Bab 33

Drama Series 202

Usai solat, Ara berdiri terpacak di sisi katil. Dia genggam tangan sendiri, pandangannya jatuh ke lantai. Tubuhnya seolah-olah kaku—antara mahu duduk atau beredar, tapi tak tahu ke mana. Bukan dia tak mahu selesa. Dia cuma tak biasa. Kekok. Sunyi dalam kepalanya jauh lebih bising daripada dunia luar.

Aisya yang sedang baring separuh di atas katil, membaca buku dengan cahaya lampu meja, menyedari kehadiran Ara yang berdiri seperti anak kecil kehilangan arah. Dia letak buku atas dada, angkat kepala sedikit dan memandang Ara sambil senyum.

"Kenapa berdiri macam tu, Haura? Ada apa-apa ke?"

Ara geleng perlahan. "Tak ada apa-apa."

"Jomlah duduk sini," Aisya menepuk perlahan sisi katil di sebelahnya, senyum manis masih terukir. "Jangan berdiri je. Buat saya segan pula."

Ara teragak-agak. Kakinya bergeser perlahan ke arah katil. Masih ada getar ragu dalam langkahnya. Tapi akhirnya, dia duduk perlahan di sisi katil, hujung-hujung saja, seperti seseorang yang rasa dirinya tak sepatutnya berada di situ.

"Saya minta maaf sebab dah susahkan awak. Susahkan keluarga awak." suaranya perlahan, seperti bisikan yang takut didengar.

Aisya pandang wajah Ara, senyum lembut yang sarat dengan keikhlasan muncul lagi.

"Haura, awak tak susahkan pun. Serius. Tak ada siapa pun rasa susah. Malah, saya rasa bersyukur."

Ara berpaling sedikit, dahi berkerut. "Bersyukur? Kenapa awak bersyukur jumpa orang macam saya?"

Aisya angkat kening sedikit, sebelum dia duduk bersila menghadap Ara dengan lebih selesa.

"Ingat tak apa yang saya cakap dekat hospital hari tu?" Aisya mula mengingatkan, suaranya tenang dan mendalam. "Kadang-kadang, Tuhan temukan kita dengan seseorang pasti ada sebab. Kita tak tahu kenapa, tapi lambat laun, Dia akan tunjuk. Sama ada untuk ajar kita, sembuhkan kita atau selamatkan kita."

Ara tunduk. Hatinya digenggam erat oleh kata-kata itu. Dia teringat semula semua rasa yang bersimpang-siur dalam dadanya terhadap Aisya sebelum ini —benci, sakit hati, marah. Dulu, dia rasa Aisya hanyalah budak berlagak baik yang tak faham hidup. Budak perasan suci, anak orang senang, hidupnya senang.

Tapi sekarang, orang yang dia pernah jauhi itulah yang duduk di sebelahnya. Orang yang dia pernah anggap berlagak, itulah yang hulurkan tangan waktu dia jatuh. Waktu dia tak ada sesiapa.

Mereka berdua sama-sama senyap seketika. Tapi itu senyap yang selesa. Tiada beban. Tiada kepura-puraan.

Kemudian, Aisya tepuk-tepuk bantalnya. "Jomlah tidur. Esok kita nak solat Subuh sama-sama."

Ara angkat kepala, terkejut sedikit. "Solat jemaah ke?"

"Hmm!" Aisyah mengangguk laju, matanya bersinar. "Seronoklah! Rumah ni jarang sangat ada kawan sebilik yang boleh solat sama-sama. Saya tak ada adik-beradik lain. Saya memang doa nak sangat ada kawan serumah. Mungkin awak jawapan doa saya."

Ara senyum malu. Tapi dia berbisik perlahan, "Tapi... saya tak ada telekung."

Aisya senyum lagi. Tak habis-habis senyumannya yang lembut itu jadi ubat hati.

"Tak apa, kita banyak telekung simpanan. Pilih je mana-mana yang awak selesa."

Ara mengangguk, walaupun dalam hati masih rasa tak layak.

"Awak tak menyusahkan sesiapa, Ara," balas Aisya, lembut tapi penuh makna. "Ambil masa awak. Saya faham, mungkin sekarang awak masih belum selesa. Tapi saya yakin satu hari nanti, rumah ni akan rasa macam rumah sendiri."

Ara pandang Aisya. Lama. Bibirnya bergerak perlahan.

"Terima kasih."

Aisya tak jawab. Dia cuma senyum. Tapi senyuman itu cukup untuk buat hati Ara rasa dilindungi.

Malam itu, buat pertama kalinya dalam masa yang lama, Ara baring di sebelah seseorang tanpa rasa takut. Tanpa rasa benci. Dan walaupun luka dalam dirinya belum pulih, tapi ada sesuatu yang perlahan-lahan sedang berlaku.

Penyembuhan.

Bukan dari siapa-siapa yang dia harapkan.

Tapi dari seseorang yang tak pernah dia jangka akan hadir dalam hidupnya, dan tak pernah dia minta pun untuk dikenali.

Dan dengan mata yang separuh terpejam, Ara berbisik dalam hati...

Mungkin inilah caranya Tuhan nak sayang aku balik.

***

Jam baru menunjukkan pukul 5.30 pagi. Langit masih gelap, dan hanya bayang-bayang samar yang menyusup masuk melalui langsir yang ditiup perlahan angin pagi. Ara terasa tangan lembut menyentuh bahunya, diiringi suara lunak yang membangunkannya perlahan.

"Haura... dah nak masuk waktu subuh ni. Jom bangun solat," bisik Aisya dengan senyuman manis, duduk di tepi katil sambil tangannya masih menyentuh bahu Ara penuh kasih.

Ara terkelip-kelip. Sejenak, dia sangka semua ini cuma mimpi. Tapi wajah Aisya yang tersenyum tenang di hadapannya itu terlalu nyata untuk dimimpikan. Dia memandang siling bilik, kemudian sekeliling. Bilik yang asing, sunyi, dan tidak ada bunyi hiruk-pikuk Fia atau Atul, tidak juga suara mak memanggil dari dapur. Bukan bau nasi lemak sambal sotong yang menyambut pagi, tapi bau kayu manis halus dari pewangi bilik ini.

Dia telan air liur perlahan.

Ini bukan mimpi.
Aku bukan lagi di rumah itu.
Apa yang berlaku semalam bukan igauan.
Aku dah tinggalkan rumah aku sendiri.

Dan sekarang, dia berada di sini. Rumah orang lain. Di bawah bumbung yang asing, bersama insan yang dulu cuma dia kenal dari kejauhan.

Tanpa kata, Ara bangun perlahan dan masuk ke bilik air untuk mandi dan bersihkan diri. Saat dia sudah bersiap dan keluar dari bilik air, dia melihat Aisya sedang duduk di sejadah, mengalunkan bacaan al-Quran dalam suara rendah yang mendamaikan. Suasana terasa syahdu. Angin subuh menyelinap masuk, membawa dingin yang menenangkan.

Melihat Ara sudah bersiap, Aisya berhenti membaca. Dia bangkit, tersenyum, lalu membuka laci kecil di sisi almari. "Nah, telekung ni kami simpan untuk tetamu. Kalau nak yang lain boleh je ambil dekat bilik tetamu tu." katanya sambil menyerahkan telekung putih kepada Ara.

Ara ambil dengan senyuman kecil. "Terima kasih."

Aisya membalas dengan anggukan kecil. "Jom kita solat."

Mereka berdua berdiri di atas sejadah, membelakangi jendela yang sedikit terbuka. Cahaya langit mula berubah kelabu kebiruan. Aisya mengangkat takbir, menjadi imam. Suaranya mengalun perlahan, meresap ke ruang hati Ara.

Dan di situlah Ara berdiri, untuk pertama kalinya solat subuh secara berjemaah dengan orang lain dalam keadaan yang begitu tenang dan ikhlas. Tak ada ketakutan, tak ada rasa berpura-pura. Tiada rasa perlu menyembunyikan siapa dirinya.

Selama ini, dia sering bersolat dalam diam, di surau sekolah, atau dalam bilik ketika rumah sunyi. Rasa malu terlalu menjerat. Malu untuk berubah, malu nak tunjuk pada keluarga sendiri yang dia sedang cari Tuhan. Tapi pagi ini lain. Di rumah ini, bersama Aisya... dia rasa bebas. Bebas untuk jadi versi dirinya yang sedang belajar mengenal semula jalan pulang.

Air mata bergenang dalam kelopak.
Kenapa hati aku rasa macam ni?
Aku patut sedih ke... atau bahagia?
Kenapa semua rasa ni datang sekali?

Sujudnya terasa panjang. Seolah-olah di situ, dia curahkan semua rasa yang bersarang. Luka, takut, syukur... semuanya.

Dan ketika dia duduk di tahiyat akhir, satu perasaan berat membungkus dada.

Orang yang aku sangka buruk dulu, orang itulah yang kini imamkan aku. Orang yang aku pernah prejudis... dia yang hulur tangan bantu aku waktu aku rebah.

Kata-kata Hafiyy dulu tiba-tiba muncul dalam fikirannya.

"Bukan senang nak jumpa orang sebaik dia ni. Tapi kalau kau dapat peluang kenal dia... kau beruntung, Ara."

Dia kini percaya. Dan ya, dia mula rasa... mungkin inilah salah satu bentuk cinta Tuhan yang dihantar untuk dia.

Usai berdoa, Aisya menoleh. Senyum manis tetap di wajahnya.

"Awak ada apa-apa plan ke nak buat pagi ni?" soalnya lembut.

Ara teragak-agak. Dia tunduk sedikit. "Err... plan? Entahlah, saya pun tak tahu." jawabnya jujur, suara perlahan. Senyuman hambar menampakkan kekok yang tak dapat disembunyikan.

Aisyah hanya tersenyum lagi. "Tak apa. Biasalah tu. Mula-mula ni memang awak rasa kekok, tapi insyaAllah lama-lama nanti awak akan terbiasa."

Ara mengangguk perlahan.

"Oh ye.. Kalau awak nak tahu, selalunya kalau waktu hujung minggu, saya ikut umi pergi rumah perlindungan wanita. Tempat tu umi yang tubuhkan. Untuk perempuan-perempuan yang teraniaya, mengandung luar nikah... ataupun yang nak cari perlindungan sementara untuk ubah hidup. Lebih kurang macam sekolah jugalah. Tapi tempat tu khas untuk mereka yang nak pulih dari luka hidup mereka."

Ara angkat wajah, terkejut. "Serius? Ada tempat macam tu?"

Aisyah mengangguk tersenyum. "Hmm! Nama tempat tu Baitun Nisa'. Umi tu... dia memang dari dulu usahakan benda tu. Sebab dia percaya semua orang, terutamanya perempuan... berhak diberi peluang kedua."

Ara terdiam. Pandangannya kosong ke lantai. Tapi dalam hati, ada sesuatu yang perlahan-lahan terbuka.

Aisya tenung wajah Ara. "Kita tak tahu kan, siapa yang Allah nak hantar untuk bantu kita? Tapi setiap orang yang singgah dalam hidup ni pasti ada sebab. Ada yang datang sebagai ujian. Tapi ada juga yang datang sebagai jawapan."

Ara hanya angguk perlahan.

Dan pagi itu, buat pertama kalinya sejak lama... Ara rasa dia tak keseorangan.

***

Pagi itu, langit kelihatan cerah, seperti tahu hari ini adalah permulaan baru buat Ara. Udara masih sejuk, embun masih melekat di daun-daun kecil halaman rumah Puan Mariam. Di ruang tamu, Aisya sibuk menyiapkan fail program manakala Ara berdiri di tepi dinding, melihat-lihat kasut di rak. Dia masih rasa asing. Rumah ini, suasana ini, semua terasa baru... dan jujur, sedikit menyesakkan.

Tapi dalam diam dia tahu — ini jalan yang dia pilih. Atau mungkin, jalan yang Allah lorongkan walau pun dia tak pernah rancang.

"Jom, Haura." Aisya tersenyum mengajak.

Ara mengangguk kecil.

Ketika mereka melangkah keluar, Puan Mariam sudah menunggu di hadapan kereta. Wanita itu berpakaian jubah hitam dan tudung biru tua, sederhana tapi tampak tenang. Wajahnya terhias senyum keibuan.

"Haura..." Puan Mariam bersuara lembut sebaik saja Ara menghampiri. "Tak apa kalau rasa kekok sikit hari ni. Pelan-pelan, insyaAllah... nanti Haura akan selesa. Ramai dekat Baitun Nisa' tu baik-baik orangnya. Mana tahu, Haura boleh jumpa kawan baru kat sana."

Ara hanya mampu senyum kecil, tak mampu ucap apa-apa selain pandang matanya yang redup. Ada sesuatu pada cara Puan Mariam bercakap... seolah-olah dia benar-benar ambil berat. Bukan simpati kosong.

Aisya yang berdiri di sebelah hanya mengangguk, memandang Ara dengan senyuman penuh galakan. "Betul tu. Kita semua pernah silap. Tapi kita semua juga layak untuk jadi lebih baik, kan?"

Ara tak menjawab, tapi hatinya hangat. Dia melangkah perlahan masuk ke dalam kereta.

Setibanya di Baitun Nisa'.

Sebuah bangunan dua tingkat bercat warna krim pastel menyambut mereka. Pintu utamanya diperbuat dari kayu jati, diukir dengan tulisan khat yang halus: Baitun Nisa'. Bahagian luar dihiasi dengan landskap kecil — pokok bunga kertas dan beberapa pasu gantung berisi sirih gading menjuntai. Ada air pancut kecil di tepi pagar batu. Suasana tempat itu tenang... menenangkan.

Ara melangkah keluar dari kereta, matanya melilau ke sekeliling. Dadanya tiba-tiba rasa lapang. Ada yang damai di sini. Langit yang luas. Udara yang bersih. Dinding bangunan yang dicat dengan warna sejuk. Tempat ini seperti tempat orang yang mencari harapan.

Beberapa wanita berjalan melintasi halaman. Mereka berpakaian sederhana, ada yang menunduk sambil membawa buku, ada yang berselisih lalu senyum ke arah mereka. Wajah-wajah yang bersih... lembut... kelihatan seperti perempuan biasa.

Tapi Ara tahu — tiada siapa biasa di sini.

Setiap wajah itu mungkin menyimpan kisah. Kisah luka, kisah kelam, kisah yang tidak mudah untuk dilupakan. Mereka nampak suci, nampak baik... tapi siapa sangka, mungkin setiap seorang daripada mereka pernah bergelut dengan gelap yang sama. Gelap yang pernah melingkar dalam diri Ara sendiri. Namun di sini, mereka sedang belajar — untuk sembuh. Untuk bangkit. Untuk percaya bahawa Allah tak pernah tinggalkan sesiapa pun.

Ara diam. Hatinya tersentuh.

Dia terpaku seketika, sehingga Aisya keluar dari kereta dan berdiri di sebelahnya. Aisya tersenyum, kemudian perlahan-lahan meletakkan selendang lembut di kepala Ara, menutup rambut panjangnya yang mencecah pinggang.

Selendang itu berwarna putih mutiara, ringkas, tapi menutupi rambutnya yang sebelum ini dibiarkan terurai. Ara terkedu.

Dia menoleh memandang Aisya, tidak marah. Hanya... terkejut.

Tapi jauh dalam hati, dia faham. Tempat ini bukan seperti tempat-tempat yang pernah dia jejak sebelum ini. Di sini, semua orang saling menjaga — bukan memaksa, tapi mengingatkan. Bukan tempat untuk menunjuk siapa lebih baik, tapi tempat untuk menutup aib, memeluk luka, dan memulakan sesuatu yang baru.

Ara tidak membetulkan selendang itu. Tidak juga menolaknya. Rambutnya yang panjang hingga ke pinggang kini hanya tertutup separuh, tapi cukup untuk menunjukkan dia... sudi. Sudi menerima sedikit teguran lembut yang tak pernah pun dilafazkan.

"Terima kasih." Ara ucap perlahan.

"Cantik." Aisya tersenyum manis melihat wajah lembut Ara yang berseri mengenakan selendang itu.

Ara tersenyum kecil. Untuk pertama kali hari ini, dia tak rasa kosong. Tak rasa sesak.

"Jom." ajak Aisya lembut sambil melangkah ke arah pintu. Puan Mariam sudah berada di depan, menunggu mereka dengan senyuman tenang.

Ara tarik nafas dalam-dalam.

Mungkin inilah tempat yang dia perlukan. Mungkin inilah ruang untuk dia belajar jadi seseorang yang lebih baik. Mungkin... ini bukan pengakhiran. Tapi satu permulaan.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience