Langsir bilik berayun perlahan, bayang cahaya dari luar menyentuh lantai. Wajah Aisya tenang, bibir sedikit terbuka. Tapi dalam mimpinya—badai sedang menggila.
Aisya berdiri dalam satu ruang gelap. Seperti dapur rumah lamanya semasa kecil. Ada cahaya samar dari lampu kuning.
Atas meja—segelas kaca jernih terletak. Tangannya mengambil gelas itu. Dia renung kosong. Tiba-tiba, dia hempas gelas itu ke lantai.
Pranggg!
Pecah berderai.
Dia tunduk, ambil serpihan kaca paling tajam.
Tangan kirinya pula sedang memegang gambar Wahyun—gambar yang pernah mereka ambil sama-sama di pesta buku tiga tahun lepas.
Dia renung tangan sendiri. Dan tanpa suara, dia tekan kaca itu ke pergelangan tangan kiri. Ditoreh sedalam mungkin.
Darah mula mengalir. Terus meleleh.
Tangan kirinya masih menggenggam erat gambar Wahyun.
Dia tersenyum. Tapi senyum yang ngeri. Matanya berkaca, tapi tenang. Tenang yang menyeramkan.
Dia rasa sesak. Nafas tersekat. Seperti ada tangan yang mencengkam lehernya.
Dia cuba jerit, tapi suara tak keluar.
Dan perlahan-lahan... dunia dalam mimpi jadi gelap.
Aisya tersentak bangun.
Mata terbeliak. Nafas tercungap. Peluh membasahi dahi. Gambar Wahyun tak ada, kaca pun tiada, tapi rasa mimpi tadi masih melekat. Mata melilau—cuba mencari realiti.
Dia istighfar berkali-kali.
"Astaghfirullahalazim... Allah... Allahu Akbar..." suara dia perlahan, teresak.
Air mata turun tanpa kawalan. Dadanya sebak. Perasaan takut, sedih, kosong—semuanya menyesakkan dada serentak.
Dia duduk bersila di atas katil. Kedua-dua tangannya menggenggam erat selimut.
Dia letakkan tangannya atas dada. Cuba tarik nafas panjang.
"Allahu Akbar..." bisiknya, teresak-esak.
Air mata menitis tanpa disuruh. Tubuh kecilnya menggigil. Istighfar. Berkali-kali.
Dia rasa seakan mimpi itu bukan mainan tidur semata. Tetapi satu tamparan untuknya. Satu jeritan dari dalam hati yang lama dia pendam. Hati yang menanggung kehilangan, kekeliruan... dan kesepian yang tak mampu dibahagi dengan sesiapa.
"Ya Allah... kenapa aku ni..." suaranya pecah dalam sendu.
Lututnya dipeluk, tubuhnya bersandar di kepala katil. Bantalnya basah dengan peluh dan air mata.
Malam itu, Aisya menangis. Lama.
Dan setiap istighfar yang keluar dari bibirnya, disulam dengan rasa bersalah yang kian menghimpit jiwa.
Malam itu—dua hati yang pernah berkait, masing-masing resah dalam sunyi. Seorang mencari cahaya dalam diam. Seorang lagi tenggelam dalam bayang-bayang silam.
***
Langit tengah hari membakar redup, namun hembusan angin di kawasan surau sekolah terasa tenang dan nyaman. Murid-murid lain sudah lama beransur pulang, bersorak-sorai di luar pagar, menunggang basikal, menaiki van, kereta, dan ada juga yang masih berbual-bual di tepi tangga kelas.
Ara memilih untuk tidak pulang bersama mereka.
Dia hanya berjalan perlahan ke arah surau sekolah yang terletak di hujung blok. Langkahnya waspada. Matanya melilau ke kiri dan kanan, memastikan tiada siapa yang memerhatikan.
Dia dah pesan awal-awal pada Hafiyy supaya jangan tunggu. Tak perlu. Tak payah.
"Aku ada hal sikit kat sekolah. Kau baliklah dulu." Itu katanya, ringkas. Dan Hafiyy, walaupun pelik, cuma angguk sambil melambai. Tidak bertanya lebih lanjut bagi menghormati privasi sahabatnya itu.
Kini, Ara berdiri di hadapan pintu surau yang terbuka separuh.
Kosong.
Sunyi.
Alhamdulillah...
Dia melangkah masuk, membuka kasut perlahan-lahan. Langit di luar memantulkan cahaya lembut ke dalam ruang surau. Dinding putihnya suram tapi damai. Aroma karpet yang lembap dan buku-buku usang di rak kayu membuatkan tempat ini terasa asing... tapi selamat.
Ara mengambil wuduk. Setiap titisan air yang menyentuh kulitnya seperti membersihkan sesuatu jauh dalam dirinya. Tapi masih ada sesuatu yang berat... berat sangat dalam dada.
Selesai wuduk, dia duduk di atas sejadah di hujung ruang saf perempuan. Matanya tertancap pada corak biru lembut karpet. Nafasnya turun naik. Lututnya dipeluk. Lama dia termenung.
Subuh tadi aku tak solat.
Semalam pun tak.
Dia gigit bibir bawahnya. Sakitnya bukan pada daging, tapi pada rasa bersalah yang bergumpal dalam hati.
"Aku nak solat apa sekarang... Zohor ke? Qada subuh dulu ke? Banyaknya kena buat..."
Dia pejam mata. Kenapa aku jadi macam ni...
Kalau di rumah, jangan kata nak solat—telekung pun dia tak berani nak cari. Dia takut. Takut sindiran pedas mak, takut pandangan tajam Fia, takut terserempak dengan Atul yang tiba-tiba masuk bilik. Malu.
Padahal... ini benda baik, kan?
Tapi kenapa dia rasa solat hanya boleh dibuat sembunyi-sembunyi? Di sini saja, tempat yang buat dia rasa... bebas. Tiada siapa nampak. Tiada siapa nilai.
Dia tarik nafas perlahan. Pandangannya kosong. Hatinya penuh soal yang tak terjawab.
Dan dalam sunyi yang panjang itu...
"Dah solat ke?"
Ara tersentak. Matanya terbeliak, segera memandang ke arah dinding pemisah yang memisahkan ruang lelaki dan perempuan.
Bila masa ada orang masuk?
Dia tak jawab. Lidahnya kelu. Jantungnya berdegup kencang.
Suara itu muncul lagi, lembut tapi jelas.
"Kalau belum... jom jemaah."
Ara tergamam. Jemaah? Hatinya bergelora. Tiba-tiba.
Siapa ni...? Macam mana boleh ajak jemaah dengan aku? Kenapa suara ni familiar?
Dia masih diam. Masih tak pasti. Masih tak bersedia.
Tiba-tiba, dari bawah dinding kayu pemisah itu, muncul satu tangan yang menghulurkan sesuatu—sebuah buku kecil usang bertajuk "Tatacara Solat Jemaah" yang selalu disusun di rak kayu sebelah pintu.
Ara terlopong. Dia pandang buku itu lama... kemudian tangannya perlahan mengambil.
Suara lelaki itu bersambung, tenang.
"Baca dulu ya, sementara saya nak ambik wuduk."
Tiada paksaan.
Tiada tekanan.
Cuma suara hamba Allah yang entah siapa... entah dari mana datangnya... tapi hadir tepat pada waktunya.
Ara angguk perlahan. Tak bersuara. Dia buka helaian buku itu satu-persatu. Terang, ringkas, dan cukup untuk dia faham pergerakan dan niat. Entah kenapa, dada dia rasa sedikit ringan.
Beberapa minit kemudian, suara air dari bilik wuduk berhenti. Bunyi langkah kaki mendekat.
Kemudian...
"Allahu Akbar, Allahu Akbar..."
Iqamat berkumandang.
Ara tersentak. Cepat-cepat dia lipat semula buku, masukkan dalam rak, dan capai telekung putih yang tergantung.
Tangannya menggigil sewaktu menyarung. Hatinya degup kencang.
Dia ikut berdiri di sebalik dinding kayu itu. Solat Zohor. Jemaah. Dalam diam. Dalam rahsia.
Dan ketika dahi menyentuh sejadah buat pertama kali hari itu...
Air matanya gugur.
Bukan sebab dia sedih. Tapi sebab Allah... tetap pilih dia. Dalam kebingungan, dalam rasa hipokrit, dalam rasa tak layak pun... Allah masih jemput dia datang sujud.
Dan dia tahu... ini bukan kebetulan.
Ini adalah kasih Tuhan... yang menjentik hati hambaNya, dengan cara yang paling halus dan penuh rahmat.
***
"Aamiin..."
Suara lelaki itu mendayu tenang selepas bacaan doa ditutup dengan lafaz yang biasa, namun entah mengapa kedengaran luar biasa di telinga Ara hari ini. Suara itu tidak keras, tidak pula terlalu perlahan. Tapi cukup untuk menyentuh ruang hatinya yang sejak akhir-akhir ini berkecamuk.
Ara masih terduduk di atas sejadah, membatu. Ini kali pertama dia solat berjemaah bersama imam yang dia sendiri tidak tahu siapa. Tapi entah kenapa, rasa tenang itu tidak palsu. Rasa itu nyata. Seolah-olah Tuhan sedang memujuknya—dengan cara paling lembut dan tidak dijangka.
Dia tidak berkata apa-apa. Hanya mendongak sedikit, mendengar bunyi langkah tapak kaki yang menjauh. Suara itu juga sudah lenyap. Sosok lelaki itu sudah pun keluar dari surau.
Baru setelah itu, Ara bergerak perlahan, menggulung sejadah dan menyangkut kembali telekung ke tempat asalnya. Nafasnya dalam. Ada sesuatu yang berubah... tapi dia sendiri tak pasti apa.
Dia melangkah keluar dari surau.
Tapi baru sahaja kakinya menapak ke luar, langkahnya terhenti serta-merta.
Seseorang berdiri membelakangi di bawah tangga surau.
Dada Ara berdegup kuat. Dia sangat kenal tubuh itu. Cara berdiri, potongan bahu, rambut hitam pekat yang beralun di leher belakang. Dia tak mungkin salah.
Dan lebih dari itu, hatinya berdesir dengan satu firasat—orang inilah yang menjadi imam tadi.
"Awak ke... yang imamkan solat tadi?" suaranya perlahan, ragu-ragu.
Lelaki itu berpaling.
Dan benarlah sangkaannya.
Wahyun.
Wahyun balas dengan anggukan kecil.
Ara terdiam. Degup jantungnya tambah kencang.
"Dah okay ke?" Wahyun bertanya. Suaranya masih lembut, tapi ada nada prihatin yang tersirat.
Ara angguk perlahan. "Okay."
Pertemuan terakhir mereka ketika dia pengsan di bilik guru tempoh hari masih segar dalam ingatannya. Tapi kini, lelaki yang sama berdiri di hadapannya dengan cara yang begitu berbeza. Tidak ada tengkingan, tidak ada pandangan tajam. Hanya tenang.
Wahyun mengalih pandangan, memberi ruang kepada Ara untuk memakai kasut. Ara tunduk, cepat-cepat menyarungkan kasut sekolahnya yang sudah agak lusuh.
"Tenang tak... duduk kat surau?" soal Wahyun tiba-tiba, masih tidak menoleh.
Ara terhenti. Tidak menjawab.
Dia tidak tahu mahu jawab apa.
Wahyun menoleh semula, pandangannya tenang. "Sebab sebelum ni saya tak pernah nampak sesiapa pun kat sini lepas habis waktu sekolah. Lagi-lagi... pelajar perempuan."
Ara diam. Selesai pakai kasut, dia berdiri tegak di belakang Wahyun. Masih belum bersuara. Masih belum bersedia untuk berkata apa-apa.
Tiba-tiba...
"Ara..." Wahyun bersuara lagi. Nada dia lebih lembut dari tadi, dan kali ini, kata-katanya menyentuh sesuatu yang dalam dalam diri Ara.
"Kita semua akan ada satu waktu... yang mana kita rasa Tuhan tarik tangan kita keluar dari gelap, walaupun kita tak minta pun."
Ara terkejut.
Matanya terbeliak sedikit. Dia tak sangka kata-kata sebegitu keluar dari seseorang yang selama ini hanya dia kenal sebagai mamat poyo, dingin, berlagak, tegas, pendiam... dan sombong.
Seketika kemudian, Wahyun berpaling dan melangkah perlahan meninggalkan kawasan surau.
Ara masih tercegat di situ. Diam. Dan hanya dia sendiri tahu betapa hatinya sedang bergelora sekarang.
Tapi baru beberapa langkah Wahyun berjalan, dia berhenti semula dan menoleh ke belakang.
"Sampai bila nak berdiri kat situ? Tak nak balik ke?" Soalnya.
Ara tersentak kecil. Cepat-cepat dia alihkan pandangan dan capai beg sekolahnya. Disangkutkan ke bahu. Tanpa berkata apa-apa, dia berjalan mengejar langkah Wahyun yang kini sudah berada di bahu jalan kecil sekolah.
Mereka mula berjalan seiring. Senyap.
Ara rasa kekok. Sangat kekok.
Lelaki ini... terlalu tinggi. Dan entah kenapa, kehadirannya hari ini buatkan dia rasa kecil, bukan dari segi saiz, tapi... dari segi jiwa.
Dia nak bercakap sesuatu. Tapi lidahnya berat. Sampailah akhirnya dia sendiri tak tahan dengan sunyi itu.
"Awak selalu pergi surau ke lepas habis sekolah?"
Wahyun masih pandang ke depan, tak berpaling. Tapi dia jawab.
"Selalu. Sebelum balik, saya akan ke sini dulu. Rasa lebih tenang bila kita dah tunaikan tanggungjawab sebelum pergi ke mana-mana. Rasa lega."
Ara angguk kecil, tapi diam.
"Manalah tahu kalau terjadi apa-apa kat tengah jalan," sambung Wahyun lagi, "sekurang-kurangnya kita dah jaga hak Allah. Bila kita jaga hak Dia... Dia akan jaga kita."
Ara tergamam. Kata-kata itu terus menampar hati dia yang rapuh.
Dia pandang Wahyun lama. Lelaki itu masih berjalan dengan langkah tenang, tak sedar yang mata Ara sedang merenung dari sisi. Tanpa sedar, pandangannya melekat pada wajah lelaki itu. Wajah itu... dari sisi pun dah cukup untuk buat hati dia rasa pelik.
Wahyun tiba-tiba perasan dari hujung matanya. Dia toleh sedikit, keningnya terangkat.
"Tak takut ke terjatuh tengah jalan sebab pandang saya lama sangat?"
Ara tersentak. Cepat-cepat dia alihkan pandangan ke depan.
"Maaf..." jawabnya perlahan.
Wajahnya sudah merah padam. Malu. Sangat malu.
Wahyun senyum kecil, pelik tapi... senang.
Ara hanya membisu. Langkahnya diteruskan, tapi hatinya berperang hebat. Dia tak tahu nak tafsir apa yang sedang berlaku.
Yang pasti, lelaki yang sedang berjalan di sisinya sekarang bukan lagi lelaki yang pernah menengkingnya di hadapan semua orang tempoh hari.
Dan itu sendiri... sudah cukup untuk buatkan Ara tertanya-tanya tentang sesuatu.
Siapa sebenarnya Wahyun, yang Allah hadirkan waktu aku paling tak terdaya?
***
Share this novel