Bab 29

Drama Series 202

Perkarangan rumah itu bagaikan medan penghakiman. Orang kampung berkumpul dalam kelompok kecil, berbisik-bisik, mata semua tertumpu pada Ara yang memegang tangan ibunya, namun ditolak kasar.

"Mak... dengar Ara cakap, mak... Ara sumpah, Ara tak buat..." rayu Ara sambil cuba lagi menyentuh tangan Puan Hajar.

Sekali lagi, tangan itu ditepis.

Puan Hajar menggeleng, wajahnya penuh jijik dan kecewa. Tanpa memberi amaran, satu tamparan hinggap kuat di pipi Ara, membuatkan tubuh kecil itu terdorong sedikit ke belakang. Dunia seakan berpusing seketika. Ara kaku. Tangannya terkulai, jiwanya seolah-olah retak berderai.

Air matanya bercucuran, namun dia tetap mengangkat muka, mencari wajah ibunya. Baru sahaja dia ingin membuka mulut — Plap! Sekali lagi tamparan kedua hinggap, lebih kuat dari tadi.

Atul yang berada di sisi segera cuba menghalang.
"Mak! Jangan mak! Kakak tak salah!" Atul menjerit, cuba menarik tangan ibunya.

Namun, Puan Hajar menepis dengan kemarahan yang membara.
"Jangan nak bela dia, Atul! Kau pun nak jadi macam dia ke?!"

Wahyun yang berdiri berdekatan, menggenggam kuat kedua tangannya. Hatinya memberontak melihat Ara diperlakukan begitu. Dia melangkah setapak ke depan, niat mahu menahan. Tapi akalnya berbisik — dia tahu, apa saja yang dia katakan sekarang takkan ada yang percaya.

"Ara... Bagi Ara jelaskan... Ara sumpah, mak..." suara Ara bergetar, tubuhnya menggigil.

Tapp!

Satu tamparan kuat hinggap ke pipinya.
Ara terdorong ke tepi, hampir jatuh.

Wahyun yang tak tahan lagi, mara ke hadapan.
Dengan berani, dia berdiri di sisi Ara.

"Cukup, makcik! Jangan pukul dia lagi! Dia tak salah! Saya sendiri yang nampak semua tu!" suaranya lantang, membelah suasana tegang itu.

Puan Hajar berpaling tajam, matanya merah berkilat.
"Kau jangan nak bela dia! Tak payah nak putar belitkan keadaan! Kau pun sama saja macam dia!"

Belum sempat Ara stabilkan diri, tangan Puan Hajar menyambar rambutnya, menarik kasar hingga Ara menjerit kesakitan.

"Mak! Sakit...!"
Ara cuba melepaskan pegangan itu, namun jari-jemari ibunya seperti besi yang mencengkam.

"Tak cukup dengan gambar ni, kau nak berfoya dengan laki lain pulak? Tak cukup ke kau malukan mak, kau nak hina mak depan orang kampung?!"
Jeritan Puan Hajar membelah dada semua yang mendengar.

Dengan satu tolakan kuat, Ara terdorong jatuh terduduk ke tanah berbatu. Sakitnya mencucuk tulang, namun dia tetap cuba bangun, menadah tangan memohon belas.

"Mak... Ara sumpah... Ara tak buat... mak tolonglah percaya Ara. Ni semua fitnah. Ada orang cuba nak jatuhkan Ara."
Tangisannya bergetar, pecah-pecah dalam sedu yang menyesakkan dada.

Tetapi Puan Hajar tidak peduli.
Dia menghempaskan sekeping gambar ke tanah, kemudian membongkok dan menarik dagu Ara dengan kasar. Jari-jarinya mencengkam rahang kecil itu dengan kuat, sekuat hatinya yang hancur.

Ara merengek kecil.
"Mak... sakit mak... sakit..."

Nafas Puan Hajar memburu, matanya terbakar dengan amarah.

"Nak tipu lagi?!"
Dia angkat gambar itu, mengacah ke muka Ara.

"Nih! Tengok sendiri! Tengok baik-baik!"

Ara, dengan dagu yang sakit dicengkam kuat, terpaksa memandang gambar yang diacukan hampir ke matanya.

Matanya membulat.
Dunia seakan berhenti.

"Ngggghh..."
Suara Ara tersekat, tenggorokannya terasa tercekik.

Air matanya pecah lebih deras.
Dia cuba menggeleng, cuba melarikan muka, tetapi cengkaman Puan Hajar terlalu kuat.

"Mak... bukan... bukan Ara, mak. Tolong, mak..."
Ara menangis teresak, setiap rengekannya seperti tikaman kecil ke hati yang sedang marah.

"Mak! Lepaskan kakak! Kak Ara sakit mak!"
Atul menjerit, berusaha menarik tangan ibunya, tetapi hanya menerima satu siku tolak yang kasar.

Fia berdiri kaku, wajahnya berkerut menahan sebak.
Namun hatinya juga bercampur baur antara marah, malu, dan simpati terhadap kakaknya.

Ara teresak kuat.
Air matanya sudah membanjiri pipi, jatuh ke tanah.

Puan Hajar melepaskan cengkaman dengan tolak kasar, menyebabkan Ara terhumban ke belakang.

Tubuh kecil itu terduduk, tangan menutup muka yang perit.

"Masih nak menipu?! Dengan bukti depan mata?! Nak jelaskan apa lagi? Semua dah jelas depan mata!" Puan Hajar mendengus.

Ara teresak-esak. Dengan suara yang hampir tidak kedengaran, dia berkata, "Mak, mana mak dapat gambar tu? Siapa bagi? Gambar tu tak betul mak! Ara tak tahu. Ara tak pernah buat semua ni. Ara sumpah mak. Ara diperangkap."

Perlahan-lahan, Ara berpaling.
Matanya tertancap pada sosok Ayu, yang berdiri di belakang orang ramai, berpura-pura terkejut, berpura-pura tidak tahu.

"Kau!" suara Ara serak, penuh kebencian.

Dengan sisa kekuatan yang ada, Ara menjerit.

"Kau yang perangkap aku! Kau yang atur semua ni! Dari dulu kau benci aku! Kau nak jatuhkan aku!"

Ayu berpura-pura terkejut, melebarkan mata.
"Apa ni Ara?! Kenapa nak tuduh aku pulak?! Kau sendiri buat hal, kau nak salahkan aku?!"

Makcik Salmah yang berada di sisi menggeleng dan mencemuh. "Dah salah, salah sajalah. Tak payahlah nak salahkan orang lain. Malukan keluarga aje!"

Di tangan Wahyun, gambar itu masih tergenggam.
Dia pandang gambar itu. Dia pandang Ara. Dia pandang gambar itu lagi. Hatinya bercerai-berai. Percaya atau tidak? Dia seakan tidak percaya pada apa yang dilihatnya. Dan yang paling mengejutkan adalah salah satu gambar itu adalah gambar yang pernah dilihatnya dalam telefon Ayu sebelum ini. Rupa-rupanya gadis dalam gambar itu adalah Ara sendiri. Dia tidak dapat kenal pasti sebelum ini disebabkan dalam gambar itu gadis itu tidak bertudung. Sekarang barulah terjawab persoalannya selama ini.

"Mak... ampunkan Ara. Ara tak buat semua tu mak."
Suara Ara tenggelam dalam esakan.
Dia cuba merangkak mendekati ibunya, memeluk kaki itu, memohon belas, namun Puan Hajar menendang kakinya menjauh.

"Jangan sentuh aku! Aku tak ada anak macam kau!"
Jeritan itu menghancurkan seluruh jiwa Ara.
Lebih sakit dari pukulan, lebih pedih dari cengkaman.

Ara terdorong ke belakang. Air mata membasahi pipinya. Dia teresak-esak, memandang semua orang — semua mata penuh benci, jijik, tuduhan.

Sementara itu, Puan Hajar menunduk, menutup muka dengan tangan. Malunya tak terkira.
Rasa dikhianati, dihina — semua bercampur-baur dalam dadanya.

Pak Mail menjerit lantang, menunjuk ke arah Wahyun.

"Kau! Telefon mak bapak kau! Biar diorang tahu perangai anak diorang!"

Wahyun diam. Hatinya berat, akhirnya akur dan mengeluarkan telefon. Dengan terpaksa, dia mendail nombor ibunya.

Tubuh Ara menggigil.
Bukan lagi kerana takut — tapi kerana marah.
Amarah yang dipendam, luka yang dipijak-pijak hari ini — semuanya meletus sekaligus.

Nafasnya kasar, dada berombak.

Matanya merah membara, merenung tepat ke arah satu wajah di sebalik lautan manusia — Ayu.

Ayu yang berdiri sedikit terundur, tangan bergetar kecil. Wajah pura-pura cemas itu menusuk mata Ara, menambah bara di hatinya.

Tanpa berfikir panjang, Ara menolak tangan Atul yang cuba memegangnya, dan berlari menerkam ke arah Ayu.

"Kau! Semua ni salah kau!!"

Ara menjerit sekuat hati, lalu menumbuk muka Ayu sekuat tenaganya. Tubuh Ayu terhuyung-hayang ke belakang, hampir jatuh.

"Kau yang perangkap aku! Kau!"
Ara menjerit sambil menyerang lagi — tangannya menampar pipi Ayu hingga berbunyi kuat.

Plakkk!!

Orang kampung menjerit kecil, sebahagian terkedu.

Ayu cuba menghalang, cuba menolak tubuh Ara, tetapi Ara lebih kuat, lebih liar.

"Kau gila lah Ara! Tolong! Tolong!"
Ayu merintih sambil cuba melindungi muka.
Air mata pura-pura membasahi pipinya, sambil dia berpaling ke arah orang kampung, berharap ada yang menyebelahi.

Tapi Ara tidak peduli.

"Kau fitnah aku! Kau hancurkan hidup aku!!"
Ara meraung, rambutnya terjuntai kusut, wajahnya basah dengan air mata dan peluh.
Dia menarik rambut Ayu, menyeretnya beberapa langkah ke depan.

Fia, Atul dan yang lain meluru ke arah mereka. Fia ingin menghalang Ara namun kudrat kakaknya itu lebih kuat.

"Kau kawan aku! Aku anggap kau kawan aku!! Tapi kau tikam aku dari belakang!!" Tangannya kuat mencekik leher Ayu.

Ayu cuba meronta, menjerit meminta simpati.

"Oi! Ara! Sudah, sudah!"
"Astaghfirullah! Ara, berhenti!!" Jerit sebahagian yang lain.

Fia menarik bahu Ara dengan kuat.

"Akak, cukup! Sudah!!"
Fia memeluk tubuh kakaknya dari belakang, menahan agar dia tidak terus menyerang.

Atul pula menarik Ayu menjauh, melindungi gadis itu yang kini teresak-esak ketakutan.

"Akak! Kak Ara!!"
Suara Atul bergetar, matanya berair melihat kakaknya berubah jadi seperti orang lain.

Tetapi Ara masih meronta-ronta dalam pelukan Fia.

"Dia fitnah aku!! Aku benci dia!! Aku tak pernah ada kawan macam dia!!"
Ara meraung kuat, tubuhnya menggigil dalam kemarahan yang terlalu dalam untuk dikawal.

Sementara itu, Wahyun berdiri di tengah, membatu.
Wajahnya pucat.
Tangannya mengepal di sisi, bibirnya terbuka sedikit — tetapi tiada suara yang keluar.

Dia tak sangka.
Tak pernah dia bayangkan gadis yang selalu tunduk, selalu sabar, selalu pendam... kini meletup sebegini rupa.

"Ara..."
Suara Wahyun akhirnya keluar, perlahan, lemah.

Tetapi Ara tak mendengar apa-apa.
Dunia Ara saat itu hanya dipenuhi marah, sakit hati, dan pengkhianatan.

Orang kampung mula berbisik sesama sendiri.
Ada yang menyalahkan Ara.
Ada yang mula sangsi terhadap Ayu.

Tubuh Ara yang meronta-ronta tadi tiba-tiba longlai.
Tenaga yang mengalir deras bersama amarah tadi seakan habis disedut keluar dalam sekelip mata.

"Akak!"
Fia menjerit kecil bila terasa beban tubuh kakaknya tiba-tiba berat di pelukannya.

Ara terkulai — jatuh dalam pelukan Fia.

Matanya terpejam rapat. Nafasnya pendek-pendek. Tubuhnya menggigil halus.

"Akak! Kak Ara! Bangun, kak!"
Fia menepuk pipi Ara perlahan, cemas.

"Jangan macam ni, kak... Kak, bangun kak!"
Suara Fia serak, panik, hampir menangis.

Atul yang tadi masih memegang Ayu — yang kini sedang duduk menangis berlakon atas tanah — segera melepaskan pegangannya.

Tanpa fikir panjang, Atul berlari pantas mendapatkan mereka.

"Akak!!"
Atul terus melutut di sebelah Fia, tangannya menggoncang bahu kakaknya yang tidak sedarkan diri.

Orang kampung yang tadi sibuk berbisik, kini terdiam. Wajah-wajah mereka bertukar cemas.

Hari itu, hati seorang anak hancur berkecai di hadapan dunia.
Hari itu, seorang ibu melepaskan segala kecewanya — bukan atas dosa anak, tetapi atas luka-luka lama yang disimpannya bertahun-tahun.
Hari itu, langit terasa terlalu rendah.
Dunia terlalu kejam untuk seorang gadis bernama Ara.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience