Bab 5

Drama Series 202

Aisya melangkah keluar dari bilik pesakit dengan langkah perlahan. Hatinya masih terfikir tentang gadis itu—Haura, kata jururawat. Satu nama yang pelik tapi indah.

Di hujung koridor, Pak Mat sedang duduk di atas bangku panjang. Tangan tua itu memegang songkok, diramas-ramas seolah tak tenang.

"Macam mana, Aisya? Budak tu marah tak?"

Aisya menggeleng sambil tersenyum nipis. "Tak marah. Tapi nampak dia... macam susah nak percaya orang."

Pak Mat angguk, mukanya keruh. "Pak Mat rasa bersalah sungguh. Patut Pak Mat brek lebih awal tadi. Tapi dia keluar tiba-tiba sangat. Mujur tak cedera parah."

"Pak Mat jangan salahkan diri sangat. Benda dah jadi. Kita buat apa yang mampu sekarang."

Mereka diam sejenak sebelum kedengaran suara lelaki memberi salam. Seorang doktor muda menghampiri mereka sambil membelek fail pesakit.

"Cik Aisya? Dan ni?"

"Ya, saya. Ni Pak Mat." jawab Aisya sopan.

"Pesakit nama Haura, yang dilanggar tadi... kami dah buat pemeriksaan penuh. Tak ada kecederaan dalaman serius, cuma kesan hentakan pada kepala. Tapi kami tetap nak pantau dia sehari dua. Tadi dia nak balik, tapi kami tak benarkan dulu."

"Kalau dia nak lari macam mana, doktor?" soal Pak Mat risau.

Doktor tersenyum kecil.

"Kami dah maklumkan juga pada jururawat untuk perhatikan. Dia masih dalam pengawasan."

Aisya angguk. "Terima kasih, doktor."

Tak lama selepas itu, seorang wanita elegan dalam persalinan jubah labuh biru tua muncul di hujung koridor. Wajahnya kelihatan cemas.

"Aisya!"

Aisya segera menyambut kehadiran ibunya. "Umi, nasib baik umi dah sampai."

"Macam mana keadaan semua? Umi dah baca mesej Pak Mat tadi, tapi Pak Mat cakap ringkas sangat. Umi jadi tertanya-tanya. Risau umi dibuatnya."

"Dia okay, umi. Yang dilanggar tu gadis remaja, sebaya dengan Aisya. Tapi doktor kata perlu ditahan sehari je untuk pemantauan."

"MasyaAllah alhamdulillah. Semoga semuanya dipermudahkan. Kita uruskan bayaran semua nanti ya sayang. Kita kena bertanggungjawab." Puan Mariam memegang tangan anaknya, tenang tapi tegas.

***

Keesokan paginya.

Pagi itu hujan turun renyai. Dari balik tingkap bilik hospital, Ara memandang langit kelabu sambil berpeluk tubuh. Katilnya masih bersepah. Selera makan tiada. Kepalanya masih terasa berdenyut, tapi dia sudah mula bosan menunggu untuk 'dipantau'. Berkali-kali dia minta pulang, tapi doktor masih tak beri lampu hijau.

Tok. Tok.

Ketukan lembut di pintu membuatkan Ara menoleh.

Pintu dibuka perlahan.

"Assalamualaikum... boleh saya masuk?" Aisya yang mengenakan tudung berwarna krim cerah nampak manis muncul di celah pintu dengan senyum sopan. Di tangannya ada sebuah buku kecil.

Ara tak menjawab. Cuma mengalihkan pandangan kembali ke luar jendela.

Aisya masuk perlahan, duduk di kerusi sebelah katil tanpa banyak bicara. Beberapa minit mereka sama-sama diam. Hanya bunyi renyai hujan mengisi ruang.

"Tak bosan ke sorang-sorang dalam ni?" Aisya bertanya perlahan, sekadar mahu berbasa-basi.

Ara mengangkat bahu. "Dah biasa."

"Saya minta maaf sekali lagi tentang semalam. Pak Mat pun rasa bersalah sangat. Dia asyik ulang-ulang cerita tu dekat umi saya." Aisya tergelak kecil, cuba mencairkan suasana.

Ara hanya mendengar tanpa sebarang respon. Masih datar.

"Awak selalu naik motor ke pergi pekan? Oh ya, semalam kami dah hantar motor awak ke bengkel."

"Tak suka minta tolong orang. Dan tak semua orang ikhlas tolong," jawab Ara, sedikit tajam.

Aisya angguk perlahan. Seperti menerima sindiran itu tanpa bantahan. Dia tunduk sebentar, memegang buku kecil di tangannya.

"Saya suka baca buku ni bila hati rasa tak sedap." Dia hulurkan buku nipis itu ke arah meja sisi katil. "Kalau tak nak baca pun tak apa. Tapi saya tinggalkan je. Mana tahu satu hari nanti rasa nak buka."

Ara menjeling sekilas. Buku itu bertajuk "Tenang Walau Tak Sempurna."

Ara tak menyambutnya. Tapi dia juga tak halang.

Aisya bangkit perlahan. Sebelum melangkah keluar, dia sempat berkata,

"Saya tak kenal awak. Awak pun tak kenal saya. Tapi kadang-kadang... Tuhan bagi kita jumpa orang asing pun ada sebab."

Ara akhirnya menoleh. "Kau ni memang selalu ke cakap pasal Tuhan dengan orang yang kau tak kenal?" Sinisnya.

Aisya senyum nipis. "Tak. Tapi... mungkin sebab ada sesuatu dari diri awak yang mengingatkan saya kepada Tuhan."

Ara tunduk semula, tiada respon. Tapi hatinya terasa pelik. Seperti tercuit, tapi dia tak tahu apa yang menyentuh.

"Saya doakan awak cepat sihat ya." Aisya berlalu pergi tanpa menunggu balasan.

Sebaik pintu tertutup, Ara menoleh ke arah buku di atas meja.

Dia tak ambil. Tapi dia juga tak tolak jauh.

Dia biarkan buku itu di situ.

Sunyi. Hanya bunyi hujan. Tapi kali ini, sunyi itu terasa berbeza.

***

Doktor yang sama datang ke bilik Ara. Kali ini wajahnya lebih ceria.

"Haura, kami dah semak semua bacaan awak. Keadaan stabil. Jadi... hari ni awak boleh discharge."

Ara tak menjawab. Dia sekadar angguk perlahan. Di atas meja sisi, buku kecil yang Aisya tinggalkan pagi tadi masih belum terusik.

Beberapa minit kemudian, Aisya mengetuk pintu dengan senyuman.

"Assalamualaikum. Dah boleh balik ya?"

Ara hanya menjawab dengan pandangan kosong. "Hmm."

"Kami dah uruskan bayaran semua. Jangan risau," Aisya berkata perlahan, meletakkan plastik ubat di atas meja.

"Seronok kan jadi orang kaya? Semua boleh selesai sekelip mata." Ara masih dalam mood defensifnya.

Aisya senyum kecil. Tak dibalas. Dia faham, gadis ini ada temboknya sendiri.

Pak Mat muncul bersama kerusi roda, walaupun Ara enggan dipapah.

"Jom nak. Kami hantarkan balik ya. Nanti kena paksarela duduk sini lagi, susah pula."

Ara menjeling, tapi akhirnya akur. Dia bangun perlahan, membiarkan mereka bantu menolak kerusi keluar dari bilik.

Dan tanpa sedar, buku kecil itu—dibawa bersama pulang, terselit dalam beg plastik ubat.

***

Kereta MPV hitam perlahan-lahan berhenti di hadapan pagar rumah kayu separa batu itu.

Pintu rumah sedikit terkuak. Dari jauh, kelihatan Atul yang sedang menyapu laman, berlari masuk ke dalam.

"Mak! Ada kereta datang tapi tak tahu siapa."

Di luar, Ara melangkah perlahan keluar dari kereta, disambut Pak Mat dan Aisya yang membantunya mengangkat beg kecil dan ubat.

"Mak! Kak Ara balik! Tapi... dengan orang lain!" Sambung Atul lagi.

Puan Hajar yang sedang mengacau kuah di dapur, terhenti gerak tangannya. Jantungnya terasa bergetar sedikit. Tangan yang kasar mengelap peluh di dahi, namun riak wajahnya masih cuba dikawal.

"Haura dah sampai rumah, alhamdulillah," ujar Pak Mat sambil menunduk hormat.

Puan Hajar berdiri di muka pintu, matanya tertumpu pada anak remajanya yang kini kelihatan lebih pucat dan lemah. Semalaman tak tidur memikirkan anaknya yang keluar dari malam tadi tak balik-balik.

"Assalamualaikum..." ucap Aisya perlahan diiringi senyum manis.

Puan Hajar membalas salam, walau pandangannya masih terikat pada anaknya. "Waalaikumussalam. Ni siapa ya?"

"Saya... Aisya. Anak kepada Puan Mariam. Tapi umi saya tak dapat datang sekali sebab tadi tiba-tiba ada urusan luar. Ermm.. saya yang terlibat dalam kemalangan dengan Haura semalam. Tapi kami dah uruskan semuanya. Dia ditahan semalam di hospital untuk pemantauan. Saya minta maaf sangat-sangat."

Pak Mat menambah, "Maafkan saya juga, puan. Saya yang pandu kereta tu. Budak ni keluar mendadak, saya tak sempat elak. Mujur tak parah."

Puan Hajar angguk perlahan. Suaranya tenang tapi tegas, "Saya ucap terima kasih banyak sebab dah jaga anak saya dan hantar dia balik. Saya ingatkan kejap lagi nak pergi ke balai polis untuk buat laporan dia hilang, risau dibuatnya. Katanya nak beli ubat tapi tak muncul-muncul."

Aisya hanya mengangguk sopan, tidak mahu mengganggu lebih lama.

"Haura, jaga diri ya. Kalau ada apa-apa..." Belum sempat Aisya habiskan ayat, Ara sudah berpaling, melangkah masuk tanpa menoleh.

Puan Hajar terkejut dengan tingkah anaknya. Dia hanya tersenyum kelat di hadapan dua tetamunya itu, tidak mahu mengeruhkan suasana.

Pak Mat hanya mampu tersenyum kecil. "Biasalah budak-budak... Nanti lembutlah tu."

"InsyaAllah, Pak Mat. Kita doakan yang baik-baik je untuk dia." Sambung Aisya.

Mereka berdua pun berlalu pergi, meninggalkan rumah itu kembali sunyi.

***

Ara duduk di birai katil. Atul duduk di sebelahnya, memandang wajah kakaknya dengan mata berkaca.

"Kak... kenapa tak bagitahu? Atul risau sangat tahu tak!"

Ara senyum nipis, "Tak sempat nak bagitahu. Lagipun akak okey je."

"Okey apanya! Tengok ni pun pucat lagi. Sikit lagi... entah apa jadi."

Puan Hajar masuk ke bilik sambil membawa tuala kecil dan air suam. Dia tidak berkata apa-apa, cuma meletakkan barang itu di meja sisi katil. Namun langkahnya terhenti sejenak sebelum keluar.

"Nanti turun makan. Lepas tu makan ubat."

Ara tak menjawab. Dia cuma memandang belakang tubuh ibunya yang semakin jauh.

Lewat petang

Bila semua sudah sedikit tenang, Ara mengeluarkan plastik ubat dari beg. Di celahnya, terselit sebuah buku kecil yang diberi Aisya semasa di hospital.

Kulitnya berwarna biru lembut, tertulis:

"Tenang Walau Tak Sempurna."

Ara membelek buku itu. Helaian pertama dibuka.

"Ada ketikanya Tuhan membenarkan kita jatuh, bukan untuk menghukum, tapi untuk menyentuh hati yang dah lama kosong..."

Ara menutup buku itu semula. Lama dia terdiam.

Bunyi azan maghrib berkumandang dari surau hujung kampung. Dia pandang tingkap. Langit mula menggelap. Angin masuk menampar lembut pipinya.

Dan entah kenapa, malam itu, Ara tidak seperti selalu.

Dia tidak keluar rumah.

Dia duduk diam.

Dan untuk pertama kali selepas sekian lama...

Dia termenung lama, menghadap sejadah yang tersangkut di rak yang tidak pernah disentuhnya.

***

Keesokan Paginya

"Fia dah okey?" Suara Ara perlahan, cukup sekadar didengar adik kembarnya yang sedang menyuap nasi goreng di meja makan.

Fia tidak menjawab. Sekadar mengangguk kecil tanpa memandang wajah kakaknya.

Ara mengeluh dalam hati. Sejak dulu begitulah Fia. Payah benar untuk diajak berbual bila hatinya sudah tertutup. Ara tahu, dia tak boleh paksa. Tapi sekurang-kurangnya, dia masih mahu ambil tahu.

"Atul dah gerak dulu tadi. Naik basikal dengan jiran depan tu," ujar Fia perlahan.

Ara mengangguk. "Ohh." Ringkas dan hambar. Dia bingkas bangun, menyarung kasut dan bersedia untuk tumpang Hafiyy ke sekolah memandangkan basikalnya masih rosak belum diatur.

Pagi itu, langit mendung, tapi tidak cukup mendung untuk menghalang Ara daripada menjejakkan kaki ke sekolah. Walaupun kesan kemalangan masih jelas pada tubuhnya—plaster di dahi, lengan yang sedikit terbalut, dan kesan calar di lutut—semangatnya kelihatan lebih teguh daripada semalam.

"Naik cepat. Kalau lambat lagi dua kali, aku rasa kau akan kena langgar kali ketiga—dengan aku," ujar Hafiyy sambil membuka bonet belakang basikalnya.

Ara tergelak kecil. "Okay, okay. Aku naik dah ni."

Dalam perjalanan ke sekolah, mereka hanya diam sebentar. Bunyi rantai basikal yang berpusing dan deruan angin pagi jadi muzik latar. Sampailah Hafiyy tiba-tiba bersuara, nadanya bersahaja.

"Eh Ara... kau ni betul-betul power la. Dalam sehari dua kali kena langgar. Aku rasa kalau aku yang kena, mesti tinggal tulang dengan harapan je. Orang lain baru satu kali langgar rim basikal pun dah trauma tak nak keluar rumah. Kau steady je. Superwoman pun kalah."

Ara tergelak kuat kali ni, terbatuk sedikit akibat terlalu terhibur.

"Weh, jangan gelak sangat. Nanti terbuka plaster tu, kena jahit balik nanti," Hafiyy sambung, buat-buat serius.

"Eee teruk kau ni!" Ara cubit bahunya lembut dari belakang.

Hafiyy senyum puas. "Tapi serius, kau okay ke sekarang?"

Ara angguk. "Okay dah sikit. Cuma badan lenguh je. Tadi mak suruh cuti, tapi aku nak datang jugak. Dah banyak ponteng."

"Semangat. Macam tentera veteran."

Ara senyap sekejap, sebelum akhirnya bersuara perlahan, "Sebenarnya... dua kali kena langgar tu, dua-dua kali... Aisya yang langgar."

Hafiyy hampir brek basikal.

"Serius?!" Dia toleh kepala sikit, walau dia masih mengayuh perlahan.

Ara angguk. "Yang pagi tu masa aku nak hantar nasi lemak. Lepas tu petang sikit, masa aku jalan sorang balik rumah."

"Wah. Rare betul. Orang kalau sekali dah tak nak dekat dah, ni dua kali... macam magnet."

Ara hanya senyum. "Aku pun tak tahu nak rasa apa. Tapi Aisya minta maaf. Dua-dua kali. Mak dia pun sekali minta maaf. Dia macam... kesian sangat tengok aku masa kat hospital."

Hafiyy mengangguk perlahan, tapi wajahnya berubah sedikit serius.

"Kau tahu kan, kadang-kadang pertemuan kita dengan orang—walaupun datang dengan cara paling pelik, paling tak dijangka—mungkin sebenarnya ada sebab."

Ara senyap.

"Mungkin Tuhan tengah susun sesuatu untuk kau. Kadang, orang yang langgar kita, orang yang kita benci, orang yang kita jauhkan... mungkin tu orang yang Tuhan hantar, bukan untuk hancurkan kita, tapi untuk ubah kita. Sama ada kita ubah dia... atau dia ubah kita."

Ara pandang Hafiyy dari belakang, hati terasa disentuh dengan kata-kata yang tak dijangka datang dari mulut lelaki yang selalu buat lawak merepek.

"Tapi seriuslah," Hafiyy sambung lagi, "kalau kali ketiga pun Aisya langgar kau... aku akan buat laporan polis. Sebab itu dah kira 'sengaja'."

Ara tergelak semula, dan Hafiyy pun ikut ketawa kecil.

Pagi itu, walau dengan tubuh yang masih lemah dan luka yang belum sembuh sepenuhnya, langkah Ara ke sekolah terasa lebih ringan. Mungkin kerana dia tak sendiri. Dan mungkin juga... kerana dia mula sedar, bahawa setiap perkara yang berlaku—walau pahit, walau perit—ada sesuatu yang Tuhan sedang ajarkan.

***

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience