Loceng berbunyi menandakan tamat waktu rehat.
Pelajar mula berpusu-pusu kembali ke kelas. Tapi tidak Ara.
Ara melangkah keluar dari perpustakaan dengan perlahan, pandangannya tunduk. Dia tak masuk kelas. Dia tahu dia takkan mampu tahan bila semua orang tengok muka dia.
Dia perlukan ruang.
Ara bergerak senyap, masuk ke surau melalui pintu sisi perempuan. Surau itu sunyi, hanya berisi bau sejadah dan cahaya redup dari tingkap tinggi.
Dia duduk. Kemudian baring. Menutup wajah dengan lengan.
Di situ dia lena, dalam lena yang masih bersisa tangis, dengan dada yang sempit, namun terasa sedikit ringan selepas titisan air mata yang terakhir.
***
Subjek terakhir hari itu ialah Pendidikan Islam. Kelas 5 Anggerik dijadualkan ke surau—seperti mana diberitahu oleh ustaz pagi tadi.
Wahyun yang selaku ketua kelas dan ketua pengawas, sampai terlebih dahulu. Dia masuk ke surau ikut pintu lelaki. Baru saja melangkah, pandangannya terhenti.
Di bahagian perempuan, terlindung sedikit oleh tiang—dia nampak satu tubuh kecil yang sedang berbaring, wajah diselubung lengan, rambut sedikit terkeluar dari tudung. Wahyun tergamam.
Itu Ara.
Dia cepat-cepat keluar semula dari surau.
Sewaktu dia menuruni anak tangga di luar surau, dia terserempak dengan ustaz yang sedang berjalan ke arah surau, diikuti beberapa orang pelajar lelaki dan perempuan dari kelasnya.
Tanpa menunggu, Wahyun menghampiri ustaz dan menahan langkah mereka.
"Ustaz," tegur Wahyun, sambil menyusun nada suaranya tenang, "saya cadangkan hari ni kita buat kelas kat tempat lain. Tempat terbuka. Boleh, ustaz?"
Ustaz kelihatan hairan. "Tempat lain? Kenapa pula? Kita kan dah janji nak buat kat surau."
"Yalah, ustaz," Wahyun tersenyum kecil, cuba berdiplomasi. "Saya rasa semua orang dah penat, kelas pun hujung-hujung. Kalau kita buat kat tempat terbuka, mungkin boleh bagi nafas baru. Lagipun subjek ni 40 minit je lagi. Buatlah aktiviti luar sikit. Pelajar pun nampak lesu hari ni."
Pelajar-pelajar di belakang ustaz saling berpandangan. Beberapa orang mula bersetuju, "Bagus juga idea tu."
"Yelah ustaz, bosan juga asyik dalam surau je."
Ustaz akhirnya mengangguk. "Baiklah. Kita buat sesi luar hari ni. Tapi jangan bising sangat, ya?"
Mereka semua pun berpatah balik, menukar arah ke taman sekolah yang redup di tepi blok.
Wahyun yang berada di belakang sekali, sempat menoleh semula ke arah surau.
Matanya menatap lama pintu surau yang tertutup.
***
Tringggggggggg!
Bunyi loceng tamat sesi persekolahan mengejutkan Ara dari lena yang tak dirancang. Dia terbangun dengan dahi sedikit berkerut. Sejenak dia memandang sekeliling surau yang sudah kosong, hanya tinggal dia dan sunyi.
Dia cepat-cepat duduk. Tangan kanan menggosok mata, tangan kiri meraba tudung yang senget. Nafasnya pendek-pendek. Macam dikejutkan dari mimpi yang berat. Dia kemaskan tudung. Rambut yang terkeluar dihimpun semula ke dalam, disemat rapi.
Baru dia sedar, beg sekolah dia masih tertinggal di dalam kelas.
Dia bingkas bangun. Kakinya masih berstoking, dia bergegas ke pintu surau. Waktu dia tolak daun pintu, dia berhenti mendadak.
Di luar, di anak tangga surau, Wahyun sedang duduk. Mendongak ke langit dengan tangan bertaut di depan lutut. Jauh daripada perbualan atau gelak pelajar lain yang dah pun bersurai ke pintu pagar.
Ara kaku. Matanya tertumpu pada kasut yang diletakkan betul-betul di sisi Wahyun—kasutnya sendiri.
Waktu pintu surau tertutup semula perlahan di belakangnya, bunyi geseran engselnya buatkan Wahyun tersedar. Dia menoleh.
Mata mereka bertaut.
Tiada kata.
Hanya sunyi dan pandangan yang berkisar antara kekok, janggal dan... entah apa yang terbuku.
Wahyun akhirnya perasan mata Ara merenung ke arah kasut. Dia diam sejenak, sebelum perlahan-lahan bangun dan turun ke anak tangga bawah. Dia berdiri membelakangi Ara, memberi laluan tanpa sepatah kata.
Ara menunduk. Dia pakai kasut perlahan-lahan. Kemudian dia melangkah untuk pergi, buku Aisya yang dipinjam masih erat dalam pelukannya.
Namun sebelum dia sempat melepasi Wahyun, suara itu datang.
"Kadang-kadang... apa yang jadi dalam hidup kita bukan kebetulan. Ada sebab kenapa sesuatu tu berlaku. Walaupun kita belum nampak lagi sekarang."
Langkahnya terhenti tapi tidak menoleh.
Suara itu menyambung lagi,
"Kadang-kadang... kita dipertemukan dengan orang yang kita tak jangka. Dalam waktu yang kita tak minta. Tapi semua tu bukan sia-sia. Semua tu... mungkin Allah nak tunjuk sesuatu."
Ara masih membelakangi Wahyun. Dia genggam hujung tudung sekolahnya. Lama dia diam. Bahunya sedikit naik turun. Kemudian perlahan-lahan dia menoleh.
Matanya masih merah, tapi kini tak berair. Pandangannya tajam, walau suara tetap perlahan.
"Kadang-kadang kita rasa Tuhan hantar seseorang untuk selamatkan kita..."
Dia tarik nafas.
Ara sambung, dengan suara lebih dalam.
"Tapi yang sebenarnya... orang tu datang supaya kita belajar untuk selamatkan diri sendiri."
Kata-katanya menikam lembut ke dalam dada Wahyun. Dia tidak membalas. Pandangannya hanya terkunci pada mata Ara yang bersinar basah, tapi tidak menangis.
Ara tak tunggu reaksi. Dia terus melangkah pergi.
Wahyun berdiri kaku di tangga. Kata-kata Ara berulang-ulang dalam fikirannya. Dia tahu—itu bukan sekadar ayat biasa. Itu adalah sesuatu yang sedang ditunjukkan... atau mungkin disembunyikan.
***
Langkah kaki Ara berat. Tapi dia paksa dirinya bergerak cepat. Hatinya berkecamuk. Kata-kata Wahyun masih bergema. Tapi dia tak boleh menangis lagi. Dia dah tak nak menangis.
Sampai di kelas, suasana dah sunyi. Kerusi dan meja ditinggalkan kosong. Cahaya petang menyorot masuk dari tingkap, memanjangkan bayang.
Ara nampak satu sosok sedang duduk di tempat belakang.
Hafiyy.
Dia masih ada.
Hafiyy tak tanya apa-apa. Tak meluru. Tak menyoal.
Dia bangun, ambil beg Ara dari tempat duduknya, lalu hulurkan. "Nah, beg kau. Jom balik." Katanya pendek dan ringkas.
Ara pandang Hafiyy. Kemudian pandang beg tu. Dia ambil tanpa kata.
Mereka melangkah keluar dari kelas, satu demi satu anak tangga dilalui dalam sunyi yang tak janggal. Masing-masing dengan cerita yang disimpan sendiri.
***
Hafiyy melangkah perlahan di sisi Ara. Sejak tadi, gadis itu hanya diam. Tak seperti biasa. Wajahnya pucat, dan tangannya asyik memegang perut.
"Ara?" Hafiyy akhirnya bersuara.
"Kau okey ke? Dari tadi aku nampak kau diam je. Kenapa ni? Kalau ada apa-apa, bagitahulah aku."
Ara geleng perlahan. "Tak ada apa-apa..." suara dia lemah, tapi mencuba untuk kedengaran kuat. Dia cuba sembunyikan rasa pedih di perutnya yang makin mencengkam.
"Oh, aku nak singgah bilik guru kejap. Tadi Cikgu Amar pesan nak jumpa aku sekejap waktu balik sekolah."
Ara hanya angguk. Tanpa sepatah kata pun, dia ikut Hafiyy menuju ke bangunan pentadbiran. Langkahnya makin perlahan, peluh dingin membasahi dahi.
Sampai di bilik guru, Hafiyy masuk bertemu Cikgu Amar. Ara berdiri di satu sudut berhampiran rak trofi. Dia tak selesa. Perutnya bagai dipulas-pulas. Tapi dia tahan.
Beberapa minit telah berlalu. Tiba-tiba pintu bilik guru terbuka. Wahyun masuk dengan fail di tangan. Dia sempat pandang sekeliling, sebelum matanya tertancap pada seseorang di sudut bilik. Ara.
Keningnya berkerut. "Ara?" tegurnya perlahan. "Okey ke?"
Ara tak jawab. Dia hanya tunduk sambil menekan perut. Langkahnya perlahan, cuba beredar dari bilik guru. Dia tak mahu sesiapa tengok dia dalam keadaan begitu.
Namun belum sempat tangannya mencapai tombol pintu, tubuhnya goyah dan rebah.
"Ara!" Wahyun bertindak pantas. Dia sempat menyambut tubuh gadis itu sebelum terhempas ke lantai. Buku kecil yang digenggam Ara terjatuh, melayang sebelum mendarat di sisi rak.
Kecoh seketika suasana bilik guru.
"Ara?" Wahyun panik. "Ara, dengar tak ni?"
Guru-guru yang berada di meja masing-masing segera bangun. Keadaan bertukar cemas.
Hafiyy yang baru perasan dengan kekecohan itu berpaling dan terus berlari ke arah Ara.
Dia segera meluru ke arah Ara yang tidak sedarkan diri di dalam pelukan Wahyun. Wajahnya pucat, tubuhnya sejuk.
Hafiyy cepat-cepat periksa nadi di pergelangan tangan Ara. "Dia mesti gastrik ni. Dia pernah kena dulu... Dia memang selalu tahan lapar bila murung."
"Bawa dia ke bilik rawatan! Cepat!" Cikgu Firdaus menjerit sambil memanggil guru lain untuk bantu.
***
Bilik rawatan sekolah itu sunyi. Cuma kedengaran bunyi kipas berputar perlahan dan desiran nafas lembut Ara yang masih belum sedarkan diri. Tubuhnya terbaring di atas katil kecil berselimutkan selimut nipis yang disediakan. Pucat wajahnya tidak banyak berubah.
Di sisi, Hafiyy duduk gelisah. Jari-jarinya menggenggam hujung baju sekolah, tak tahu nak buat apa. Dalam diam, dia sudah pun menelefon Puan Hajar sebentar tadi. Tapi dia tak mampu berterus terang.
"Makcik, saya dengan Ara balik lambat sikit hari ni. Tadi ada hal sikit dengan cikgu. Tapi jangan risau, dia okey. Saya temankan dia."
Itu saja yang dia berani cakap. Dia tahu, kalau dia bagitahu Ara pengsan, Puan Hajar pasti datang tergesa-gesa. Dan dia tahu sangat Ara tak suka buat orang risau. Gadis itu terlalu kuat untuk orang yang sebenarnya terlalu rapuh.
Wahyun pula duduk tak jauh dari katil. Dalam diam, dia membuka buku yang sempat dia kutip masa kecoh tadi — buku yang dia lihat Ara genggam sejak dari perpustakaan. Buku itu nipis, tapi padat dengan tulisan tangan. Nota-nota kecil. Ayat-ayat motivasi. Potongan ayat-ayat Quran berserta terjemahan.
Wahyun renung lama. Tulisan itu, tulisan yang dia cukup kenal. Tapi sekarang, isi dalam buku itu seolah-olah sedang bercakap dengan dia... dan dengan Ara.
Guru bertugas datang sekejap, memeriksa keadaan Ara.
"Sebelum ni pun dia pernah macam ni kan?" soal guru itu sambil memeriksa nadi.
Hafiyy angguk perlahan. "Ha'ah. Dia kalau ada masalah memang macam ni. Dari pagi tadi muka dia pucat sangat. Masa rehat pun saya perasan dia tak pergi kantin untuk makan."
"Tak peliklah dia pengsan. Tenaga tak cukup, lepas tu sakit perut. Nanti tengok kalau dia bangun, kita minta dia makan sikit."
Guru itu berlalu keluar seketika.
Wahyun dengar semua, tapi dia diam. Matanya kembali pada buku itu. Jarinya selak satu persatu muka surat yang bertulis. Dan setiap helai yang dibaca, setiap ayat yang tertera, semakin jelas dalam hatinya—Ara bukan gadis biasa.
"Ara pasti kenal Warda. Dan entah kenapa aku rasa perlu untuk kenal dia." Wahyun bermonolog dalam hatinya.
Dia angkat wajah, pandang Ara yang masih tidak sedarkan diri. Walaupun pucat, tapi wajah itu penuh cerita. Cerita yang dia tak tahu. Cerita yang dia mahu tahu.
Hafiyy pula masih diam. Pandangannya tertumpu penuh pada Ara.
Waktu terus berjalan. Tapi dalam bilik kecil itu, ada dua hati yang sedang memikirkan gadis yang sama — dengan dua rasa yang berbeza. Dan Ara, masih dalam lena, tidak tahu... dua jalan takdir sedang mula bersilang kerana dirinya.
***
Beberapa minit berlalu sebelum Wahyun bersuara. Suaranya tenang, tapi jelas ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
"Dia selalu macam ni ke?"
Hafiyy angkat muka. Matanya masih penuh bimbang. "Macam mana?"
"Diam. Nampak macam simpan semuanya sendiri." Wahyun toleh perlahan ke arah Ara.
"Aku perasan masa kat surau tadi. Dia sorang-sorang. Lepas tu bila aku tegur, dia macam..." dia tarik nafas perlahan, "macam tengah bertarung dengan diri sendiri."
Hafiyy tunduk sekejap. "Ara memang macam tu."
"Kenapa?"
Soalan itu ringkas. Tapi tak mudah untuk dijawab.
Hafiyy mengeluh perlahan. Dia sandar badan ke kerusi, tenung siling.
"Dia banyak pendam. Dia selalu rasa dia tak cukup baik untuk sesiapa pun. Dan kadang, dia terlalu sibuk jaga hati semua orang... sampai dia lupa jaga diri sendiri."
Wahyun senyap. Kata-kata Hafiyy mula membuatkan persepsinya berubah terhadap Ara.
"Dia macam tengah bawa beban yang dia sendiri tak tahu cara nak lepaskan," tambah Hafiyy perlahan. "Kadang aku rasa Ara tu cuma tunggu masa."
Wahyun kerut dahi. "Tunggu masa untuk apa?"
Hafiyy angkat bahu. "Untuk jatuh atau... untuk hilang."
Sunyi menyusul antara mereka. Hanya detik jam dinding yang memecah diam. Wahyun kembali menatap buku kecil di tangannya yang kini terasa sangat dekat dengan apa yang sedang berlaku.
***
Tiba-tiba, tubuh kecil di atas katil bergerak perlahan. Jari-jemarinya menggenggam selimut, dan wajahnya berkerut kesakitan. Hafiyy segera bangun dan berdiri di sisi.
"Ara?"
Ara buka mata perlahan. Cahaya lampu siling menusuk pandangan. Dia nampak samar-samar wajah Hafiyy, kemudian Wahyun yang berdiri tidak jauh di belakang.
"Aku kat mana...?" suaranya serak, perlahan.
"Dekat bilik rawatan sekolah. Kau pengsan tadi," jawab Hafiyy lembut.
Ara pejam mata sekejap. Cuba mengingat.
"Gastrik kau datang balik." tambah Hafiyy lagi. "Pagi tadi kau tak makan kan?"
Ara hanya diam tanpa respon. Dia cuba bangun, tapi segera ditegah oleh Hafiyy. "Ehhh kau baring je dulu. Nanti makin sakit."
Wahyun pula diam, tapi matanya tajam memerhati.
Ara cuba senyum nipis, tapi senyum itu tidak sampai ke mata. Dia perasan buku kecil Aisya ada di tangan Wahyun. Sekilas dia pandang, kemudian cepat-cepat alih pandangan.
"Buku ni... tadi terjatuh masa kecoh tadi. Maaflah tadi saya ada baca sikit." Wahyun bersuara perlahan.
Ara senyap. Wajahnya berubah sedikit, tapi dia tak jawab. Nafasnya jadi berat.
Wahyun letakkan buku itu perlahan di sisi bantal Ara.
***
Share this novel