Ara bangun, perlahan. Kakinya membawa tubuhnya ke arah sejadah yang tergantung di penyangkut belakang pintu. Dia capai dan bentangkan di tengah bilik. Lama dia berdiri di situ. Kaku. Terkurung dalam perasaan sendiri. Kemudian duduk di atas sejadah tersebut. Tak bergerak. Hanya duduk, merenung. Matanya suram, seolah mencari sesuatu dalam lipatan waktu.
Dia bangun perlahan.
Kemudian dia melangkah ke bilik air. Niat di hati cuma satu—ingin mengambil wuduk. Tapi saat air mula mengalir di tapak tangan, dia terhenti.
"Lepas tangan, berkumur dulu ke hidung dulu?"
"Bacaan niat tu..?"
Dia jadi bingung. Panik halus mula menjalar. Dia terlalu lama meninggalkan semua ini—hingga lupa perkara asas yang dulu mak dan ayah ajarkan saban hari.
Dengan hati yang remuk, dia kembali ke bilik. Dicapai telefonnya, dibuka carian internet: 'Cara berwuduk yang betul'.
Saat dia mula membaca satu per satu langkah, air matanya kembali gugur.
"Ya Allah... Kecilnya aku."
"Jahilnya aku..."
"Hinanya aku..."
Tangisnya pecah dalam senyap. Tangis yang datang dari rasa bersalah paling dalam. Rasa bersalah pada diri sendiri, pada waktu yang hilang, pada hati yang terlalu lama kosong.
Selepas menghafal kembali langkah wuduk satu per satu, dia kembali ke bilik air. Kali ini, dia buat dengan yakin walaupun perlahan.
Selesai, dia berjalan senyap menuju bilik Atul dan Fia. Pintu dikuak perlahan. Dia capai telekung Atul yang tersangkut rapi di rak. Perlahan dia tarik dan bawa keluar. Bilik ditutup semula. Telekungnya sendiri entah di mana—sudah bertahun mungkin tak disentuh. Bahkan rupa telekung itu pun dia dah lupa.
Ara kembali ke bilik. Menutup pintu perlahan. Tak mahu sesiapa terjaga.
Dia berdiri di hadapan cermin. Memakai telekung putih itu dengan tangan yang perlahan. Dan saat dia lihat wajahnya sendiri dalam cermin—bertelekung, berwajah sayu, mata merah—air matanya tumpah lagi.
"Ini aku?"
"Yang bertahun-tahun tinggalkan semua ni?"
Cepat-cepat dia seka air matanya. Malu dengan dirinya sendiri.
Dia buka telefon semula. Kali ini dia cari 'Cara solat sunat taubat'. Dia baca betul-betul, perlahan. Pastikan semuanya betul. Pastikan dia tak silap, walau sedikit.
Kemudian dia kembali ke sejadah yang terbentang.
Ara berdiri. Takbir pertama.
"Allahu Akbar..."
Air matanya tumpah serentak. Dada terasa sesak.
Solat itu terbatal. Dia terduduk. Tangisnya pecah.
Dia cuba tenangkan diri.
Tarik nafas. Usap dada.
Baca perlahan ayat yang masih diingatinya.
Cuba lagi.
Takbir kedua.
Masih gagal.
Air mata tak berhenti.
Kali ini, dia biarkan saja.
Lama dia duduk di situ. Sunyi. Dalam bilik gelap hanya diterangi cahaya lampu meja kecil.
Dia bangun sekali lagi.
Dan kali ini, dia lebih tenang.
Solat itu dilaksanakannya perlahan-lahan. Setiap rukuk, setiap sujud, setiap rukun—penuh makna. Dada yang kosong seperti diisi sesuatu yang belum pernah dirasa.
Sampai pada sujud terakhir, dia tak bangun. Lama. Hidungnya menyentuh sejadah, dadanya mengaduh sendiri.
"Ya Allah... ampuni aku..."
"Kalau Kau dengar aku malam ni... kalau Kau masih mahu pandang aku..."
Air matanya gugur. Basah sejadah. Malam itu... langit dalam dadanya terbuka untuk cahaya.
Selesai solat, dia cuba tadah tangan untuk berdoa. Tapi lidahnya kelu. Tak tahu nak mula dari mana. Apa yang nak dipinta.
Dia tak tahu nak minta apa.
Nak minta ampun? Layakkah dia?
Nak minta diberi peluang kedua?
Nak minta hati yang baru?
Akhirnya, tangan yang tadi terangkat perlahan menutup wajah. Menutup seluruh mukanya.
"Ya Allah... aku tak tahu nak cakap apa..." bisik hati kecilnya, walaupun sebenarnya terlalu banyak isi hati yang ingin diutarakan, namun tak terlafaz di bibirnya.
Dan dia menangis.
Menangis sepuasnya.
Tangis yang tiada suara. Tapi cukup untuk menggoncang hatinya sendiri.
Tangis yang tertahan bertahun-tahun akhirnya pecah malam itu.
Malam itu menjadi saksi.
Malam itu, sesuatu dalam dirinya berubah.
Malam itu, untuk pertama kalinya setelah bertahun-tahun, dia rasa... dia kembali 'pulang'.
Malam yang menyimpan seluruh air mata, seluruh pengakuan, seluruh perasaan yang tidak pernah terluah.
Ara... akhirnya mengetuk pintu yang sekian lama terkunci. Pintu yang dia sendiri tak tahu masih wujud dalam jiwanya.
Dan untuk pertama kalinya selepas bertahun-tahun—langit itu terasa begitu dekat.
***
Pagi itu, suasana rumah sepi seperti biasa, cuma kedamaian itu seolah menyimpan sesuatu yang tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata.
Ara melangkah keluar dari biliknya dengan langkah perlahan. Matanya sembab. Wajahnya sedikit lesu. Tapi ada sesuatu yang berbeza. Bukan seperti keletihan biasa. Bukan juga kerana kurang tidur. Ada satu jenis kesunyian yang menyelimuti dirinya pagi itu, yang tidak mampu disembunyikan walau dia cuba.
Puan Hajar yang sedang menyusun nasi lemak ke bakul, tersentak kecil apabila matanya menangkap kelibat anak sulungnya itu. Tangannya terhenti seketika.
"Ara... kenapa mata tu?" soalnya lembut, tidak seperti biasa. Tiada nada bebelan pagi ini. Cuma bimbang. Rasa pelik yang tidak dapat dijelaskan.
Atul yang sedang menyiapkan beg sekolah turut memandang ke arah kakaknya. Fia yang menyuap nasi sempat menjeling sekali. Tapi tiada satu pun suara daripada mereka bertiga. Hanya pandangan yang bertanya.
Ara tidak menjawab. Dia cuma senyum kecil. Senyuman yang lebih seperti minta difahami tanpa perlu berkata. Dia duduk, makan sesuap dua, kemudian terus bangun dan bersiap.
Puan Hajar menghantar pandangannya dengan mata yang penuh tanda tanya. Hatinya berdetik, ada sesuatu yang berlaku pada anak dia malam tadi.
Tiada siapa memaksa selepas itu. Tapi suasana jadi sunyi. Sunyi yang ganjil. Sunyi yang penuh tanda tanya.
***
Di sekolah, deretan murid berjalan masuk ke kelas seperti biasa. Langit masih berwarna kelabu pagi, seolah turut berkabung bersama perasaan Ara yang belum selesai dari malam tadi. Dia melangkah masuk ke dalam kelas dengan bahu yang sedikit jatuh. Jalan pun perlahan. Kaki macam tak mahu menapak, tapi terpaksa.
Dalam kelas, Hafiyy sudah sampai awal seperti biasa. Dia sedang susun buku atas meja. Bila Ara melangkah masuk, Hafiyy pandang dia.
Berkerut dahi Hafiyy. Lama.
Dia perasan—mata Ara sembab. Wajah Ara macam tak cukup rehat. Tapi bukan sebab tak tidur, lebih kepada... terlalu banyak menangis. Dan bukan jenis nangis manja atau kecewa kecil-kecil. Tapi tangis yang dalam, yang kosong, yang meninggalkan jejak pada riak wajah.
Bukan itu saja. Aura Ara pun lain. Dia tak cakap banyak. Dia tak senyum pun pagi itu. Tak ada gurauan bodoh, tak ada usikkan manja yang selalu dia buat pada Hafiyy.
"Eh, kau okey?" tanya Hafiyy akhirnya, hati dia gelisah.
Ara tunduk, jari bermain dengan zip pencil case. Kemudian senyum nipis—senyum yang tak sampai ke mata dan tak pandang Hafiyy. "Aku okey."
Tapi suara dia lemah.
Hafiyy pandang Ara. Dalam-dalam.
Dia tahu, Ara sedang simpan sesuatu.
Dan dia tahu, hari ni bukan hari untuk bertanya banyak.
"Tak apa," Hafiyy balas perlahan. "Kalau kau perlukan ruang... aku ada je. Ambik masa kau. Aku faham."
Ara hanya senyum. Tapi senyum itu pun seakan berat. Berat dengan tangis yang sudah kering malam tadi. Berat dengan rasa yang sedang dia cuba faham sendiri.
Dia tak tahu macam mana nak cerita pada sesiapa apa yang dia lalui semalam.
Mungkin, belum lagi. Tapi hatinya tahu, satu per satu, langit dalam dadanya sedang dibuka semula.
Dan dia cuma perlukan masa.
***
Hari itu, walaupun matahari menyinar seperti biasa, dunia di dalam hati Ara tidak begitu cerah.
Langkahnya ke kelas terasa perlahan. Tidak seperti sebelum ini. Dia tidak menyapa sesiapa. Tidak menoleh ke kiri dan kanan. Bukan sebab sombong. Tapi dia sedang menyelam terlalu dalam dalam fikirannya sendiri.
Waktu guru masuk, dia angkat kepala. Pandang papan putih kosong, seakan sedang menonton sesuatu yang tidak kelihatan. Pen. Kertas. Buku. Semua ada di depannya. Tapi tangan tak bergerak.
Dia cuba mencatat. Tapi fikirannya melayang.
Teringat sujudnya yang panjang malam tadi. Terbayang wajahnya di hadapan cermin ketika dia memakai telekung—wajah yang tidak dia kenal. Wajah yang tiba-tiba menunduk, menangis kerana rasa bersalah dan sunyi yang terlalu lama dipendam.
Di celah suara cikgu mengajar, dia seperti mendengar bisik ayat-ayat dari Surah Az-Zukhruf yang dibacanya petang semalam. Ayat yang seakan membongkar hatinya sendiri. "Dan sesiapa yang berpaling daripada pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah, Kami akan adakan baginya syaitan, lalu syaitan itu menjadi teman karibnya..."
Ayat itu melekat di hati. Menghantui dengan lembut.
Semakin hari berlalu, semakin dia sedar—dia telah jauh. Sangat jauh.
Dan hari ini, walaupun dia hadir secara fizikal dalam kelas, jiwanya masih dalam perjalanan pulang... pulang ke sesuatu yang dia hilang sejak lama.
***
Waktu rehat hari itu, langkah Ara tidak membawa dirinya ke kantin seperti selalu. Tidak juga ke bangku yang biasa dia duduk untuk makan bekal yang ibunya sediakan. Sebaliknya, dia halakan langkah ke perpustakaan yang sudah menjadi rumah singgahnya beberapa minggu ini.
Bukan untuk belajar. Bukan untuk pinjam buku. Tapi entah kenapa, dia terasa mahu lari. Lari dari bising dunia, dan lari dari semua pandangan mata manusia.
Dia masuk ke celah-celah rak buku yang paling hujung. Rak yang terlindung, di mana cahaya matahari cuma menyentuh lantai secara malu-malu. Rak yang sunyi. Yang tak banyak kaki singgah ke situ.
Dia duduk bersila di celah dua rak tinggi, sandar ke dinding. Ditatapnya buku Aisya yang penuh dengan nota tangan dan cebisan kata-kata yang melembutkan hati. Buku itu dia bawa ke mana-mana sejak kebelakangan ini, walaupun dia tak pernah cerita pada sesiapa pun.
Dibukanya satu muka surat rawak. Jarinya berhenti pada satu ayat:
"Sesungguhnya orang-orang yang berpaling daripada peringatanKu, maka baginya kehidupan yang sempit..."
(Surah Taha, ayat 124)
Ara terdiam.
Ayat itu menyentak. Seolah-olah menyentuh terus ke dasar hatinya.
Dia telan liur. Dia baca lagi:
"Dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta."
Tangannya menggigil. Teringat pula bait-bait ayat yang dibacanya dalam Quran dan nota tangan Aisya semalam. Air mata yang cuba ditahan mula tumpah. Gugur satu persatu, menitik di atas helaian buku. Suara esakannya kecil, terpendam. Tapi sesekali tubuhnya terangkat sedikit menahan getar emosi yang tak dapat dibendung.
Dia tunduk. Luluh.
Dan dia tak tahu, di balik rak beberapa meter dari situ—ada sepasang mata yang sedang memerhati.
Wahyun.
Dia mulanya ke situ hanya untuk cari buku rujukan Kimia. Tapi entah kenapa, kaki dia terarah ke lorong rak paling hujung yang jarang benar orang singgah.
Dan di sanalah, dia terdengar esakan perlahan. Dia hampir berpaling, ingin berlalu, tak mahu masuk campur. Tapi sesuatu menarik perhatiannya—buku di tangan Ara. Buku yang dia tahu terkandung tulisan tangan seseorang yang dia kenal, tapi bukan Ara.
Wajah Wahyun berubah.
Dia berdiri diam, tak bergerak. Tak bersuara. Hanya memandang dari celah rak, matanya tak berkelip. Dadanya berdegup lebih kencang dari biasa. Bukan kerana rasa ingin tahu semata, tapi kerana wajah Ara ketika itu... sangat asing. Wajah yang penuh luka, penuh tangisan, penuh rasa yang dia sendiri tak pernah nampak sebelum ni.
Dan Wahyun tahu... Ara sedang melalui sesuatu yang lebih dalam dari apa-apa yang pernah dia bayangkan.
Tapi dia tetap di situ. Tak bergerak. Tak ganggu. Cuma menatap dari jauh.
***
Wahyun masih berdiri di lorong rak itu beberapa saat selepas dia melihat Ara. Esakan Ara makin perlahan, dan dia tahu—dia tak patut berada di situ terlalu lama.
Dengan langkah perlahan dan senyap, dia undur diri, lalu berpaling keluar dari kawasan rak. Kakinya melangkah keluar dari perpustakaan tanpa satu pun suara terkeluar dari mulutnya. Ara tidak sedar. Dan dia tidak mahu Ara tahu.
Namun sepanjang perjalanan ke kelas, kepala Wahyun tak berhenti menyoal.
Kenapa dia menangis?
Kenapa dengan dia hari ni?
Ada apa dengan buku itu sehingga memberikan kesan sebegitu pada dia?
Dia tahu itu bukan hal dia. Tapi ada sesuatu dalam diri Ara yang tak mampu dia abaikan. Mata sembab itu, wajah sayu itu, air mata yang jatuh senyap-senyap itu—semuanya bermain di fikirannya tanpa henti.
***
Share this novel