyun menoleh dan mengangkat tangan tanda faham.
"Saya pergi dulu ya." Wahyun sempat senyum ke arah mereka sebelum berjalan pergi.
Ara hanya memerhati langkah Wahyun dari jauh, pandangannya tak berkelip sehinggalah bayang lelaki itu hilang di balik bangunan.
"Amboiii..." suara Hafiyy datang dari sisi. "Mata tu tak lepas langsung pandang Wahyun tadi. Kau ni jangan cakap dah mula syok kat dia?"
Ara tersentak. "Hafiyy!!"
"Aku tanya je," Hafiyy buat muka menyakat sambil jarinya menuding-nuding ke arah Ara. "Cepat mengaku. Dahi kau pun macam ada love shape sikit tadi."
Ara tepis tangan Hafiyy. "Ishh, mana ada! Orang tengok pun salah ke?!"
"Hmmmm," Hafiyy buat muka penuh syak wasangka. "Gaya kau tadi... suspicious."
Ara malas nak layan. "Tak kuasa aku nak layan kau pagi-pagi ni." Dia terus melangkah ke depan.
"Alaa jangan merajuk, Araaa!" Hafiyy mengekori sambil berlari kecil, masih menyakat. "Kalau aku tak kacau kau, siapa lagi nak tolong buat kau senyum hari-hari?"
***
Waktu rehat pagi itu seperti biasa, Ara melangkah masuk ke perpustakaan. Derap langkahnya perlahan, menyusuri lorong rak-rak buku sebelum berhenti di sudut kegemarannya—meja di hujung, menghadap tingkap yang memperlihatkan pokok-pokok rimbun di luar.
Dia duduk perlahan dan mengeluarkan buku yang baru dibelinya tempoh hari—Jalan Pulang. Buku yang sarat dengan kata-kata motivasi, nasihat jiwa dan kisah pencarian makna hidup.
Buku pemberian Aisya yang biasa dibacanya diletakkan saja di atas meja hari ini.
Tangannya menyelak halaman, dan matanya terhenti pada satu ayat:
"Berubah bukan soal mampu atau tidak. Ia soal mahu. Bila hati benar-benar mahu, seluruh dunia pun tak mampu menghalang. Tapi kalau hati belum mahu, walau satu dunia memaksa, perubahan takkan terjadi."
Ara terdiam. Ayat itu terasa seperti mengetuk hatinya sendiri.
Tiba-tiba—
"Boleh saya duduk sini?"
Satu suara datang dari sisi, membuatkan Ara sedikit terkejut. Dia menoleh pantas.
"Wahyun?!" Suaranya naik sedikit. "Bila sampai?"
"Baru je," jawab Wahyun tenang, sambil senyum kecil. "Tapi awak terlalu khusyuk baca buku sampai tak perasan saya berdiri kat sini."
"Oh..." Ara teragak-agak.
Wahyun memandang ke sekeliling sejenak sebelum bertanya, "Tak apa ke saya duduk sini?"
Ara mengangguk. "Duduklah."
Wahyun menarik kerusi dan duduk, tetapi tetap menjaga jarak. Tangannya bersilang di atas meja, matanya merenung sejenak buku di tangan Ara sebelum kembali pada wajah Ara.
"Waktu rehat memang tak makan ke?" soalnya tiba-tiba.
Ara geleng. "Malas."
"Malas makan?" Wahyun angkat kening.
Ara ketawa kecil. "Bukan malas makan. Malas nak beratur panjang dekat kantin. Sesak, bising. Saya lebih suka tempat macam ni. Sunyi, tenang, tak pening kepala."
Wahyun angguk. "Saya pun."
Suasana menjadi sedikit sunyi buat beberapa detik. Ara tunduk, sesekali matanya mencuri pandang ke arah Wahyun. Dia masih belum biasa berbual rapat dengan lelaki itu.
"Awak tak selesa dengan saya ke?" tanya Wahyun tiba-tiba.
Ara angkat muka, sedikit terkejut.
"Eh? Taklah. Bukan tak selesa... cuma tak biasa."
"Tak biasa?"
"Ya... Yelah, baru kenal. Lagipun awak kan orang penting sekolah. Ketua pengawas. Saya ni bukan siapa-siapa pun."
Wahyun ketawa kecil. "Hakikatnya kita semua sama je. Pangkat, gelaran, semua tu tak penting sangat. Di sisi Tuhan, semua tu tak bawa apa-apa beza pun. Yang layak menilai kita cuma Dia."
Ara tunduk. Senyuman kecil mula terukir di bibirnya. Dalam hati, dia mengaku... dia silap menilai Wahyun. Dahulu, lelaki itu hanya nampak seperti mamat poyo yang terlalu sempurna—tapi sekarang, sedikit demi sedikit, wajah sebenar Wahyun yang sebenar mula terlihat.
Pandangan Wahyun jatuh pada buku di atas meja—buku pemberian Aisya.
Ada sesuatu dalam pandangan itu. Seolah-olah buku itu menyimpan lebih dari sekadar tulisan.
"Boleh saya tengok buku ni sekejap?" Wahyun tunjuk ke arah buku Aisya.
Ara angguk. "Tengoklah."
Wahyun mengambilnya, menyelak perlahan. Ada kesan kenal dalam wajahnya—seolah-olah dia tahu buku itu lebih daripada sekadar kulit luar.
Ara pula tersentak sedikit. Ingatannya melayang ke insiden pertama kali mereka bertemu—ketika buku itu ditinggalnya di atas meja perpustakaan dan Wahyun sedang memegangnya.
Dia mahu bertanya. Baru hendak membuka mulut...
Tapi tak jadi. Hanya separuh nafas keluar sebelum dia menarik balik kata-kata.
Wahyun perasan. "Awak nak cakap apa-apa ke tadi?"
Ara geleng cepat-cepat. "Tak ada apalah."
Wahyun angkat kening sedikit.
"Buku ni... menarik," katanya sambil menyelak lagi. "Awak beli kat mana?"
Ara diam seketika. "Saya tak beli. Ada orang bagi."
Wahyun terhenti. Matanya kembali pada buku. Jantungnya terasa berdegup sedikit laju. Dia tahu tulisan tangan itu. Dia kenal benar dengan buku ini. Tapi dia perlukan kepastian...
"Siapa?" tanya Wahyun perlahan.
Ara sedikit bingung. Kenapa Wahyun nampak macam... betul-betul berminat?
"Seorang hamba Allah yang sangat baik. Dia bagi buku ni dekat saya. Sampai sekarang saya sendiri tak tahu macam mana nak pulangkan balik."
"Tak tahu nak pulangkan?"
Ara angguk. "Saya tak kenal pun siapa dia."
Wahyun terdiam lama. Hatinya bergema dengan pelbagai rasa. Tertanya-tanya... kenapa Ara tak tahu? Bukankah itu—
Dia tertunduk sedikit, termenung. Ara pula hanya memerhati gelagatnya.
"Kenapa? Awak nak baca ke?" Ara akhirnya bersuara.
"Boleh ke saya baca?" tanya Wahyun kembali, matanya redup.
Ara tersenyum. "Kalau awak nak baca, bacalah. Tapi nanti pulangkan balik, ya."
Wahyun hanya angguk sambil senyum. Tapi belum sempat dia membuka halaman baru—
Ara bersuara perlahan, "Buku tu... special bagi saya. Bukan senang saya nak bagi sesiapa pinjam. Tapi sebab saya percaya awak... saya bagi."
"Special?" Wahyun ulang dalam hati. Apa sebenarnya yang menjadikan buku ini begitu penting bagi Ara? Dan siapa pula yang menghadiahkannya?
Loceng berbunyi memecah sunyi. Menandakan tamat waktu rehat.
Wahyun terus bangun untuk kembali ke kelas.
"Nanti jangan melencong ke surau pula lepas ni. Terus masuk kelas." katanya sambil senyum nakal.
Ara tergelak kecil. "Iya lah, encik pengawas."
Wahyun berlalu, tapi dalam hatinya — terlalu banyak persoalan yang belum terjawab.
Dan bagi Ara, degupan jantungnya belum kembali tenang sejak Wahyun duduk di hadapannya tadi.
***
Share this novel