Cahaya lampu malap menembusi kelopak mata Ara yang berat. Dia mengeluh perlahan, terasa denyutan berdenyut di pelipis kanan.
Tangannya meraba kepala, mengusap perlahan rasa sakit yang masih membekas.
Perlahan-lahan, dia cuba bangkit. Tapi tubuhnya terasa lemah, seolah-olah semua tenaga disedut keluar dari jasadnya.
"Akak... Akak dah bangun?"
Suara Atul berbisik cemas.
Ara mengangkat pandang.
Dia lihat Atul duduk di kerusi meja belajar, wajahnya sarat dengan kebimbangan.
"Akak... Akak okey tak? Sakit kat mana-mana?"
Atul bertanya, suara serak seperti baru lepas menangis.
Ara hanya mengangguk perlahan.
Tangannya masih mengusap kepala.
"Pening sikit..."
Suara Ara hampir tak kedengaran.
"Nak Atul ambikkan air?"
Atul bertanya, suara gugup.
Ara hanya menggeleng perlahan.
Dia cuba duduk, namun tubuhnya seperti melawan.
Atul cepat-cepat menghulurkan tangan membantu.
"Perlahan-lahan, kak..."
Ara menghela nafas berat, duduk bersandar pada kepala katil.
Suasana di dalam bilik itu sunyi.
Hanya dengusan nafas Ara yang kedengaran, berat dan dalam.
Tiba-tiba, telinga Ara menangkap bunyi samar-samar perbualan dari ruang tamu. Dia kerutkan dahi.
"Siapa... siapa kat luar tu?"
Ara bertanya perlahan.
Atul kelihatan serba salah.
Dia tunduk sejenak sebelum menjawab.
"Mak... Mak tengah cakap dengan mak ayah Wahyun."
Atul memberitahu dengan suara berhati-hati.
Ara tergamam.
Ara membulatkan mata.
"Apa?"
Suara Ara sedikit meninggi.
"Dengan... mak ayah Wahyun?"
Dia ulang perlahan, seolah-olah tak percaya.
"Kenapa... kenapa dorang datang?"
Nafas Ara terasa sesak.
Atul menghela nafas berat.
"Mereka bincang pasal kejadian tadi. Pasal... pasal akak... dan Wahyun."
Atul menjawab, cuba sehalus mungkin.
Ara meraup wajahnya. Ara menutup mulutnya sendiri, menahan sesak di dada. Dia rasa dunia berputar. Rasa bersalah menyesakkan seluruh rongga dadanya. Dia rasa bagai ditampar kenyataan.
Tak pasal-pasal, Wahyun yang tak berdosa terpalit sama.
"Aku... aku sebabkan dia susah."
Ara berbisik perlahan, suara penuh rasa bersalah.
Dia cuba bangun dari katil.
"Akak nak pergi mana?!"
Atul yang terkejut pantas bangun, menahan bahu Ara.
Ara cuba bangun lagi.
"Akak nak keluar!"
Dia kata, mahu ke pintu.
Atul cepat-cepat berdiri, menghalang.
"Jangan, kak! Jangan keluar sekarang. Tolong, kak."
Atul merayu.
"Kalau akak keluar, nanti suasana jadi makin tegang. Biar mak uruskan."
Sambung Atul, matanya memohon.
Ara mengeraskan diri seketika, tapi akhirnya dia mengalah. Dia kembali duduk di atas katil, tangannya menggenggam kain cadar.
Matanya tertumpu ke arah pintu, telinga menangkap setiap serpihan suara dari ruang tamu.
***
Di ruang tamu.
Suasana berat, penuh ketegangan.
Puan Hajar duduk tegak di kerusi, berdepan dengan pasangan suami isteri — Encik Uwais dan Puan Fatimah, ibu bapa Wahyun.
Wahyun pula duduk di hujung kerusi, kepala tunduk dalam-dalam, wajahnya kelam.
"Kami betul-betul minta maaf, kak."
Puan Fatimah membuka bicara, suaranya serak menahan sedih.
"Kami pun tak sangka... Wahyun akan terlibat dalam perkara macam ni."
Encik Uwais menghela nafas panjang, menoleh ke arah Wahyun dengan pandangan kecewa.
"Kami didik dia elok-elok dari kecil. Dia anak yang baik. Tak pernah sekali pun dia buat hal. Ini kali pertama."
Encik Uwais berkata, nada keras namun sarat kecewa.
Puan Hajar mengetap bibir.
Dia cuba mengawal perasaan.
"Saya pun minta maaf. Saya tak sangka benda ni boleh jadi. Anak saya, Ara. Dia pun.. saya sendiri tak tahu nak kata apa."
Puan Hajar berkata perlahan dengan nada kecewa.
Puan Hajar menarik nafas dalam.
"Tak apalah. Untuk kebaikan semua... Saya rasa, lebih baik lepas ni mereka jangan lagi berhubungan antara satu sama lain."
Mereka semua terdiam.
"Kita semua dah cukup malu. Cukuplah sampai sini."
Puan Hajar menyambung, suaranya tegas namun penuh luka.
Encik Uwais dan Puan Fatimah mengangguk berat.
"Terima kasih, Kak Hajar. Kami faham."
Puan Fatimah membalas perlahan.
***
Tak lama selepas itu, enjin kereta berbunyi di luar.
Ara, yang masih duduk di atas katil, terdengar bunyi itu. Dia bingkas bangun, menyingkap langsir nipis, membuka sedikit cermin tingkap.
Matanya menangkap kereta itu bergerak perlahan meninggalkan halaman rumah.
Ara mengepal tangan, menahan rasa bersalah yang menghimpit.
Maafkan aku, Wahyun. Semua ni salah aku.
⸻
Dalam kereta.
Suasana di dalam kereta senyap sunyi.
Encik Uwais memandu, wajah keras.
Puan Fatimah duduk di sebelah, sesekali mengelap air mata.
Wahyun di belakang, merenung ke luar jendela.
"Yun cakap nak pergi study group dekat rumah Muaz. Tapi apa yang Yun buat?"
Puan Fatimah bersuara akhirnya, memandang Wahyun dengan mata berkaca.
Wahyun menggenggam erat bajunya.
"Bukan, bu. Yun memang nak pergi study group kat rumah Muaz. Tapi dalam perjalanan tu, Yun nampak Ara. Dia pergi seorang diri ke rumah tinggal tu. Yun rasa tak sedap hati, sebab tu Yun pergi ikut dia. Yun nak pastikan dia selamat."
Encik Uwais mengetap rahang, menahan marah.
"Kalau nampak pun, jangan sibuk! Itu bukan urusan kamu."
Bentak Encik Uwais.
"Sekarang ni semua orang ingat Yun bercinta dengan Ara tu, korang berdua senyap-senyap bercinta berduaan dekat tempat macam tu." sambung Puan Fatimah.
"Ibu dengan ayah percayakan kamu, Yun. Kami tahu kamu takkan buat benda yang boleh menjatuhkan maruah keluarga. Masalahnya disebabkan kamu sibuk benda yang tak sepatutnya, sekarang ni bukan setakat kamu, nama keluarga kita pun tercemar." sambung Encik Uwais dengan nada suara sedikit menaik.
Wahyun tunduk.
Air matanya mengalir tanpa bunyi.
Di luar, malam menyelimuti dunia.
Tapi dalam hati Wahyun, badai bergelora hebat.
***
Ara melangkah perlahan keluar dari bilik. Tubuhnya masih lemah, kepalanya berat. Setiap langkah terasa seolah-olah memijak bumi yang tidak stabil. Saat dia sampai di ruang tamu, langkahnya terhenti.
Dia terpaku.
Di lantai kayu yang sedikit usang itu, ada dua beg tersusun rapi. Satu beg sekolahnya—yang sudah lusuh sedikit di bucu, yang dia kenal benar. Dan satu lagi, sebuah beg pakaian besar, seolah-olah disiapkan untuk satu perjalanan jauh yang dia sendiri tidak pernah rancang. Entah sejak bila beg-beg itu berada di situ. Barangkali waktu dia pengsan tadi.
Ara mengerutkan dahi. Matanya beralih kepada wajah-wajah yang sedang berdiri membeku di ruang tamu itu—Mak. Fia. Atul. Semua diam. Semua seolah-olah sedang memikul beban yang terlalu berat.
"Mak..." suara Ara serak, bergetar. "Apa semua ni? Beg ni untuk apa?"
Tiada jawapan.
Maknya hanya memandang kosong, seperti dinding rumah itu lebih layak mendapat perhatian.
Ara mengatur nafas, menahan air mata yang sudah mula bertakung. Dia mahu mendekati ibunya. Dia mahu minta maaf, mahu bersujud di kaki ibunya, mahu berkata dia benar-benar ingin berubah. Tapi semuanya terbantut apabila ibunya mengalihkan pandangan.
"Fia," suara Puan Hajar serak, namun tegas. "Kau cakap."
Fia mengangkat wajahnya perlahan. Matanya bertentangan dengan mata Ara yang dipenuhi harap. Namun Fia cepat-cepat tunduk, bibirnya bergetar, tidak sanggup bersuara.
Ara melangkah setapak lagi. "Mak, kenapa ni?"
Tiba-tiba, suara Puan Hajar meninggi, menengking penuh tekanan.
"Fia!!"
Terkejut, Fia tersentak. Perlahan, dengan suara bergetar, dia akhirnya berkata:
"Mak... mak nak akak keluar dari sini."
Seperti ada satu hentakan kuat menumbuk dada Ara. Dunia sekelilingnya berputar. Nafasnya seakan-akan terhenti.
"A... apa?" bibir Ara bergetar. Dia berpaling kepada ibunya, mencari kebenaran pada wajah yang membesarkannya. "Mak... takkan... takkan sebab semua ni, mak sanggup buat Ara macam ni?"
Ara merapatkan diri, hampir melutut di depan ibunya. Air mata membasahi pipinya.
"Mak... Ara minta ampun, mak. Ara janji, Ara janji Ara akan berubah, mak. Ara tak buat semua tu. Semua tu fitnah, mak! Gambar tu, Wahyun, semua yang korang nampak tadi semua tak betul. Ayu... Ayu yang perangkap Ara, mak! Ara sumpah Ara tak buat! Mak, tolong jangan buat Ara macam ni. Makkkk..."
Puan Hajar beristighfar dalam-dalam. Dia tunduk, menggenggam kain baju di sisi. Tapi akhirnya dia berpaling, melangkah hendak masuk ke dalam bilik.
Tidak sempat.
Ara terus meluru, menarik kaki ibunya.
"Mak... mak jangan, mak... mak jangan tinggalkan Ara macam ni. Makkkkkk. Tolong, mak! Ara nak berubah. Ara tak nak keluar dari rumah ni, mak!"
Suara Ara pecah dalam esakan. Tubuhnya bergoncang hebat. Seluruh jiwa raganya merayu.
Namun Puan Hajar dengan tangan yang keras menarik lengan Ara.
Ara cuba melawan. Dia menggenggam kuat pakaian ibunya. Tapi kudrat seorang ibu yang marah, yang terluka, lebih kuat. Dia menarik Ara keluar, menuruni anak tangga rumah papan itu.
"Maaaaaakkk!!!" jeritan Ara bergema dalam kegelapan malam yang sunyi.
Atul sudah menangis. Dia hendak berlari, mahu menarik tangan ibunya, mahu membela kakaknya. "Mak... janganlah buat akak macam ni, mak. Kesian akak, mak! Akak nak duduk mana?"
Fia juga mengesat air mata, berdiri terpaku di muka pintu.
Tapi Puan Hajar tak berganjak. "Ambil beg dia," arah Puan Hajar kepada Fia, nadanya keras.
Fia menggigil. Dia berpaling ke beg di lantai. Tidak bergerak.
"FIA!!"
Suara Puan Hajar mengaum, menggetarkan seluruh tubuh Fia. Tanpa berani membantah, Fia melangkah berat, mengambil beg itu, meletakkannya di atas tanah.
Puan Hajar menarik nafas dalam-dalam. Dengan tangan yang bergetar, dia mengangkat beg tersebut dan meletakkannya beberapa langkah dari anak tangga, di tanah merah yang sejuk.
Ara terduduk, memandang ibunya dengan mata basah. "Mak... mak tolong jangan buat Ara macam ni, mak. Ara tak ada tempat nak pergi, mak. Malam ni Ara nak tidur mana, mak. Ara takut, mak."
Puan Hajar memejamkan mata seketika. Hatinya retak. Namun, dendam luka lama lebih keras mengikatnya.
Ara menangis semahu-mahunya.
Dia cuba memanjat kembali anak tangga.
Namun Puan Hajar segera menghalang.
"Jangan cuba-cuba untuk naik! Sekali kau jejak kaki dalam rumah ni lagi, mak sumpah mak tak akan maafkan kau sampai mati!"
Ara terjelepuk di tanah. Menangis, merayu, menjerit.
Atul menangis di muka pintu. Fia menggenggam kain baju, menggigil menahan esak.
"Kak... kak, maafkan Atul." suara Atul sayup.
Ara menghulurkan tangan ke arah adik-adiknya. "Tolong akak. Akak takut. Jangan tinggalkan akak, akak tak ada sesiapa."
Atul hampir hendak berlari turun.
Namun tiba-tiba suara lantang Puan Hajar bergema dari dalam bilik:
"Kalau siapa-siapa berani tolong dia, dengan korang-korang sekali keluar dari rumah ni! Jangan balik lagi! Tutup pintu tu!"
Fia membeku.
Atul menekup mulut, menahan tangis.
Pintu rumah terpaksa ditutup.
Ara teresak, jatuh terduduk di tanah, mendakap dirinya sendiri.
"Mak... mak..." Dia teriak, suara seraknya terbang bersama bayu malam. "Kenapa mak percaya orang lain? Kenapa mak tak percaya anak mak sendiri? Mak... mak... Ara anak mak... mak..."
Tapi tiada siapa keluar.
Tiada siapa menjawab.
Yang tinggal hanya malam yang sunyi, dan seorang gadis muda yang dipinggirkan oleh darah dagingnya sendiri, menghadap malam gelap dalam kesunyian dan ketakutan.
***
Share this novel