Bab 9

Drama Series 202

Jam 2:10 petang.

Cahaya matahari yang menembus langsir nipis membuatkan mata Ara mengecil. Dia mengerutkan dahi, bangun perlahan dari pembaringan. Kepalanya masih terasa sedikit berat, tapi tidak sepedih tadi.
Dia duduk sejenak di hujung katil, menenangkan diri sebelum bangkit menuju dapur.

Di atas meja, semangkuk bubur ayam yang masih suam menanti. Aromanya sederhana tapi menenangkan. Ara menyenduk sedikit dan menyuap ke mulut — cukup sekadar untuk memberi tenaga. Perutnya belum terlalu berselera, tapi dia tahu dia perlu makan.

Selesai makan, dia menapak perlahan ke arah bilik adik-adik kembarnya. Pintu bilik mereka tertutup rapat.

"Eh, belum balik lagi ke...?"

Dia menoleh ke arah ruang tamu, tempat ibunya sedang duduk melipat kain di atas tikar mengkuang.

"Mak, Atul dengan Fia tak balik lagi ke?"

Puan Hajar mendongak sekejap, wajahnya lembut seperti biasa.

"Dorang ada kelas tambahan, pukul 3 nanti baliklah."

Ara angguk perlahan. Dia berdiri di ambang pintu, memandang ke luar. Udara petang yang mendung memanggil. Kepalanya terasa lebih ringan sekarang. Dia mahu duduk di luar, menghirup udara segar.

"Mak... Ara duduk luar sikit ya?"

"Pergilah... tapi jangan lama sangat. Cuaca pun macam nak hujan."

Ara tersenyum, melangkah ke muka pintu rumah kayu itu. Langkahnya terhenti di anak tangga terakhir. Matanya tertancap pada sebuah motor yang terletak kemas di halaman.
Motor itu.

Motor yang sebelum ini rosak, kini kelihatan seperti biasa. Seolah tiada apa pernah berlaku.

"Mak!"
Ara besarkan sedikit suaranya agar ibunya di dalam rumah dengar.
"Bila motor tu sampai?"

"Pukul 10 tadi," jawab Puan Hajar dari dalam. "Ada orang hantar. Siap pesan suruh jaga elok-elok."

Ara diam sebentar. Dalam hati, fikirannya berputar. Siapa yang uruskan? Aisya? Atas nama apa?
Dan sekali lagi, segala persoalan semalam kembali membanjiri fikirannya.

Ara duduk di pangkin yang terletak di bawah pohon rambutan tua, betul-betul menghadap jalan kecil di hadapan rumah. Angin petang berhembus lembut. Daun-daun melambai seolah mengusap wajahnya.

Tak lama kemudian, bunyi deruman enjin basikal elektrik kedengaran dari hujung jalan. Wajah yang sudah terbiasa menyinggah ke laman rumah itu muncul — Hafiyy.

"Assalamualaikum!"
"Waalaikumussalam," jawab Ara sambil senyum.

Hafiyy berhenti betul-betul di depan pangkin. Dia turun dari basikal, bersandar pada sisi kayu tua pangkin itu.

"Kenapa tak datang sekolah?" Hafiyy terus bertanya, nada suara dibuat-buat serius.

Ara gelak kecil. "Pening kepala."

"Laa... ingatkan apa tadi. Aku dah panik gila tau bila tak nampak muka kau pagi-pagi. Nasib baik tak buat report polis!" Hafiyy ketawa sambil duduk di sisi Ara.

Ara menyengih. "Kalau buat report polis, nak suruh tangkap siapa?"

"Aku lah, sebab terlalu risau!" balas Hafiyy, buat-buat kesal.

Ara ketawa lagi. Ringan. Tulus.
Tawa yang seakan menular ke jantung rumah kecil itu.

Puan Hajar yang masih melipat baju di dalam rumah hanya diam, namun bibirnya menguntum senyum tipis. Dari celah tingkap, dia menoleh ke arah pangkin.

Melihat anak gadisnya kembali ketawa sebegitu... ada sesuatu yang hangat menjalar dalam dadanya.
Sudah lama dia tidak dengar suara tawa itu.
Sudah lama Haura tidak seceria ini — melainkan bila bersama Hafiyy.

***

Angin petang masih bertiup lembut. Suasana sekitar kampung Seri Bayu lengang. Di pangkin kayu itu, Ara menyandar sedikit ke belakang, memandang ke hujung jalan seolah-olah sedang mencari kekuatan untuk membuka cerita.

"Hafiyy..."

"Haa?" Hafiyy menoleh, menunggu.

Ara pandang wajah sahabatnya itu seketika. Wajah yang selalu ada setiap kali dia perlukan seseorang untuk mendengar.

"Aku nak cerita pasal semalam..."

Nada suaranya tiba-tiba berubah menjadi lebih tenang, tapi serius. Hafiyy duduk tegak, bersedia. Ara mula bercerita dari awal — dari saat dia duduk sendirian di perpustakaan waktu rehat, membaca buku pemberian Aisya Tenang Walau Tak Sempurna, sampai dia tertarik dengan nota tangan Aisya yang membuat dia bermuhasabah.

"Lepas tu aku sakit perut... aku tinggalkan kejap buku tu atas meja."

Hafiyy angguk perlahan. "Lepas tu?"

"Bila aku datang balik... Wahyun ada kat situ. Dia tengah pegang buku tu."

Mata Hafiyy sedikit terbeliak.

"Dia buka... dan dia macam kenal tulisan tangan dalam buku tu. Lepas tu dia sebut nama..."

Ara berhenti sekejap, memandang Hafiyy. "—Warda."

Hafiyy kening terangkat. "Warda?"

Ara angguk perlahan. "Aku pun tak faham. Tapi cara dia sebut nama tu macam... dia kenal sangat."

"Aku berdiri belakang dia masa tu. Dia terkejut. Bila dia berpaling, dia pandang aku dengan muka tak puas hati. Aku cakap buku tu aku punya. Tapi dia... diam je. Letak balik buku tu atas meja dan terus blah."

Hafiyy telan liur. "Wah..."

Belum sempat dia komen, Ara sambung lagi.

"Masa balik sekolah pulak... aku termenung sampai tak perasan aku dah berdiri tengah jalan. Orang lain semua naik motor. Aku hampir kena langgar. Tapi..."

Ara tunduk. "Tiba-tiba entah muncul dari mana, Wahyun tarik aku. Dia marah aku, tengking depan orang. Terkejut aku."

"WHAT?!" Hafiyy terkejut besar, hampir berdiri dari pangkin.

"Gila ke apa kau berdiri tengah jalan?!" dia marah separuh main-main. "Kalau kau kena langgar macam mana?"

Ara ketawa kecil. "Tu lah. Nasib baik dia sempat tarik. Tapi suara dia... garang."

Hafiyy geleng kepala. Kemudian wajahnya berubah jadi nakal.

"Tu la hari tu bukan main kutuk-kutuk mamat tu. Siap kata muka dia macam tak puas hati dengan dunia la apa la..."
Dia sengaja meniru suara Ara. "'Buat apa jadi student paling pandai kalau muka takda emosi?!'"

Ara tergelak, terus bangkit dan nak cubit Hafiyy.
"Mulut kau ni kan!"

Tapi Hafiyy awal-awal dah mengelak sambil ketawa besar. "Eh eh, sabar sabar! Jangan lepaskan geram kat Wahyun tu dekat aku pulak!"

Ara kerut dahi, silang tangan. "Korang dua sama je. Dua-dua layak kena cubit."

Hafiyy buat muka terkejut manja. "Eh? Tapi bezanya, tu Wahyun. Aku ni..."

Belum sempat Hafiyy menghabiskan ayatnya, pantas Ara sambung, sambil jeling. "Kalau Hafiyy... senang sikit nak dapat lesen mencubit."

Mereka sama-sama tergelak. Ketawa yang mencairkan beban di dada Ara sejak semalam. Dalam diam, dia bersyukur... sekurang-kurangnya, dia ada Hafiyy. Dan Hafiyy, seperti biasa, tetap jadi tempat dia meluah — dengan caranya yang tersendiri.

***

Bunyi rintik hujan mula jatuh perlahan atas atap zink rumah kayu itu. Dari pangkin, Hafiyy dan Ara berlari kecil masuk ke anjung rumah. Ara sempat capai tuala kecil dan hulur kepada Hafiyy.

"Lap kepala tu. Nanti demam, Tok salahkan aku pulak," kata Ara sambil ketawa kecil.

"Laa aku jugak yang salah?" Hafiyy sambut tuala tu dengan senyum senget. "Padahal aku yang datang ziarah orang sakit."

Mereka duduk bersila di ruang tamu. Puan Hajar yang dari tadi memerhati dari dapur tersenyum. Seperti sudah biasa, bila Hafiyy bertamu, cucur udang dan kopi panas akan jadi penyambut tetamu.

"Ni haa, Hafiyy. Mak cik tahu dah mesti kamu dua ni bersembang tak ingat dunia. Nah, cucur udang. Makan dulu," ujar Puan Hajar sambil meletakkan dulang di depan mereka. Ada pinggan cucur udang rangup cicah sos buatan sendiri dan dua cawan kopi panas berasap.

"Wah, ini dia..." Hafiyy terus bersinar wajah. "Cucur udang legend!"

Ara menyampuk, "Legend sebab dulu masa kecik, bukan main lagi kau ngendeng kat rumah aku tiap petang. Konon nak study, padahal nak cucur!"

Hafiyy buat muka bersalah. "Aduh, terbongkar sudah niat murni aku selama ni."

Mereka tergelak. Ara capai satu cucur dan cicah perlahan-lahan, mata dia merenung Hafiyy yang sedang menikmati cicah sos dengan penuh nostalgia.

Tiba-tiba Hafiyy bersuara, "Tapi kau jangan lupa jugak masa kau kecil dulu... Kau pernah berlakon nangis sebab nak lari dari kena rotan sebab pecahkan pasu."

Ara tersedak.

"Kau la ni!" Ara tepuk dada, terbatuk.

Puan Hajar yang sedang duduk di kerusi malas menegur sambil tersenyum, "Tu lah, makan jangan sambil bercakap. Kan dah tersedak."

Ara dan Hafiyy cepat-cepat diam, tapi sambil-sambil tu mata mereka saling pandang dan menuding satu sama lain, masing-masing menyalahkan antara satu sama lain.

Lepas habis makan, Hafiyy lap mulut dengan tisu dan tiba-tiba teringat sesuatu.

"Eh, mana buku Aisya tu? Aku nak tengok... nak tahu apa yang special sangat sampai si Wahyun pun boleh tertarik."

Ara bangkit dan masuk bilik. Tak lama lepas tu, dia keluar dan hulurkan buku Tenang Walau Tak Sempurna kepada Hafiyy. Hafiyy sambut dan terus membukanya, membelek satu persatu dengan penuh minat.

Dia baca secara rawak. Sekali-sekala matanya terhenti pada tulisan tangan kecil Aisya yang diselit pada bahagian margin.

"Tenang bukan bererti tiada ribut, tapi tahu siapa yang memegang kendali kapal ketika ribut datang..." Hafiyy baca perlahan.

Hampir sepuluh minit dia asyik membaca. Ara yang memerhati dari tadi mula gelisah.

"Hoi." Ara rampas buku tu tiba-tiba. "Ni macam gaya nak baca sampai habis je? Tadi kata nak tengok?"

Hafiyy tersengih. "Apa boleh buat... tulisan dia buat aku rasa macam tengah dengar orang nasihat dari hati."

Ara diam. Tangannya menggenggam buku itu kembali.

Lepas beberapa saat, Hafiyy bersuara lagi. Suaranya tenang.

"Buku ni... bukan sebarang buku, Ara. Aku rasa... Aisya tu pun bukan sebarang orang. Tak semua orang akan jumpa orang macam dia dalam hidup ni. Tapi kalau jumpa..."

Dia pandang Ara.

"...bertuah lah."

Ara terkedu. Dia pandang kulit buku yang tertera tajuk Tenang Walau Tak Sempurna, lalu menunduk.

Hafiyy menyambung, suara separuh bergurau, separuh serius, "Kadang-kadang aku rasa, Aisya tu... macam bidadari kiriman Tuhan. Datang nak sedarkan hati keras macam batu ni." Sambil melihat Ara, sengaja diperlinya.

Ara terus angkat buku, buat gaya nak hempuk Hafiyy.

"Mulut kau tu memang nak kena kan!"

Belum sempat buku itu mendarat, Hafiyy bersuara cepat, "Eh eh! Jangan laaa pukul orang guna buku! Buku tu ilmu. Ilmu jangan dibuat senjata!"

Ara tersenyum. Senyuman yang mula hilang sejak semalam. Senyuman yang buat Hafiyy senang hati.

***

Malam itu sunyi. Hanya bunyi cengkerik dan sesekali desiran angin malam yang menyapa langsir tingkap bilik Aisya.

Usai melipat telekung dan menyusun sejadah, Aisya melabuhkan punggung ke birai katil. Tangannya masih berbau harum minyak atar yang selalu digunakannya selepas solat. Seperti rutinnya setiap malam, dia bangun dan melangkah ke rak buku. Matanya menyapa beberapa jilid yang sudah dibacanya separuh, ada juga yang sudah dibaca berkali-kali.

Tangannya sudah terarah pada sebuah buku bertajuk Bicara Jiwa, namun gerakannya terhenti tiba-tiba. Hujung matanya menangkap sesuatu—sebuah kotak kayu kecil di rak paling bawah. Kotak yang sudah lama tak disentuh. Hatinya tiba-tiba tergerak.

Buku yang sudah separuh ditarik, diletakkan semula ke tempatnya. Aisya tunduk dan capai kotak kayu itu perlahan-lahan. Tangannya menyapu debu yang tipis di atas permukaan kotak, sebelum bibirnya menguntum senyum kecil. Kotak itu masih sama—warna coklat pudar dengan ukiran ringkas di penjuru. Dan di tengahnya, terukir dua huruf kecil, A & W.

Aisya duduk bersila atas karpet bilik, kotak kayu di pangkuannya. Tangannya membuka penutup dengan penuh perlahan, seolah bimbang membangkitkan kenangan yang telah lama tertidur.

Di dalamnya—beberapa keping gambar yang tersusun rapi. Aisya mencabut satu demi satu.

Ada gambar dua budak kecil. Seorang perempuan bertudung dan seorang lelaki berambut kemas, kedua-duanya dalam pakaian sekolah rendah. Mereka duduk di bangku panjang. Senyuman mereka polos. Gembira. Bebas dari beban masa depan.

Kemudian ada beberapa gambar lagi—wajahnya sendiri, semakin dewasa. Antara beberapa gambar yang ada di dalamnya, ada satu gambar menarik perhatiannya. Perlahan dia keluarkan dan tatap.

Gambar itu jelas—seorang remaja lelaki memakai jaket biru sedang buat gaya peace, tersenyum lebar ke arah kamera. Di sebelahnya, dirinya—bertudung biru cerah, berblaus biru gelap—tersenyum lembut ke arah lensa.

Jari Aisya perlahan menyentuh wajah lelaki itu di dalam gambar. Senyumannya masih melekat.

"Apa khabar awak sekarang ya..." bisik hati kecilnya.

Matanya sedikit berkaca, tapi senyuman itu tetap tak pudar. Ada sesuatu tentang kenangan itu yang buat hatinya hangat—dan sedikit perit pada masa yang sama.

Kotak itu... bukan sekadar tempat simpan gambar. Tapi tempat menyimpan rahsia. Kenangan. Dan mungkin juga... satu rasa yang tak pernah dia ungkapkan selama ini.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience