Suasana rumah sunyi, hanya suara TV yang terpasang menemani waktu rehat itu. Ara duduk di sofa, bersandar sambil memegang bantal kecil. Matanya memandang skrin, tapi fikirannya melayang.
"Jadi nanti kita pergi awal sikit ya, Atul. Tak nak terlepas slot pertama," suara Puan Hajar dari arah dapur menyapa sambil melangkah ke ruang tamu, duduk di sisi Atul.
Ara hanya menjeling sekilas.
"Atul nak duduk depan ke belakang? Nanti ramai orang, cepat penuh," sambung Puan Hajar, semangat berbual tentang program usrah hujung minggu.
Ara malas ambil peduli. Hujung minggu begitulah rutin mak dan adiknya. Masjid, usrah, ceramah... bukan dunianya.
Tiba-tiba, tepuk!
Paha Ara ditepuk perlahan oleh Atul.
Ara terkejut sedikit. "Apa?!"
Atul tergelak. "Jom lah join sekali, kak. Seronok tau! Minggu ni ada ustazah dari luar datang."
Ara buat muka tak minat. "Taknaklah."
Puan Hajar terus menyampuk, nadanya tajam. "Dah. Tak payah diajak. Orang dah taknak, biarlah. Nak nampak dia ke masjid pun payah. Inikan pulak usrah."
Ara hanya memekakkan telinga. Matanya kembali ke TV.
"Tengok tu, duduk je layan TV. Solat pun mak tak pernah nampak. Malas betul nak cakap," sambung Puan Hajar.
Ara mencemik. "Fia pun sama je. Kenapa mak tak tegur dia? Asyik Ara je kena."
Puan Hajar tak teragak-agak menjawab, "Memanglah Fia tu macam tu. Kalau kakaknya pun tak betul, mana adik nak ikut? Kau tu sulung, sepatutnya tunjuk contoh yang baik."
Ara mengeluh panjang. Tangannya capai remote, terus off TV. Tanpa sepatah kata, dia bangun dan masuk ke biliknya.
"Ha, tengok tu perangai kakak kau," kedengaran suara Puan Hajar di belakang.
***
Ara rebahkan diri di atas katil. Suara bebelan maknya masih jelas kedengaran dari luar bilik. Matanya pejam, cuba pejamkan semua rasa.
Beberapa saat kemudian, dia bangun perlahan, buka tingkap biliknya. Angin petang menyapa lembut wajahnya.
Dia tarik nafas dalam. Cuba tenang. Cuba lapangkan dada.
Pandangan matanya tiba-tiba jatuh ke arah sejadah yang tergantung. Lama dia pandang. Seolah-olah sejadah itu sedang bercakap dengannya. Teguran maknya tadi terngiang-ngiang semula dalam kepala.
Dengan perlahan, dia bangun dan capai buku Aisya yang terletak di meja sisi. Buku itu satu-satunya benda yang buat dia rasa "selamat" sejak kebelakangan ni.
Diselaknya halaman terakhir yang dia baca tempoh hari.
Dan matanya tertancap pada satu ayat yang seolah-olah menyentak terus ke jiwanya:
"Apabila manusia menjauh, Allah tetap menanti. Tapi bila Allah menegur, itu tanda Dia masih peduli. Maka jangan tunggu hati mati untuk kembali menjadi hambaNya."
Ara terdiam.
Tangan yang memegang buku itu menggigil sedikit. Dalam hatinya bergema—baru tadi maknya tegur, dan kini... seakan Allah pula menegurnya melalui buku ini.
Dia tunduk.
Dan untuk pertama kali selepas sekian lama, jiwanya rasa... tersentuh.
Ara duduk perlahan di hujung katil. Tangannya memegang sejadah yang baru sahaja diangkat dari penyangkut. Dia tiup perlahan permukaannya. Ada sedikit debu yang berterbangan. Sejadah itu terlalu lama tak terusik.
Dia sapu perlahan dengan tangannya. Seolah-olah menyapu beban yang entah dari mana datang.
Lama dia renung corak pada sejadah itu. Corak yang dulu sangat akrab dengannya. Tapi kini, kelihatan asing.
Dia bermonolog perlahan.
"Kenapa aku tak solat?"
Pertanyaan itu seperti menampar dirinya sendiri.
Bukan sebab dia tak tahu. Bukan juga sebab tak diajar.
Dulu, rumah ini pernah menjadi tempat tazkirah kecil selepas Maghrib.
Maknya—Puan Hajar, seorang ibu yang tak pernah lupa ajarkan nilai agama.
Tapi sejak perpisahan mak dan ayah... semuanya berubah.
"Aku pun berubah..."
Matanya mula berkaca. Dia tunduk menekur sejadah di riba.
"Sejak hari tu... aku jadi orang yang aku sendiri tak kenal. Aku benci siapa aku sekarang."
Dia bangun perlahan. Langkahnya membawa dia ke hadapan cermin. Dia berdiri di situ, menatap wajahnya sendiri. Wajah yang sama, tapi jiwanya terasa jauh dari siapa dirinya dulu.
Air mata yang ditahan, mengalir juga perlahan.
Hatinya berbicara dalam diam.
"Layak ke aku berubah? Layak ke aku kembali?"
Tangannya menyentuh bayangannya di cermin.
"Tapi macam mana?"
Dia pejam mata.
"Aku takut aku tak cukup kuat."
"Dan aku paling takut... aku tersungkur di tengah jalan."
Sejadah yang masih di tangan, dia peluk ke dada.
Seperti sedang memeluk harapan yang entah wujud entah tidak.
Tapi dia tahu... ada sesuatu dalam hatinya yang mula bergetar.
Walaupun samar, walaupun kecil.
Tapi ia tetap satu bisikan untuk kembali.
***
Tak lama selepas termenung di hadapan cermin, Ara berpaling. Seolah-olah ada sesuatu yang mengarahkannya untuk melihat semula sisi dirinya yang lain.
Dia melangkah perlahan ke arah almari kayu lusuh di sudut biliknya. Tangannya teragak-agak, tapi tetap dibuka perlahan daun almari itu.
Tangan kanan dia menyeluk ke belakang susunan pakaian yang digantung. Dari celah timbunan sweater lama, dia keluarkan sebuah kotak kecil biasa. Warna coklat pudar. Tiada corak. Tiada tulisan. Tiada ukiran. Hanya sebuah kotak kosong pada pandangan luar. Tapi bagi Ara, kotak itu menyimpan sesuatu yang lebih bernilai dari segala harta dunia.
Dia duduk atas katil. Kotak itu diletakkan di pangkuannya. Tangannya mengelus perlahan permukaan kotak itu. Nafasnya berat. Kemudian, dia buka perlahan penutupnya.
Di dalam kotak itu tersusun beberapa helaian kecil kertas, dilipat kemas. Warna kertasnya sudah sedikit kekuningan. Tapi bau kertas lama itu membawa kenangan yang terlalu dalam.
Ara capai satu. Dibukanya perlahan.
"Semoga hari ini kamu tenang, walau dunia tak pernah berhenti menggoncang."
Dia tersenyum nipis. Mata mula berkaca.
Dicapainya lagi satu.
"Kadang-kadang Allah sembunyikan cahaya supaya kita tahu bagaimana rasanya berjalan dengan iman, bukan pandangan."
Dia mengeluh kecil. Nota-nota itu sudah menjadi peneman jiwanya sejak zaman sekolah menengah.
Mula-mula dulu, dia fikir itu cuma kerja random pelajar lelaki yang mungkin 'terlebih minat' padanya. Secret admirer, katanya dalam hati. Tapi... Tahun demi tahun, nota itu tak pernah gagal muncul. Kadangkala dia jumpa terselit dalam laci meja sekolah. Pernah juga dalam poket beg, atau dalam buku rujukan yang dia baru beli.
Satu bulan, satu nota. Konsisten.
Tapi tak pernah tahu siapa yang mengirimkannya.
Tiada tanda tangan. Tiada tulisan nama.
Hanya tulisan tangan kemas dengan tinta biru gelap.
Dia keluarkan semuanya dan letakkan di atas katil.
Beberapa nota dibaca satu-persatu, seolah-olah mencari semula tenang yang telah lama hilang dari dirinya.
Tangannya berhenti pada satu nota yang paling lama dia simpan. Yang pertama dia terima.
"Saya doakan awak kuat, meski hari ini awak menangis. Dunia ini sementara, tapi saya doakan awak sentiasa dalam lindungan yang Maha Kekal."
Tangannya menggeletar sedikit.
Nota itu, yang dulu hanya sekadar ucapan asing, kini menjadi tempat dia kembali berpaut.
Matanya menatap lama helaian kertas itu.
Hatinya terdetik.
"Siapa kau?"
Bisikannya tenggelam dalam keheningan bilik yang hanya ditemani suara kipas dan detik waktu.
***
Suasana dalam kelas 5 Cempaka petang itu agak hening walaupun Cikgu Suhaila sedang mengajar subjek Bahasa Melayu dengan penuh semangat. Lambaian tangan cikgu di papan putih, suara lembut tapi tegas, dan bait-bait karangan contoh yang ditulis di papan hanya seperti latar bunyi yang samar di telinga Ara.
Dia duduk diam di tempatnya. Pandangan jatuh ke atas meja, namun fikirannya terbang jauh.
"Jahat sangat ke aku ni...?"
Bisik hatinya perlahan.
"Semata-mata sebab aku tak solat... aku free hair... aku tak tutup aurat macam orang lain. Berdosa sangat ke aku... sampai orang judge aku?"
Terngiang-ngiang suara tegas ibunya semalam, menyebut betapa perangai Fia terikut-ikut perangai "kakak dia yang tak betul." Perit. Ayat itu menyusup ke dada dan bergaung sampai hari ini.
Dan kemudian, wajah Aisya terlayar dalam fikiran.
Buku pemberian Aisya itu semalam, ada satu ayat dalamnya yang buat dia senyap lama:
"Apabila manusia menjauh, Allah tetap menanti. Tapi bila Allah menegur, itu tanda Dia masih peduli. Maka jangan tunggu hati mati untuk kembali menjadi hambaNya."
Kelopak mata Ara terasa panas. Tapi dia tahan.
Dia tunduk. Jari jemarinya mencengkam buku itu yang terselit di bawah meja.
"Ara!"
Satu suara memanggil. Tapi dia tak menyahut.
"Ara!"
Kali ini lebih kuat sedikit.
Ara tersentak. Dia angkat kepala perlahan.
Cikgu Suhaila berdiri di depan kelas, memandang terus ke arahnya.
"Kamu dengar ke apa cikgu cakap dekat depan? Dari tadi termenung tengok meja tu. Cuba fokus sikit cikgu tengah mengajar ni."
Ara hanya angguk perlahan. Dia tak mampu jawab. Suaranya entah ke mana.
Cikgu Suhaila pandang dia lama sebelum meneruskan kelas seperti biasa. Tapi sebelum melangkah keluar selepas kelas berakhir, cikgu itu sempat berkata perlahan, "Rehat nanti, jumpa cikgu ya? Di bilik guru."
Ara hanya tunduk.
***
Ara duduk diam di kerusi berhadapan meja Cikgu Suhaila. Tangannya masih menggenggam buku Aisya. Wajahnya tak diangkat. Cikgu Suhaila duduk di depannya dengan senyuman lembut.
"Cikgu perhatikan kamu... sejak akhir-akhir ni, kamu banyak termenung. Tak macam selalu. Kamu okay, Ara?"
Ara diam. Tangannya makin kemas menggenggam buku itu.
"Kalau kamu ada apa-apa, kamu boleh cerita. Cikgu takkan paksa. Tapi cikgu cuma tak nak kamu pendam sorang-sorang."
Masih tiada jawapan. Cuma satu hela nafas panjang.
Mata cikgu Suhaila tertancap pada buku di tangan Ara. "Buku tu..."
"Cikgu dah baca buku tu." kata Cikgu Suhaila sambil tersenyum. "Bagus sangat. Penuh dengan peringatan yang halus. Lembut, tapi tajam."
Ara pandang buku tu. Cikgu Suhaila hulur tangan. "Boleh cikgu tengok?"
Ara ragu-ragu. Tapi akhirnya dihulurkan juga.
Cikgu buka perlahan. Tersenyum bila terlihat beberapa coretan tangan di tepi helaian.
"Ini tulisan kamu?"
Ara tidak memberi sebarang respon.
"Cikgu baca ni... cikgu rasa kamu ni... kamu sedang cuba, kan?"
Ara tak jawab.
"Takpe, Ara. Perubahan tu tak perlu drastik. Tapi... bila hati tu dah mula terdetik... jangan abaikan. Benda yang baik elok diteruskan. Jangan tunggu lama."
Ara tunduk.
"Hidayah yang datang tu, tak selalunya akan datang dua kali. Tapi bila ia datang, sambutlah dengan hati yang terbuka."
Cikgu Suhaila pegang buku itu rapat ke dadanya sebentar, kemudian serah semula kepada Ara. "Kalau hati kamu dah mula rasa sesuatu... jangan takut untuk menyambutnya. Sebab Allah tak cari siapa yang sempurna. Dia cari siapa yang masih mahu kembali."
Loceng berbunyi. Menandakan tamat waktu rehat.
Ara bangun perlahan, minta izin untuk ke kelas semula. Dia capai bukunya, bersedia untuk melangkah keluar.
"Ara" panggil Cikgu Suhaila perlahan.
Ara berpaling sedikit.
"Bila hati tu mula rasa kosong, mula tercari-cari... itu maknanya hati kamu sedang cari Pencipta kamu. Hati kamu nak kembali pada yang menciptakannya. Jangan abaikan rasa tu, ya?"
Ara tak cakap apa-apa. Tapi matanya pandang lama wajah cikgu itu. Dalam diam, ada sesuatu dalam dadanya yang bergerak.
Dia tunduk perlahan, dan keluar dari bilik guru.
***
Share this novel