Bab 36

Drama Series 202

Suasana petang itu semakin redup, warna langit beransur jingga. Di dapur, bunyi hirisan pisau di atas papan pemotong berselang dengan dentingan senduk dalam kuali. Bau tumisan bawang dan rempah naik menyusup ke rongga hidung, mencipta kehangatan yang tenang dalam ruang dapur rumah dua tingkat itu.

Puan Mariam menjeling ke arah Ara, senyap-senyap menilai raut wajah gadis itu. Kelihatan penat, tapi bukan letih fizikal. Letih yang datang dari hati yang luka dan berat menyimpan sesuatu.

“Haura…” Puan Mariam menyambut nama itu perlahan. “Esok macam mana? Maksud Umi, Haura sekolah kat mana? Pagi esok boleh Pak Mat hantarkan sekali masa hantarkan Aisya.”

Tangan Ara terhenti menyiang. Sebilah batang kangkung jatuh dari jari ke atas dulang besi. Senyap. Wajahnya tunduk. Nafasnya sedikit berat. Kata-kata Puan Mariam tadi menusuk terus ke dalam hatinya. Sekolah.

Dia belum bersedia. Belum sanggup berdepan dunia luar. Belum kuat untuk menatap mata orang ramai yang penuh pertanyaan, atau lebih buruk, penuh penilaian. Hatinya masih luka, masih belum sembuh dari fitnah yang menjatuhkan seluruh maruahnya.

Puan Mariam menyedari senyap yang aneh itu. Dia perlahan memadamkan api dapur, mengelap tangan dengan tuala kecil, lalu menghampiri Ara yang masih diam kaku di tempatnya. Dengan penuh kelembutan, dia menarik kerusi dan duduk berdepan dengan gadis itu.

“Haura… okey ke sayang?” tanyanya perlahan, suara penuh prihatin seorang ibu. Tangan tuanya menyentuh lembut lengan Ara.

Ara angkat wajah. Dia senyum. Tipis. Paksa.

“Maaf, Umi. Saya... tak bersedia lagi nak ke sekolah buat masa ni. Saya perlukan masa sikit.” balasnya perlahan.

Puan Mariam mengangguk sedikit. “Umi minta maaf kalau pertanyaan tadi buat Haura tak selesa. Tapi Umi kena tahu juga… sebab Haura masih bersekolah. Jadi Umi kena tahu apa yang jadi sebenarnya. Sebab bila Haura cakap tak ada rumah hari tu… Umi… Umi jadi risau. Umi tahu Haura anak orang. Umi sebenarnya tak boleh sesuka hati bawa anak orang balik, tapi Umi tahu mesti ada sesuatu yang berlaku.”

Ara tunduk. Jemarinya menggenggam hujung lengan bajunya sendiri. Bibirnya sedikit bergetar. Dia cuba susun kekuatan dalam hati. Tapi nak mulakan cerita itu, entah kenapa terlalu berat. Terlalu dalam. Terlalu luka.

"Saya... bukan tak nak cerita. Tapi saya tak tahu macam mana nak mula. Dan saya takut Umi fikir lain. Takut Umi pandang serong.”

Puan Mariam menggeleng perlahan. “InsyaAllah, Umi cuba dengar dengan mata hati, bukan dengan prasangka.”

Ara tarik nafas. Dalam. Kemudian, satu demi satu semuanya dia luahkan. Tentang malam itu. Tentang Syazwan. Tentang gambar fitnah. Tentang Ayu. Tentang ibunya yang tak percayakan dia. Tentang rasa dikhianati. Tentang rasa hilang tempat berpaut. Air matanya hampir tumpah, tapi dia tahan. Hanya suara yang serak, dan dada yang sesak.

Puan Mariam menggenggam tangan Ara erat-erat. “Haura… dengar sini ya. Umi tahu bukan senang nak lalui semua tu. Tapi Umi percaya, Allah uji orang yang Dia sayang. Umi tengok sendiri air muka Haura sepanjang Haura cerita tadi. Umi tahu Haura bukan macam yang mereka tuduh.”

Ara tunduk. Matanya panas. Tapi dia pejam. Cuba tahan segalanya di situ. Kenapa orang luar yang baru mengenalinya lebih mempercayainya berbanding ibunya sendiri?

“Dan tentang mak Haura tu… Umi tahu, dia kecewa. Tapi jauh dalam hati dia, dia sayang anak dia. Tak ada mak yang tak sayang anak. Kadang-kadang, bila hati terlalu kecewa, kita perlukan masa untuk tenangkan diri. Percayalah, satu hari nanti dia akan peluk Haura balik. Dia akan cari Haura semula. Tapi Haura kena sabar, ya sayang?”

Ara akhirnya tak mampu tahan. Setitik air mata jatuh di pipi, cepat-cepat dia seka dengan hujung lengan. Tapi senyuman kecil hadir di hujung bibir.

“Terima kasih, Umi…” katanya perlahan, penuh syukur. “Terima kasih sebab percaya.”

Tiba-tiba, dari arah pintu dapur, kedengaran suara lembut memberi salam.

“Assalamualaikum…”

Puan Mariam tersenyum, berpaling ke arah suara. “Waalaikumussalam. Anak Umi dah balik.”

Ara menoleh. Aisya sedang berjalan perlahan ke arah mereka sambil memegang beg plastik besar berjenama. Wajahnya penat tapi tenang. Bila dia nampak Ara, dia senyum.

“Haura... Jom naik sekejap. Saya nak tunjuk sesuatu.” ajak Aisya.

"Amboi anak Umi ni, sejak ada Haura dah tak pandang Umi ye?" usik Puan Mariam.

“Hehehe Umi ni suka buat Aisya serba salah. Umi tetap nombor satu untuk Aisya tau.” balas Aisya sambil melangkah masuk ke dapur lalu memeluk ibunya.

Ara hanya memandang, diam dan tersenyum. Tapi dalam diam itu, hatinya sedikit lapang. Dia terhibur melihat keakraban antara ibu dan anak itu. Tiba-tiba, dia teringat dirinya dan ibunya di dapur rumah lama mereka—loya buruk yang selalu dia lemparkan, leteran Puan Hajar yang tak pernah benar-benar marah. Rasa rindu yang mengetuk perlahan.
Dia rindu. Terlalu rindu.

Dan mungkin… hanya masa yang boleh menyembuhkan. Tapi untuk seketika ini, dia rasa sedikit tenang. Sedikit damai.

"Haura, jom." suara Aisya memecah lamunan Ara.

Ara mengangguk. Dia cuci tangan dan mengikut langkah Aisya naik ke tingkat atas. Mereka masuk ke bilik tetamu yang kini menjadi biliknya. Aisya meletakkan beg plastik di atas katil.

“Ni…” Aisya keluarkan satu set telekung berwarna pink pastel lembut. Kainnya licin dan lembut, dihiasi sulaman putih di hujung. Bersama telekung itu, sejadah bercorak pastel dengan ukiran floral elegan turut dikeluarkan.

“Hadiah untuk awak.” ujar Aisya sambil menghulur.

Ara pandang, terkejut. “Kenapa awak susah-susah beli semua ni?”

Aisya geleng. “Tak susah pun. Lagipun hari tu awak cakap awak tak ada telekung. Jadi saya beli ni supaya awak boleh guna sendiri. Dan… saya pun nak tumpang dapat pahala. Setiap kali awak solat, saya pun dapat pahala sekali.”

Dia senyum. “Tapi… pahala tu sebenarnya Umi yang dapat lebih sebab saya guna duit Umi.” tambahnya sambil tertawa kecil.

Ara ketawa perlahan. Rasa sebak dan syukur bertembung dalam dada.

“Cuba pakai?” Aisya cadang lembut.

Ara mengangguk. Dia berdiri di hadapan cermin dan menyarung telekung itu perlahan. Wajahnya terpampang dalam pantulan cermin, dihiasi rona lembut dan tenang.

“Cantiknya awak!” bisik Aisya. “Warna pink ni memang sesuai dengan awak. Manis sangat.”

Ara senyum, sedikit malu.

Aisya sambung, “Muka awak pun memang cantik. Tapi… lagi manis bila awak senyum.”

Ara tunduk, tersenyum lagi. Kali ini, senyum yang lebih ikhlas.

“Kan, tengok… makin cantik bila senyum.”

“Terima kasih, Aisya.”

Aisya melangkah ke sisi dan pegang bahu Ara. “Jaga telekung ni elok-elok, ya?”

Ara angguk sambil senyum, penuh rasa terharu dan syukur.

***

Ara membuka pintu biliknya perlahan. Hening malam membungkus rumah dua tingkat itu dalam sunyi yang menyusup ke tulang. Hanya detik jam berdetik perlahan, bergema lemah di celah-celah keheningan.

Langkahnya baru sahaja mahu mendarat ke anak tangga pertama bila satu suara membuatkan dia kaku.

Tangisan.

Sayup.
Tertahan.
Serak.

Ara segera berpaling. Matanya meliar ke sepanjang koridor tingkat atas itu. Deretan bilik di situ—biliknya, bilik Puan Mariam dan Encik Azhar, bilik Aisya, dan satu lagi bilik yang dia sendiri tak pasti fungsinya.

Tangisan itu… datang dari arah mana?

Ara bergerak perlahan, jari-jemarinya menyentuh dinding. Dia menghampiri bilik yang bertentangan dengan biliknya sendiri. Perlahan-lahan, dia letakkan telinga di daun pintu. Sunyi. Hanya bunyi jantungnya yang berdegup.

Tombol pintu dipulas perlahan. Bilik bacaan. Tiada sesiapa. Tangisan itu masih kedengaran… kini semakin jelas. Dia berbalik ke bilik seterusnya.

Pintu bilik Aisya tertutup rapat. Tangisan itu jelas dari balik dinding. Hati Ara jadi tak tenang. Dia memandang tombol itu lama. Menceroboh bilik orang—ini bukan rumah dia. Tapi…

“Aku tak boleh biarkan,” bisik Ara sendiri. Rasa bersalah berlawan dengan rasa takut. Tapi rasa risau menang malam itu.

Dengan sangat perlahan, dia pulas tombol pintu. Pintu terkuak tanpa sebarang bunyi.

Cahaya lampu tidur samar menyimbah ruang bilik Aisya yang bersih dan kemas—namun tidak malam ini.

Di hujung katil, menghadap tingkap, Aisya duduk membongkok. Bahunya terangkat-angkat. Tangannya… sedang menampar wajah sendiri.
Berulang kali.
Kuat.

“Ya Allah…” bisik Ara, terkejut.

Rambut Aisya yang panjang paras bawah bahu kusut serabai. Nafasnya tercungap-cungap. Ada air mata membasahi wajahnya yang merah ditepuk. Tapi yang paling menyentap dada Ara—pandangan mata Aisya kosong… seolah-olah dia bukan dalam dirinya sendiri.

Ara meluru masuk. “Aisya!”

Aisya tak menjawab. Dia masih tampar dirinya. Bibirnya bergerak-gerak tapi tiada suara jelas. Hanya desahan tangis dan keluhan patah.

Ara terus duduk di tepi katil, pegang kedua-dua tangan Aisya. “Eh! Eh, Aisya, jangan—awak dengar tak ni? Saya Ara. Tengok saya. Aisya, tengok saya!”

Aisya terhenti.

Kaku.

Kepalanya berpaling perlahan memandang Ara. Mata itu… merah. Basah. Hilang seri.

Seolah-olah baru tersedar dari alam lain. Nafasnya masih berat. Dada turun naik. Tapi dia tak cakap apa-apa. Hanya… renungan kosong itu menembus wajah Ara.

“Aisya…” Ara pegang wajahnya perlahan. “Awak okey ke?”

Aisya tak menjawab.

“Saya minta maaf sebab tadi saya nampak awak menangis jadi saya terpaksa masuk,” suara Ara terketar, matanya tak lepas pandang wajah Aisya.

Dan tanpa sepatah perkataan… Aisya tiba-tiba peluk Ara. Erat.

Ara tergamam.

Tubuh Aisya menggigil dalam pelukannya. Ara balas pelukan itu perlahan. Jemarinya secara naluri membelai rambut Aisya yang berserabai.

“Awak kenapa sebenarnya…?” bisik Ara, lebih kepada diri sendiri. Soalan itu tak perlu dijawab pun. Dia cuma tak sanggup tengok seorang manusia—yang sentiasa nampak lembut, tenang—sekarang… hancur dalam tangisan yang diam dan dalam.

Wajah Ara masih terpinga. Tapi pelukan itu… terasa macam jeritan bisu. Seakan tubuh itu sedang meraung dalam diam.

Dan dalam pelukan itu… muncul serpihan kisah yang selama ini terkunci dalam ingatan Aisya.

[FLASHBACK]

“Aisya! Aisya jangan buat macam ni! Turun, sayang! Tolong dengar Umi…” suara Puan Mariam menggigil. Tangannya separuh terangkat, separuh ketakutan.

Aisya berdiri di tepi balkoni bilik. Wajahnya tak lagi tenang. Rambutnya tak lagi terurus. Matanya merah, bibirnya kering.

“Aisya tak nak hidup lagi. Semua orang… semua orang tak faham Aisya! Semua orang tengok Aisya macam Aisya ni sempurna. Tapi dalam Aisya… kosong, Umi. Penat! Aisya penat, Umi!”

Puan Mariam langkahkan kaki, hati-hati. “Aisya… sayang… semua orang sayang Aisya. Umi sayang Aisya. Abi sayang Aisya. Umi tahu Aisya jadi macam ni sebab dia. Tapi tolonglah… jangan buat macam ni, nak.”

“Umi tak faham!!” jerit Aisyah. Air matanya mengalir deras.

“Umi tahu… Umi tahu Aisya penat. Umi minta maaf kalau Umi tak nampak semua tu. Tapi bukan ni caranya. Sayang, hidup ni mungkin sekarang gelap tapi cahaya tu ada. Aisya pernah buat ramai orang tersenyum, jangan tarik senyuman tu balik. Jangan biar diri Aisya hilang disebabkan orang lain.”

Aisyah menutup telinga tak mahu mendengar lagi.

Dan saat dia mula condongkan tubuh ke luar balkoni untuk terjun—
“AISYAAAAA!!!”

Jeritan itu menghentikan waktu.

Pelukan Aisya pada Ara jadi lebih erat. Nafasnya semakin laju.

Ara hanya mampu membalas pelukan itu sambil matanya bergenang. Dia tak tahu apa sebenarnya yang Aisya lalui.
Tapi dia tahu satu benda—malam ini, dia melihat sisi seorang Aisya yang dia tak pernah nampak. Yang terluka. Yang hilang. Yang hampir pergi.

Dan buat pertama kali, dia sedar…
Kadang-kadang, orang yang paling tenang luarnya… menyembunyikan luka paling dalam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience