Bab 4

Drama Series 202

"Akak?"

Pintu stor tiba-tiba dikuak.

Suara Atul memecah keheningan dan memutuskan lamunan Ara yang agak lama. Ara tersentak, lalu cepat-cepat menyeka air matanya. Album di tangannya ditutup pantas.

"Kak? Akak okey? Nangis eh?" Atul melangkah masuk dan duduk di sisi kakaknya. Matanya sempat menjeling album yang masih erat dalam pelukan Ara. Dia menghela nafas kecil. Sudah biasa.

Dia tahu benar perangai kakaknya—kalau tidak mengurung diri di bilik, pasti di sinilah tempat Ara menenangkan hati, mengubat rindu pada ayah mereka.

"Akak janganlah macam ni... tak bestlah tengok," Atul cuba mencairkan suasana, memecah sunyi yang menyesakkan.

"Alololo... kesian akak comel kita ni. Menangis sampai merah mata dengan hidung sekali hahaha." usiknya lagi sambil menarik hujung lengan baju sendiri untuk mengelap sisa air mata yang masih belum kering di pipi kakaknya.

Ara tersenyum, sedikit terhibur dengan celoteh si bongsu. Begitulah Atul—selalu jadi penawar saat hatinya sedang berduka. Tidak kira berapa dalam luka yang ditanggung, Atul sentiasa tahu cara untuk menceriakan hari Ara.

Atul memang lain daripada Fia. Meskipun lahir kembar, personaliti mereka jauh berbeza. Atul lebih peramah, penyayang dan terbuka. Sedangkan Fia pendiam, dingin, dan lebih suka menyendiri. Benarlah kata orang—rambut sama hitam, hati lain-lain.

Dan kerana itulah, Ara lebih senang meluangkan masa dengan Atul. Sekurang-kurangnya, dia masih dapat merasa sedikit kasih sayang daripada ahli keluarganya sendiri... memandangkan kasih seorang ayah sudah lama hilang dari hidupnya.

"Baru tahu ke kakak Atul ni comel?" Ara bersuara, nada bergurau.

"Eleh, tengok tu.. pantang dipuji. Orang lama dah tahu. Saja je tak nak bagitahu. Nanti ada yang besar kepala pulak," balas Atul sambil menjongket kening.

Ara tergelak kecil. Walaupun hatinya masih sakit, tawa itu terasa melegakan.

"Oh ya... Atul datang sini sebab mak suruh panggil. Makan malam sama-sama. Jom, mak dah siap masak tu," sambung Atul.

Ara menghela nafas perlahan. "Hmm... Atul pergilah dulu. Nanti akak datang."

Tangannya mula menyusun semula album-album ke dalam kotak. Sebenarnya, dia berat hati untuk bersemuka dengan ibunya. Masih ada rasa bersalah yang menggunung sejak kejadian pagi tadi. Namun jauh di sudut hati, dia tahu ibunya hanya marah kerana sayang.

Atul bangun, namun sempat berpaling kembali.

"Kak... apa yang jadi pagi tadi? Atul ada dengar mak bising-bising. Tu yang akak menangis ni ke?" Soalannya terpacul tiba-tiba, didorong rasa ingin tahu.

"Tak ada apalah," balas Ara, pantas. "Dah, pergi tolong mak siapkan apa yang patut."

Nada suara Ara jelas menunjukkan dia enggan berbicara lebih lanjut. Atul mengangguk perlahan, menghormati pendirian kakaknya. Dia tahu—Ara bukan jenis yang suka meluahkan, walaupun kepada orang paling rapat sekalipun.

Tanpa banyak soal lagi, Atul pun melangkah keluar, meninggalkan kakaknya yang masih setia di dalam stor, bersama kenangan yang tak pernah hilang dari ingatan.

***

Atul menyusun satu demi satu pinggan dan gelas di atas meja makan. Tangannya bergerak, tapi fikirannya jauh melayang ke masa lalu—saat meja makan ini menjadi saksi gelak tawa tiga beradik yang saling berebut menolong ibu menyediakan hidangan.

Dulu, bila masuk waktu makan, dapur kecil itu akan penuh dengan suara mereka. Ada yang membancuh air, ada yang menyusun pinggan, ada yang mengangkat lauk. Ara, sebagai anak sulung, ditugaskan membasuh pinggan dan menyediakan minuman. Pasangan kembar pula—Fia dan Atul—mengemas meja. Itulah rutin mereka, penuh ceria dan harmoni.

Namun kini, semuanya tinggal kenangan yang hanya hidup dalam ingatan.

Penceraian ibu bapa mereka telah mengubah segalanya. Terutama sekali hubungan antara Ara dan Fia. Ara yang dulu anak manja ayah, berubah menjadi keras kepala dan suka keluar rumah. Fia pula, dari seorang gadis periang, berubah menjadi pendiam dan pasif. Seakan-akan, sebahagian daripada jiwanya turut musnah bersama perpisahan ibu dan ayah mereka.

"Kakak mana?"
Suara Puan Hajar memecah lamunannya.

"Hm? Akak dekat stor. Kejap lagi datanglah tu," jawab Atul, cepat-cepat mengambil jag air dan menuang ke dalam gelas.

Puan Hajar hanya mendengus kecil sambil meletakkan semangkuk lauk di atas meja.

"Hmph, kakak kau tu... tegur sikit, sentap. Marah sikit, menangis. Entah bila nak sedar diri."

Atul diam. Belum sempat dia membalas atau bertanya lanjut, kelibat Ara muncul di dapur. Langkahnya tenang, wajahnya biasa-biasa saja, tapi Atul tahu—di balik semua itu, ada luka yang masih belum sembuh.

"Eh, hai kak!" sapa Atul, cuba menceriakan suasana.

Ara membalas dengan senyuman nipis dan duduk di sebelah Atul. Dia sempat menjeling wajah ibunya. Tiada lagi riak marah. Lega.

"Nampaknya mak dah okay sikit," bisik hati kecilnya.

Mata Ara terarah pada lauk-pauk di atas meja. Aroma asam pedas yang memikat itu menusuk hidungnya.

"Wahhh! Mak masak asam pedas hari ni? Mesti padu ni!" Ara bersuara, mencuba nasib untuk mencairkan suasana.

Puan Hajar mengangkat wajah, tersenyum nipis.

"Tengoklah siapa yang masak. Mak kau ni bekas juara pertandingan memasak tiga tahun berturut-turut masa sekolah dulu, tau," balas ibunya dengan nada gurauan.

Ara tersenyum lebih lebar. Usahanya berhasil. Dia tahu ibunya tak pernah tahan marah lama-lama. Hati seorang ibu, walau sekeras mana, tetap cair untuk anak-anaknya.

"Eh, Atul. Fia mana?"
Tiba-tiba Puan Hajar menepuk lembut lengan Atul. Wajahnya tertoleh ke arah bilik Fia yang masih tertutup.

"Atul dah kejut tadi, tapi tak bangun-bangun. Nak pergi tengok kejap—"

Belum sempat dia bangun, Ara menahan tangannya.

"Takpe, biar akak tengokkan. Mak dengan Atul makanlah dulu," ujar Ara, bingkas bangun dan menuju ke bilik Fia.

Tok! Tok! Tok!
Ketukan lembut di pintu bilik Fia.

"Fia?"
Ara memanggil, tapi tiada sahutan.

"Fia, akak masuk ya," katanya perlahan, meminta izin walau tahu adiknya sukar dibuka bicara.

Perlahan-lahan pintu dibuka. Pandangannya tertancap pada tubuh Fia yang terbaring lemah di atas katil.

"Fia? Fia okay ke?"
Cepat-cepat Ara meluru ke sisi adiknya.

"Ya Allah... Fia?"

Dahi Fia disentuh. Panas. Terlalu panas.

"Fia, kenapa panas sangat ni?"
Panik mula menjalar. Wajah Ara berubah cemas, hatinya digasak resah.

"Mak! Mak!" jerit Ara sambil menoleh ke arah pintu.
"Fia demam! Panas sangat ni."

***

Ara mundar-mandir di ruang tamu, fikirannya berkecamuk. Fia masih terbaring lemah di dalam bilik, dan walaupun suhu badan adiknya sudah dilap dengan tuala basah, keadaannya masih belum menunjukkan sebarang perubahan.

"Mak, Ara keluar sekejap. Nak ke pekan pergi farmasi beli ubat untuk Fia," katanya cepat, sambil mencapai beg kecil dan kunci motor.

Hajar yang sedang memeriksa suhu Fia hanya mengangguk tanpa bantah.

"Hati-hati, Ara. Kau tu tak ada lesen!" pesannya ringkas.

***

Motor kapcai buruk milik keluarga itu menderum perlahan menyusuri jalan kampung. Ara mempercepatkan sedikit tunggangan, fikirannya tidak henti-henti risaukan keadaan adik kembarnya.

Tak sampai lima belas minit, Ara tiba di farmasi kecil di pekan berhampiran. Setelah berbincang dengan ahli farmasi dan membeli ubat demam serta beberapa kelengkapan lain, Ara melangkah keluar.

Langkahnya sedikit kelam-kabut. Telefon di tangan bergetar, panggilan dari rumah.

"Ya, mak?"

"Fia dah muntah. Cepat balik, Ara."

"Ya Allah. Ara balik sekarang."

Dia mempercepatkan langkah. Tangannya menggenggam erat plastik ubat. Hatinya tidak tenang. "Bertahan ya, Fia..."

Seketika, dari simpang kecil, sebuah kereta MPV hitam membelok ke arah yang sama.

Pak Mat, pemandu berusia 60-an, memandu dengan tenang namun sedikit tidak fokus dengan suara anak majikannya yang sedang bertanya dari tempat duduk belakang.

"Pak Mat, kedai buku tu tadi sebelah mana eh? Saya rasa macam ada nampak..."

Dan dalam sekelip mata—Pak Mat yang baru nak membelok ke kiri tidak sempat menekan brek apabila sebuah motor muncul dari arah bertentangan.

"Astaghfirullahalazim!"

BRAKK!

Dentuman kuat menyentak suasana.

Tubuh kecil Ara terpelanting dan terhempas ke atas jalan. Plastik ubat tercampak ke tepi. Motornya jatuh menyamping. Ara terkulai diam—tidak bergerak.

"YA ALLAH!" jerit Aisya dari dalam kereta.

Pak Mat cemas, terus memberhentikan kereta dan meluru keluar.

Aisya turut keluar, panik.

"Cik! Ya Allah..." Aisya melutut di sisi tubuh yang kaku itu. Wajah gadis itu berdarah sedikit di dahi, dan ada calar di tangan. Tapi yang lebih mengejutkan—wajah itu... familiar.

"Pak Mat... dia... dia macam..."

"Kita kena hantar dia ke hospital cepat, dia pengsan ni!" Tanpa buang masa, Pak Mat mendukung tubuh Ara ke dalam kereta. Aisya pantas capai beg kecil milik gadis itu, termasuk plastik ubat yang terjatuh di tepi jalan.

***

Hospital Daerah Sri Damai

Suasana bilik rawatan sunyi, hanya bunyi mesin pemantau yang berbunyi sesekali. Cahaya matahari yang masuk dari tingkap mencipta corak samar pada lantai putih.

Ara terbaring diam, tangannya berbalut luka ringan, dahi masih berplaster. Dia sudah sedar sejak dua jam lepas, tapi matanya sengaja dipejam rapat. Enggan menyahut, enggan berbicara.

Pintu bilik diketuk perlahan.

Tok, tok...

Sejurus kemudian, daun pintu dibuka. Wajah Aisya muncul dengan senyuman nipis dan tangan yang memegang termos air panas serta beg plastik berisi buah.

Wajah Aisya dipandangnya sekilas.

"Assalamualaikum.. Haura Syuhada."

Ara tak menjawab. Dia tahu suara itu. Dia kenal suara itu. Dan dia benci suara itu.

Aisya melangkah masuk perlahan, meletakkan barang-barang itu di atas meja sisi.

"Maaf... sebab kejadian pagi tadi dan jugak malam ni. Saya... saya tak sangka awak yang naik basikal tu. Saya betul-betul—"

"Tak payah pura-pura risau." Suara Ara perlahan tapi cukup tajam.

Aisya terdiam. Pandangannya jatuh ke lantai.

Bilik hospital itu sunyi, hanya bunyi mesin pemantau dan hembusan pendingin hawa yang menemani. Aisya duduk di kerusi tepi katil Ara, berdiam lama. Dia memandang gadis yang masih berbalut dahi dan kelihatan agak lemah.

Ara memalingkan wajah ke luar tingkap. Dia tahu Aisya di situ, tapi dia memilih untuk tidak menyapa.

Beberapa minit berlalu.

"Awak selalu macam ni ke?" soal Aisya perlahan. Suaranya tenang. Tidak menekan.

Ara tidak menjawab.

"Diam. Elak orang. Tahan semua sorang-sorang." Aisya sambung lagi.

Ara menarik nafas. Masih tidak menoleh.

"Kalau aku nak layan orang tak dikenali masuk bilik aku, lebih baik aku jadi nurse je. Bukan pesakit." balas Ara sinis.

Aisya ketawa kecil. Dia tidak terasa.

"Maaf. Saya tahu awak marah. Dan awak ada hak tu. Saya yang langgar awak."

Ara mengerling tajam. "Tahu pun."

"Tapi saya bukan datang sini sebab rasa bersalah semata-mata."

Ara mengangkat kening, akhirnya memandang Aisya. "Oh? Nak tunjuk simpati pulak?"

"Tak. Saya cuma... terfikir. Apa yang jadi hari ni cukup singkat tapi bermakna."

Berkerut dahi Ara mendengar. Entah apa yang bermaknanya. Malang adalah, dia yang dilanggar dua kali sehari. Dia yang merasa sakit terjatuh, terhempas di atas jalan. Malah, yang lebih menyakitkan adalah dilanggar oleh orang asing yang sama!

"Saya rasa ini semua peringatan dari Tuhan. Bukan untuk awak je. Untuk saya juga. Mungkin ada sesuatu yang Allah nak saya belajar hari ni melalui awak. Dan disebabkan tu, Dia pertemukan kita dua kali dalam satu hari yang sama... walaupun kita tak kenal antara satu sama lain."

Ara mengerling sekilas, "Pertemuan dua kali yang betul-betul malang dalam hidup aku! Senang je kan kau cover kesalahan kau dengan bagi ayat-ayat islamik, yang nampak puitis, yang syahdu boleh buat orang rasa tersentuh. Kau ingat dengan kata-kata tu boleh buat luka semua ni sembuh ke? Hari ni je dah dua kali aku jatuh disebabkan kau!"

Aisya tersenyum kelat dengan kata-kata Ara. Dia tahu luka-luka di tubuh Ara itu takkan mampu terubat dengan kata-katanya. Dan dia juga tahu setiap kata-kata Ara itu memang benar, dia sedar memang dirinya lah punca dua kali kemalangan tak disengajakan itu.

"Saya tahu kata-kata saya takkan mampu ubatkan luka tu, dan saya juga tahu saya yang bersalah. Sebab tu saya datang nak minta maaf dan perbetulkan semuanya."

Ara diam, malas mahu membalas namun dibalas dengan jelingan kecil.

Melihat Ara yang hanya berdiam diri tanpa respon, Aisya menyambung lagi, "Bila saya renungkan balik apa yang jadi hari ni, buat saya sedar kadangkala kita ni manusia selalu terlalu yakin dengan jalan yang kita pilih. Tapi kita lupa, walau kita kayuh laju mana pun, kalau Dia tak izinkan kita sampai... kita tetap akan jatuh."

Ara tertusuk dengan ayat itu, tapi dia cepat-cepat menutup reaksi.

"Apa yang kau tahu pasal hidup aku?"

"Tak tahu. Tapi saya tahu rasa jatuh tu. Bukan sekadar fizikal yang jatuh. Tapi jatuh yang buat kita terhenyak. Rasa tak mampu. Rasa macam... Tuhan jauh." Nada Aisya berubah perlahan.

Ara menjeling, mata masih dingin. Tapi hatinya tidak.

"Tapi masa saya rasa paling kosong... saya belajar satu benda. Tuhan tak pernah tinggalkan kita. Kita je yang selalu jalan jauh dari Dia."

Senyap.

Aisya bangun perlahan, mengambil begnya. Dia tak mahu memaksa. Dah cukup dia cuba sampaikan apa yang perlu.

Sebelum melangkah keluar, Aisya sempat berkata, "Saya doakan awak cepat sembuh, Haura. Bukan cuma luka di kepala tu... tapi juga luka dalam hati awak. Moga Allah tenangkan.

Ara terpempan. Namanya disebut. Tapi... dia tak pernah kenalkan diri. Dia berpaling.

"Macam mana kau tahu nama aku?"

Aisya tersenyum sambil membuka pintu bilik.

"Tadi jururawat sebut. Masa dia panggil awak bangun. Assalamualaikum."

Daun pintu tertutup perlahan.

Ara termenung. Matanya tak lepas dari pintu yang kini tertutup rapat. Hatinya sedikit terusik, walau dia cuba nafikan.

Dalam diam, ada satu suara kecil yang berbisik dalam jiwanya.

"Tuhan tak pernah jauh. Kau je yang lari..."

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience