Langit kelihatan cerah, namun hati Ara seperti mendung kelmarin masih belum berlalu sepenuhnya. Waktu rehat, suasana dalam kelas mula riuh dengan pelajar yang bersiap untuk ke kantin atau ke surau. Ara diam-diam menyimpan buku teks ke dalam beg, hanya membawa buku pemberian Aisya yang diselit kemas di bawah lengan.
Hafiyy yang sedang menutup bekas penselnya di meja bersebelahan, menyedari gerak-gerinya.
"Nak ke mana tu, Cik Haura?" tanya Hafiyy dengan senyuman nakal, seakan sudah dapat mengagak jawapannya.
Ara diam. Matanya hanya menjeling Hafiyy sekilas, tidak menjawab. Dia terus melangkah.
"Eh, nak pergi library ke?" Hafiyy bangun dan ikut dua langkah ke belakang. "Nak sambung baca buku keramat tu ke? Takut Wahyun ada lagi nanti macam mana?" usiknya rendah-rendah tapi penuh maksud.
Ara serta-merta berpaling, terbeliak mata. Tangannya cepat-cepat diangkat seolah nak tekup mulut Hafiyy, "Ssst! Janganlah cakap kuat-kuat. Nanti orang dengar!"
Hafiyy gelak kecil. "Alaa, gurau sikit pun tak boleh. Tapi pergilah. Kalau buku tu buat hati kau tenang, jangan ragu-ragu."
Ara mendengus kecil sambil senyum di hujung bibir. Belum sempat dia beredar, Hafiyy sambung lagi, "Tapi... kalau kau sakit perut lagi nanti, jangan pulak tinggalkan buku tu atas meja tau. Kang ada 'susuk tak diduga' datang singgah lagi, haha!"
Ara menuding jari ke arahnya, geram. "Kurang asam."
Hafiyy tergelak, puas dapat kenakan Ara. Ara pun terus melangkah keluar dari kelas menuju ke perpustakaan.
***
Perpustakaan agak tenang, hanya beberapa pelajar yang kelihatan khusyuk membaca. Langkah Ara terhenti di pintu masuk. Pandangannya jatuh pada satu sosok lelaki yang sedang membaca di meja hujung perpustakaan. Sosok itu... Wahyun.
Jantung Ara berdegup sedikit laju. Dia tak sangka Wahyun akan berada di situ. Buku di bawah lengannya terasa seperti memberat tiba-tiba. Dia jadi serba salah — nak masuk atau berundur saja?
Dia berdiri kaku di depan pintu.
Tiba-tiba suara garau, tapi lembut milik pustakawan yang biasa bertugas, menyentak lamunannya.
"Kalau nak masuk, masuklah. Jangan tercegat kat situ. Tutup pintu tu rapat-rapat," tegur Encik Hafzan dari belakang kaunter sambil menurunkan cermin mata bacanya.
Wahyun, yang terdengar suara pustakawan itu, secara refleks menoleh ke arah pintu. Matanya segera menangkap figura yang sedang berdiri — Ara. Sepasang mata mereka bertemu buat seketika.
Ara terkejut. Dia terus memusingkan tubuh dan melangkah tergesa keluar. Wahyun yang nampak reaksinya terus bangun, langkahnya mahu mengejar. Tapi belum sempat...
"Abang Wahyun!" tegur seorang pelajar perempuan tingkatan tiga yang tiba-tiba muncul dari arah rak majalah. Pelajar itu berdiri rapat sambil tersenyum manis.
Wahyun terhenti. Pandangannya masih ke arah pintu yang baru ditutup Ara tadi. Pelajar perempuan itu bersuara lagi, "Saya... selalu nampak abang baca buku kat sini. Abang minat buku motivasi ke?" soalnya lembut, cuba berbasa-basi.
Wahyun tidak menjawab soalan itu, pandangannya masih melayang — bukan pada buku, bukan pada pelajar itu, tapi pada bayangan yang baru saja pergi.
***
Langkah Ara laju menyusuri koridor sekolah. Nafasnya turun naik, bukan sebab penat, tapi gugup. Jantungnya masih berdegup kencang, seperti baru habis dikejar sesuatu. Dia menelan liur perlahan, cuba menenangkan dirinya.
"Kenapa aku panik sangat tadi..." bisiknya sendiri.
Dia berhenti sekejap di bawah pohon rendang berdekatan taman mini sekolah, tempat biasa pelajar duduk waktu rehat. Tiada siapa di situ, hanya daun-daun yang luruh ditiup angin. Cuaca redup, seolah-olah memahami gelora hati Ara ketika itu.
Ara duduk di bangku batu. Dia renung muka depan buku itu, kali ini lebih lama daripada biasa.
"Aku tak sepatutnya rasa macam ni. Aku bukannya buat salah pun..."
Tapi kenapa dia gelabah? Kenapa rasa serba tak kena bila bertembung pandang dengan Wahyun?
Dia hela nafas panjang, kemudian menyandar. Pandangannya naik ke langit — langit cerah dengan awan berarak perlahan. Tenang. Tak seperti hatinya sekarang.
Tiba-tiba terlintas suara Hafiyy di fikiran —
"Kalau sakit perut lagi nanti jangan pulak tinggal buku tu atas meja, kang ada susuk yang tak diduga datang..."
Ara tergelak sendiri. Sikit-sikit, tekanan di dadanya reda. Gurauan Hafiyy memang sentiasa jadi penawar paling ampuh untuk emosinya.
"Masin betul mulut kau Hafiyy..." gumamnya perlahan.
Dia buka buku di tangannya dan mula membaca. Biar tenang. Biar dia kembali kepada dirinya. Biarlah Wahyun dengan pelajar perempuan tadi — siapa pun dia, Ara tak nak ambil tahu.
***
Suasana di pagar sekolah agak sesak dengan pelajar-pelajar yang menunggu dijemput. Bunyi enjin motor dan kereta silih berganti. Wahyun berdiri bersandar pada tiang pagar batu, mata melilau sesekali ke arah jalan besar. Di sebelahnya, seorang kawan sekelasnya, Imran, turut sama menunggu.
Wahyun tunduk, menendang-nendang kecil batu kerikil dengan hujung kasutnya. Matanya kemudian secara tidak sengaja tertancap pada satu pasangan pelajar yang sedang berjalan keluar dari kawasan sekolah.
Seorang lelaki dan seorang perempuan. Perempuan itu sedang menuntun basikal sambil berbual dengan lelaki di sebelahnya, kelihatan mesra.
Langkah mereka semakin hampir dengan pintu pagar utama.
Wahyun memandang lebih lama, tertarik. Itu dia...
Matanya membulat sedikit.
"Eh... kau kenal tak budak perempuan tu?" soalnya pada Imran sambil angkat kening, menunjuk ke arah Ara.
Imran ikut arah tunjuk Wahyun, kemudian angguk.
"Kenal. Tu Haura. Satu batch kita."
"Haura?" Wahyun ulang perlahan nama itu.
Imran sambung, "Tapi dia bukan jenis yang suka berkawan. Memang selalu sorang-sorang je. Yang dengan dia tu je la kawan dia. Memang dua orang tu tak berenggang. Tapi Ara tu... lawa kan?"
Wahyun pandang lagi ke arah Ara. Jelas dari jauh, rambut Ara yang terjuntai keluar sedikit dari tudungnya ditiup angin, wajahnya tenang, tapi penuh teka-teki.
"Dia nampak macam..." Wahyun tak habiskan ayat. Ada sesuatu tentang gadis itu yang menarik perhatiannya. Tenang... tapi ada dinding tebal. Dia fikir sendiri.
Imran tergelak kecil, "Dia cantik, tapi memang dingin sikit. Tak ramai yang berani tegur. Bukan sombong, cuma... tak mesra alam. Kelas dia kat blok belakang, mungkin sebab tu kau jarang nampak."
Wahyun angguk kecil.
"Yang lelaki tu pulak?" tanya Wahyun, matanya masih tak lepas dari kelibat Hafiyy.
Imran julingkan mata ke arah Hafiyy. "Hafiyy tu anak orang berada. Mak ayah dia kerja overseas, duduk dengan nenek dia kat Kampung Seri Bayu. Tapi dia cool je orangnya. Ramai suka berkawan dengan dia, cuma dia sendiri pilih untuk tak ramai kawan. Dia ni kira macam pelindung Ara la. Dari kecik dah berkawan."
Wahyun terdiam. Kelibat Ara dan Hafiyy kini semakin menjauh, akhirnya hilang di selekoh jalan utama.
Dalam diam, nama 'Haura' mula berteka-teki dalam fikirannya.
***
Langit petang berbalam kelabu, dan deruan angin desa membawa harum tanah kering yang baru disirami hujan. Ara dan Hafiyy mengayuh perlahan menyusuri lorong kecil yang memisahkan dusun rambutan dan pagar kayu rumah-rumah kampung. Basikal mereka berhenti di hadapan sebuah rumah kayu dua tingkat yang terletak di hujung lorong — rumah peninggalan arwah datuk Hafiyy, kini didiami oleh Tok, satu-satunya insan yang paling dekat dengan hati Hafiyy.
Rumah itu kelihatan klasik tapi terjaga rapi. Bahagian bawahnya berdinding papan bercat putih gading, manakala bahagian atas pula berwarna coklat tua. Anjung rumah dihiasi pokok-pokok bunga kertas dan orkid gantung. Seutas buaian kain tergantung di tiang kayu. Tangga kayu yang sudah agak uzur namun masih kukuh, menjadi laluan masuk ke ruang tamu yang sederhana luas dan bersih, beralaskan tikar mengkuang.
"Kau ni dah lama sangat tak datang jenguk Tok aku ni, tahu tak?" Hafiyy menoleh pada Ara yang menolak basikalnya naik ke beranda.
Ara senyum kecil. "Alah, bukan tak nak datang. Tapi banyak sangat hal... Hari ni saja baru boleh lepas."
Tok yang dari tadi menyapu daun kering di tepi rumah tiba-tiba menoleh. Wajah tuanya bersinar ceria saat melihat Ara.
"Eh, ya Allah! Ara! Masya-Allah, lama Tok tak nampak cucu sorang ni! Mari naik, mari naik!" Tok menepuk tangan, teruja.
Tok — seorang wanita berusia lewat 60-an, bertubuh kecil tapi masih kuat, berkain batik dan berbaju kurung padu warna biru lembut. Wajahnya penuh kedutan namun berseri, dengan mata yang redup dan senyum tak lekang dari bibir.
Ara melangkah ke arah Tok, mencium tangan wanita tua itu. "Tok sihat? Ara rindu Tok..."
"Sihat, alhamdulillah. Ni mesti datang sebab nak tengok Tok masak lauk sedap, ya?" Tok tergelak kecil.
"Boleh jugak," Ara melirik Hafiyy sambil tersengih. "Daripada makan cucur yang kena rebut dengan Hafiyy, baik makan lauk Tok!"
Hafiyy angkat tangan tanda protes. "Amboi, acah-acah cucu baik. Dulu pun masa kecik berebut jugak dengan aku, siap menangis."
Tok ketawa berdekah-dekah melihat telatah mereka. "Dua-dua ni memang macam budak kecik tak habis-habis bergaduh dari dulu."
"Jomlah masuk. Ara makan sekali, ya?" pelawa Tok mesra.
"Tok masak apa hari ni?" Ara tanya sambil berjalan masuk ke dalam rumah.
"Sambal ikan bilis petai, sayur lemak labu, ayam goreng kunyit, sambal belacan... ada ulam-ulaman sekali. Makanlah, ni lauk kegemaran cucu Tok ni jugak."
Di meja makan, hidangan sederhana tapi membuka selera terhidang rapi. Ada pinggan ulam dengan daun selom, kacang botol dan timun, ditambah sambal belacan yang masih berasap. Ayam goreng kunyit digaul garing, manakala sayur labu kelihatan lemak pekat dengan udang kecil tersembul sana sini. Sambal petai berkilat dengan minyak merah dan aroma pedas menusuk hidung.
"Tok, lauk ni semua sedap gila. Kalau buka restoran pun boleh ni," Hafiyy bersuara sambil menambah nasi.
"Kalau buka restoran, Hafiyy ni yang bankruptkan restoran tu sebab makan tak berhenti," usik Tok sambil hempuk perlahan belakang Hafiyy dengan sudip kayu.
Ara tergelak hingga hampir tersembur nasi. "Betul tu Tok. Dulu pun masa kecik, Hafiyy makan tiga kali pinggan besar sorang-sorang. Lepas tu menyorok belakang dapur sebab malu kalau Tok marah."
"Alah, dia tu memang kuat makan dari kecik. Tapi sebab tu dia sihat, alhamdulillah," Tok membela sambil tersenyum.
Mereka bertiga makan dengan penuh gelak tawa, seolah-olah masa tidak pernah berlalu sejak zaman kecil dulu. Rumah itu terasa seperti rumah kedua bagi Ara — dan Tok, seolah-olah nenek kandungnya sendiri.
***
Share this novel