Bab 34

Drama Series 202

Puan Mariam sudah pun melangkah masuk ke bangunan pejabat di bahagian kanan kawasan Baitun Nisa'. Dari luar, boleh terlihat ukiran kayu jati yang menghiasi pintu masuk, dengan tulisan kecil "Pentadbiran" tertera kemas di sisi. Dalam langkah yang tenang dan penuh wibawa, wanita itu menghilang di balik pintu kayu berukir, meninggalkan Aisya dan Ara yang masih berdiri di kawasan hadapan bangunan utama.

Aisya menoleh ke arah Ara, yang masih seperti terpinga-pinga dan belum biasa dengan suasana sekeliling.

"Jom, Haura. Kita ke dewan kuliah dulu. Sekejap lagi program nak mula."

Ara hanya mengangguk perlahan. Dia masih dalam fasa menerima kenyataan bahawa inilah tempat barunya. Tempat asing yang penuh dengan ketenangan, tapi cukup menyimpan rahsia dan perjuangan dalam diam.

Langkah mereka menyusuri laluan berbatu kecil yang dihiasi pasu bunga lavender dan ros jepun di kiri dan kanan. Aroma tanah basah pagi dan embun di hujung daun menambahkan rasa damai yang tak mampu digambarkan dengan kata. Sampai di depan dewan, Ara mendongak sedikit, melihat papan kayu besar berwarna walnut gelap dengan ukiran perkataan "Dewan Kuliah Ar-Rahmah" dalam khat jawi yang kemas dan berseni.

Pintu kayu gelangsar itu dibuka perlahan. Mata Ara membulat sedikit.

Di dalam dewan, ruangnya luas dan teratur. Lampu-lampu gantung bergaya kolonial menghiasi siling tinggi, memantulkan cahaya lembut ke seluruh ruang. Dindingnya dihiasi bingkai ayat-ayat al-Quran yang ditulis dalam khat thuluth emas, serasi dengan tona pastel krim dan ungu lembut yang mendominasi ruang. Karpet empuk berwarna ungu kelabu menutupi lantai sepenuhnya, memberi rasa selesa dan hangat.

Di bahagian hadapan, ada pentas kecil lengkap dengan meja kayu jati dan mikrofon yang telah tersedia. Kerusi-kerusi kayu berlapik kain baldu disusun rapi menghadap pentas. Di sisi pentas, terdapat satu papan putih dan rak-rak kecil berisi kitab dan bahan ceramah. Ara terpegun seketika, tak menyangka tempat seindah ini wujud sebagai pusat perlindungan wanita.

Aisya senyum melihat wajah Ara yang masih kagum.

"Cantik, kan?" katanya perlahan, memecah kesunyian.

Ara angguk, tersenyum nipis.

Aisya pandang sekeliling dewan, kemudian berkata, "Setiap minggu, kita akan ada ceramah kat sini. Penceramahnya selalunya dari kalangan ustazah-ustazah yang berpengalaman, ada juga yang dulunya pernah jadi penghuni Baitun Nisa'. Lepas ceramah, kita akan sambung pula dengan usrah dalam kumpulan. Ada kumpulan khas ikut fasa pemulihan dan pengajian."

Mata Ara masih memerhati. Di sudut dewan, beberapa orang penghuni telah mula masuk — semuanya berpakaian sama. Tudung labuh berwarna ungu pastel lembut, jatuh terletak hingga ke paras perut. Jubah mereka pula berwarna ungu gelap, sederhana longgar dan kemas. Wajah mereka tenang, lembut, sesekali menyapa dengan senyuman.

"Tu pakaian rasmi kat sini," sambung Aisya, masih berdiri di sisi Ara. "Mereka akan pakai pakaian tu waktu program rasmi, waktu usrah, waktu kelas. Kalau waktu santai, pakai baju kurung biasa, baju muslimah pun boleh."

Ara pandang wajah Aisya seketika.

"Semuanya nampak tenang."

Aisya tersenyum, dan kali ini nadanya lebih dalam. "Sebab semua orang kat sini pernah melalui luka yang sama. Tapi tempat ni ajar kita untuk ubah luka tu jadi cahaya. Kat sini, tak ada sesiapa nak hukum sesiapa. Kita semua saling belajar. Saling perbaiki diri."

Ara tunduk. Hatinya bergetar. Dia tak tahu apa yang menantinya di sini, tapi ada sesuatu dalam suara Aisya yang membuat dia rasa ingin bertahan.

***

Pagi itu, langit redup. Matahari masih malu-malu menembus dedaun rendang pokok manggis tua di tanah perkuburan kecil hujung kampung. Angin pagi membawa aroma tanah basah, seolah turut berkabung bersama mereka yang hadir. Suasana sunyi, hanya sesekali kedengaran bacaan surah Yasin yang dilantunkan perlahan oleh jemaah lelaki yang mengelilingi liang lahad.

Hafiyy berdiri di sisi pusara, mengenakan kain pelekat dan baju Melayu polos. Wajahnya sugul, kelopak mata sembap tidak cukup tidur sejak malam tadi. Di sebelahnya, berdiri Puan Laila yang sejak awal pagi sudah merah mata, dan Encik Farhan yang cuba kelihatan tenang meskipun matanya berkaca. Beberapa orang kampung turut hadir — Pak Imam, Tok Bilal, jiran-jiran lama Tok, juga anak-anak muda kampung yang sejak kecil membesar dengan kasih sayang arwah.

Hujung tanah, kelihatan sekumpulan wanita berdiri dalam kelompok yang tenang. Puan Hajar mengenakan baju kurung kelabu lembut dan selendang putih polos, berdiri dengan Fia dan Atul di sisi. Wajah mereka suram, masing-masing menunduk, membacakan doa dalam hati.

Tanah diturunkan perlahan ke atas pusara. Hafiyy menyambut gayung kecil berisi tanah dari tangan Pak Imam dan meletakkannya di atas jasad yang kini telah disemadikan. Suara esakan kecil mula kedengaran di belakang. Beberapa orang wanita kampung menyeka air mata. Tok — seorang yang mereka sayang, telah pergi selamanya.

Selesai talkin dibaca, para tetamu mula bersurai perlahan. Hafiyy berdiri di sisi kubur yang masih merah tanahnya. Nafasnya dalam. Tangannya bersilang di hadapan tubuh, merenung nisan yang masih belum bertanda.

Langkah Puan Hajar mendekat.

"Sabar ya, Farhan, Laila..." ucapnya perlahan, memegang tangan Puan Laila erat-erat. "Arwah Tok orang baik. Ramai sayang dia. Semoga rohnya dicucuri rahmat."

Fia turut mengangguk, memandang Puan Laila dengan lembut. "Kami semua doakan yang terbaik untuk arwah, makcik. Dia banyak sangat jasa dekat kampung ni."

Puan Laila hanya mampu mengangguk dalam tangis. "Terima kasih... terima kasih semua..."

"Terima kasih sudi datang. Maaf susahkan kalian." ujar Encik Farhan.

"Sama-sama," balas Puan Hajar perlahan. "Tok tu... banyak sangat kenangan dengan kami semua. Takkan kami tak datang."

Namun, di sebalik semua itu, Hafiyy memandang sekeliling. Pandangannya menyapu barisan wanita yang masih berlegar di hujung tanah, mereka yang datang, mereka yang pergi.

Dahinya berkerut perlahan.

'Ara tak datang...'

Dia masih diam, namun matanya tetap mencari. Tiada kelibat gadis yang biasa menjadi bayang-bayang Tok setiap kali ada apa-apa upacara keluarganya— Ara pasti akan ada di sisi.

Namun hari ini, sunyi. Wajah Ara langsung tak kelihatan. Seakan-akan hilang dari dunia ini.

Dia tak bertanya. Cuma diam dan telan sendiri rasa peliknya. Hafiyy hanya tunduk semula ke arah pusara Tok, mengusap perlahan sisi tanah yang masih lembap. Dalam hatinya, terasa kosong — bukan hanya kerana kehilangan Tok... tapi juga kerana kehilangan seseorang yang sepatutnya ada bersama hari ini.

***

Langit awal petang agak cerah, meskipun matahari sudah condong ke barat. Angin lembut meniup perlahan, membelai wajah mereka sewaktu kereta Puan Mariam memasuki perkarangan rumah. Bunyi enjin dimatikan perlahan. Aisya dan Ara melangkah keluar dari perut kereta, disusuli Puan Mariam yang menyusul dengan tenang.

Aisya menoleh ke sisi, senyuman manis terukir di bibir.

"Macam mana tadi? Best tak?" soalnya, sambil mengangkat sedikit kening, menanti reaksi Ara.

Ara yang masih dalam suasana tenang, menunduk sedikit. "Alhamdulillah... best. Banyak benda baru saya belajar. Saya pun sempat kenal-kenal dengan beberapa orang dekat sana. Suasana tempat tu... tenang sangat."

Puan Mariam yang mendengarnya hanya tersenyum kecil. Wajahnya seolah-olah puas melihat perubahan pada gadis itu. "Kalau Haura suka, Haura boleh je ikut setiap hujung minggu. Atau... kalau nak ziarah tempat tu pun, bagitahu je umi ya."

Ara senyum nipis. Tak berkata apa-apa, tapi jelas di wajahnya ada rasa tersentuh. Dia tunduk, menyorokkan sedikit rasa malu yang mula menjalar. Dalam diam, dia terasa dirinya terlalu dimuliakan.

"Haura..." Puan Mariam menyambung, "bilik Haura umi dah siapkan. Nanti masuk rehat, ya?"

Ara mengangguk perlahan. Ada genangan rasa bersalah di matanya. Dalam hati, dia bertarung dengan rasa rendah diri. Siapa dia, sampai diberi layanan sebaik ini? Menumpang rumah orang pun sudah rasa berat, ini pula disediakan bilik sendiri. Dia hanya menunduk, tak mampu balas kata-kata itu dengan apa-apa selain diam dan hati yang berserabut.

Aisya yang perasan perubahan riak wajah Ara segera menyentuh bahu gadis itu dengan lembut. "Awak okey tak?"

Ara mengangguk perlahan.

Aisya senyum, tenang dan ikhlas. "Tak perlu segan. Mulai sekarang, Ara sebahagian daripada kami."

Perkataan itu... menikam lembut ke hati Ara. Dia pandang Aisya dengan pandangan tercengang. Hatinya terdetik, Kenapa Aisya semudah itu menerima aku? Sedangkan aku... aku pernah layan dia dingin, aku kasar, aku tak pernah buka ruang pun... Tapi Aisya tetap begitu. Tetap baik. Tetap menerima.

Aisya menoleh ke arah Puan Mariam. Dengan ceria, dia berkata, "Umi, boleh tak mulai hari ni... Haura jadi sebahagian dari keluarga kita? Kira macam ahli keluarga kita sendiri. Boleh, umi?"

Dia rangkul lengan Ara, rapat dan penuh kasih.

Ara masih terkaku. Tapi dia tidak menepis. Dia biarkan lengan Aisya melingkari dirinya, dan entah bagaimana... hati yang keras itu mula cair sedikit demi sedikit.

Puan Mariam angguk perlahan, senyuman di bibirnya tetap sama. "Boleh, sayang. Kalau itu boleh buat anak umi ni gembira, umi tak kisah."

Dada Ara makin sebak. Dari seorang asing, kini dia diterima seperti darah daging sendiri. Air matanya hampir tumpah, namun ditahan.

"Jom," Aisya tarik tangan Ara perlahan, "kita tengok bilik awak."

Langkah mereka beriringan masuk ke dalam rumah. Aisya membuka pintu bilik sederhana itu. Ara melangkah masuk perlahan, matanya membesar sedikit.

Bilik itu... sungguh kemas dan menenangkan. Dinding berwarna putih lembut dengan sentuhan pastel lilac, langsir ringan yang meliuk lembut ditiup angin. Sebuah katil single bersaiz sederhana tersusun di sudut, lengkap dengan cadar bercorak bunga kecil. Meja belajar ringkas terletak bersebelahan tingkap yang menghadap ke taman kecil di luar. Di sudut kanan bilik, terdapat rak kecil berisi beberapa buah buku agama.

"Mulai hari ni, inilah bilik awak. Sebelah bilik saya je, senang kita nak jumpa. Kalau awak perlukan apa-apa, masuk je bilik saya tau, jangan segan-segan, ya?" ujar Aisya, tersenyum sambil berdiri di sisi,

Ara angguk kecil. Ada senyum yang akhirnya lahir dari wajahnya. Senyum yang jujur, walau sedikit malu.

"Terima kasih, Aisya..."

***

Selesai makan petang bersama, suasana ruang tamu kembali tenang. Cuma bunyi angin dari kipas siling yang perlahan memecah sunyi. Aisya bersandar sedikit, tangannya memegang telefon sambil termenung sejenak. Tiba-tiba, seperti baru teringat sesuatu, dia berpaling pada Ara.

"Haura." Aisya senyum kecil. "Boleh saya minta nombor telefon awak?"

Ara terpaku sekejap. Wajahnya berubah sedikit, tapi dia cepat-cepat tunduk.

"Sebab saya nak hantar gambar-gambar kita dekat Baitun Nisa' tadi." sambung Aisya, lembut suaranya.

Ara menggeleng perlahan. "Saya... saya tak ada telefon."

Ara tunduk sedikit, menyembunyikan resah di matanya. Dia tahu dia tidak berbohong, tapi dia juga tidak jujur sepenuhnya. Telefon bimbit dia sebenarnya hilang sejak kejadian di rumah terbiar itu. Mungkin terjatuh masa dia cuba larikan diri dari Syazwan. Ketika semua berlaku begitu pantas, ditambah dengan kejutan fitnah besar terhadap dirinya dan Wahyun, fikiran Ara benar-benar kosong. Dalam kekalutan dan trauma, dia langsung terlupa tentang telefonnya.

Sejak hari itu, dia tak pernah pedulikan pun soal telefon. Seolah-olah ia sebahagian daripada masa silam yang dia mahu lenyapkan.

"Oh... okay. Tak apa, tak apa." Aisya angguk tanda faham. Dia tak mahu Ara rasa bersalah. Tiada soalan lanjut. Tiada desakan. Wajahnya tetap tenang tanpa mempersoalkan.

Beberapa detik sunyi berlalu sebelum Aisya bersuara lagi. "Lepas ni saya nak keluar kejap dengan Pak Mat. Nak beli barang sikit. Awak nak ikut?"

Ara geleng.

"Kalau macam tu, tak apa la. Tapi kalau awak perlukan apa-apa, beritahu je dekat Umi ya. Umi ada kat bilik."

"Baik." balas Ara perlahan.

Aisya bangun sambil mengemas sedikit bajunya yang labuh. Sebelum melangkah pergi, dia berpaling lagi.

"Haura, awak ada apa-apa nak kirim tak?"

Ara cepat-cepat menggeleng. "Tak ada. Terima kasih."

Nada suaranya kecil dan malu-malu.

Aisya hanya senyum dan angguk perlahan sebelum berlalu ke pintu. Terselit dalam senyumannya satu rasa yang sukar ditafsir—antara simpati dan harapan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience