Bab 2

Drama Series 202

Setiba di rumah, Ara terus naik ke bilik. Langkahnya laju, malas mahu berdepan dengan ibunya. Fikirannya kusut. Macam mana nak cerita pasal insiden tadi? Macam mana kalau mak tahu? Mujur mak tiada di dapur—suara kain dijemur di belakang rumah buat dia menarik nafas lega.

Dia tengok jam dinding.

7.10 pagi.

"Ahhh... tidur waktu ni nikmat gila," bisiknya sambil hempaskan diri atas katil. Bantal dipeluk erat, seakan mahu larikan diri dari kenyataan.

Baru beberapa minit mata layu, pintu bilik tiba-tiba terkuak kasar.

Gedebuk!

Hajar berdiri di muka pintu dengan wajah yang sukar ditafsir. Pinggang dicekak. Anak gadisnya itu dipandang atas bawah. Rambut kusut. Kain comot. Tangan calar.

Yang paling ketara—pulang awal, dan tangan kosong.

"Ara..."

Nada suara Hajar kedengaran tegas, tetapi tak terlalu keras. Namun cukup untuk buat bulu roma Ara berdiri. Dia tahu—dia dah kantoi.

Ara memejam mata seketika, berharap mungkin kalau dia buat-buat tidur, maknya akan berlalu pergi. Tapi langkah kaki yang menghampiri katilnya semakin kuat kedengaran.

Sreeeet.

Langsir jendela ditarik kuat. Cahaya pagi menampar wajah Ara.

"Bangun!" bentak Hajar, kali ini suaranya meninggi sedikit.

Ara buka mata perlahan. Wajah ibunya yang serius betul-betul di depan mata.

"Awal sangat balik. Mana nasi lemak semua? Mana bakul kita?"

Ara menggigit bibir. Tak tahu nak jawab macam mana.

Tiba-tiba Hajar perasan luka di lutut dan tapak tangan anaknya. Bibirnya yang tadinya keras sedikit terbuka. Wajahnya berubah.

"Ya Allah, Ara... kenapa ni?" Suaranya melembut sedikit, tapi nada risau terus naik.

"Ada orang langgar masa Ara nak ke warung tadi..." jawab Ara perlahan, mata masih tak berani bertentang. "Ara jatuh. Nasik lemak habis tumpah kat jalan."

"Apa?! Siapa langgar kau?!" suara Hajar mula bergetar.

"Masa tengah jalan tadi, Ara tak perasan pun ada kereta... tapi pemandu tu tak sengaja. Dia mintak maaf... dia dah ganti rugi semuanya." Sambil menghulurkan duit ganti rugi tersebut pada ibunya.

"Ganti rugi?" Suara Hajar makin meninggi semula. "Kau ingat duit boleh ganti luka kau ni?! Hati mak ni?! Kau tak tahu ke berapa susah mak bangun pagi-pagi siapkan semua tu? Kau tak jaga amanah, Ara. Tu tanggungjawab kita!"

Ara hanya tunduk. Sikit pun ibunya tak terdetik untuk tengok seteruk mana lukanya, apatah lagi untuk sapukan ubat. Bukannya dia meminta untuk dimanjakan, tetapi nalurinya sebagai anak tetap ingin rasa diambil peduli. Matanya mula berkaca, tapi dia tahan. Dia tahu semua tu memang salah dia.

"Ara tak sengaja, mak..." suaranya mula bergetar.

"Setiap kali ada peluang buat mak bangga, kau sia-siakan!" Nada suara Hajar benar-benar pecah kali ni. "Mak penat, Ara... penat!"

Ara menggenggam selimutnya erat. Nafasnya tercungap cuba menahan sebak yang makin menyesak dada.

"Mak ingat Ara tak penat ke?" akhirnya dia bersuara, suara yang selama ini dipendam. "Mak selalu nampak salah Ara. Tapi mak tak pernah nak faham kenapa Ara jadi macam ni..."

Hajar terdiam.

Kata-kata itu bagai tamparan.

"Tiap pagi Ara bangun juga, tolong mak jual. Ara cuba jugak buat betul. Tapi satu pun mak tak pernah nampak..."

Untuk seketika, hanya bunyi unggas dari luar rumah menemani diam mereka.

Ara mengesat air matanya kasar. "Ara minta maaf pasal nasi lemak tu. Tapi Ara dah cuba, mak. Ara dah cuba..."

Hajar berpaling. Bahunya naik-turun. Dia menarik nafas panjang.

"Kadang-kadang mak rindu Ara yang dulu..." ujarnya perlahan, tanpa memandang wajah anaknya.

"Bukan Ara yang keras hati, susah ditegur, suka lawan cakap..." sambungnya.

"Dan Ara pun rindu mak yang dulu..." balas Ara hampir berbisik.

Hajar mencapai duit yang dihulurkan tadi, berpaling dan melangkah keluar. Tapi sebelum kaki betul-betul melangkah ke pintu, dia berhenti.

"Ara..." Dia menoleh. Matanya menatap tepat ke wajah anak gadisnya itu.

"Mak tahu bukan senang hidup tanpa ayah. Mak tahu kau tak rapat dengan mak macam mana kau rapat dengan ayah dulu. Tapi jangan disebabkan tu, kau jadi macam ni."

Lalu dia berlalu keluar.

Ara diam. Tidak membantah. Biasanya, setiap kali dimarahi, pasti ada sahaja jawapan sinis atau keras darinya. Tapi kali ini tidak. Mungkin kerana penat. Mungkin juga kerana rasa bersalah yang tidak terluah.

Sebaik pintu biliknya tertutup, air mata mula mengalir perlahan membasahi pipinya.

"Ayah."

Hanya satu nama itu yang terkeluar dari mulutnya.

***

Petang itu, langit mendung. Awan seperti sedang memeluk langit dengan perasaan berat yang tak terucap. Angin menyapa perlahan, menyentuh pipi Ara yang duduk termenung di atas pangkin usang bawah pokok jambu di tepi rumah.

Tangannya bermain-main dengan sehelai daun kering. Matanya kosong, jauh menembus batas kampung yang damai itu. Hatinya masih resah, terikat dengan insiden pagi tadi—kereta, nasi lemak, dan Aisya. Semuanya berlegar-legar tanpa henti dalam kepala.

Tiba-tiba, terasa satu tepukan ringan di bahu.

Tap.

Ara tersentak sedikit. Terus menoleh.

"Hafiyy..." bibirnya menyebut perlahan.

Hafiyy tersenyum kecil. "Aku panggil tiga kali tak menyahut. Kau termenung sampai tak sedar aku datang."

Ara tunduk, malu sendiri. "Sorry..."

"Tak payah sorry lah. Kau okay ke?" Suara Hafiyy penuh dengan kebimbangan. Dia duduk di sisi Ara, membiarkan sedikit ruang antara mereka.

Sejenak, hanya bunyi daun bergesel dengan angin yang menemani.

"Aku... accident sikit pagi tadi," luah Ara perlahan, tanpa memandang Hafiyy.

"Aku tahu. Mak kau cerita masa aku hantar barang tadi. Aku risau, tu yang aku datang. Kau tak apa-apa?"

Ara hanya mengangguk kecil.

"Basikal kau macam mana?"

"Rosak sikit je." balasnya sambil gelak kecil, hambar.

"Tapi nasi lemak lagi hancur," sambungnya dengan nada sinis, mengingat kembali bungkusan yang berterabur di jalan raya.

Hafiyy senyap. Dia hanya memerhati sisi wajah Ara yang dibasahi cahaya petang.

"Kau tahu tak..." Ara sambung. Suaranya perlahan, seakan takut untuk didengari angin.

"Aku benci rasa macam ni. Macam semua benda tak kena dengan aku. Salah sikit, mak marah. Salah banyak, pun tetap marah. Padahal aku dah cuba..."

Hafiyy memandangnya dengan mata yang penuh empati. Dia tahu, Ara bukan jenis yang mudah luah rasa. Dia keras di luar, tapi dalamnya penuh luka yang belum sembuh.

"Kau tahu apa yang aku nampak dari dulu pasal kau?" Hafiyy bersuara tenang.

Ara menjeling sedikit. "Apa?"

"Aku nampak seorang budak perempuan yang kuat, tapi terlalu banyak simpan benda dalam hati sampai dia sendiri lupa macam mana nak menangis."

Ara tergamam.

"Kadang... tak salah pun nak nangis, Ara. Aku tahu kau kuat, tapi kuat tak bermaksud tak boleh menangis." sambung Hafiyy perlahan, matanya tak lepas dari wajah Ara.

Dan kali ini, tanpa sedar, kelopak mata Ara mula panas. Tangan yang tadi pegang daun kering kini menggenggam kain baju sendiri.

Tapi dia tetap tak mahu menangis depan Hafiyy.

Dia cuma jawab, perlahan—"Terima kasih sebab datang."

Hafiyy senyum lagi. Kali ini lebih lembut. "Aku akan sentiasa datang... bila-bila kau perlukan."

Ara diam agak lama sebelum bersuara semula, masih memandang hujung rumput.

"Hafiyy... kau pernah rasa tak, macam... kau ni tak cukup baik untuk orang yang kau sayang?"

Hafiyy tak terus jawab. Dia ambil masa sejenak, seolah mencerna soalan itu dengan tenang.

"Aku rasa... semua orang pernah rasa macam tu," jawabnya, perlahan. "Termasuk aku."

Ara angkat wajah, pandang Hafiyy dengan kening sedikit berkerut. "Kau?"

Hafiyy senyum nipis. "Apa? Kau ingat aku ni sempurna sangat ke? Aku pun pernah rasa, aku tak cukup untuk orang lain."

Tiba-tiba hatinya terusik dengan soalan ringkas Ara. Dalam diam, dia juga punya satu sisi lemah yang tidak ditunjukkannya kepada sesiapa.

Ara angkat muka, pandang Hafiyy dengan kening sedikit berkerut. Tak sangka jawapan tu datang dari dia.

"Kau nampak macam... semua benda kau okay je."

Hafiyy senyum nipis.

"Semua orang pandai sembunyi benda yang tak okay. Tapi dalam hati, masing-masing bergelut jugak. Aku pun pernah rasa aku tak cukup. Tapi lama-lama aku belajar, kita tak perlu jadi sempurna untuk layak disayangi. Kita cuma perlu jadi jujur. Ikhlas."

Ara tarik nafas panjang. Pandang semula ke tanah. Kata-kata itu bagai menikam lembut ke ruang hati yang selalu ditutup rapat.

"Kau tahu, Hafiyy... Kadang aku rasa, hidup aku ni macam orang naik basikal sorang-sorang waktu hujan. Penat, basah, takde tempat nak tumpang berteduh."

Hafiyy diam. Hanya dengar.

"Tapi tadi, masa orang tu hulur duit tu... aku rasa macam dia pandang aku macam orang susah. Macam aku ni hanya layak dikasihani sebab hidup aku tak sebaik dia."

Ara genggam jari sendiri, suaranya sedikit bergetar.

"Tapi... lepas dia cakap dia nak tebus salah, sebab dia pun tahu dia bukan orang baik—aku terdiam. Sebab aku pun bukan orang baik, Fi. Aku pun banyak salah. Dengan mak aku... dengan diri aku sendiri..."

Hafiyy pandang Ara. Matanya redup, tenang.

"Kalau semua orang perlu jadi baik dulu baru layak diberi peluang... maka takkan ada siapa layak berubah."

Ara pandang Hafiyy. Kali ini lama.

"Aku tak tahu kenapa, tapi... kau selalu cakap benda yang aku tak tahu aku nak dengar. Tapi bila kau cakap, rasa macam... lapang."

Hafiyy tersenyum, ikhlas.

"Sebab aku tak bercakap ikut mulut. Aku cakap guna hati."

Ara tergelak kecil, tapi masih dengan mata yang berkaca.

"Tapi kau tahu tak, kadang hati tu pun menipu?"

Hafiyy angguk perlahan.

"Sebab tu kita minta Allah jaga hati kita... dan jaga hati orang yang kita sayang."

Dan saat itu, Ara rasa dadanya tiba-tiba hangat. Kata-kata itu... bukan sekadar menenangkan, tapi buat dia rasa dilihat—benar-benar dilihat. Bukan sebagai gadis keras kepala yang selalu buat silap. Tapi sebagai seorang insan yang sedang belajar bertatih dalam hidup yang serba tak adil.

Ara tunduk semula, senyum kecil.

"Terima kasih, Fi."

Hafiyy jawab dengan lembut, "Bila-bila, Ara. Bila-bila..."

***

Matahari mula melabuhkan tirai senjanya. Satu demi satu album dikeluarkan dari kotak lama yang bersalut debu. Tiba-tiba, sebuah album berwarna kuning keemasan menarik perhatian Ara. Segera dia melabuhkan punggungnya di atas lantai bilik stor yang masih berdebu. Perlahan-lahan, tangannya menyelak halaman demi halaman. Bibirnya mengukir senyuman... namun itu bukan senyuman bahagia. Ia cuma topeng—menutupi penderitaan yang sekian lama dipendam.

Setitis demi setitis, air mata gugur jua.

Matanya tertancap pada sekeping gambar keluarga yang diambil dua belas tahun lalu. Si ayah segak berkemeja, si ibu tersenyum manis sambil merangkul lengan suaminya. Kedua-dua adiknya yang masih kecil ketika itu didukung erat oleh ayah mereka. Manakala dirinya pula berdiri di tengah, tertawa riang tanpa beban. Kenangan itu menghiris hati.

"Ayah..." rintih Ara perlahan.

Hatinya terus merindui si ayah sebaik sahaja melihat gambar itu. Anak mana yang tidak rindu setelah bertahun-tahun berpisah dengan ayah kandung sendiri?

Lima tahun. Ya, lima tahun sudah cukup menyaksikan betapa dia terseksa menanggung rindu yang tak pernah surut. Setiap malam, air mata menjadi peneman setia.

Dia benar-benar perlukan ayah. Rindukan belaian, nasihat, dan kasih seorang bapa. Rindukan keluarganya yang suatu ketika dulu lengkap—walau hidup sederhana, tapi bahagia. Beratnya hati hanya Tuhan yang tahu saat lafaz 'cerai' terucap di bibir ayahnya, berpunca daripada salah faham antara dua pihak. Sejak itulah hidupnya mula berkecai, dan penderitaan bermula.

Terlalu banyak yang berlaku sejak perpisahan itu. Namun, yang paling tak dapat dilupakan—malam yang hampir meragut maruah dirinya lima bulan lalu.

Ara pernah dipukul teruk oleh ibunya dan dikenakan perintah berkurung kerana pulang dalam keadaan tidak sedarkan diri. Semua itu angkara Ayu. Kononnya mahu bawa Ara berjalan-jalan, tapi rupa-rupanya perangkap ke tempat maksiat yang sengaja dirancang.

Malam itu tanpa pengetahuan Ara, ternyata Ayu berkomplot dengan Shazwan—bekas pelajar SMK Seri Muara yang dibuang sekolah kerana kes disiplin yang teruk, merangkap bekas rakan sekelas Ara sewaktu Tingkatan 4. Shazwan menyimpan dendam lama. Dia pernah meluahkan perasaan kepada Ara, tetapi Ara menolaknya mentah-mentah, malah menghinanya di hadapan seluruh kelas.

Terhiris egonya. Tercalar maruahnya. Lantas dendam pun bertunas.

Dengan bantuan Ayu, mereka merancang untuk memalukan Ara menggunakan cara paling keji. Ara yang terlalu mempercayai Ayu menjadi mangsa sempurna.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience