Bab 25

Drama Series 202

Tudung sekolah dilonggok ke atas katil. Ara memandang dirinya sekilas di cermin usang yang tergantung di dinding biliknya. Rambutnya yang panjang paras pinggang itu kusut sedikit, namun dia tidak ambil pusing. Tangannya cekap menyisir dengan jari saja, sebelum mengenakan hoodie hitam yang sering menjadi pilihannya bila malas bersolek atau melawa.

Hoodie itu dilabuhkan hingga hampir ke lutut, menutupi keseluruhan tubuh kecilnya. Cepat-cepat dia mengikat tali kasut sukan. Dalam kepalanya hanya satu — Tok. Dia perlu segera ke hospital.

Baru saja dia capai beg kecilnya, terdengar suara Atul dari arah ruang tamu.

"Akak! Nak pergi mana tu?" Atul memunculkan diri di ambang pintu bilik, memandang Ara dengan dahi berkerut.

Ara melangkah keluar sambil menyarung beg silang ke bahu. "Nak pergi hospital. Jenguk Tok," jawabnya tanpa henti berjalan, penuh cemas.

Atul mengejar langkah Ara perlahan, bibirnya menguntum resah.

"Atul ada dengar mak cakap semalam pasal Tok. Macam mana keadaan Tok, akak?" soalnya lagi, nadanya jauh lebih perlahan, seolah-olah takut mendengar jawapan.

Ara menarik nafas. Sejenak dia berdiri, membetulkan zip hoodie yang hampir terbuka. Wajahnya serius.

"Tok masih kritikal, Atul. Masih kat ICU. Doktor cakap, Tok kena stroke. Darah beku kat otak," jelas Ara, cuba sehabis mungkin untuk tidak biar suaranya pecah.

Atul terdiam. Wajah manis adiknya itu bertukar keruh.

"Dah... Akak pergi dulu ya. Risau Hafiyy sorang-sorang jaga Tok kat sana," katanya, cuba mengukir senyum, tapi senyuman itu lebih kepada menyembunyikan gemuruh dalam dada.

Atul mengangguk laju, seolah memahami.

Ara sudah pun melangkah ke muka pintu, tapi tiba-tiba dia menoleh semula. Dia mendekati Atul, berbisik perlahan, nyaris-nyaris seperti rahsia.

"Atul... nanti kalau mak tanya, tolong bagitau mak yang akak pergi hospital jenguk Tok. Takut mak fikir bukan-bukan pula."

Atul mengangguk lagi, kali ini lebih bersungguh. "Okey. Nanti Atul bagitau. Akak hati-hati tau!"

Satu anggukan kecil dari Ara.
Dia menuruni anak tangga kayu yang berbunyi renyah, langkahnya laju menyusuri halaman rumah yang basah dek embun petang.

***

Ara berdiri di depan lif hospital, jari-jemari menggenggam erat tali beg. Matanya liar mencari-cari. Di satu sudut ruang menunggu yang suram itu, dia nampak Hafiyy — berteleku di kerusi panjang, wajah pucat, mata merah seperti kurang tidur.

"Hafiyy," panggil Ara perlahan.

Hafiyy angkat kepala, pandangannya menangkap bayang Ara yang datang menghampiri. Dia bangkit, menyambut Ara dengan senyuman hambar.

"Macam mana Tok?" tanya Ara, suara hampir berbisik.

Hafiyy menggeleng lemah. "Masih macam tu lah. Tekanan darah Tok turun naik."

Ara tunduk, menahan sebak. Dia menggenggam erat tali begnya, seakan mencari kekuatan.

Pintu kaca ICU berbunyi. Seorang jururawat keluar dan memanggil beberapa nama.

"Keluarga Puan Zubaidah?"

Hafiyy dan Ara serentak angkat tangan.

"Boleh masuk dua orang dulu. Sekejap saja ya," pesan jururawat itu sopan.

Hafiyy memberi isyarat mata, mengajak Ara mendahului. Dengan langkah perlahan, mereka melintasi pintu kaca, menukar kasut kepada alas kaki steril, mencuci tangan di sinki kecil di tepi dinding, dan menyarung apron pakai buang.

Ruang ICU sunyi. Hanya bunyi mesin-mesin yang berkelip-kelip, bunyi alat monitor detak jantung yang mendayu-dayu... mengisi udara. Bau antiseptik menusuk hidung. Lampu-lampu putih di siling ICU kelihatan terlalu terang, seolah-olah cuba menutup rasa kelam yang bergayut di udara.

Ara dan Hafiyy melangkah perlahan-lahan, seolah-olah setiap langkah mereka membawa beban berat yang tak terlihat. Tapak kaki mereka berdecit halus di lantai yang berkilat.

Di sudut katil nombor tujuh, tubuh Tok terbaring kaku, seolah-olah sedang tidur dalam mimpi panjang yang tiada penghujung. Tiub oksigen melingkari wajah tuanya, jarum-jarum kecil bersambung ke lengan yang semakin susut. Mesin di sebelah katil berbunyi perlahan, satu degupan lemah yang seolah-olah menghitung sisa-sisa waktu.

Ara menghampiri, berdiri di sisi katil. Tangannya teragak-agak untuk menyentuh Tok. Dadanya bergolak, mata berkelip-kelip menahan air mata yang mula berkumpul di tubir.

"Tok..." bisiknya perlahan, nadanya hampir tenggelam dalam bunyi mesin.

Tiada jawapan.

Tok hanya bernafas perlahan, nafas yang tidak sekata, seolah-olah bertarung antara mahu pergi atau terus bertahan.

Ara duduk di kerusi kecil di tepi katil. Perlahan-lahan, jemarinya mengusap belakang tangan Tok yang dingin dan lemah. Sentuhan itu membuatkan tangisnya makin sukar ditahan.

"Tok kuat ya... Ara datang ni... Tok dengar tak..." suaranya bergetar, pecah perlahan dalam ruang itu.

Hafiyy berdiri di sebelah, membatu. Matanya memandang Tok penuh kesayuan. Tidak seperti biasa — hari ini Hafiyy sunyi, terlalu sunyi.

Beberapa minit berlalu. Masa lawatan terasa terlalu pendek untuk sebuah perpisahan yang mungkin sudah terlalu dekat.

Jururawat menghampiri, mengingatkan mereka bahawa waktu melawat hampir tamat. Hafiyy meletakkan tangan di bahu Ara, memberi isyarat bahawa mereka perlu beredar.

Dengan berat hati, Ara berdiri. Tangannya meleret lama di atas tangan Tok sebelum dia melepaskan.

Mereka berdua melangkah perlahan keluar dari ruang ICU yang suram, melangkah ke dunia luar yang terasa terlalu bising berbanding kesunyian di dalam sana.

Di luar ICU:

Mereka berjalan perlahan di koridor hospital.

Seketika, Ara perasan sesuatu. Dia menjeling Hafiyy dari ekor mata — baju t-shirt hijau itu sama seperti semalam. Rambutnya kusut. Wajahnya lesu.

Ara menghentikan langkah.

"Hafiyy..." panggilnya perlahan.

Hafiyy berpaling, matanya masih nampak sayu.

"Dah makan?" tanya Ara, memecah kesunyian di antara mereka.

Hafiyy menjawab perlahan, "Dah... semalam."

Ara terbelalak kecil. "Semalam? Hari ni belum makan langsung?"

Hafiyy tersenyum kecil, "Takpe, aku okey la."

Ara bercekak pinggang kecil, nadanya berbaur marah dan risau.

"Macam mana nak jaga Tok kalau diri sendiri pun tak jaga? Hafiyy..." Ara menggeleng kecil, nafasnya berat menahan rasa kesal.

Hafiyy diam, hanya menundukkan kepala. Tidak seperti biasa, tiada gurauan, tiada senyuman nakalnya.

Ara menggenggam tali begnya erat. "Kejap. Aku pergi beli makanan. Kau tunggu sini."

Tanpa menunggu balasan, Ara bergegas menapak ke arah kafeteria kecil di tingkat bawah hospital.

Beberapa minit kemudian, dia kembali dengan satu bekas nasi berlauk dan air mineral. Nafasnya sedikit tercungap sebab tergesa-gesa.

"Nah, makan. Habiskan tau." katanya sambil menyerahkan makanan itu ke tangan Hafiyy.

Hafiyy menyambut dengan lambat, tapi dia patuh — membuka penutup bekas dan mula menyuap perlahan.

Ara duduk di bangku bersebelahan, memerhati diam-diam. Di sudut hatinya, ada rasa sebak melihat Hafiyy berusaha makan walaupun jelas hilang selera. Tapi dia tahu, Hafiyy perlu kuat. Demi Tok. Demi diri sendiri.

Selesai makan, Hafiyy mengelap mulut dengan tisu yang Ara hulurkan.

Ara bangkit perlahan.

"Aku nak pergi tandas kejap," katanya ringkas.

Hafiyy hanya mengangguk.

Ara melangkah ke arah tandas yang terletak tidak jauh dari surau kecil hospital.

Sambil berjalan, hatinya berdetik — baru dia teringat, dia belum solat lagi hari ini.

Dia berhenti di depan papan tanda surau. Dengan hati-hati, dia menolak pintu kayu itu.

Surau kecil itu sunyi, hanya ada satu dua orang pesakit yang duduk berteleku di penjuru. Bau karpet yang sedikit hapak bercampur bau ubat-ubatan.

Ara mengambil wuduk perlahan, air sejuk menyapu kulit wajah dan anggota tubuhnya. Setiap basuhan terasa seperti menghilangkan sedikit demi sedikit beban di dadanya.

Selesai berwuduk, dia mengambil tempat di sejadah kosong di belakang. Perlahan-lahan, dia berdiri, mengangkat takbir.

Solatnya ringkas tapi penuh pengharapan. Air matanya mengalir tanpa disedari, jatuh satu demi satu atas sejadah.

Dalam sujud yang panjang, dia berdoa, merintih dalam hati,

"Ya Allah... Kau kuatkanlah Tok... Kau panjangkanlah umur Tok kalau itu yang terbaik untuk dia..."

"Dan... Kau lembutkanlah hati mak. Aku rindu keluarga aku macam dulu..."

Tangisnya pecah dalam sepi. Sejadah basah di bawah wajahnya menjadi saksi betapa remuk hatinya malam itu.

Selesai memberi salam, dia mengangkat tangan berdoa lama.

Air mata masih tidak berhenti mengalir, seperti luka yang belum sempat kering, tapi dalam setiap titis itu, ada kelegaan kecil yang menenangkan hatinya.

***

Hafiyy duduk sendirian di ruang menunggu hospital, matanya sesekali memandang kosong ke arah laluan koridor.

Belum sempat dia terbenam dalam lamunannya, langkah-langkah tergesa-gesa bergema dari arah pintu masuk.

"Hafiyy!"

Suara wanita sedikit tinggi memanggil. Hafiyy segera mendongak.

Kelihatan sepasang suami isteri dalam lingkungan umur pertengahan berlari kecil ke arahnya. Puan Laila dengan tudungnya sedikit senget kerana tergesa, manakala Encik Farhan pula menolak beg kecil beroda di belakang.

"Papa, Mama..." Hafiyy cepat-cepat bangun.

Mereka bertiga segera berpelukan seketika, melepaskan rindu yang terbuku. Hafiyy menarik nafas dalam-dalam, rasa lega sedikit dengan kehadiran mereka.

"Kami baru sampai dari airport. Tak sempat balik rumah pun lagi," kata Puan Laila tercungap-cungap, membetulkan beg tangan di bahunya.

"Ya, lepas dapat berita Tok masuk ICU, kami terus cari flight paling awal," sambung Encik Farhan, menepuk bahu Hafiyy perlahan.

Wajah Hafiyy tetap tenang, tapi jelas matanya sedikit berkaca.

"Macam mana keadaan Tok, nak?" soal Puan Laila penuh risau.

Hafiyy menarik nafas perlahan, berusaha mengatur ayat.

"Masih kritikal, Mama. Doktor cakap Tok perlu dipantau rapat. Organ dalaman Tok dah makin lemah... Kita cuma mampu doa banyak-banyak."

Puan Laila menghela nafas panjang, wajahnya berubah sayu. Encik Farhan sekadar mengangguk perlahan, kedua-duanya jelas berusaha menelan hakikat pahit itu.

"Hafiyy okey ke?" Encik Farhan bertanya, suaranya rendah, penuh kebapaan.

Hafiyy mengangguk perlahan. "Fi okey, Papa."

Senyuman kecil terukir di bibirnya, walaupun ia lebih kepada menenangkan hati orang tuanya.

Tidak lama kemudian, kelihatan Ara berjalan dari arah koridor. Dia kelihatan sedikit terkejut melihat kehadiran Puan Laila dan Encik Farhan. Langkahnya terhenti sekejap, sebelum dia terus melangkah menghampiri mereka.

"Assalamualaikum, Uncle, Aunty." ucap Ara sopan, sambil tunduk sedikit. Kemudian menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Puan Laila.

Puan Laila segera menyambut, senyuman terukir di wajah walaupun lelah jelas tergambar.

"Waalaikumussalam, Ara. Terima kasih ya... Sebab temankan Hafiyy, tengok-tengokkan Tok sekali."

Ara tersenyum nipis, menggeleng perlahan. "Tak ada apalah, Aunty. Ara pun dah anggap Tok macam nenek Ara sendiri."

Jawapan itu membuatkan mata Puan Laila berair, namun dia cepat-cepat mengalihkan pandangan, menahan emosi.

"Alhamdulillah... ada jugak yang tolong jaga masa kami tak ada," kata Encik Farhan, suaranya serak menahan sebak.

Mereka semua terdiam seketika, membiarkan suasana sepi sejenak menghimpit mereka.

Kemudian, Hafiyy memecahkan kesunyian.

"Papa, Mama... Datang Malaysia lama ke kali ni?"

Puan Laila memandang Encik Farhan sekilas sebelum menjawab, nadanya penuh kesal.

"Tak dapat lama, nak. Dalam tiga hari je. Lepas tu kena balik semula ke Amerika... Ada urusan kerja yang belum selesai."

"Kalau ikutkan hati, nak je duduk sini sampai Tok sihat... Tapi kontrak mama kat sana belum habis," sambung Encik Farhan, suaranya berat.

Hafiyy hanya mengangguk perlahan. Tiada rungutan keluar dari bibirnya, hanya redha yang bergelora dalam dada.

Ara sekadar memandang mereka bertiga, rasa simpati menusuk di hatinya. Dia tahu, beratnya perasaan terpaksa berjauhan dalam saat getir begini.

Di luar, senja sudah beransur memerah, membasuh langit hospital dengan warna muram.

***

Petang itu, cahaya matahari senja menembusi tingkap bilik Wahyun, mencipta bayang-bayang lembut di lantai. Di atas meja kayu itu, Wahyun khusyuk menyelesaikan tugasan Matematik Tambahan. Penselnya bergerak laju di atas kertas, bunyi gesekan halus berirama dengan ketukan jam dinding.

Sedang dia leka menulis, pintu biliknya diketuk perlahan.

"Masuk," serunya tanpa mengalihkan pandangan.

Pintu terkuak, muncul wajah adiknya, Q, yang sedang menjinjing buku latihan Fizik, muka sedikit cemberut.

"Abang, boleh tolong ajar adik sikit tak? Bab momentum ni... Adik blur habis."

Wahyun berhenti menulis, menarik nafas pendek. "Bawak sini," katanya, memberi ruang di sebelah.

Q melangkah masuk, berdiri di tepi meja Wahyun. Dia menghulurkan buku latihannya. Wahyun meneliti soalan sekejap sebelum mula menerangkan satu-persatu, suaranya perlahan tapi jelas.

Mata Q tiba-tiba menangkap sesuatu di atas meja. Sebuah keychain kecil tergantung malas pada sudut rak kecil di atas meja.

Dia tersenyum kecil. "Eh... Wah, abang masih simpan lagi keychain ni?"

Wahyun tersentak kecil. Tangannya yang memegang pensel terhenti di udara. Dia mengangkat muka, matanya bertembung dengan pandangan Q.

Sejenak dia terdiam.

Q senyum nakal, macam tahu sesuatu. "Kenangan dengan Kak Aisy kan?"

Wahyun mengetap bibir nipis, menunduk. Tidak menafikan, tidak juga mengiakan.

Q menyandarkan dagu atas buku latihan sambil memandang abangnya. "Abang... belum move on ke?"

Soalan itu meluncur lembut, tapi cukup tajam untuk menikam dada Wahyun.

Dia mengeluh perlahan. "Bukan... bukan tak nak lupa. Cuma... eh sibuklah adik ni."

Q diam seketika tersenyum, sebelum bersuara, nadanya perlahan tapi berat, seperti memikul sesuatu yang lebih besar daripada usianya.

"Kadang-kadang kalau kita pegang terlalu lama, kita bukan jaga kenangan tu. Kita ikat diri kita sendiri kat tempat yang dah kosong."

Kata-kata itu menggantung di udara. Berat. Mencekik senyap.

Wahyun tunduk lama, termenung jauh. Jemarinya menggenggam pensel, tapi tidak bergerak.

"Abang..."

Q tiba-tiba tepuk meja kecil dengan tapak tangan, membuatkan Wahyun tersentak sedikit.

"Hoi. Jauhnya termenung. Macam mana dengan latihan adik ni?" Q berlagak serius, mengalihkan suasana.

Wahyun menghela nafas pendek, menggeleng sambil tersenyum tipis. "Okey, mari sambung."

Mereka kembali menumpukan perhatian pada latihan, berpura-pura seperti perbualan tadi tidak pernah berlaku.

Beberapa puluh minit kemudian, selepas semua soalan dibincangkan, Q mengemaskan bukunya dan bangun.

"Thanks, abang. Nanti kalau adik fail jugak, salah abang tau!" sempat dia bergurau sebelum keluar dari bilik.

Wahyun tersenyum nipis, memandang pintu yang perlahan-lahan tertutup.

Bilik itu kembali sunyi.

Dia bersandar ke kerusi, pandangan kosong.

Perlahan-lahan, tangannya mencapai keychain kecil A&W itu dari rak. Dia menggenggamnya erat, memandangnya lama.

Kenangan itu, walaupun kecil dan lusuh, masih berbunyi kuat di sudut hatinya. Dan di situ... dia masih belum tahu bagaimana mahu benar-benar melepaskannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience