Bab 1

Drama Series 202

[ 10 TAHUN YANG LALU - 2015 ]

"ARA!!!!!"

Tersentak lamunan Ara apabila biliknya bergema dengan laungan suara yang sudah tidak asing lagi pada halwa telinganya. Siti Hajar adalah antara ibu di dunia ini yang dikurniakan sebuah keistimewaan iaitu mempunyai suara yang lantang dan nyaring.

Dalam Kampung Seri Bayu, siapa sahaja tidak kenal dengan sosok ibunya, Siti Hajar begitu dikenali dengan keenakan masakan nasi lemak sambal sotongnya yang tiada tolok tandingannya. Sebut sahaja nama Puan Hajar, pasti setiap penduduk kampung mengenalinya.

Dalam keadaan masih mamai, Ara langsung bangun menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Tuala segera dicapainya. Sudah menjadi rutin hujung minggunya untuk bangun seawal 5.00 a.m untuk menolong ibunya membungkus nasi lemak dan menjualnya di warung kecil bawah pokok tidak jauh dari rumah mereka.

"Kau ni Ara, cubalah berubah. Janganlah asyik harapkan mak je kejutkan. Letihlah mak macam ni. Mak kejut kau pukul 5.00 a.m, kau bangun pukul 5.30 a.m. Itupun nak kena mak besarkan suara. Kalau tak, haram kau nak bangun. Itu baru bangun dari tidur. Ni kau nak ambil tuala, berjalan terseret-seret kaki tu masuk bilik mandi pun dah berapa minit, lepas tu buka air paip sempat lagi termenung sambil gosok gigi depan cermin tu, bila air dalam baldi tu dah mencurah-curah, baru kau nak mula mandi. Heiii anak dara apalah kau ni Ara."

Tuuuu diaaa. Panjang meleret bebelan Hajar yang sedari tadi masih tercogok sambil berpeluk tubuh di depan pintu bilik anak sulungnya itu. Geram mengenangkan anak daranya yang sudah mencecah usia 17 tahun namun sikap tidak pernah seiring dengan umur. Kalah dengan dua orang adik kembarnya yang sudah pun bangun terlebih awal darinya membantu ibu mereka menyiapkan segala bahan.

"Yes mem! Mak jangan risau, nasi lemak sambal sotong mak tu confirm laku berkat bebelan mak awal-awal pagi ni." Dalam keadaan separuh sedar, Ara sempat menyindir membalas bebelan ibunya sebelum menutup pintu bilik mandi. Ara sudah masak dengan sikap ibunya itu. Bangun lambat sikit, memang itulah tazkirah yang sama didengarinya setiap pagi.

"Amboi, sedap mulut kau mengata mak." Ujar si ibu yang mudah berkecil hati dengan sindiran pedas anak sulungnya yang disifatkan sebagai 'mulut laser' itu.

Pintu bilik mandi dikuak semula apabila terdengar ibunya memerlinya sekali lagi. Pantang diperli, ada sahaja yang ingin dijawabnya.

"Eh, mana ada mengata mak. Dah memang tu hakikatnya. Mak tu sampai bila nak tercogok depan pintu tu? Subuh dah nak masuk ni." Ara terus mengingatkan ibunya bahawa waktu subuh dah nak masuk bagi mengelakkan ibunya melalut tak bersudah.

Lagak warak padahal jika disuruh solat, ada sahaja alasan yang diberikan. Setiap kali diajak ke masjid untuk program usrah hujung minggu, ada sahaja skema jawapan lapuk yang sudah tersedia dalam kotak fikirannya. Yang rajin beribadah dalam rumah itu hanyalah ibu dan adik bongsunya sahaja.

Berdesing telinga Hajar mendengar ungkapan anaknya itu. Sungguh, tak sayang mulut!

"Bertuah punya anak. Nasib kau tu anak. Kalau tak, lama dah aku cilikan mulut tu. Nama bukan main elok aku bagi, tapi perangai tak seindah nama." Gomel Hajar sendirian yang semakin tipis kesabarannya melayani kerenah si anak bertuah itu.

***

Usai mandi, Ara bergegas ke dapur memandangkan jarum jam sudah menunjukkan pukul 6.15 a.m.

"Masak aku." Ara seakan sudah tahu apa yang bakal terjadi. Macamlah tidak kenal sikap ibunya itu. Lambat sikit, berleterlah jawabnya. Ara spesies yang kuat berendam. Nak disuruh mandi, bukan main liat. Tapi bila dah masuk dalam bilik mandi, punyalah liat nak keluar. Nak nak sejam selepas itu barulah muncul batang hidungnya. Ibu mana tak bising mengadap perangai anak sebegitu.

Tiba sahaja di dapur, terus dia melabuhkan punggungnya di atas kerusi dengan muka selamba. Tanpa disuruh, dia sendiri yang membungkuskan nasi lemak bagi mengelakkan ibunya membebel lagi dan lagi. Rambutnya yang masih lembap dibiarkan terurai. Sambil membungkus, sambil itu jugalah dia berpura-pura menyanyi. Bukannya dia tak tahu, si ibu yang duduk di hadapannya dari tadi merenungnya dengan pandangan tajam bak harimau yang ingin membaham mangsa.

Hajar benar-benar sudah masak dengan sikap anak-anaknya. Antara ketiga-tiga anaknya, Ara lah satu-satunya anak yang mewarisi sikapnya. Mana tidaknya, sikap Ara itu saling tak tumpah seperti dirinya ketika zaman remaja dahulu. Kuat berendam, pemalas, jenis cakap tak berlapis, alergik pada barang kemas. Pokoknya, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Tapi selepas kahwin, segala perangai tak semenggah itu terus lenyap entah ke mana! Tapi baginya, dia yakin satu hari nanti Ara pasti akan berubah. Sama ada dia sendiri yang akan berubah atau diubah. Hanya Allah sahaja mengetahui.

"Dah solat belum?" Tanya si ibu dengan nada sinis memecahkan kesunyian di ruang dapur itu.

"Dah." Ara selamba membohongi ibunya. Bukan sekali dua dia berbuat demikian. Malah, setiap hari dia berbohong apabila diajukan soalan begitu.

Sama juga keadaannya di sekolah. Jika ada kelas luar sidang, maka dia akan sedaya upaya cari jalan untuk ponteng kelas. Jika disuruh oleh ustazah untuk solat, ada masa dia akan berbohong menggunakan alasan "bendera jepun". Ada masa dia terpaksa juga solat jika ustazah mula menghidu kebohongannya. Pernah berkali-kali ditegur oleh ustazah tentang sikapnya itu. Ustazah sentiasa menasihatinya agar berubah. Namun remaja sepertinya ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Hatinya keras seperti batu. Sejak penceraian orang tuanya, dia berubah 360 darjah. Semakin liar dan kuat memberontak. Inilah akibatnya tersalah pilih kawan. Apatah lagi dua tahun lalu dia pernah terkantoi dengan ustazah itu apabila dia sedang berdating dengan bekas kekasihnya di sebuah mall. Nasib baik hal itu tidak sampai ke pengetahuan ibunya. Kalau tidak, perintah berkurung setahun!

"Kau tipu mak takpe. Tapi kau jangan lupa, ada yang Maha Melihat." Hajar memerli anak daranya yang acuh tak acuh menjawab soalannya tadi.

"Mak tak nak bila mak dah 'tak ada' nanti, kau terus dengan perangai macam tu. Kau sebagai anak sepatutnya kurangkan azab orang tua." Sambung Hajar melihat Ara hanya diam tanpa sebarang respon, berpura-pura gigih membungkuskan nasi lemak tanpa menghiraukan nasihatnya sebentar tadi.

Ara hampir menyiapkan kerjanya, berbaki dua bungkus sahaja lagi yang perlu disiapkan untuk mencukupkan jumlah 100 bungkus nasi lemak.

Setelah menyiapkan bungkusan terakhir, Ara segera mengambil bakul besar berisi nasi lemak yang sudah disusun rapi dan mengikatnya kemas di belakang basikal tuanya. Cahaya pagi mula menembusi celah-celah awan, menyinari jalan tanah merah yang masih lembap dek embun subuh.

"Ara pergi dulu, mak," laungnya ringkas dari depan rumah.

Hajar hanya mengangguk dari dapur, sibuk mencuci periuk dan kuali.

Ara mengayuh perlahan, mulutnya terkumat-kamit membaca doa keluar rumah—satu-satunya doa yang dia masih hafal sejak kecil. Basikal tua berkeriuk di setiap kayuhan, namun ia sudah menjadi sahabat setia Ara sejak dia mula menolong ibunya menjual nasi lemak beberapa tahun lalu.

Warung kecil di bawah pokok ceri yang rendang itu hanya lima minit perjalanan dari rumah. Di situlah pelanggan-pelanggan tetap mereka menunggu setiap pagi minggu. Ara juga sudah biasa dengan pelanggan tetap—pakcik-pakcik yang dalam perjalanan ke kebun, makcik yang suka datang beli sambil borak kosong, dan budak-budak yang suka beli sebab 'sambal sotong mak kau pedas syok!'

Pagi itu terasa damai. Angin sejuk membelai pipinya yang masih segar selepas mandi. Tapi fikirannya berlegar pada sesuatu yang lebih dalam—wajah maknya yang semakin penat, suara Fia yang makin dingin, dan hubungan yang terasa semakin renggang. Hatinya terusik, namun dia buang jauh-jauh.

"Fokus je jual nasi lemak hari ni, Ara," gumamnya sendiri.

Namun, tak sampai dua minit sebelum tiba di warung, segalanya berlaku pantas.

Bunyi enjin kereta mewah datang dari arah simpang. Ara sempat toleh. Sebuah kereta hitam meluncur agak laju—dan tanpa sempat dia brek betul-betul, tayar hadapan basikalnya terlajak sedikit ke bahu jalan.

Dumm!

Ara tercampak ke bahu jalan. Bungkusan nasi lemak berselerakan di tanah. Bunyi hon kuat berdentum sejurus kemudian, diikuti dengan dentuman pintu kereta dibuka dengan cemas.

"Ya Allah! Ya Allah! Awak okay tak?!" suara seorang gadis muda kedengaran panik. Seorang lelaki tua, pemandu kereta itu, berlari ke arah Ara sambil menjerit, "Maaf, cik adik! Maaf sangat!"

Ara cuba duduk, kepala terasa berpinar, lututnya pedih berluka, dan telapak tangannya calar. Tapi dia masih mampu sedar. Wajahnya terangkat sedikit, memandang si gadis berbaju kurung moden berwarna lembut itu yang kini sudah terduduk di sebelahnya, cemas.

Mereka saling berpandangan beberapa saat.

"Eh! Nasi lemak aku!"
Ara yang sedari tadi berdiam, tiba-tiba terjerit kecil. Serentak, matanya liar mencari. Bungkusan nasi lemak bertaburan di atas jalan. Jantungnya berdegup laju—bukan kerana sakit, tapi kerana rasa bersalah terhadap amanah ibunya.

Dia bingkas bangun, menahan perit pada lutut yang terkopek, lalu mula mengutip satu per satu bungkusan nasi lemak itu ke dalam bakul. Nasi yang tumpah ke tanah dikaupnya dengan tangan, langsung tidak mempedulikan dua manusia asing yang berdiri tercegat memerhati.

"Saya tolong," suara lembut si gadis mencelah, turut tunduk dan mengutip bersama.

Ara tidak membalas. Hatinya masih berkecamuk. Tapi gadis itu tetap meneruskan,

"Saya minta maaf sangat. Semua ni salah saya. Saya tak patut ganggu Pak Mat masa dia tengah memandu tadi. Saya tahu saya cuai. Jom, kami bawa awak ke klinik untuk..."

Ara menjeling. "Tak payah," balasnya pendek, tajam.

Dalam hatinya, orang kaya semuanya sama. Bila buat salah, hulur duit, hulur bantuan, macam semuanya boleh selesai begitu sahaja.

Gadis itu tersenyum nipis, cuba menenangkan suasana. "Saya Wardatul Aisya. Panggil Aisya je. Tu driver ayah saya, Pak Mat."

Aisya menghulurkan tangan, tapi Ara hanya membalas dengan jelingan. Tangannya tidak diangkat walau seinci.

Pak Mat yang masih tercegat di tepi kereta, hanya mampu tersenyum tawar.

Kemudian Aisya mengambil bakul dari tangan Ara, dan menyerahkannya kepada Pak Mat.

"Eh! Awak buat apa ni?" nada suara Ara mula meninggi.

Aisya tidak menjawab. Dia melangkah ke kereta, mengambil dompetnya, lalu kembali semula ke sisi Ara. Enam keping not RM50 dikeluarkan dan dihulurkan.

"Nah. Saya bayar semua sekali. Anggap ini ganti rugi—termasuk harga bakul."

Ara memandang Aisya lama. Pandangan yang tidak berselindung—tajam, sinis.

"Tak perlu duit ni. Bagi balik bakul tu." katanya, dingin. Dia terus merenung Pak Mat, yang sudah nampak gelisah memegang bakul tersebut.

Pak Mat memandang Aisya, seakan minta petunjuk. Aisya menggeleng perlahan.

Namun kali ini, Aisya tidak berlengah.

"RM300. Saya beli semua ni. Saya pelanggan awak hari ni," katanya tegas, namun masih berlapik. "Saya tahu... mungkin cara saya kasar tadi. Saya sedar, duit bukan segalanya untuk awak. Tapi... tolonglah, beri saya peluang tebus salah saya. Saya pun nak rebut peluang buat baik... walaupun saya tahu, saya bukan orang baik."

Kata-kata itu diiringi dengan genggaman lembut pada tangan Ara. Duit diselitkan ke dalamnya—perlahan, penuh hormat.

Ara terdiam.

Kali ini, tiada kata balas. Tiada jelingan. Tiada tepisan. Hanya sunyi yang menjawab.

Kata-kata terakhir Aisya bergema dalam fikirannya.

"Saya pun nak rebut peluang buat baik... walaupun saya tahu, saya bukan orang baik."

Simple. Tapi dalam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience