Pagi di sekolah seperti biasa—riuh dengan suara pelajar, derap kasut yang berlumba menaiki tangga, dan jeritan cikgu disiplin yang sudah sebati sebagai alarm tak rasmi waktu sekolah bermula.
Ara baru saja letak beg dalam kelas ketika suara yang amat dikenali menyapa dari arah pintu.
"Assalamualaikum, Cik Haura... so kenapa tak bagitau basikal awak dah sihat walafiat? Saya tunggu kat simpang jalan depan rumah tadi macam orang hilang anak, tahu tak?"
Ara berpaling. Hafiyy berdiri di situ dengan wajah penuh dramatik, lengkap dengan gaya tangan bersilang di dada dan dahi berkerut konon-konon kecewa.
Ara tergelak kecil. "Laa, sorry la Tuan Hafiyy. Saya taknak susahkan awak. Awak tu kan penting. Mesti jadual padat macam menteri pelajar."
"Amboi!" Hafiyy melangkah masuk, sandar di meja sebelah. "Jadual saya tak padat mana pun, cuma penuh dengan menunggu awak je hari-hari."
Ara geleng kepala, senyum tak lepas dari wajahnya.
"Oh, by the way," Hafiyy tiba-tiba tukar topik, "Tok aku kirim salam. Dia kata dah lama tak nampak kau datang rumah. Dia rindu nak makan kuih yang kau selalu buat masa bulan puasa tahun lepas."
Ara angkat kening. "Yeke? Alahai... rindunya kat Tok! Dia sihat ke?"
"Sihat. Tapi dia kata kalau kau tak datang jugak minggu ni, dia nak boikot cucu dia ni," Hafiyy balas sambil buat muka cuak main-main.
"Haha, janganlah boikot Hafiyy. Aku janji hujung minggu ni aku datang. Nak bawa buah tangan sikit untuk Tok. Nanti kau tolong aku beli kat pekan, eh?"
"Set, deal. Tapi dengan syarat," Hafiyy acah-acah serius.
Ara sempat menyampuk, "Let me guess... kau nak upah cendol tiga bungkus lagi?"
"Bukan. Kali ni aku nak kau jangan lupa panggil aku 'Hafiyy si cucu kesayangan Tok' depan Tok nanti."
"Hahah merepeklah kau!"
Mereka tergelak bersama, suasana menjadi ringan dan ceria. Tapi hanya untuk beberapa saat.
Kerana sebaik sahaja Ara berpaling ke luar tingkap kelas, tawanya terus mati.
Susuk tubuh tinggi, berkulit sawo matang, kemeja putih tersarung kemas—Wahyun. Bersama dua orang kawannya, sedang melintasi koridor dengan langkah tenang, tapi penuh aura 'aku-bagus'.
Mata Ara mengecil, dahi berkerut. "Ha tengok tu... si poyo megah melintas!"
Hafiyy ikut tengok. "Siapa?"
"Si Wahyun la. Ketua pengawas sejuta jelingan maut tu."
Hafiyy sengih. "Aku rasa kau ni bila menyampah, bunyi dia macam... sayang yang terpendam."
Ara terus mencubit lengan Hafiyy namun masih beralas dengan baju lengan panjang Hafiyy. "Hoi! Kau jangan nak tambah bahan api dalam bara hati aku ni."
"Aduh! Sakitlah! Ni baru cubit kau, belum kena panahan jelingan si Wahyun tu."
Ara mengeluh, tapi dalam hati dia pun tergelak juga. Hafiyy memang tahu macam mana nak buat dia tenang, walaupun dengan lawak-lawak merepek.
***
Waktu rehat. Perpustakaan sekolah lengang seperti biasa. Hanya beberapa pelajar yang setia berteman buku, dan sunyi yang menenangkan.
Kebiasaannya Ara akan memilih sudut paling belakang—tempat kegemarannya untuk melarikan diri dari dunia luar. Namun disebabkan kali ini tempat itu telah pun dipenuhi dengan pelajar lain, maka dia terpaksa akur untuk duduk di tempat yang masih kosong, namun jauh dari orang lain. Di pangkuannya, senaskhah buku motivasi bertajuk Tenang Walau Tak Sempurna. Pemberian Aisya. Dia masih tak pasti apa niat sebenar Aisya beri buku itu, tapi...
Buku ini... lain macam.
Ayat-ayatnya menembusi hati.
"Kita tak perlu jadi sempurna untuk bahagia. Kadang-kadang, cukup sekadar reda. Bukan kalah, tapi berserah. Bukan lemah, tapi melepaskan untuk lebih kuat."
Ara menelan liur. Tangannya berhenti pada satu halaman yang penuh dengan nota tangan kecil—catatan pemilik asal buku itu. Tulisan kemas itu menambah dalam makna pada ayat asal buku:
"Aku pun pernah jatuh. Pernah rasa hilang diri sendiri. Tapi Allah tetap tunggu aku kembali."
Tanpa sedar, kelopak matanya terasa panas. Nafas ditarik perlahan-lahan. Seakan setiap bait perkataan dalam buku itu sedang bercakap terus ke jiwanya yang masih bersisa luka.
"Aisya... kenapa buku ni rasa macam kau dah tahu semua yang aku pendam?" bisiknya perlahan.
Namun, belum habis dia menyelami dunia kecil itu, perutnya tiba-tiba memulas. Dia mengeluh perlahan dan letakkan buku itu atas meja.
"Aduh! Time ni jugak la kau nak buat perangai." Ara meringis.
Segera dia bangun dan terus keluar dari perpustakaan menuju ke tandas dengan langkah tergesa-gesa.
***
Beberapa minit kemudian...
Wahyun melangkah masuk ke perpustakaan dengan dua buah buku dalam tangan. Langkahnya tenang seperti biasa. Dingin. Berdisiplin. Dia terus ke kaunter pemulangan, meletakkan buku dan menulis nama dalam rekod pinjaman.
Ketika hendak beredar, matanya tertangkap pada sebuah buku yang terbiar di atas meja sebelah rak buku sejarah, berdekatan dengan laluan keluar.
Dia hampir berlalu...
Tapi langkahnya terhenti.
Seakan ada sesuatu yang memanggil. Dia menghampiri buku itu, membelek helaian pertama.
Tenang Walau Tak Sempurna.
Dibelek helaian kedua.
Kemudian helaian ketiga.
Dan seterusnya.
Seketika, matanya membulat sedikit. Tulisan kecil di tepi halaman—nota peribadi yang ditulis dengan penuh emosi, dengan gaya tulisan yang dia cukup kenal.
Tulisan itu... tak mungkin dia lupa.
Semakin dia membaca, semakin kuat perasaannya.
Tangannya berhenti di tengah-tengah buku. Nota kecil di tepi helaian—tulisan tangan yang sangat dikenalinya.
Wajahnya berubah sedikit.
Jari-jarinya menyentuh tulisan itu perlahan.
"Allah tak pernah lupakan kita. Cuma kita je selalu lupa Dia..."
Tulisan itu... terlalu dekat. Terlalu familiar.
Tulisan itu... tak mungkin dia lupa.
Semakin dia membaca, semakin kuat perasaannya.
Perlahan-lahan bibirnya menyebut, "Warda..."
"Ehem!"
Tiba-tiba suara deheman kecil memecah lamunannya.
Dia berpaling. Berdiri di belakangnya—Ara. Sedang berpeluk tubuh, wajahnya jelas tak senang.
"Itu buku saya," ujar Ara, nadanya tegas.
Wahyun menatapnya beberapa saat. Pandangan mereka bersilang, tajam dan tak mesra. Namun Wahyun tak berkata apa-apa. Dia tahu... buku itu bukan milik Ara. Dia cukup kenal dengan tulisan itu. Tapi dia simpan semuanya dalam hati.
Dia menutup buku itu perlahan-lahan, letakkan kembali di meja, lalu melangkah keluar tanpa sepatah kata.
Ara sempat menjeling. Geram.
"Poyo." Bisiknya kuat sedikit. Sengaja.
Langkah Wahyun terhenti sedikit di ambang pintu. Tapi dia tak menoleh. Langkah diteruskan sampai hilang dari pandangan.
Ara duduk semula sambil mengomel perlahan.
"Dia ni memang betul-betul ambil kursus 'dingin tahap ais batu' ke apa? Kalau ada anugerah lelaki paling poyo dan misteri, confirm dia menang. Kalau nak tahu sangat pasal buku ni, mintak elok-eloklah. Ni tak, buat muka macam guard istana. Menyampah betul."
Dia menyelak semula buku itu. Tapi fikirannya bukan lagi pada ayat-ayat motivasi yang tadi dibacanya. Wajah Wahyun muncul dalam bayangannya, bersama nama yang dia sebut perlahan tadi. Entah kenapa, dalam marah-marahnya... nama "Warda" yang dia sempat dengar Wahyun sebut tadi, macam tak nak hilang dari benaknya.
Warda?
Siapa?
Dan kenapa tulisan itu... membuat Wahyun terhenti begitu lama?
***
Ara tarik nafas panjang. Cuba tenangkan degup jantung yang tiba-tiba laju. Matanya masih melekat pada buku yang kini terbaring diam di hadapannya. Seolah-olah buku itu menyimpan lebih banyak rahsia daripada sekadar kata-kata motivasi.
Matanya melirik semula pada tulisan tangan kecil di bahagian tepi helaian—yang kini jelas mengundang lebih banyak tanda tanya daripada sekadar rasa tenang yang dia rasa tadi.
Warda?
Siapa Warda?
Kenapa nama tu keluar dari mulut si poyo tu seakan... dia sedang sebut nama seseorang yang pernah dia kenal rapat?
Ara mencebik. Tangannya menutup buku itu dengan kasar, kemudian bersandar di kerusi dengan berpeluk tubuh.
"Entah-entah dia pun kenal Aisya... Tapi apa nama penuh Aisya ek? Hari tu dia ada bagitahu tapi... lupa lah." dia berbual sendiri.
Dia cuba halau rasa ingin tahu itu, tapi otaknya tak berhenti membebel.
Satu demi satu wajah Wahyun terbayang semula. Pandangan matanya. Cara dia pegang buku tadi. Cara dia selak helaian dengan jari yang perlahan dan penuh hati-hati. Macam orang yang jumpa sesuatu yang dia tak sangka akan jumpa.
Bukan... itu bukan gaya budak genius poyo.
Itu gaya... orang yang menyimpan sesuatu.
Ara geleng kepala kuat-kuat.
"Eh, apa aku fikir ni? Tak ada kena-mengena pun dengan aku. Poyo tetap poyo," katanya dengan suara agak kuat sampai budak sebelah meja jeling pelik.
Ara tunduk.
Dia peluk semula buku Tenang Walau Tak Sempurna itu erat-erat, dan kali ini... dia buka satu halaman secara rawak.
"Ada waktunya, Allah temukan kita dengan seseorang bukan untuk kita jatuh cinta, tapi untuk kita belajar sesuatu. Tentang diri sendiri. Tentang kehilangan. Tentang pengampunan."
Ara terdiam.
Jantungnya tiba-tiba rasa tak tentu arah lagi.
"Aku nak belajar apa sebenarnya...?" dia bisik perlahan.
Dia pejam mata sejenak.
Tak tahu sama ada buku ini sedang membawa ketenangan...
...atau membuka pintu kepada sesuatu yang dia cuba elak sejak awal.
Ara kembali membelek helaian demi helaian. Walaupun kejadian sebentar tadi masih bermain di fikiran, hatinya tetap ditarik oleh isi buku itu. Ada sesuatu dalam setiap patah perkataan yang buat dia rasa... dilihat. Difahami.
Matanya menangkap satu lagi perenggan yang buat dia terdiam lama.
"Allah tak akan sia-siakan airmata yang jatuh kerana kita berjuang menjaga maruah dan iman. Bila semua orang salah faham, Allah tetap faham."
Hatinya terasa seperti disapa perlahan. Lembut, tapi terus menusuk.
"Kadang-kadang, luka paling dalam tak datang dari musuh. Tapi dari orang yang kita sayang dan percaya."
Ara ketap bibir. Ayat itu kena tepat ke jantung. Dia terbayang wajah setiap orang yang pernah dikenalinya.
Perlahan dia telan air liur. Rasa perit dalam dada tu... bukan sebab buku. Tapi sebab kebenaran.
Ara selak satu halaman yang terasa sedikit tebal. Ada helaian nota kecil yang disisip rapi di situ — tulisan tangan kemas yang sangat dikenalinya.
Tulisan Aisya.
Dia baca perlahan. Jantungnya seolah berhenti seketika.
"Dulu aku benci pada hidup. Aku benci pada apa yang berlaku, pada siapa yang buat aku terluka... dan paling aku benci, pada diri aku sendiri. Aku selalu tanya — kenapa aku? Kenapa aku yang kena rasa semua ni? Tapi semakin hari, semakin aku sedar... Allah tak pilih aku untuk diuji sebab Dia benci. Tapi sebab Dia tahu aku boleh."
Ara diam. Matanya tak berkedip.
"Ada luka yang tak sembuh walaupun bertahun. Tapi aku belajar... berdamai bukan bermakna aku lupa. Berdamai bermakna aku redha. Aku terima yang aku pernah lemah, pernah kecewa, pernah hampir putus asa. Tapi aku bangkit. Dan itu lebih penting dari segalanya."
"Kadang aku menangis tanpa sebab, sebab luka tu masih ada. Tapi setiap kali aku doa dan sebut nama Allah... hati aku jadi tenang. Allah itu penyembuh sebenar. Bukan masa. Bukan manusia."
Ara ketap bibir. Dada terasa sesak. Dia boleh rasa... ini bukan sekadar nota.
Ini sebahagian daripada jiwa Aisya yang sedang menyembuhkan dirinya.
"Hari ni aku menulis bukan sebab aku dah kuat. Tapi sebab aku masih belajar. Masih mencari damai. Masih belajar untuk maafkan semua... termasuk diri sendiri."
Ara pejam mata sekejap.
Satu rasa yang tak mampu digambarkan datang menyerbu dadanya.
'Aisya... siapa kau sebenarnya?'
Ara terdiam lama. Buku di tangannya perlahan-lahan ditutup, tapi hatinya masih terbuka pada seribu satu persoalan.
Dia pandang meja kosong di hadapannya. Pandangan itu kabur, berkaca. Tapi bukan sebab sedih semata-mata. Ada sesuatu dalam tulisan Aisya yang buat dia rasa... kerdil.
"Selama ni aku rasa aku sorang je yang luka. Rasa macam orang lain takkan faham apa yang aku lalui. Tapi... Aisya pun pernah rasa sakit rupanya. Mungkin lagi dalam dari aku." Monolognya sendirian.
Ara bersandar di kerusi, mata memandang siling perpustakaan yang senyap dan dingin.
"Dia nampak lembut. Tenang. Tapi siapa sangka, dalam tenang dia tu... ada ribut yang pernah mengganas? Dan sekarang dia cuba bina semula semuanya dari runtuhan."
Perlahan-lahan, ada suara kecil dalam dirinya yang bersuara.
"Kalau dia boleh bangkit... kenapa aku tak boleh?"
Ara telan air liur. Tangannya menggenggam buku Tenang Walau Tak Sempurna itu erat-erat. Seolah-olah dia sedang menggenggam semangat baru yang perlahan-lahan sedang membungkus hatinya yang dah lama sejuk dan sunyi.
'Mungkin... aku pun kena belajar berdamai.'
Dia senyum sedikit, senyum yang kelat. Tapi sekurang-kurangnya kali ini, senyuman itu datang bukan kerana dia paksa. Tapi kerana dia sedar... ada harapan.
Walau tak sempurna.
***
Share this novel