Bab 3

Drama Series 202

Lima bulan yang lalu.

Petang itu, langit agak redup. Angin yang bertiup lembut menyentuh wajah Ara yang bersih tanpa secalit solekan. Dia hanya memakai t-shirt kelabu kusam dan seluar jeans hitam yang longgar. Rambutnya diikat ekor kuda, terurus seperti biasa. Penampilannya sederhana, tidak menonjol—dan dia selesa begitu.

"Ara, jom ikut aku jalan-jalan kat bandar nak?" suara Ayu ceria dari luar pagar.

Ara menjenguk. "Nak ke mana?" soalnya, sedikit teragak-agak.

"Tak jauh pun. Kita just ronda-ronda je. Lepas tu makan. Boring la duduk rumah je," pujuk Ayu sambil mengangkat sebelah kening.

Ara terdiam seketika. Rasa malas bercampur penat, tapi dia tak sampai hati. Ayu satu-satunya kawan yang masih kekal di sisinya waktu orang lain menjauh. Perlahan-lahan dia mengangguk.

"Okey... Tapi tak lama ya?"

Ayu tersenyum puas.

Bandar kecil itu meriah dengan lampu kedai dan bunyi enjin kenderaan berselang-seli. Ayu kelihatan ceria, berbeza dengan Ara yang hanya mengikut langkah tanpa banyak bicara.

Ayu mengenakan dress merah gelap separas lutut, cardigan nipis dan kasut tumit kecil—penampilannya jauh lebih moden dan berani.

"Ara, masuk sini kejap," ajaknya sambil menarik tangan Ara ke dalam sebuah butik kecil di hujung lorong.

"Hah? Kenapa?"

"Saja, nak tengok-tengok baju," balas Ayu selamba.

Ara mengekori, walaupun sedikit pelik. Beberapa minit kemudian, Ayu datang semula ke ruang depan butik, membawa sehelai dress berwarna hitam, potongannya moden dan agak ketat. Dia hulur pada Ara.

"Try ni. Aku rasa kau akan nampak cantik gila."

Ara ternganga. "Eh, tak naklah. Aku tak biasa pakai macam ni, Ayu..."

"Tapi nanti kita nak masuk tempat ada dresscode. Kalau kau tak pakai, nanti tak lepas masuk," desak Ayu.

Ara menggeleng. "Tempat apa ni sampai kena pakai macam ni? Tak boleh ke tempat lain?"

Ayu mengeluh kecil, wajahnya berubah sedikit kecewa. "Ara... aku dah janji nak jumpa orang kat sana. Kau tak nak temankan aku ke?"

Ara tertunduk. Dia bukan tak mahu, tapi hatinya rasa tak selesa. Namun rasa bersalah mula menggigit. Dia tak mahu Ayu terasa hati. Ayu satu-satunya kawan yang sentiasa ada dengannya... kan?

"Cepatlah, bilik salin kat belakang tu," pujuk Ayu, kini dengan senyuman meyakinkan.

Dengan berat hati, Ara masuk ke bilik salin.

Beberapa minit kemudian, dia keluar mengenakan dress itu. Wajahnya jelas tidak selesa, tangan sentiasa menarik-narik bahagian bawah kain yang terasa terlalu singkat.

"Aku rasa macam pelik sangat pakai ni..."

"Bukan pelik. Kau lawa. Percayalah, orang akan tengok kau macam bidadari nanti," balas Ayu sambil mengenyit mata.

Kereta Grab yang mereka tempah berhenti di hadapan sebuah bangunan bercahaya terang. Musik berdentum dari dalam. Ara menelan liur.

"Ni... tempat apa ni?"

"Pub je. Tak lama pun. Aku nak jumpa orang kejap. Jangan risau, tak ada benda teruk pun," ujar Ayu selamba.

Ara melangkah perlahan, matanya melilau. Bau asap rokok dan wangi-wangian bercampur. Lampu neon berkelip, orang menari, ketawa, dan muzik memekakkan telinga. Hatinya gelisah, tapi dia tetap ikut. Dia percaya Ayu.

Mereka duduk di satu sudut, agak tersorok. Ayu tersenyum sambil menghulurkan gelas minuman yang telah dicampurkan 'sesuatu' kepada Ara.

"Nah. Minum sikit. Untuk tenangkan hati kau."

"Apa ni?"

"Minuman ringan je. Tak ada alkohol. Chill la sikit. Sekali-sekala..."

Ara menatap gelas itu. Ragu-ragu. Tapi Ayu hanya tersenyum tenang. Mata Ara beralih semula pada gelas di tangan. Perlahan, dia menghirup. Rasanya manis... tapi ada sesuatu yang pelik.

"Sedap kan? Minum je lagi sikit..." Ayu bersuara, sambil menyembunyikan pandangan penuh agenda.

Pada awalnya, tiada apa yang terasa pelik sangat. Cuma rasa manis yang melekat di lidah. Tapi selepas beberapa minit, dunia di sekeliling Ara mula berubah perlahan-lahan. Lampu neon yang berkelip-kelip tadi terasa makin menyakitkan mata. Suara muzik berdentum itu kini kedengaran seperti datang dari dalam kepalanya sendiri.

Dia pegang kepala. Berat. Berdenyut. Pandangannya mula kabur.

"Ayu... aku rasa pening..."

Ayu di hadapannya hanya tersenyum nipis, kemudian hulur semula gelas yang hampir kosong.

"Minum sikit lagi. Kau okay je tu. Kau cuma tak biasa je..."

Ara geleng. "Aku... aku nak balik..."

Dia cuba bangun, tapi lututnya terketar. Tubuhnya terasa ringan tapi berat. Macam melayang. Nafasnya jadi pendek. Dia berpaut pada meja, tapi semuanya rasa berpusing.

"Ayu..." suaranya lemah.

Minuman Ara dicampur pil khayal tanpa pengetahuannya. Tanpa rasa curiga, Ara meneguk Coke itu berkali-kali. Kepalanya terasa berpusing, tubuh terasa melayang. Ayu yang duduk di sebelahnya hanya tersenyum sinis, sempat merakam wajah Ara yang mulai tenggelam dalam khayal.

Beberapa minit kemudian, Shazwan tiba. Melihat Ara yang separuh sedar dalam pakaian sedikit terdedah, nafsu jahatnya mula membuak. Ara yang 'terlena' itu rebah ke bahunya sendiri. Ayu sempat merakam babak 'mesra' mereka untuk dijadikan senjatanya pada masa hadapan.

Ketika itu, telefon bimbit Ayu berdering. Nama "Makcik Hajar" tertera di skrin.

Ayu panik. Pada awalnya dia mahu abaikan. Namun, tiba-tiba muncul satu idea jahat dalam benaknya. Dengan penuh yakin, dia menjawab panggilan itu.

"Hello?"

"Hello, Ayu ke ni?"

"Ya, Ayu ni. Makcik, nasib baik makcik call. Ayu dah tak tahu nak buat apa ni, makcik. Ara... makcik..." Suara Ayu sengaja dilirihkan, seperti sedang menangis.

"Ara? Kenapa dengan Ara? Makcik baru nak tanya ni. Dari tadi makcik call dia, tapi tak angkat. Tu apa bising sangat tu? Korang kat mana?"

"Nanti Ayu cerita. Ayu bawa dia balik sekarang, makcik." jawab Ayu sambil menahan gelak dalam hati.

"Apa maksud Ayu ni? Ara buat apa? Ayu okey ke? Kenapa suara menangis?"

"Nanti Ayu cerita ya, makcik. Ayu letak dulu. Bye!"

Talian dimatikan. Ayu tersenyum sinis.

"Huh! Menjadi jugak lakonan aku. Ada bakat terpendam rupanya." Dia ketawa kecil.

"Siapa tu?" soal Shazwan.

Ayu menjeling Shazwan yang masih tidak puas 'bermanja' dengan Ara.

"Bakal mak mentua kau," sindirnya.

"Kita kena blah sekarang. Mak budak ni dah bising."

"Alaaa... baru pukul 11. Rilekslah dulu," pujuk Shazwan.

"Tak boleh, aku ada plan lagi power lepas ni. Aku dah janji dengan mak dia nak bawa dia balik sekarang."

"Eh mana boleh macam ni! Aku belum dapat apa yang aku nak lagi. Takkan nak tinggal macam tu je?"

"Kau ni pun. Sabar la sikit. Nanti aku bawakan lagi budak ni ke sini. Sekarang ikut je cakap aku. Dah, tepi sikit." Ayu menolak Shazwan.

Dia menempah Grab. Ara dipapah keluar dari pub, tubuhnya longlai dan tidak sedarkan diri. Dengan segala kudrat, Ayu menggagahkan diri memikul Ara di belakangnya. Slingbag Ara turut dicapai.

Setibanya di hadapan rumah, Ayu segera menyesuaikan ekspresi wajah. Eye-Mo dititiskan ke mata. Lakonan bersambung.

"Ara, bangun... Kita dah sampai," bisiknya lembut sambil menampar pipi Ara perlahan.

Ara membuka mata perlahan, wajahnya keliru. Kepala berpinar, pandangan kabur.

"Jomlah, keluar cepat." Ayu menarik lengannya, lalu membayar tambang kepada pemandu.

Dengan tubuh yang lemah, Ara dipapah perlahan menuju ke pintu rumah.

"Assalamualaikum. Makcik! Makcik Hajar!" Ayu memberi salam lantang.

Pintu rumah dikuak dari dalam.

"Waalaikumussalam... Ya Allah! Ara!!!"

Pintu rumah baru sahaja dibuka, suara Hajar terus berubah tinggi melihat anak gadisnya berdiri terhuyung-hayang di depan pintu dalam keadaan mengaibkan.

"Ya Allah, Ara! Apa ni? Apa yang kau pakai ni?!" jeritnya, wajah pucat bertukar merah padam.

Ara terkebil-kebil, matanya separuh terbuka, bibirnya terkumat-kamit tapi tiada sepatah kata yang keluar. Kepalanya masih pening, pandangannya kabur, tidak sedar apa yang berlaku. Dunia terasa berpusing.

"Apa dah jadi dengan kau ni, ha?!" tengking Hajar, terus menggenggam lengan anaknya dan menarik tubuh lemah itu masuk ke dalam rumah.

"Mak..." Ara mengerang perlahan. Suaranya serak, hampir tidak kedengaran.

Ayu hanya berdiri di ambang pintu, lagaknya seperti terkejut, tapi di balik wajah simpati, terselit kepuasan. Dia tahu, rancangannya berhasil.

"Makcik... saya.."

"Balik! Kau balik sekarang! Aku tak nak dengar apa-apa dari mulut kau!" bentak Hajar lantang, jari telunjuknya menghala tepat ke muka Ayu. "Kau kawan jenis apa?! Tengok anak aku jadi macam ni?!"

"Mak... Ara pening..." bisik Ara perlahan, namun ibunya tak mengendahkan rayuan itu. Tubuh Ara yang longlai diheret tanpa belas. Kakinya terseret, kepalanya terhuyung-hayang setiap kali langkah Hajar bertambah laju.

"Mak! Sakit..." Ara cuba meronta, namun sia-sia.

Dari bilik, bunyi bising itu mengejutkan Atul dan Fia yang terus membuka pintu. "Mak?!"

Fia menyusul, dan matanya bulat melihat apa yang sedang berlaku di ruang tamu. Kakaknya dalam keadaan mengaibkan, hampir terlucut dress yang entah bila dipakai, singkatnya menampakkan paha. Sementara Hajar sedang menolak pintu bilik dan menghumban tubuh Ara ke atas katil.

"Akak.. Ya Allah..." Atul tergamam.

Ara tidak bersuara. Nafasnya berat, matanya separuh tertutup, seluruh tubuhnya tidak bermaya.

Tiba-tiba pandangan Fia teralih ke arah pintu yang masih terbuka—dan di situlah Ayu sedang berdiri. Seolah-olah baru selesai drama air matanya.

Fia menapak laju. Matanya tajam, wajahnya membahang. Langkahnya penuh amarah.

"KAU!!!" jerkahnya.

Ayu tersentak. "Fi—Fia..."

"Berambus! Kau berambus! Berapa banyak kali aku cakap JANGAN dekati kakak aku?! Ini yang kau buat?!!" jerit Fia tanpa peduli waktu, jiran, atau siapa yang mendengar.

"Fia, aku cuma nak tolong..."

"PENIPU! Kau ingat aku tak tahu permainan kau?!" Fia menghala jari ke muka Ayu. "Kau perangkap dia, kan?!!"

Ayu terkedu. Mukanya cuba menunjukkan simpati, tapi mata liciknya tidak mampu menipu Fia.

"Pergi sebelum aku panggil polis. Kalau kau berani jejak rumah ni lagi... aku sendiri akan ajar kau cukup-cukup," ugut Fia sambil menggenggam penumbuk.

Apabila Ayu baru sahaja selangkah dua ingin pergi, namun pantas Fia maju dan menarik kasar tangannya.

"Hei apa ni? Sakit tahu tak?!" marah Ayu apabila tangannya ditarik mengejut.

"Kau dengar sini. Kau boleh tipu mak aku, kau boleh tipu semua orang, tapi kau tak boleh perdaya aku macam mana kau perdaya kakak aku. Satu hari nanti, aku akan pastikan fitnah yang kau tabur pada kakak aku akan terpalit pada kau semula." Gertak Fia. Dia tahu Ayu sedang melaga-lagakan keluarganya. Meskipun dia tidak terlalu rapat dengan Ayu seperti kakaknya, namun dia sudah lama memerhatikan tingkahlaku Ayu serta cukup faham muslihat gadis licik seperti Ayu. Dia sendiri tidak faham mengapa kakaknya begitu buta untuk membezakan yang mana kawan atau lawan.

Ayu terdiam seketika. Terkelu lidahnya mendengar ugutan gadis yang muda dua tahun darinya. Dalam diam Fia itu rupa-rupanya berbisa.

Ayu cuba melepaskan pegangan Fia, namun kudratnya tidak sekuat Fia.

"Ingatkan muka je tak semenggah, tapi hati kau rupa-rupanya lebih busuk mengalahkan bangkai." Perli Fia, sengaja ingin menyakitkan hati Ayu. Pegangan pada tangan Ayu dilepaskan.

Ayu menunduk konon rasa bersalah. Tapi sebaik dia berundur dari halaman rumah, sempat dia menyunggingkan senyum sinis sebelum membelok ke lorong gelap, menghilang.

"Setan bertopeng manusia!" Fia mendengus, menutup pintu kuat-kuat.

Atul yang berdiri di tepi hanya mampu memeluk tubuh, matanya masih tak lepas dari pintu bilik kakaknya yang masih terbuka sedikit. Suara ibu mereka kedengaran dalam nada menahan tangis.

Fia berpaling, matanya berkaca. Tapi dia menggigit bibir, menahan segalanya.

"Kau takkan terlepas, Ayu. Sumpah aku takkan biar kau musnahkan hidup kakak aku lagi..."

***

Keesokan pagi.

"Urghhhhh..."
Ara menggeliat, tangannya mencari selimut. Sejuk. Tapi bila tangannya menyentuh paha terdedah, dia tersentak. Matanya terbuka luas.

Masih berbaju semalam. Dress itu. Dress yang Ayu belikan. Kepala pening, perut memulas.

"Ya Allah... mati aku."
Dia bergegas bangun mengunci pintu biliknya kemudian menuju ke bilik mandi, tapi terhenti. Bunyi pintu biliknya dibuka dari luar.

"Hei Ara! Buka pintu ni sekarang!"
Suara Hajar menggegar ruang.

"Ara tengah mandi, mak! Janganlah ketuk kuat sangat," jawab Ara dari dalam. Panik. Dia cuba berdalih.

"Mak tak peduli! Buka sekarang!"

Ara menutup dress dengan tuala, lalu membuka pintu perlahan. Tapi Hajar terus menolak pintu kuat menyebabkan tubuh kecil Ara tertolak ke belakang pintu, lalu merentap tualanya.

"Mana kau dapat duit beli baju ni?"

"Ayu bagi... dia belanja..."

"Jangan nak tipu! Mak dah tahu semua!"

"Ara sumpah! Kalau mak suruh junjung Quran pun Ara sanggup!"

"Oh? Berani sumpah? Semalam kau mabuk, macam orang gila. Air tu boleh masuk sendiri dalam mulut kau?! Kau nak tengok mak mati ke?!"

Belum sempat pun untuk menjawab, tiba-tiba Ara berlari ke tandas dan muntah. Hajar terkedu. Mula fikir yang bukan-bukan.

Tanpa amaran, dia capai hanger dan...

"Anak tak guna! Kau gadai maruah sebab lelaki?! Kau tak sayang mak?!"

Rambut Ara ditarik, tubuhnya ditolak, dan hanger menghujani belakangnya.

"Mak! Sakit!"
Ara meraung, memeluk kaki ibunya.

"Mak... sumpah mak... Ara tak buat. Ara tak mengandung. Ara tak buat semua tu. Ara cuma pening. Mak salah faham, tolonglah percaya..."

"Mak!!!"
Fia muncul, menepis tangan ibunya. Hanger dirampas. Atul segera memapah Ara ke tepi. Melihat tubuh kakaknya luka-luka, hatinya hancur.

"Mulai hari ni, aku haramkan kau keluar rumah sebulan. Sekali lagi kau buat hal, aku takkan teragak-agak untuk buang kau!"
Hajar berlalu pergi.

Ara terdiam menghadam setiap kata-kata pedih ibunya. Air matanya terus mengalir. Tapi jauh di sudut hati, dia tahu... ada sesuatu yang sangat tak kena. Dan satu hari nanti, dia akan cari kebenaran itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience