Langit petang berbalam jingga, bayang-bayang bangunan sekolah makin panjang menyentuh tanah. Pelajar-pelajar yang baru tamat sesi kokurikulum mula berpusu-pusu keluar dari kawasan sekolah. Ada yang berjalan kaki, ada yang berbasikal, dan tak kurang juga yang dibonceng motor oleh ibu bapa atau abang kakak mereka.
Ara melangkah perlahan, sebelah tangan menggenggam pemegang basikalnya yang ditolak perlahan ke depan. Dia tak bersemangat untuk kayuh, rasa penat yang tak tahu datang dari mana. Mungkin sebab kepala masih sarat dengan fikirannya sendiri, yang entah berapa banyak berkecamuk sejak insiden di perpustakaan tadi. Wajah Wahyun yang merenungnya tajam, nota Aisya yang membuatnya sebak, semua itu berulang-ulang dalam kepala.
Basikalnya berbunyi sedikit, rantai bergesel dengan pedal yang berkarat. Tapi Ara tak peduli. Dia terus menapak. Tanpa sedar, dia semakin hampir ke jalan besar yang menembus keluar ke arah pagar depan sekolah.
Hingar suara enjin motor dan bunyi deruan tayar atas jalan raya bergema, namun semuanya terasa jauh di telinganya.
Satu langkah lagi... dan—
Satu tangan kuat menarik bahunya ke tepi. Tubuhnya terhuyung-hayang lalu terdorong ke sisi rumput kecil di pinggir jalan.
Ara terkejut. Nafasnya tercungap. Jantung berdegup laju seperti baru berlari pecut.
"Tak sayang nyawa ke?!"
Suara garau dan tajam itu membuatkan dia terkaku. Dia angkat muka.
Wahyun.
Wajah lelaki itu jelas berkerut marah. Matanya merenung Ara seolah gadis itu telah melakukan dosa besar.
"Jalan tengah-tengah macam tu kenapa? Awak tak tengok motor kiri kanan? Kalau saya lambat tarik tadi, awak dah tergolek entah kat mana!"
Ara terpinga-pinga. Mulutnya separuh terbuka, namun tiada kata terluah.
'Dia... marah? Kat aku?'
Sungguh, dia tak sangka. Itulah kali pertama lelaki itu bercakap dengannya—bukan dengan senyum atau suara tenang... tapi dengan tengkingan tajam yang menampar terus ke dada.
Ara tunduk. Tersentap. Malu. Tapi dalam masa sama, jiwanya terkejut dengan cara Wahyun melindungi. Tangan lelaki itu masih terangkat sedikit, seolah belum sempat turun selepas menyelamatkannya tadi.
Wahyun mendengus, lalu menggeleng perlahan.
"Lain kali, buka mata," ujarnya sebelum berpaling dan terus melangkah pergi.
Ara masih diam. Basikalnya berdiri di sebelah, tidak disentuh.
Dia gigit bibir. Jantung masih berdegup.
'Apa... baru tadi kat perpustakaan dia buat muka. Sekarang tiba-tiba jadi hero?'
Dia memandang ke belakang, ke arah susuk Wahyun yang makin menjauh.
Dan hanya satu ayat terbit dalam hatinya, bercampur antara marah, malu dan... keliru.
'Si poyo ni makin pelik.'
***
Suasana di meja makan tenang, hanya bunyi sudu dan pinggan beradu sesekali mengisi ruang. Lauk-pauk sudah tersedia. Gulai lemak pucuk ubi, sambal ikan bilis, dan ayam goreng rangup kegemaran Atul. Hajar sudah mencedokkan nasi untuk semua, termasuk Ara.
Tapi pinggan Ara masih kosong, hanya nasi putih yang tak terusik. Senduk lauk di depannya juga tidak diendahkan.
Ara duduk diam, matanya kosong merenung ke arah dinding dapur. Wajahnya seperti jauh, seolah-olah tubuhnya di meja itu tapi jiwanya melayang entah ke mana.
Fia dan Atul sesekali berpandangan. Atul mengangkat kening, memberi isyarat ke arah Ara. Fia hanya menjungkit bahu sedikit, lalu kembali mengunyah.
Namun tak lama selepas itu, Atul diam-diam menyiku Fia di rusuk. Fia tersentak kecil lalu menjeling tajam, tetapi pandangannya segera jatuh kepada Ara yang masih tak bergerak, tidak menjamah walau sesuap pun.
Hajar yang sedang duduk di hadapan mereka turut perasan.
"Ara..." suara Hajar lembut, penuh tanda tanya.
Ara terkejut kecil. Seolah baru tersedar dari lamunan. Dia angkat muka, terpandang ibunya dan dua adik yang sedang memandangnya dengan dahi berkerut.
"Ha? Apa dia, mak?"
"Kamu kenapa? Makanan tak sedap ke?"
Ara geleng perlahan. Bibirnya mengukir senyum nipis yang tak sampai ke mata.
"Takde... Ara takde selera je malam ni."
"Takde selera kenapa? Kamu sakit lagi ke? Atau ada benda kamu fikir?" suara Hajar kini kedengaran risau.
Ara menggeleng lagi, kali ini sambil menghela nafas perlahan. Kemudian dia bangun perlahan.
"Ara masuk bilik dulu ye, mak..."
Belum sempat Hajar bertanya lanjut, Ara sudah pun berlalu, meninggalkan pinggan kosong yang langsung tidak disentuh. Fia dan Atul hanya mampu memandang, masing-masing tertanya-tanya.
Hajar menoleh ke arah pintu bilik Ara yang kini tertutup.
***
Ara duduk perlahan di birai katil, tangannya menyisir rambut ke belakang.
Tiba-tiba terasa... berat. Seperti ada beban di dadanya yang tak mampu dia ungkapkan.
"Kenapa dengan aku ni..." bisiknya perlahan.
Tangannya menekan dahi, cuba menenangkan fikiran yang berselirat. Namun tiada satu pun yang benar-benar tenang. Semuanya bercampur, semuanya kusut.
Matanya teralih ke meja belajar di sisi dinding.
Dan di situ—terletak buku 'Tenang Walau Tak Sempurna' yang diberikan Aisya. Buku yang tadi pagi nyaris menjadi sebab pergaduhan, atau mungkin lebih dari itu.
Ara bangkit perlahan dan melangkah ke meja. Tangannya menyentuh buku itu perlahan-lahan, seolah sedang menyentuh sesuatu yang rapuh. Dia mengambilnya, lalu duduk kembali di katil.
Matanya tidak lepas dari memerhati kulit buku itu. Jari-jemarinya menyentuh helaian kertas yang sudah terlipat sedikit di penjuru. Terasa dingin.
Namun bukan kertas yang menggetarkan dadanya... tapi segala rasa yang dibawa bersama buku itu.
Fikirannya kembali kepada renungan tajam Wahyun. Marahnya. Nada suara lelaki itu yang masih terngiang-ngiang. Dan nota Aisya... yang mencuit tangkai hati yang paling dalam.
Perlahan dia membuka salah satu halaman yang ada tertulis nota tangan.
"Akhirnya aku sedar, Tuhan tak pernah berhenti beri peluang. Masa lalu kita tak sempurna, tapi hari ini masih ada untuk kita belajar tenang. Untuk belajar memaafkan diri sendiri. Aku masih belajar—dan aku harap, seandainya buku ini jatuh ke tangan orang lain suatu hari nanti... kamu pun akan jumpa ketenangan itu. Ketenangan yang selama ini dicari."
Ara pandang lama tulisan itu. Bibirnya menggeletar, tapi dia cuba tahan. Dadanya sesak. Ada sesuatu tentang Aisya yang dia tak tahu. Dan rasa ingin tahu itu kini perlahan-lahan menumbuhkan satu perasaan lain dalam dirinya.
"Apa sebenarnya yang kau dah lalui, Aisya..." bisik Ara dalam hati.
***
Suasana bilik sunyi. Hanya bunyi detik jam di dinding dan sesekali cengkerik di luar tingkap yang terbuka sedikit, menandakan malam makin larut. Wahyun duduk bersandar di meja belajarnya. Lampu meja menyinari kertas latihan matematik tambahan yang separuh siap. Pen hitam di tangannya terhenti.
Namun fikirannya tidak lagi tertumpu pada nombor atau formula.
Sebaliknya, fikirannya sedang hanyut kembali ke satu babak pagi tadi. Di perpustakaan sekolah.
Wahyun pejam mata seketika. Jelas di mindanya tulisan tangan kecil di tepi halaman buku Tenang Walau Tak Sempurna.
Tulisan yang dia sangat kenal.
Warda.
Nama yang sudah lama tidak disebutkan, tapi tak pernah benar-benar hilang dari ruang memorinya.
Dia buka mata semula, termenung ke arah dinding di hadapannya.
"Itu buku dia...?"
Suara perempuan itu bergema semula dalam kepalanya—tegas, dan tajam.
Dia tak tahu nama budak perempuan tu. Tapi renungan matanya... ada sesuatu yang membakar. Bukan sekadar marah kerana dia pegang buku tu—tapi seolah-olah, dia simpan rasa yang lebih besar dari sekadar sebuah buku.
Dan itu yang buat Wahyun makin keliru.
"Kenapa buku tu boleh ada dekat tangan orang lain?" gumamnya perlahan.
Dia bersandar ke belakang, kepala mendongak memandang siling bilik.
"Tak mungkin kebetulan... tulisan tu, nota kecil tu, cara ayat tu, semua tu... macam yang Warda selalu tulis." Dia bercakap sendiri.
Ada sesuatu yang tak kena. Hati dia kuat berkata begitu.
Dan sebelum fikirannya sempat tenang, wajah gadis yang satu lagi muncul dalam fikirannya.
Gadis yang hampir dilanggar petang tadi.
Gadis yang berdiri di tengah jalan, termenung sambil heret basikal.
Gadis yang menoleh bila dia tengking — dan matanya...
Wahyun pegang kepala.
Dia sendiri tak faham kenapa dia marah sangat waktu tu. Tapi entah kenapa... dia rasa perlu.
Perlu untuk tengking. Perlu untuk bangkitkan dia dari lamunan. Kerana dia nampak sesuatu dalam mata gadis tu—sesuatu yang dia sendiri belum pasti apa.
Dan sekarang, rasa ingin tahunya mula bercambah.
Tentang buku itu. Tentang pemiliknya. Dan tentang... Warda.
***
Jam loceng berdenting sayu. Langit Subuh masih kelabu. Puan Hajar mengetuk pintu bilik Ara beberapa kali sebelum menyelaknya perlahan.
"Ara... bangun. Dah pukul lima."
Ara merengek perlahan di balik selimut. Kepalanya berdenyut dari malam tadi. Badannya terasa berat, seakan digilis beban tak nampak. Suaranya perlahan, lemah.
"Mak... Ara tak larat hari ni. Pening kepala."
Puan Hajar menghampiri katil anak gadisnya itu. Dibelai ubun-ubun Ara. "Dah sapu minyak belum? Dah makan ubat?"
Ara mengangguk lemah, tapi tak bersuara. Matanya tetap terpejam. Puan Hajar menarik nafas. Dalam nada lembut tapi tegas, dia berkata:
"Kalau tak larat sangat, rehatlah. Tapi jangan lupa makan ubat, sapu minyak tu. Nanti mak buatkan bubur sikit lepas ni."
Ara hanya hum. Tidak mengiyakan, tidak membantah.
Puan Hajar keluar dari bilik dengan hati sedikit risau.
Tapi dia tahu... mungkin anaknya kepenatan. Mungkin juga... terlalu banyak perkara dalam kepala budak itu.
***
Wahyun melangkah masuk ke perpustakaan dengan langkah tenang seperti biasa. Suasana hening, hanya terdengar bisik-bisik halus pelajar yang sedang membaca atau membuat kerja kumpulan kecil.
Matanya melilau. Mencari.
Semalam, dia tak boleh berhenti fikirkan pasal buku itu. Dan pemiliknya. Wajah gadis tu... tajam, sinis, tapi ada sesuatu yang mengganggu rasa dalam hatinya.
Dia pun tak tahu kenapa dia sampai datang semula ke sini, seolah-olah...
Seolah berharap dia akan jumpa dia lagi.
Dia berjalan perlahan di lorong rak-rak buku, lalu menjenguk ke sudut bacaan. Tiada.
Dia ke meja tempat gadis itu duduk semalam. Kosong. Hampa.
Wahyun berdiri seketika, termenung.
"Siapa kau sebenarnya?" bisik hatinya.
Dah bertahun dia di sekolah ni. Tapi tak pernah kenal gadis tu. Tak pernah perasan. Padahal... gaya macam pelajar lama juga. Tapi bukan dari unit pengawas. Bukan dari kelasnya. Bukan dari mana-mana yang biasa dia jumpa.
Dia genggam tangan di sisi.
Bukan sebab marah. Tapi sebab dia makin musykil.
Buku tu — buku yang Warda pernah simpan.
Nota tu — tulisan yang dia yakin sangat dia cam.
Tapi kenapa buku tu dengan dia?
***
Bunyi enjin kereta berdengung perlahan mengiringi perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Agama Al-Ma'arif, yang terletak kira-kira 30 minit dari Pekan Seri Taman. Suasana di luar jendela mula redup, langit sedikit mendung, dan pokok-pokok menghijau berbaris sepanjang jalan.
Aisya melurut tudung labuh sekolahnya ke bahu, sedikit penat namun tetap tersenyum. Dia pandang wajah tua Pak Mat dari tempat duduk belakang melalui cermin pandang hadapan.
"Pak Mat..."
"Ya, Cik Aisya?" balas Pak Mat sambil memandu dengan cermat.
Aisya senyum kecil. "Aisya nak minta maaflah... kesian Pak Mat. Setiap hari kena ulang alik jemput Aisya dari sekolah. Jauh pulak tu. Kalau pergi balik dah sejam."
Pak Mat ketawa kecil. "Laa, itu memang kerja Pak Mat, Cik Aisya. Lagipun, yang penting keselamatan Cik Aisya terjaga. Umi dan Abi Cik Aisya pun pesan betul-betul bab tu."
Aisya tunduk sedikit, tersentuh.
"Aisya pun kadang terfikir juga... kalau duduk asrama kan senang. Tapi umi dengan abi tak bagi. Mereka nak Aisya balik setiap hari."
Pak Mat angguk perlahan. "Betul tu. Balik rumah, lagi berkat. Dapat tengok muka umi, abi. Penat sikit tak apa, asalkan selamat."
Aisya tergelak kecil. "Ingat lagi masa Aisya sekolah rendah dulu, Pak Mat lah orang yang paling panik bila Aisya lambat keluar kelas. Kadang waktu rehat pun datang jenguk!"
Pak Mat tergelak besar. "Pak Mat risau lah. Dulu Cik Aisya ni kecil sangat. Jalan pun macam nak tumbang!"
Aisya menyambung, matanya bersinar-sinar.
"Sampaikan semua cikgu kat sekolah ingat Pak Mat ni ayah Aisya. Yelah... setiap kali Aisya sakit ke, nangis ke... Pak Mat yang paling awal sampai."
Pak Mat tergelak kecil, sambil garu-garu tengkuknya yang beruban. "Aduh, malu Pak Mat..."
Aisya tersenyum lebih dalam, nadanya perlahan dan jujur.
"Lepas abi, Pak Mat lah ayah kedua Aisya dalam dunia ni..."
Pak Mat terdiam sebentar. Hati tuanya disentuh dalam-dalam. Dia menarik nafas, cuba sembunyikan rasa sebak. Baginya, dia hanya pekerja. Tapi penghargaan seperti itu — terlalu mahal.
"Pak Mat ni siapa lah Cik Aisya... orang tua biasa je."
Aisya hanya membalas dengan senyuman paling manis yang pernah Pak Mat lihat hari itu.
Beberapa minit kemudian, kereta berhenti di hadapan sebuah banglo dua tingkat berwarna putih biru muda, berpagar kemas, terletak di pinggir Pekan Seri Taman.
Pak Mat mematikan enjin. Aisya membuka pintu kereta perlahan-lahan.
Sebelum keluar, dia menoleh semula. "Oh ya, Pak Mat. Motor Haura hari tu macam mana? Dah okay ke?"
Pak Mat angguk, sambil menutup fail log kecil di dashboard.
"Dah, pagi tadi Pak Mat dah hantar orang ke Kampung Seri Bayu. Dah sampai pun dekat rumah dia. Elok semuanya."
Aisya lega. "Alhamdulillah. Terima kasih Pak Mat... untuk semuanya."
Pak Mat tersenyum, "Selagi Pak Mat masih kuat, InsyaAllah, Pak Mat ada je untuk Cik Aisya."
***
Share this novel