Mentari sudah tinggi, memanah cahaya ke bumi yang kian lengang. Suasana sekolah mulai sepi, hanya beberapa pelajar kelihatan melintasi pagar, membawa pulang penat dan cerita masing-masing.
Seperti biasa, Ara melangkah perlahan menuju ke surau sekolah. Itu sahaja satu-satunya ruang yang masih membuatkan hatinya mahu bersujud. Di rumah, dia jarang dapat menunaikan solat—bukan kerana tidak mahu, tapi kerana malu. Ditambah lagi dengan dia tidak mempunyai telekung sendiri.
Saat tiba di pintu surau perempuan, matanya terpandang pintu surau lelaki yang terbuka luas. Langkahnya terhenti. Dahi berkerut sedikit.
"Ada orang ke dalam tu?" bisik hatinya. Serba salah menyelinap ke dada. Dia enggan orang tahu dia berada di situ.
Namun belum sempat dia berpatah semula untuk keluar, satu suara yang dikenalinya menyapa.
"Ara ke?"
Ara tersentak kecil. Suara itu... Wahyun.
"Ya..." jawabnya perlahan, agak teragak-agak.
Baru dia teringat—Wahyun pernah memberitahu, setiap kali lepas habis waktu sekolah, dia akan singgah ke surau sebentar untuk menunaikan solat Zohor sebelum pulang.
"Nak solat Zohor ke?" tanya Wahyun dari dalam.
Ara mengangguk kecil. "Ya..." jawabnya jujur, walaupun suaranya kedengaran ragu.
"Kalau macam tu, kita boleh solat berjemaah sekali," ajak Wahyun tenang.
Ara terdiam. Kekok. Malu. Tapi entah mengapa, dia tidak pula rasa ragu dengan niat Wahyun. Cuma lidahnya kelu untuk memberi jawapan. Lalu apabila Wahyun memanggil namanya sekali lagi, Ara tersentak.
"Boleh," balasnya, hampir-hampir tidak terdengar.
"Pergilah ambil wuduk dulu," balas Wahyun dengan suara yang sama tenang dan tidak memaksa.
Ara melangkah masuk ke ruangan perempuan dan membiarkan pintu terbuka sedikit agar tidak mengundang fitnah. Dia tahu, situasi ini tidak biasa. Tapi dia percaya, niatnya benar. Suci.
Selesai mengambil wuduk, langkahnya sedikit perlahan saat mendengar suara bacaan al-Quran bergema dari seberang dinding pembahagi. Suara Wahyun. Lantunannya tenang, merdu, menyentuh hati. Seolah-olah tiap baris ayat yang dibaca itu mengetuk pintu jiwanya.
Ara berdiri seketika, kemudian perlahan-lahan mengintai dari balik tirai pemisah. Wahyun duduk bersila, membacakan al-Quran dengan penuh tertib. Pandangan Ara tertahan di situ. Jiwanya dibuai damai yang jarang dirasa.
Kenapa suara dia buat hati aku rasa macam ni...?
"Dah siap?" tegur Wahyun tiba-tiba.
Ara tersentak. Cepat-cepat dia mengundurkan diri dari celahan tirai dan menjawab, "Kejap," lalu menyarungkan telekung dengan cemas.
"Saya dah siap," ujarnya tidak lama kemudian.
Wahyun bangkit, memulakan iqamat dan menjadi imam. Solat Zohor mereka bermula. Dalam setiap gerakan dan lafaz takbir, hati Ara terasa lapang. Bahunya seakan tidak lagi seberat tadi.
Selesai memberi salam, Wahyun bangkit dan keluar seperti kebiasaannya. Ara pula bersiap sebelum menyusul keluar dari surau. Saat dia menuruni anak tangga, kelihatan Wahyun berdiri membelakangi sambil menggenggam buku—buku yang diberi oleh Aisya kepadanya.
Ara menghampiri perlahan.
"Dah baca ke?" soalnya, matanya tertancap pada buku di tangan Wahyun.
"Sikit lagi nak habis," balas Wahyun sambil tersenyum.
Ara mengangkat kening, sedikit terkejut. "Cepatnya?"
"Masa hari tu awak pengsan, saya sempat baca separuh," jawabnya tenang.
Ara hanya mengangguk kecil. Mereka mula melangkah pulang bersama menyusuri lorong kecil seperti biasa.
Tidak lama kemudian, Wahyun bersuara. "Boleh saya nak tanya satu soalan tapi... janji awak tak marah?"
Ara berpaling sedikit, keningnya berkerut. "Apa dia?"
Wahyun menunduk seketika, kemudian memandangnya. "Hari tu... kenapa awak menangis dekat perpustakaan?"
Ara terhenti. Pandangannya kosong seketika. Dia benar-benar tidak menjangka soalan itu.
"Saya... awak nampak ke?" soalnya perlahan, hampir-hampir seperti berbisik.
Wahyun angguk perlahan. "Lepas tu, awak tidur dekat surau. Tak masuk kelas sampai habis waktu sekolah, kan?"
Ara menoleh pantas ke arahnya, terkejut. Mukanya serta-merta merona merah. Dia betul-betul tidak tahu mahu sorok di mana wajahnya.
Melihat reaksi itu, Wahyun tersenyum kecil. "Maaf. Saya tak sengaja nampak. Tapi... saya rasa berat nak diamkan. Saya cuma nak tahu... awak okay ke?"
Ara menunduk. Malu. Suaranya tidak keluar. Tapi dia dapat rasakan dia tidak marah. Malah, rasa itu perlahan-lahan berubah menjadi sesuatu yang lebih lembut. Dihargai.
"Kalau awak tak nak cerita pun tak mengapa," sambung Wahyun lagi. "Saya faham."
Mereka kembali diam. Hanya bunyi tapak kasut yang mengiringi langkah mereka berdua.
Beberapa minit berlalu sebelum Ara membuka mulut.
"Awak pernah tak rasa... hilang arah dalam hidup?" suaranya perlahan. "Macam... semua yang kita buat rasa serba salah. Rasa semua tak kena. Sampai satu saat... kita sendiri tak kenal siapa diri kita sebenarnya. Dan... kita tak tahu macam mana nak terangkan semua tu pada orang lain."
Wahyun menoleh sejenak, kemudian pandangannya dilempar jauh ke depan.
"Pernah," jawabnya. "Dan waktu tu saya sedar, tak semua benda kita mampu selesaikan sendiri. Kadang-kadang... hati kita cuma perlukan satu ruang untuk lepaskan semuanya. Dengan Tuhan. Dan dengan seseorang yang sudi mendengar."
"Kadang-kadang itu boleh jadi tanda hati kita dah terlalu berat dengan sesuatu. Kadang kita fikir kita kuat, tapi sebenarnya kita cuma pandai simpan. Sedangkan Tuhan tak pernah suruh kita tanggung semua tu sorang-sorang. Sebab tu... Dia bagi kita peluang untuk kembali. Bila semua pintu tertutup, hanya pintu Dia yang kekal terbuka."
Kata-katanya menampar lembut hati Ara.
Dia terhenti melangkah. Matanya memandang Wahyun yang masih berjalan ke depan.
"Kenapa?" Wahyun berpaling, hairan.
Ara senyum tipis. "Saya rasa macam tengah bercakap dengan Hafiyy."
"Hafiyy?"
Ara angguk kecil. "Pakar motivasi nombor satu saya. Tapi... nampaknya sekarang dia dah ada pesaing."
Wahyun tergelak kecil. "Tak sangka awak ni pandai melawak jugak."
Ara membalas dengan senyum yang lebih ceria. "Saya bukan melawak. Cuma... kagum."
Ketawa kecil mereka mengisi ruang sepi. Sesekali kedengaran seperti angin turut tersenyum.
Sampai di pagar, Ara mengambil basikalnya. Sebelum berlalu, dia sempat bersuara, "Terima kasih... untuk kata-kata semangat hari ni."
Wahyun angguk. "Sama-sama."
Ara kayuh sedikit, namun berhenti sejenak dan menoleh. "Dan... terima kasih sebab imamkan."
Wahyun senyum, mengangguk.
Ara berlalu pergi—dengan hati yang terasa lebih ringan daripada biasanya. Mungkin, ini permulaan baru yang dia sendiri belum tahu ke mana arahnya. Tapi entah kenapa, hari ini... dia terasa sedikit lebih yakin untuk melangkah.
***
Share this novel