Suasana di Hospital Sri Damai malam itu agak lengang, hanya sesekali terdengar roda troli bergerak dari arah wad ke dewan bedah. Di bahagian Unit Forensik, suasana terasa lebih dingin dan sunyi — bukan sekadar suhu hawa dingin, tetapi suasana yang menyesakkan jiwa. Bau ubat-ubatan bercampur bau cecair pembasmi kuman menyelimuti ruang.
Tok sudah disahkan meninggal dunia sejak petang tadi. Kini, Hafiyy, Puan Laila dan Encik Farhan berada di bilik pengurusan jenazah. Sebelum Tok dimandikan, mereka perlu mengisi beberapa dokumen yang disediakan oleh petugas hospital. Puan Laila berbincang dengan pegawai bertugas, menandatangani borang pelepasan jenazah sambil sesekali menjawab soalan teknikal — nama penuh si mati, nombor kad pengenalan, alamat terakhir.
"Kami akan mandikan jenazah di sini dan kafankan. Selepas tu, boleh terus dibawa balik ke rumah untuk dikebumikan," ujar petugas lelaki itu sopan.
Puan Laila hanya mengangguk, matanya masih merah. Sejak dari wad petang tadi, dia tak banyak berkata. Sesekali saja dia menyeka air mata yang terus mengalir. Hafiyy pula berdiri di sisi, tenang tapi wajahnya tegang, matanya sembap namun cuba menahan diri.
Petugas wanita membawa Puan Laila ke bilik khas di belakang untuk memberikan kain kafan dan memastikan semua persediaan pengurusan wanita diatur sempurna. Tok akan dimandikan oleh jururawat wanita muslim, dibantu oleh pengurus jenazah perempuan dari hospital. Sementara itu, Hafiyy duduk di kerusi panjang di luar bilik, memeluk kedua-dua lutut, diam.
Dia mendengar air mengalir di bilik mandi jenazah.
Dalam hatinya, Hafiyy ulang-ulang doa. Dia ingat kembali pesan Tok suatu ketika dahulu waktu mereka duduk berdua di serambi rumah:
"Kalau Tok pergi dulu... jangan tinggal doa ya, Fiyy. Doa tu hadiah paling mahal seorang cucu boleh bagi kat Tok."
Dan kini, Tok benar-benar sudah 'pergi dulu'.
Selepas dimandikan dan dikafankan, jenazah Tok dibawa ke ruang menunggu jenazah. Wajah Tok bersih, tenang, seolah tidur. Puan Laila menyentuh dahi Tok, memeluknya sekejap, air mata tidak berhenti mengalir. Encik Farhan menggenggam tangan Laila, memujuk dengan diam.
Petugas hospital sudah menghubungi van jenazah luar yang biasa menguruskan penghantaran ke kampung. Tak lama selepas itu, sebuah van putih tiba di perkarangan hospital. Jenazah Tok dibawa perlahan ke dalam van, dibantu oleh Hafiyy dan Encik Farhan. Mereka membaca surah Al-Fatihah bersama-sama sebelum van bertolak.
Jam sudah menghampiri 10.30 malam.
Hafiyy naik ke kereta bersama ibu bapanya, mengikuti van jenazah dari belakang. Jalan raya malam itu sepi, seperti memberi ruang buat hati-hati yang sedang berkabung ini berduka dalam senyap. Hafiyy memandang langit malam, pekat dan kelam, namun bintang-bintang bersinar halus.
"Selamat jalan, Tok... semoga perjalanan Tok kali ini dipermudahkan. Jumpa lagi di sana," bisik Hafiyy dalam hati, perlahan.
***
Aisya terhenti di muka pintu. Tangan yang tadinya hendak menyambut Umi dan Abi pulang kini menggigil sedikit — bukan kerana dingin malam, tapi kerana sosok di sebelah Umi membuatkan jantungnya berdegup aneh. Seorang gadis berdiri di sisi Puan Mariam, wajahnya letih, mata seperti tak tidur berhari-hari, rambutnya panjang bergulung paras pinggang, terbiar tanpa disikat. Hoodie hitam membalut tubuhnya yang kurus. Dan wajah itu... dia kenal benar.
Ara.
Gadis dingin yang pernah dua kali muncul dalam hidupnya secara tiba-tiba. Dan kini, gadis itu muncul di depan rumahnya, malam-malam begini, dengan beg pakaian di tangan.
Aisya kaku. Mulutnya separuh terbuka, ingin bertanya, tapi kata-kata itu tersekat.
"Aisya, bawa dia naik berehat dekat bilik Aisya dulu, ya. Umi nak tengok dulu bilik tetamu, kalau tak sempat kemas malam ni, esok tolong umi kemas sekali ya." ujar Puan Mariam lembut, memandang Aisya dengan mata memberi isyarat — jangan tanya apa-apa dulu. Wajah Puan Mariam jelas letih, tapi nadanya tenang.
Aisya mengangguk perlahan, pandangan sesekali beralih kepada Ara yang hanya berdiri diam. Mata Ara tak memberi sebarang riak. Tak senyum. Tak bercakap.
"Jom..." Aisya menghampiri Ara dan hulurkan tangan nak ambil beg, tapi Ara ragu-ragu sekejap sebelum mengangguk kecil.
Masuk ke dalam, ruang tamunya luas, dengan permaidani corak minimalis warna ungu lembut. Sofa baldu kelabu tersusun rapi, ada bau segar lilin aromaterapi yang terbakar di penjuru ruang. Di dinding tergantung bingkai ayat Al-Quran, dan rak buku moden penuh dengan buku-buku ilmiah, ada beberapa figura hiasan kecil dari tanah suci dan luar negara. Rumah itu tenang, tersusun, damai — jauh berbeza dengan dunia yang baru saja Ara tinggalkan.
Dia menghela nafas perlahan. Pandangan matanya menjelajah setiap sudut rumah, tapi dadanya terasa penuh. Tak selesa. Janggal. Asing.
Aisya mengangkat beg Ara dan mendahului naik tangga. Langkah mereka perlahan. Lampu koridor atas menyala redup. Ara menurut diam-diam, memerhati belakang tubuh Aisya yang berjalan tenang. Dia tertanya-tanya, kenapa aku dekat sini? Kenapa semua ni berlaku terlalu cepat?
Sampai di satu pintu, Aisya berpaling. Senyum nipis terukir di bibirnya. "Inilah bilik saya. Maaflah tak seberapa." nadanya penuh sopan dan rendah diri.
Ara hanya senyum kecil. Senyum hambar, bukan senyum ceria. Dia tak tahu nak kata apa. Dia hanya menunduk sedikit sebelum melangkah masuk ke dalam.
Bilik itu bersih, wangi, dan feminin. Langsir pastel menyambut angin malam. Katil queen dengan comforter berwarna krim susu tersusun rapi. Meja belajar di hujung dinding penuh dengan alat tulis dan sebuah lampu meja berbentuk bunga. Ada rak buku dan satu kawasan solat lengkap dengan sejadah dan rehal.
Ara berdiri di tepi dinding, ragu-ragu nak bergerak lebih jauh. Dia rasa kecil. Rasa bersalah.
"Awak tidur sini malam ni, ya," kata Aisya perlahan. "Kalau awak tak selesa, saya boleh tidur dekat ruang tamu. Tak apa."
Ara terus menggeleng. "Tak perlu... ini bilik awak. Saya yang menumpang. Kalau ada sesiapa yang patut tidur luar, itu saya."
Aisya ketawa kecil. Senyumannya mengendurkan kebekuan suasana. "Eh, janganlah macam tu. Awak tetamu. Dalam Islam pun, tetamu kena dimuliakan. Rezeki saya sebab Allah hantar awak ke sini."
Ara terdiam. Hatinya tersentuh. Tapi dia masih rasa asing. Sunyi.
Aisya menuding ke satu sudut di dalam biliknya, "Kalau awak nak mandi atau bersihkan diri... tandas dekat situ."
Ara mengangguk perlahan.
Aisya hanya tersenyum, lalu duduk di birai katil. Ara masih berdiri, seolah belum biasa dengan ruang itu. Dalam diam, mereka berdua tahu, malam itu akan jadi malam panjang — bukan kerana mereka perlu bercakap, tapi kerana terlalu banyak yang tak terucap.
Dan malam itu, dua jiwa yang pernah menjauh, kini berkongsi bumbung yang sama — dalam senyap yang masih mencari makna.
***
Suasana bilik tenang, hanya bunyi kipas siling perlahan berputar dan cahaya lampu meja yang suram menyinari sudut ruang. Ara membuka pintu bilik air perlahan-lahan, rambutnya masih lembap, tuala kecil tersangkut di bahu. Dia memandang sekeliling bilik sebelum matanya tertumpu kepada Aisya yang sedang duduk di sejadah, menghadap kiblat, khusyuk membaca Al-Quran.
Alunan suci ayat-ayat Allah bergema lembut dari bibir Aisya. Suaranya merdu, jernih, dan tenang, seperti hujan renyai yang jatuh di pagi Subuh. Tidak terlalu kuat, tidak juga terlalu perlahan. Cukup untuk menusuk ke hati sesiapa yang mendengarnya.
Ara berdiri seketika, terpegun.
Dia kemudian melangkah perlahan ke arah katil dan duduk. Tangan menggenggam hujung lengan baju, mata terus memerhati Aisya yang tenang mengaji. Dan dalam segenap ruang sunyi itu, ada sesuatu yang menyentuh hatinya—sesuatu yang lama dia tinggalkan, tapi kini menjelma semula perlahan-lahan.
Tiba-tiba dia teringat suasana yang sama sebegini di rumah. Suara Atul tak semerdu Aisya, tapi ada kenangan di sebaliknya. Kenangan yang dulu buat dia rasa rumah itu penuh jiwa. Penuh hidup.
Tiba-tiba, rasa rindu itu menikam dada.
Air mata mengalir tanpa sedar. Perlahan, sebutir dua jatuh ke pipi, lalu menyusur ke dagu. Ara tak sedar Aisya melihatnya menangis, sehinggalah Aisya berhenti mengaji dan menutup Al-Quran, meletakkannya perlahan di atas rak kecil di sisi sejadah.
"Haura?" suara Aisya lembut.
Ara tersentak. Cepat-cepat dia mengesat pipi, memusingkan muka ke sisi untuk menyembunyikan wajahnya yang basah.
Aisya bangun dan duduk perlahan di sisi katil, di tepi Ara. Dia meletakkan tangan di atas peha Ara, cuba menyampaikan rasa prihatin tanpa perlu terlalu banyak kata.
"Awak okey ke?"
Ara hanya menunduk. Masih menyembunyikan wajah. "Okey." suara itu bergetar, hampir tak kedengaran.
Aisya diam. Dia tahu, itu bukan jawapan sebenar. Tapi dia juga tahu, itu bukan masa untuk mendesak.
Dia menghela nafas perlahan. "Tak apa, awak tak perlu cerita apa-apa kalau belum bersedia. Awak perlukan masa. Saya faham."
Ara angkat sedikit muka, memandang Aisya sejenak. Matanya masih merah. Tapi dia nampak sesuatu dalam Aisya — bukan simpati kosong, tapi kefahaman yang dalam. Dia bersyukur, setidaknya Aisya tak paksa.
"Boleh tak... saya nak tumpang solat?" tanya Ara perlahan, suara penuh harap dan malu.
Aisya tersenyum. Senyuman yang terang dan hangat. "Eh... tak ada istilah tumpang solat, Haura. Seluruh bumi ni milik Allah. Awak tak perlu minta izin pun sebenarnya. Tapi saya rasa bersyukur sebab awak tanya."
Ara terkedu. Kata-kata itu, pendek tapi menyentuh hatinya. Dia mengangguk perlahan.
Aisya bangun, membuka almari kecil di sisi meja belajar. "Dekat sini ada telekung, sejadah. Guna je semua ni, ya? Kiblat... sana." Dia menuding ke satu arah.
Ara pandang semua itu—segala kemudahan yang disediakan, segala layanan yang diberikan. Dia menggenggam jari-jari sendiri. Perasaannya bercampur-baur. Baru tadi dia rasa seperti dunia menjatuhkan segala beban ke atas bahunya. Tapi dalam sekelip mata, Allah datangkan Aisya. Rumah ini. Ruang ini. Peluang ini.
Tanpa sedar, air mata mengalir lagi. Tapi kali ini, dia senyum dalam sebak.
Dia bangun perlahan, mencapai telekung, membentangkan sejadah. Solat Isyak dilaksanakan perlahan-lahan, dalam diam dan dalam linangan air mata.
Aisya yang duduk di katil, hanya memerhati sambil membelek telefon. Tapi tak lama, telinganya menangkap satu suara — esakan perlahan. Dia berpaling.
Ara masih di atas sejadah, duduk diam, tubuhnya terenjut sedikit menahan tangis.
Aisya memandang lama. Hatinya penuh persoalan, penuh rasa ingin tahu. Apa sebenarnya yang Ara dah lalui? Beban apa yang dia tanggung seorang diri selama ni? Tapi dia tak bertanya. Dia hanya diam, melihat dari jauh.
Dan dalam diam itu, Aisya ucap syukur dalam hati. Setidaknya, Ara sudah mula membuka sedikit ruang. Setidaknya, dia tak lagi sedingin dulu.
Setidaknya, malam ini, Tuhan masih beri harapan kepada seorang gadis yang hampir hilang segalanya.
***
Share this novel